Nuffnang

Wednesday, January 13, 2010

MENANGIS KERANA SEORANG IBU

Menyertai sebuah kem motivasi bukanlah kegemaran saya. Namun, kem yang satu ini saya pergi kerana adik saya pernah menyertainya. Atas tiket saya merasakan aktiviti yang dijalankan tidak membosankan, saya pun menyertainya ketika berada di tingkatan 3.

Tidak keterlaluan rasanya kalau saya menyatakan bahawa ketika itu adalah zaman kesilapan. Terlalu banyak kesilapan besar yang saya lakukan. Tidak patut sama sekali saya memperincikannya di sini kerana ia melibatkan aib diri.

Senang cerita, saya menyertainya dengan harapan adalah sedikit sebanyak kesedaran yang boleh saya dapatkan di situ.

Seperti biasa, saya paling tidak 'menyukai' apa yang dinamakan sebagai 'ice-breaking'. Ya, mungkin kerana saya segan dengan perempuan, maka saya tidak menyukainya. Takkan tidak tahu, kem motivasi memang disertai ramai orang perempuan. Mujur sahaja fasilitatornya ramai lelaki. Dan saya memang meluat perempuan atau lelaki yang menjaja kelebihan dirinya demi mendapat perhatian atau kata mudahnya 'gedik' bagi perempuan dan 'poyo' bagi lelaki.

Sehari itu saya berada dalam awang-awangan. Saya tidak menumpukan sepenuh perhatian pada modul yang dijalankan kerana saya lebih senang memerhatikan pokok-pokok di sekeliling kem itu dan juga perangai manusia lainnya.

Ya, mereka adalah manusia yang ramainya sedang celaru minda. Sama seperti saya.

Konon kelas pertama, tapi masih gagal menghalang diri daripada melakukan perkara-perkara keji dan jahat.

Malam itu.
Ya, malam itu.
Malam yang bererti.
Teramat sangat.

Malam di mana penilaian saya tentang seorang ibu berubah sama sekali...

Hasil tarbiah seorang fasilitator seniornya yang bijak, maka malam itu dipenuhi dengan air mata...

Jam 11 malam.

Di bawah rimbunan pohon-pohon hutan.

Diterangi dengan cahaya pelita dan beberapa mentol berlampu kuning.

Dan sebuah madah pujangga dari anak-anak tulus suci murni.

Kami menangis.
Semahu-mahunya.
Mengenangkan ibu.
Sama ada masih muda ataupun tua.
Mahupun yang telah tiada.

Jadi, ia membenarkan juga pengaruh ibu dalam kehidupan.
Saya ada seorang rakan yang kasihkan ibunya seperti dia kasihkan dirinya sendiri.
Semoga Tuhan merahmatinya.

Malam itu, saya mulakan dengan nama Allah supaya saya dapat memahami ibu saya dengan baik dan tidak menderhaka kepadanya. Begitu juga dengan ayah saya...

Molek sekali menangis kerana seorang ibu, kerana hati akan diruntun sama untuk menangis kerana seorang nabi, kemudian dikuatkan lagi dengan menangis kerana Allah. Itulah semulia-mulia tangisan...

Monday, January 11, 2010

KERJA TUHAN SIAPAKAN TAHU...

...Itu pegangan aku. Dahulu hinggalah ke akhir hayat.

Semoga Tuhan memeliharaku daripada keburukan dunia...

Sunday, January 10, 2010

LUAHAN HATI SEORANG SAHABAT DI DALAM BLOGNYA

Kadangkala saya mengagumi juga sahabat yang satu ini. Jiwanya 'teramat luhur' apabila melontarkan kata-kata dalam laman blognya sendiri.

Seolah-olah segala beban terlerai apabila dia menulis. Ya, dapat dirasakan begitu. Sebab sahabat ini tak akan menulis selagi dirinya tidak ditimpa kesusahan.

Kesusahan ini bukanlah kesusahan yang sembarangan. Sebaliknya kesusahan yang melibatkan hati dan perasaan.

Nah, jangan dibuat main-main akan hati dan perasaan ini. Kerana kesannya kepada diri amat hebat. Kadangkala ia boleh membuatkan kita menjadi teramat kuat, namun kadangkala ia juga boleh menjadikan kita selemah-lemah manusia.

Demikianlah 'sang pencinta'.

Saya tidak pernah lupa bagaimana 'cinta pertamanya' berputik.

Sungguh 'aneh'. Kiranya.

Kalau mendengarkan apa yang dituturkannya, kadang celaru dan kadang cermat. Ada juga bijak dan bernas. Sesekali.

Namun. Hatinya siapa yang tahu. Melainkan Tuhan dan dirinya sendiri...

*Tribute pada seorang kawan yang baik... :-)

Saturday, January 09, 2010

ASMA UL HUSNA (NAMA-NAMA ALLAH YANG MULIA)

Disebabkan ada orang yang kononnya prihatin dengan isu kalimah Allah ini sambil mempersoalkan serba-serbi, maka saya catatkan di sini Asma Allah yang mulia.

Sebelum itu, sama-samalah kita memahamkan firman Allah s.w.t ini :
"ALLAH mempunyai Asmaa-Ul-Husna (nama-nama yang agung yang sesuai dengan sifat-sifat ALLAH S.W.T.), maka bermohonlah kepadaNya dengan menyebut asmaa-ul-husna itu."
(Surah Al-A'raf:180)


"Dialah ALLAH, tiada Tuhan melainkan Dia, Dia mempunyai al-asmaul-husna (nama-nama yang baik)"
(Surah Thaha:8)

Maha Suci Allah yang tiada kekurangan pada-Nya, izinkanlah hamba menzahirkan nama-namaMu yang agung di dalam entri yang kerdil dan hina ini.
Semoga Engkau merahmatiku dengan kebaikan.
Rahmatilah kami semua yang mengasihi agama-Mu yang murni ini.
Dan jauhkanlah kami daripada melakukan perbuatan yang memburukkan maruah agama-Mu ini.

Ya man huwallahulladzi
La ilaha illa huwa:

01 Ar-Rahman -Yang Maha Pemurah

02 Ar-Rahim -Yang Maha Mengasihi

03 Al-Malik -Yang Maha Menguasai

04 Al-Quddus -Yang Maha Suci

05 Al- Sallam -Yang Maha Selamat Sejahtera

06 Al-Mu'min -Yang Maha Melimpahkan Keamanan

07 Al-Muhaimin -Yang Maha Pengawal serta Pengawas

08 Al-Aziz -Yang Maha Berkuasa

09 Al-Jabbar -Yang Maha Kuat

10 Al-Mutakabir -Yang Melengkapi Segala Ke Besarannya

11 Al-Khaliq -Yang Maha Pencipta

12 Al-Bari -Yang Maha Menjadikan

13 Al-Musawwir -Yang Maha Pembentuk

14 Al-Ghaffar -Yang Maha Pengampun

15 Al-Qahhar -Yang Maha Perkasa

16 Al-Wahhab -Yang Maha Penganugerah

17 Al-Razzaq -Yang Maha Pemberi Rezeki

18 Al-Fattah -Yang Maha Pembuka

19 Al-'Alim -Yang Maha Mengetahui

20 Al-Qabidh -Yang Maha Pengekang

21 Al-Basit -Yang Maha Melimpah Nikmat

22 Al-Khafidh -Yang Maha Perendah (Pengurang)

23 Ar-Rafi' -Yang Maha Peninggi

24 Al-Mu'izz -Yang Maha Mengasihi dan menghormati (Memuliakan)

25 Al-Muzill -Yang Maha Menghina

26 As-Sami' -Yang Maha Mendengar

27 Al-Basir -Yang Maha Melihat

28 Al-Hakam -Yang Maha Mengadili

29 Al-'Adl -Yang Maha 'Adil

30 Al-Latif -Yang Maha Lembut serta Halus

Al-Khabir -Yang Maha Mengetahui

32 Al-Halim -Yang Maha Penyabar

33 Al-'Azim -Yang Maha Agung

34 Al-Ghafur -Yang Maha Pengampun

35 Asy-Syakur -Yang Maha Bersyukur

36 Al-'Aliy -Yang Maha Tinggi serta Mulia

37 Al-Kabir -Yang Maha Besar

38 Al-Hafiz -Yang Maha Memelihara

39 Al-Muqit -Yang Maha Menjaga

40 Al-Hasib -Yang Maha Penghitung

41 Al-Jalil -Yang Maha Besar serta Mulia

42 Al-Karim -Yang Maha Pemurah

43 Ar-Raqib -Yang Maha Waspada

44 Al-Mujib -Yang Maha Pengkabul

45 Al-Wasi' -Yang Maha Luas

46 Al-Hakim -Yang Maha Bijaksana

47 Al-Wadud -Yang Maha Penyayang

48 Al-Majid -Yang Maha Mulia

49 Al-Ba'ith -Yang Maha Membangkitkan Semula

50 Asy-Syahid -Yang Maha Menyaksi

51 Al-Haqq -Yang Maha Benar

52 Al-Wakil -Yang Maha Pentadbir

53 Al-Qawiy -Yang Maha Kuat

54 Al-Matin -Yang Maha Teguh

55 Al-Waliy -Yang Maha Melindungi

56 Al-Hamid -Yang Maha Terpuji

57 Al-Muhsi -Yang Maha Penghitung

58 Al-Mubdi -Yang Maha Pencipta dari Asal

59 Al-Mu'id -Yang Maha Mengembali serta Memulihkan

60 Al-Muhyi -Yang Maha Menghidupkan

61 Al-Mumit -Yang Mematikan

62 Al-Hayy -Yang Senantiasa Hidup

63 Al-Qayyum -Yang Hidup serta Berdiri Sendiri

64 Al-Wajid -Yang Maha Penemu

65 Al-Majid -Yang Maha Mulia

66 Al-Wahid -Yang Maha Esa

67 Al-Ahad -Yang Tunggal

68 As-Samad -Yang Menjadi Tumpuan

69 Al-Qadir -Yang Maha Berupaya

70 Al-Muqtadir -Yang Maha Berkuasa

71 Al-Muqaddim -Yang Maha Menyegera

72 Al-Mu'akhkhir -Yang Maha Penangguh

73 Al-Awwal -Yang Pertama

74 Al-Akhir -Yang Akhir

75 Az-Zahir -Yang Zahir

76 Al-Batin -Yang Batin

77 Al-Wali -Yang Wali / Yang Memerintah

78 Al-Muta'ali -Yang Maha Tinggi serta Mulia

79 Al-Barr -Yang banyak membuat kebajikan

80 At-Tawwab -Yang Menerima Taubat

81 Al-Muntaqim -Yang Menghukum (mereka yang bersalah)

82 Al-'Afuw -Yang Maha Pengampun

83 Ar-Ra'uf -Yang Maha Pengasih serta Penyayang

84 Malik-ul-Mulk -Pemilik Kedaulatan Yang Kekal

85 Dzul-Jalal-Wal-Ikram -Yang Mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan

86 Al-Muqsit -Yang Maha Saksama

87- Al-Jami' -Yang Maha Pengumpul

88- Al-Ghaniy -Yang Maha Kaya serta Serba Lengkap

89- Al-Mughni -Yang Maha Mengkayakan dan Memakmurkan

90 Al-Mani' -Yang Maha Pencegah

91 Al-Darr -Yang Mendatangkan Mudharat

92 Al-Nafi' -Yang Memberi Manfaat

93 Al-Nur -Yang bercahaya

94 Al-Hadi -Yang Memimpin dan Memberi Pertunjuk

95 Al-Badi' -Yang Maha Pencipta Yang Tiada BandinganNya

96 Al-Baqi -Yang Maha Kekal

97 Al-Warith -Yang Maha Mewarisi

98 Ar-Rasyid -Yang Memimpin (Ke arah Kebenaran)

99 As-Sabur -Yang Maha Penyabar


*RUJUKAN:

http://www.familiazam.com/asmaul_husna.htm

ADA HARAPAN...

Selalunya, saya berharapan agar harapan saya menjadi nyata.

Namun, inilah 'harapan' yang saya harap tidak menjadi kenyataan.

Ianya semacam mimpi ngeri...

Mimpi ngeri yang sepatutnya tidak perlu singgah dalam hidup.

Namun, kerja Tuhan siapakan tahu...

Sunday, January 03, 2010

DEMI MASA



Begitu mahalnya harga masa, sehinggakan terdapat sumpah Allah di dalam Al-Quran berkenaan masa.

Demi masa !
Sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian.

Rupa-rupanya selama ini manusia itu sentiasa berada di dalam kerugian yang teramat sangat. Mengapa ? Kerana manusia suka menggunakan masa untuk perkara-perkara yang sia-sia. Contohnya, menyaksikan konsert, pergi ke disko, melepak di pusat membeli-belah, menonton wayang, 'dating', berdebat pada perkara-perkara batil, menipu, rasuah, seks bebas, rogol, sumbang mahram, tukar jantina, suntik botox, dedah aurat, buat gosip murahan, gedik melampau-lampau, punahkan rumahtangga orang, rampas suami orang, bunuh, jual anak, minum arak dan banyak lagi perkara yang sia-sia.

Justeru, siapa sebenarnya yang tidak rugi ini ? Takkanlah manusia hidup semata-mata untuk rugi sepanjang masa ?

Melainkan orang-orang yang beriman dan yang beramal soleh.

Nah, merekalah rupanya.
Manusia yang beriman. Adakah kita beriman ?
Dalam akidah ahli sunnah wal jamaah, semua muslim adalah beriman, yang membezakan adalah tinggi rendahnya iman mereka itu. Muslim yang melakukan dosa masih mempunyai iman, namun imannya ketika itu adalah teramat rendah, dan mereka digolongkan sebagai golongan fasik.

Justeru, kita wajib berusaha untuk meningkatkan iman kita setiap masa. Kerana iman itu adalah benteng kita daripada melakukan dosa-dosa besar.

Salah satu caranya adalah menunaikan solat 5 waktu sehari semalam. Nampak mudah, namun ianya teramat susah sekali.

Hal ini adalah benar. Kerana terdapat satu kisah apabila seorang ulama bertanyakan kepada anak muridya, "Apakah benda yang paling ringan sekali di dalam dunia ini ?" Anak-anak muridnya pun menjawab bulu, angin, dan macam-macam lagi. Lalu ulama itu menjawab, "Semua itu benar. Namun, benda yang paling ringan sekali di dalam dunia ini ialah meninggalkan solat."
Bijak sekali ulama ini. Memang benar. Katakanlah Zuhur jam 1.10 tengah hari. Kitapun melambat-lambatkan, "Alah...awal lagi. Nantilah pukul 2.30." Selepas 2.30 petang, kita tangguh lagi pukul 3.30 petang. Kemudian, tangguh punya tangguh sudah jam 4.15 petang dan azan asar sudahpun berkumandang. Lihatlah betapa mudahnya solat itu ditinggalkan.

Ada pihak yang begitu lancang sekali mempersoalkan, "Kenapa perlu solat ? Tengok orang-orang kafir tu, tak solat pun boleh berjaya juga di dunia ni. Lagi kaya daripada kita !"

Ini cakap orang tidak berilmu, tetapi berlagak pandai. Inilah orang-orang yang rugi di sisi Allah. Mereka menolak habuan akhirat dek kerana tertipu dengan habuan dunia yang sementara. Berani pula hendak mendapat syafaat di akhirat kelak padahal diri tidak mahu melaksanakan perintah Allah.

Meninggalkan dosa-dosa juga dapat meningkatkan keimanan kita. Hal ini kerana dosa-dosa besar menggelapkan hati dan mengotorkan jiwa.

Apa itu dosa-dosa ?
Banyak sekali.

Mensyirikkan Allah (sebesar-besar dosa).
Menderhaka kepada ibu dan bapa.
Meninggalkan solat.
Berzina.
Minum arak.
Sumbang mahram.
Berdua-duaan dengan yang bukan mahram.
Bercakap perkara-perkara kotor dan lucah.
Dan banyak lagi.

Pendek kata, apa sahaja perkara-perkara yang dilarang agama adalah dosa.
Senang cerita, dosa-dosa adalah perkara yang merugikan.
Manusia yang suka melakukan dosa adalah manusia yang rugi.

...dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.

Inilah manusia yang tidak rugi hidupnya.
Apa itu berpesan-pesan dengan kebenaran ?

Dakwah.

Namun, saya tidak suka orang membataskan dakwah pada perkara-perkara berkaitan ilmu fardhu ain sahaja. Ilmu fardhu kifayah juga boleh disampaikan dalam berdakwah. Pokoknya pada kebijaksanaan penyampai ilmu itu sendiri.

Sebab itu saya suka mendengarkan seorang yang mahir ilmu sains misalnya dapat menyampaikan ilmunya dengan pendekatan Islam. Contohnya, ilmu sainsnya itu dicantum-gabungkan dengan ilmu hadis. Maka, adalah pesan-pesan baik yang boleh kita selaku pendengar dan penghadam ilmu ini mengambilnya dan dijadikan panduan dalam hidup.

Namun begitu, ada pendakwah yang begitu bernas kata-katanya dan lancar butir bicaranya. Ada pula yang semacam sukar hendak mengeluarkan idea dan tersangkut-sangkut perbicaraannya. Kesemunya itu memerlukan latihan dan pengamatan terhadap ilmu pengetahuan yang ada.

Kesemuanya ini memerlukan kesabaran, tentunya. Tanpa sabar, seorang penyampai risalah kebenaran tidak akan berjaya. Akan ada manusia-manusia yang benci dan dengki dengan kita. Justeru, persiapan menghadapinya perlulah dilakukan secara fizikal dan mentalnya.

Sihat sebelum sakit.
Muda sebelum tua.
Kaya sebelum miskin.
Lapang sebelum sempit.
Hidup sebelum mati.

Sedutan hadis nabi ini juga membenarkan surah ini sepenuhnya. Cubalah kita perhatikan pesan nabi ini baik-baik. Bukankah orang-orang yang beriman sahaja yang menjaga kelima-lima perkara itu.

Pertamanya, mereka akan sentiasa menjaga kesihatan mereka supaya mereka kuat untuk beribadah. Antara ibadah yang memerlukan kekuatan fizikal adalah ibadah haji dan solat.

Kedua, mereka akan memanfaatkan masa muda mereka untuk beribadah dan berbuat jasa supaya masa tua mereka menjadi berharga. Seorang tua yang semasa mudanya tahu berseronok sahaja tidak akan dihormati orang.

Ketiga, mereka yang mempunyai harta akan membelanjakan harta mereka ke jalan kebaikan seperti menderma dan bersedekah kepada fakir miskin. Mereka tidak akan menggunakannya untuk terlalu berseronok seperti berulang kali melancong ke luar negara dan bertukar-tukar kereta.

Keempat, mereka akan sedaya upaya menyiapkan kerja mereka pada masanya supaya tidak ada yang tertangguh. Kerja yang tertangguh akan menyebabkan masa seakan-akan menjadi suntuk dan tidak cukup buat kita. Penyudahnya, kita jadi stres dan tertekan. Ianya akan membahayakan diri kita sendiri.

kelima, mereka akan sentiasa mengingati mati. Oleh itu, mereka tidak akan berani melakukan dosa-dosa besar kerana mereka tahu mati boleh menjemput mereka pada bila-bila masa sahaja.

Demikianlah...
Menjadikan inti hadis nabi ini sebagai panduan dapat menjadikan kita manusia yang tahu menghargai masa dan tidak mensia-siakannya.