Nuffnang

Friday, May 17, 2013

GURU - PADA SEBUAH NAMA DAN KEHIDUPAN

Guru yang baik tidak pernah peduli di mana dia dihantar untuk mengajar

Kata orang, panggilan cikgu akan kekal hingga ke akhir hayat seorang manusia yang pernah menjawat jawatan itu. Ataupun, saya kira cikgu itu bukan semata-mata salah satu jawatan di dalam perkhidmatan awam, sebaliknya cikgu mahupun guru itu adalah sebuah kehidupan. Kehidupan ini dibentuk melalui pembelajaran. Seorang bayi diajar untuk berjalan, makan, minum, buang air dan juga bercakap oleh ibu dan bapanya. Oleh itu, ibu bapanya adalah cikgu atau guru kepada bayi itu. Begitulah lebih kurang perumpamaannya.


Berhadapan dengan seorang guru kebiasaannya mengundang rasa segan dan malu. Kerana apa ? Kerana di dalam hati kecil kita, kita tahu bahawa mereka memiliki taraf pengetahuan yang tinggi. Samalah juga dengan pensyarah di univesiti ataupun kolej. Mereka memiliki pengetahuan yang tinggi di dalam bidang mereka, justeru kita secara tidak langsung, menghormati dan segan pada mereka. Untuk manusia yang tahu menghargai, apabila dia menuntut ilmu daripada seseorang guru, guru itu akan dimuliakannya. Mulia di sini bukanlah bererti guru itu mencapai taraf suci tanpa dosa dan silap. Sebaliknya mulia di sini adalah penghormatan. Buah fikirannya akan dihayati. Tutur katanya akan diperhalusi.



Saya percaya, semua orang secara tidak langsung pernah belajar dan juga mengajar. Kiranya kita juga pernah menjadi 'guru', cumanya ianya tidak disahkan melalui perjawatan secara rasmi. Apabila kita baru masuk bekerja dan kita diselia oleh seorang staf yang jauh lebih senior daripada kita, secara tak langsung staf itu adalah guru kita. Makanya sewajarnyalah kita menghormati dia yang telah mengajar kita selok-belok pekerjaan yang akan kita lakukan. Malah, tak keterlaluan rasanya kalau saya katakan yang bos juga kadangkala belajar daripada orang bawahan kerana orang bawahan itu memiliki ilmu yang jauh lebih banyak daripada bosnya (kalau bosnya itu orang baru). Nah, secara tidak langsung ianya membawa kita kepada budaya hormat-menghormati dan saling memerlukan. Cumanya, apabila kita bercakap tentang seorang bos, mereka wajib memiliki keterampilan dan ketegasan dalam membuat keputusan. Menariknya, itu semua juga terhasil daripada pembelajaran sepanjang kerjaya mereka. Kiranya, pengalaman mereka adalah guru buat mereka sendiri.

Jurulatih sukan juga adalah guru bagi ahli sukan profesional

Saya pernah mengajar adik saya mengaji al-Quran. Nyatalah mengajar itu bukanlah semudah yang disangka. Kadang-kadang rasa terbeban dengan karenah adik yang begitu payah menangkap apa yang diajar. Owh, mungkin saya yang tak pandai mengajar. Hehehe. Namun, saya boleh mengajar kerana saya juga belajar. Dari siapa ? Dari ibu saya dan cikgu di sekolah saya. Justeru, perihal seorang guru itu sendiri adalah belajar sebelum mengajar. Oleh itu, mereka yang ingin menjadi guru secara rasmi masuk ke universiti dan mengambil jurusan perguruan sebelum dihantar ke sekolah-sekolah untuk mengajar pula. Hmm....guru mengajar bakal guru. Menarik di situ kerana kita sekarang mula faham bahawa kehidupan kita sendiri adalah guru kita. Kiranya soal belajar ini tak akan pernah habis. Ya, mungkin kita sudah tamat pendidikan formal di sekolah dan juga universiti, tapi kita tidak akan pernah tamat belajar dari kehidupan. Justeru, kehidupan di dunia yang melingkari hidup kita ini adalah guru terbesar kita. Siapa yang sedang mengajar kita dan memberi pencerahan kepada kita ? Nyatalah Tuhan yang Maha Kuasa. Dia tahu kita senantiasa bingung dan memerlukan panduan, maka kitab suci-Nya itulah yang menjadi guru kita sebagai rujukan. Siapa dia yang menyampaikan ajaran ? Tentulah rasulnya yang suci dan mulia. Bagi diri kita, guru teragung kita tentulkah baginda Muhammad s.a.w. yang suci dan kasih kepada umatnya.

Di dalam perguruan silat, pantang derhaka kepada gurunya
Akhir kata, perkataan 'guru' itu sendiri adalah keramat kerana ianya melambangkan kehidupan. Kita tidak boleh melihat istilah guru itu sebagai seorang manusia yang mengajar semata-mata. Sebaliknya, kita perlu melihat dunia dan seluruh isinya adalah guru kita. Hati dan akal kitalah yang akan menentukan cara kita mengambil iktibar dan panduan daripada apa yang berlaku di sekeliling kita. Dan tentulah pedoman kita yang paling utama adalah al-Quran yang mulia. Semoga kita tidak tersasar dari jalan yang benar.

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Wallahua'lam.

P/s: Selamat Hari Guru kepada semua guru yang tidak pernah jemu mencurahkan ilmu kepada kita semua. :-)


1 comment:

Anonymous said...

touching :)