Nuffnang

Monday, April 15, 2013

DENGAN HIKMAH...



Ibu saya pernah berkata, bahawa hidup adalah untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Saya kira perkara itu sememangnya betul. Kerana untuk terus bergelumang dengan gaya hidup yang tidak molek adalah malang sekali. Sebagai contoh, seorang yang panas baran tidak boleh senantiasa menurut panas barannya, sebaliknya dia perlu belajar mengawalnya supaya ianya tidak sewenang-wenangnya dihamburkan kepada orang lain. Orang lain pun ada perasaan juga.

Begitu juga halnya dengan lidah. Lidah adalah perkara yang boleh membuatkan manusia bermusuh-musuhan selama bertahun-tahun. Lidah sememangnya amat bahaya sekiranya tidak dijaga dengan baik, terutama dalam hal penuturan atau percakapan harian. Ada yang memilih untuk membiasakan lidahnya dengan bahasa kesat dan kasar. Konon alasannya tak mahu bermuka-muka dengan bahasa baik semata-mata untuk mengambil hati orang lain.Sememangnya kita tidak perlu bermuka-muka. Tetapi itu bukanlah dalil untuk membenarkan kita berkata-kata yang tidak elok kepada orang lain.

Kita boleh memilih untuk 'straight to the point', tetapi biarlah sesuai dengan adab-adabnya. Kerana seperti kita sedia maklum, setiap manusia itu berbeza-beza emosinya. Ada yang mudah tersentuh, ada yang tidak kisah, ada yang mudah marah, ada yang mudah menangis dan sebagainya. Akan tetapi, seperti yang saya katakan tadi, hidup untuk berubah ke arah yang lebih baik. Justeru, adab menjalani kehidupan itu boleh kita ubah - sesuai dengan tuntutan agama supaya hubungan kemanusiaan kita bertambah baik.

Saya biasa berhadapan dengan orang yang sakit hati dengan percakapan orang lain. Malah saya juga selalu mengalami perkara yang sama. Kadangkala, saya sendiri tidak pasti bagaimana untuk memberi respon terhadap situasi seperti ini berdasarkan pertimbangan emosi saya. Perlukah saya marah ? Perlukah saya hamburkan saja kata-kata kesat ? Atau perlukah saya senyum dan menerima saja ? Persoalan semacam ini membuatkan kita selalunya memendam rasa. Dan selalunya juga, ianya diterjemahkan dengan beberapa siri tindakan seperti menghempas fail, menaip dengan kasar, menutup pintu dengan kuat dan sebagainya. Itulah respon yang selalu saya perhatikan, dan kadangkala saya sendiri lakukan.

Masalahnya, apakah perlu semuanya itu ? Bagaimana kita sebagai manusia harus menghadapi semua ini ? Ada yang memilih untuk 'pergi mampuslah semuanya tu'. Ada pula yang terbawa-bawa rasa bersalah itu sehingga menjejaskan hidupnya sendiri. Ada pula yang memilih untuk memaafkan seraya bermuhasabah bahawa mungkin itu adalah silapnya sendiri. Namun, masing-masing punya cara sendiri untuk meredakan rasa seperti itu. Namun, yang pentingnya, biarlah ia sesuai dengan tuntutan agama.

Saya selalu berharap supaya saya tidak tergolong di dalam kalangan manusia yang suka berdendam. Kerana saya percaya dendam hanya memburukkan lagi keadaan. Dendam hanya akan memanjangkan lagi masalah. Saya sedaya-upaya memilih untuk memaafkan, kerana mungkin perkara itu terjadi kerana salah saya sendiri. Orang di sekeliling saya adalah cermin kehidupan saya. Ada masanya, perlakuan seseorang itu membuatkan kita sedar, bahawa kita juga pernah melakukan perkara yang sama dan alangkah buruknya perlakuan itu.

Contohnya orang yang mudah marah. Perhatikanlah saja orang lain yang mudah marah. Tampak buruk sekali. Semua benda nak marah. Silap sikit nak marah. Tercuit sikit nak marah. Kacau sikit nak marah. Semua benda di sekelilingnya adalah untuk dimarahi. Bila melihat keadaan seperti itu, kadangkala kita akan tefikir yang kita juga pernah buat benda yang sama. Itulah cermin kehidupan. Dan cermin kehidupan memaparkan realiti sebenar kehidupan dengan pantulan perlakuan manusia lain ke atas diri kita. Dari situ, kita belajar untuk membuat pertimbangan atau keputusan. Kerana itulah kita disuruh menghayati sejarah. Kerana orang yang tidak menghayati sejarah, dia akan berkemungkinan besar untuk mengulanginya.

Makanya, kita haruslah mengambil iktibar daripada kehidupan. Kerana di situlah letaknya hikmah. Hikmah untuk kita memperbaiki diri kita ke arah yang lebih baik. Tidak sepatutnya alasan 'aku adalah diri aku' menghalang kita untuk berubah ke arah yang lebih baik. Takkan selamanya hendak menjadi insan pengotor hanya kerana kita berpegang kepada 'aku adalah diri aku'. Takkan selama-lamanya kita hendak menjadi manusia yang mengabaikan tanggungjawab ? Jadinya kita perlulah melatih diri kita untuk menjadi insan yang lebih baik dari yang sebelumnya.

Di dalam diri kita, ada satu perkara yang dipanggil hati kecil. hati kecil senantiasa berbicara jujur, tidak menyombong dan tidak berdusta. Pada saat kita mahu rasakan yang kitalah sentiasa betul, hati kecil yang dilatih dengan muhasabah akan segera mempersoalkan, 'Apakah aku di pihak yang benar ? Apakah akhlak aku digemari orang ? Apakah aku selama ini berbangga diri ? Apakah selama ini aku orang yang baik ?' Nah, di situlah letaknya titik perubahan di dalam diri kita. Kerana itulah kita disuruh agar selalu bermuhasabah. Berfikir untuk kebaikan diri itu sangatlah penting kerana ada masanya, kita bertindak tanpa berfikir panjang. Sehinggakan tindakan kita itu mendatangkan akibat yang buruk di dalam hidup kita.

Oleh itu, berlaku jujurlah dengan diri kita dan usahakanlah untuk memperbaiki diri kita semua ke arah yang lebih baik. Semoga kita semua senantiasa di bawah naungan rahmat dan redha Allah, kerana tanpa redha-Nya, tiadalah ertinya hidup kita di dunia.

Wallahua'lam...

No comments: