Menyertai sebuah kem motivasi bukanlah kegemaran saya. Namun, kem yang satu ini saya pergi kerana adik saya pernah menyertainya. Atas tiket saya merasakan aktiviti yang dijalankan tidak membosankan, saya pun menyertainya ketika berada di tingkatan 3.
Tidak keterlaluan rasanya kalau saya menyatakan bahawa ketika itu adalah zaman kesilapan. Terlalu banyak kesilapan besar yang saya lakukan. Tidak patut sama sekali saya memperincikannya di sini kerana ia melibatkan aib diri.
Senang cerita, saya menyertainya dengan harapan adalah sedikit sebanyak kesedaran yang boleh saya dapatkan di situ.
Seperti biasa, saya paling tidak 'menyukai' apa yang dinamakan sebagai 'ice-breaking'. Ya, mungkin kerana saya segan dengan perempuan, maka saya tidak menyukainya. Takkan tidak tahu, kem motivasi memang disertai ramai orang perempuan. Mujur sahaja fasilitatornya ramai lelaki. Dan saya memang meluat perempuan atau lelaki yang menjaja kelebihan dirinya demi mendapat perhatian atau kata mudahnya 'gedik' bagi perempuan dan 'poyo' bagi lelaki.
Sehari itu saya berada dalam awang-awangan. Saya tidak menumpukan sepenuh perhatian pada modul yang dijalankan kerana saya lebih senang memerhatikan pokok-pokok di sekeliling kem itu dan juga perangai manusia lainnya.
Ya, mereka adalah manusia yang ramainya sedang celaru minda. Sama seperti saya.
Konon kelas pertama, tapi masih gagal menghalang diri daripada melakukan perkara-perkara keji dan jahat.
Malam itu.
Ya, malam itu.
Malam yang bererti.
Teramat sangat.
Malam di mana penilaian saya tentang seorang ibu berubah sama sekali...
Hasil tarbiah seorang fasilitator seniornya yang bijak, maka malam itu dipenuhi dengan air mata...
Jam 11 malam.
Di bawah rimbunan pohon-pohon hutan.
Diterangi dengan cahaya pelita dan beberapa mentol berlampu kuning.
Dan sebuah madah pujangga dari anak-anak tulus suci murni.
Kami menangis.
Semahu-mahunya.
Mengenangkan ibu.
Sama ada masih muda ataupun tua.
Mahupun yang telah tiada.
Jadi, ia membenarkan juga pengaruh ibu dalam kehidupan.
Saya ada seorang rakan yang kasihkan ibunya seperti dia kasihkan dirinya sendiri.
Semoga Tuhan merahmatinya.
Malam itu, saya mulakan dengan nama Allah supaya saya dapat memahami ibu saya dengan baik dan tidak menderhaka kepadanya. Begitu juga dengan ayah saya...
Molek sekali menangis kerana seorang ibu, kerana hati akan diruntun sama untuk menangis kerana seorang nabi, kemudian dikuatkan lagi dengan menangis kerana Allah. Itulah semulia-mulia tangisan...
No comments:
Post a Comment