Nuffnang

Monday, February 25, 2013

BEGIN AGAIN - THE PIANO GUYS

Oh, tidak tidak tidak.

Saya tidak mendengarnya kerana Taylor Swift (Ya, Taylor Swift penyanyi asalnya). Tetapi, saya mendengar dan menontonnya kerana The Piano Guys. Untuk beberapa ketika, kumpulan ini teleh menghasilkan muzik-muzik yang sangat hebat untuk didengar di waktu senggang (kebanyakannya bercorak 'cover'). Malah, saya mendengarnya ketika membuat kerja di pejabat (guna 'earphone').


Gabungan piano dan cello itu amat mencengkam jiwa. Ya, siapa yang tidak sukakan muzik yang memberikan ketenangan. Sesetengah orang memilih muzik yang kasar dan kedengaran seperti membentak-bentak demi mengeluarkan rasa berat di dada dan rasa sesak di jiwa. Pada masa yang sama, ada yang memilih untuk membiarkan rasa berat dan sesak itu dibawa 'angin tenang' dari muzik yang damai. Umpama dedaunan kering yang jatuh ke dalam anak sungai dan hanyut dibawa arus tenang.

Steven Sharp Nelson (Cello) dan John Schmidt (Piano) adalah tunggak utama kumpulan ini. Dan mereka dibantu dengan kru produksi yang hebat dan profesional untuk menghasilkan video muzik yang cantik dan hebat.


Menariknya, ada di antara video muzik yang mereka hasilkan lebih menarik (mengikut pandangan masing-masing) daripada muzik yang asal atau penyanyi yang asal. Ya, saya kira mereka berjaya menterjemah kata-kata atau lirik ke dalam bentuk gesekan cello dan bunyian piano yang asyik itu. Malah, ada pula cubaan-cubaan berani mereka untuk menghasilkan sesuatu yang 'agak berbeza' dan unik.


Ya, What Makes You Beautiful tampak lebih menarik dengan muzik yang mereka hasilkan berbanding dengan nyanyian asal kumpulan budak-budak muda berbibir merah itu (One Direction).

Emm...ada rasa nak ketuk-ketuk meja semasa mendengar lagu What Makes You Beautiful itu...? Hehehe.

Menarik juga pada saya apabila kesemua video mereka ini dihasilkan dengan menggunakan kamera DSLR (saya tak tahu jenis apa) dan teknik suntingan yang hebat. Hasilnya, kesemuanya adalah video yang kelihatan cantik dari segi warna, audio dan kualitinya (kalau di YouTube boleh mencapai resolusi sehingga 1080p).

Ya, di bawah ini adalah video Q&A mereka. 


Kesimpulannya, kumpulan ini bukanlah kumpulan muzik yang bernaung di bawah satu syarikat penerbitan album muzik yang gah dan besar (saya rasa kalau mereka berbuat begitu nescaya keaslian mereka akan hilang sepenuhnya dek kerana mainan kapitalis barat yang mengaut keuntungan hasil kreativiti orang lain), tetapi mereka berusaha sedaya upaya untuk memberi sesuatu kepada masyarakat dunia di luar sana, iaitu muzik yang baik untuk didengar dan berupaya memberi sedikit ketenangan di jiwa.

Mereka memainkan alat muzik mereka dengan penuh perasaan dan keterujaan. Seolah-olah mereka sedang 'melangkah masuk ke alam lain' saat mereka memainkan muzik mereka (walaupun kita tahu mereka melalui proses yang sukar dan kadangkala melucukan). Walaupun begitu, ianya tetap menarik.

Ya, lebih menarik daripada lagu rancak yang diiringi dengan tarian terkinja-kinja yang entah dari mana itu. Hehehe. (ini pandangan peribadi saya).

No comments: