Hmm...punyalah lama blog ni tersadai dek kerana tekanan yang diterima ketika menyiapkan projek sarjana muda saya yang tak sudah-sudah dengan status 'sangkutnya' tu. Al maklum, bila dah tinggal 'seorang', kekuatan itu tak tertanding dengan kemalasan. Sehinggalah satu 'amaran' yang diberikan oleh penasihat akademik saya di mana saya tidak dibenarkan lagi menarik diri daripada sebarang kursus - dalam hal ni kursus projek sarjana muda.
Apa lagi, pantang diberi amaran. Mulalah terkejar-kejar mencari data untuk analisis. Ya, dalam keadaan seperti ini, 'trick' dan 'auta' amatlah diperlukan demi menyelamatkan diri. Hehehe. Jahat ? Bukan jahat, nakal aje.
Mujurlah saya sedang bekerja sambilan di sebuah pejabat di UTM, maka urusan saya dipermudahkan sedikit apabila ada seorang rakan yang sudi menemani saya mencari responden untuk borang soal selidik. Aduhai, sangatlah terhutang budi. Bukannya apa, kalau nak diikutkan dia tak ada kena-mengena langsung dengan projek ni. Tapi kesudiannya itu menenangkan jiwa saya yang agak serabut kerana nak mencari responden di sekitar Johor Bahru bukannya macam mencari pisang goreng. Banyak ragam dan karenah. Lagi satu, mengantuk ketika bawa kereta juga adalah masalah utama bila seorang diri. Jadi, dengan adanya kawan di sebelah, hilanglah rasa mengantuk. Di samping itu, dia membantu juga mendapatkan alamat-alamat responden.
Satu hal yang saya suka bila mencari responden ini ialah berjalan-jalan. Ada tempat yang tidak pernah saya sampai. Seolah-olah bandar baru yang tak pernah dijejaki. Dari pagi membawa ke lewat petang, punggung dah melekat di kerusi kereta dan pinggang dah mula sakit. Hal itu berlanjutan sehingga lebih 4 hari berturut-turut.
Usai mengumpul borang soal-selidik, sampailah saat yang paling menyakitkan, iaitu analisis. Analisis ni umpama nak telan antibiotik ketika kita umur masih kecil, punyalah seksa. Saya mengambil keputusan untuk bermalam di rumah kawan saya ini untuk mendapatkan 'pertolongannya'. Penyudahnya, semalaman tak tidur (hal ni memang lumrah pelajar) dek kerana bermain-main dengan microsoft excel.
Oh ya, paling penting, kesemuanya ini saya buat dengan merujuk kepada hasil kerja orang lain. Ya, projeknya sangat baik sekali. Maka, saya tumpang sekaki dengan mengambil intipatinya. Dalam bahasa yang mudah, saya 'tiru' dengan beradab, ertinya saya ubah sesuai dengan objektif kajian saya. Tiru bulat-bulat ? Mampuslah jawabnya. Plagiat adalah mimpi ngeri bagi semua pelajar kalau tak berhati-hati.
Hari penghantarannya adalah hari Rabu, tapi atas belas ehsan ketua penyelaras projek, saya dibenarkan hantar pada hari Jumaat. Nampak macam tak adil bagi pelajar lain, tapi apakan daya itu saja yang termampu saya lakukan memandangkan analisis yang tunggang-langgang tak memungkinkan untuk saya hantar pada hari itu.
Benda yang dihantar itu dipanggil deraf akhir. Hakikatnya, deraf akhir itu sendiri akan menjadi penentu markah kita nanti. Oleh itu, untuk menghantar deraf akhir yang tunggang-langgang adalah tidak mungkin. Sebab apa ? Sedangkan deraf yang cantik dan baik pun nanti akan 'dihentam' ketika pembentangan akhir, inikan pula yang tunggang-langgang.
Entah apa nasib saya, kesemua panel saya ketika pembentangan adalah jenis 'hardcore'. Tak ada 'soft-talking' melainkan kesemuanya 'straight' dan tak ada belas kasihan. Saya hanya mampu menganga apabila dia mempertikaikan pihak responden yang tidak menepati objektif. Hambek kau. Tapi, dalam 'straight', pun ada belas kasihan juga. Hehehe. Mereka lepaskan saya akhirnya.
Tapi hal itu tak selesai di situ. Seterusnya saya perlu mengadap pembaca kedua. Saya dimaklumkan yang sistem pembaca kedua ini tak diamalkan di semua fakulti di UTM. Malah ada fakulti yang membenarkan pelajarnya membuat projek sarjana muda secara berkumpulan. Tetapi tidak bagi fakulti saya. Huhuhu...
Pembaca kedua juga adalah 'nightmare' bagi pelajar akhir memandangkan mereka menilai mengikut 'selera' mereka sendiri. Perkara yang pada asalnya tidak jadi masalah bagi penyelia kita yang sebenar, tetapi tidak bagi mereka. Itu-ini tak kena. Tapi apakan daya, terimalah saja. Tapi, rezeki Tuhan siapakan tahu. Pembaca kedua saya boleh 'berlebih kurang' dengan saya. Malah, penyelia saya pun begitu juga. Akhirnya mereka menandatangani projek saya. Tandatangan mereka ketika itu lebih berharga daripada tandatangan kumpulan 'Girl's Generation'. Hehehe...
Akhirnya, projek sarjana muda saya siap dijilid. Seolah-olah beban telah diangkat ke langit. Jiwa terasa lapang, tidak lagi sesak seperti dulu. Begitulah kalau Tuhan hendak memberi jalan keluar, segala-galanya jadi mudah walaupun pada awalnya tampak hampir mustahil untuk lepas.
Saya akui memang saya malu dengan rakan-rakan lain yang telah lebih dahulu tamat daripada saya. Tapi, bila dah selesai begini, malu tu jadi kurang sedikit. Hehehe...
Pada entri ini, terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang membantu saya, terutamanya budak ini, Roshada Roba'ee yang sudi menemani saya mengumpul data. Kerana ketika itu, memang saya memerlukan teman kerana saya amat kelelahan. Semoga Tuhan memberkati hidupnya...
Wallahua'lam...
No comments:
Post a Comment