Nuffnang

Sunday, January 03, 2010

DEMI MASA



Begitu mahalnya harga masa, sehinggakan terdapat sumpah Allah di dalam Al-Quran berkenaan masa.

Demi masa !
Sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian.

Rupa-rupanya selama ini manusia itu sentiasa berada di dalam kerugian yang teramat sangat. Mengapa ? Kerana manusia suka menggunakan masa untuk perkara-perkara yang sia-sia. Contohnya, menyaksikan konsert, pergi ke disko, melepak di pusat membeli-belah, menonton wayang, 'dating', berdebat pada perkara-perkara batil, menipu, rasuah, seks bebas, rogol, sumbang mahram, tukar jantina, suntik botox, dedah aurat, buat gosip murahan, gedik melampau-lampau, punahkan rumahtangga orang, rampas suami orang, bunuh, jual anak, minum arak dan banyak lagi perkara yang sia-sia.

Justeru, siapa sebenarnya yang tidak rugi ini ? Takkanlah manusia hidup semata-mata untuk rugi sepanjang masa ?

Melainkan orang-orang yang beriman dan yang beramal soleh.

Nah, merekalah rupanya.
Manusia yang beriman. Adakah kita beriman ?
Dalam akidah ahli sunnah wal jamaah, semua muslim adalah beriman, yang membezakan adalah tinggi rendahnya iman mereka itu. Muslim yang melakukan dosa masih mempunyai iman, namun imannya ketika itu adalah teramat rendah, dan mereka digolongkan sebagai golongan fasik.

Justeru, kita wajib berusaha untuk meningkatkan iman kita setiap masa. Kerana iman itu adalah benteng kita daripada melakukan dosa-dosa besar.

Salah satu caranya adalah menunaikan solat 5 waktu sehari semalam. Nampak mudah, namun ianya teramat susah sekali.

Hal ini adalah benar. Kerana terdapat satu kisah apabila seorang ulama bertanyakan kepada anak muridya, "Apakah benda yang paling ringan sekali di dalam dunia ini ?" Anak-anak muridnya pun menjawab bulu, angin, dan macam-macam lagi. Lalu ulama itu menjawab, "Semua itu benar. Namun, benda yang paling ringan sekali di dalam dunia ini ialah meninggalkan solat."
Bijak sekali ulama ini. Memang benar. Katakanlah Zuhur jam 1.10 tengah hari. Kitapun melambat-lambatkan, "Alah...awal lagi. Nantilah pukul 2.30." Selepas 2.30 petang, kita tangguh lagi pukul 3.30 petang. Kemudian, tangguh punya tangguh sudah jam 4.15 petang dan azan asar sudahpun berkumandang. Lihatlah betapa mudahnya solat itu ditinggalkan.

Ada pihak yang begitu lancang sekali mempersoalkan, "Kenapa perlu solat ? Tengok orang-orang kafir tu, tak solat pun boleh berjaya juga di dunia ni. Lagi kaya daripada kita !"

Ini cakap orang tidak berilmu, tetapi berlagak pandai. Inilah orang-orang yang rugi di sisi Allah. Mereka menolak habuan akhirat dek kerana tertipu dengan habuan dunia yang sementara. Berani pula hendak mendapat syafaat di akhirat kelak padahal diri tidak mahu melaksanakan perintah Allah.

Meninggalkan dosa-dosa juga dapat meningkatkan keimanan kita. Hal ini kerana dosa-dosa besar menggelapkan hati dan mengotorkan jiwa.

Apa itu dosa-dosa ?
Banyak sekali.

Mensyirikkan Allah (sebesar-besar dosa).
Menderhaka kepada ibu dan bapa.
Meninggalkan solat.
Berzina.
Minum arak.
Sumbang mahram.
Berdua-duaan dengan yang bukan mahram.
Bercakap perkara-perkara kotor dan lucah.
Dan banyak lagi.

Pendek kata, apa sahaja perkara-perkara yang dilarang agama adalah dosa.
Senang cerita, dosa-dosa adalah perkara yang merugikan.
Manusia yang suka melakukan dosa adalah manusia yang rugi.

...dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.

Inilah manusia yang tidak rugi hidupnya.
Apa itu berpesan-pesan dengan kebenaran ?

Dakwah.

Namun, saya tidak suka orang membataskan dakwah pada perkara-perkara berkaitan ilmu fardhu ain sahaja. Ilmu fardhu kifayah juga boleh disampaikan dalam berdakwah. Pokoknya pada kebijaksanaan penyampai ilmu itu sendiri.

Sebab itu saya suka mendengarkan seorang yang mahir ilmu sains misalnya dapat menyampaikan ilmunya dengan pendekatan Islam. Contohnya, ilmu sainsnya itu dicantum-gabungkan dengan ilmu hadis. Maka, adalah pesan-pesan baik yang boleh kita selaku pendengar dan penghadam ilmu ini mengambilnya dan dijadikan panduan dalam hidup.

Namun begitu, ada pendakwah yang begitu bernas kata-katanya dan lancar butir bicaranya. Ada pula yang semacam sukar hendak mengeluarkan idea dan tersangkut-sangkut perbicaraannya. Kesemunya itu memerlukan latihan dan pengamatan terhadap ilmu pengetahuan yang ada.

Kesemuanya ini memerlukan kesabaran, tentunya. Tanpa sabar, seorang penyampai risalah kebenaran tidak akan berjaya. Akan ada manusia-manusia yang benci dan dengki dengan kita. Justeru, persiapan menghadapinya perlulah dilakukan secara fizikal dan mentalnya.

Sihat sebelum sakit.
Muda sebelum tua.
Kaya sebelum miskin.
Lapang sebelum sempit.
Hidup sebelum mati.

Sedutan hadis nabi ini juga membenarkan surah ini sepenuhnya. Cubalah kita perhatikan pesan nabi ini baik-baik. Bukankah orang-orang yang beriman sahaja yang menjaga kelima-lima perkara itu.

Pertamanya, mereka akan sentiasa menjaga kesihatan mereka supaya mereka kuat untuk beribadah. Antara ibadah yang memerlukan kekuatan fizikal adalah ibadah haji dan solat.

Kedua, mereka akan memanfaatkan masa muda mereka untuk beribadah dan berbuat jasa supaya masa tua mereka menjadi berharga. Seorang tua yang semasa mudanya tahu berseronok sahaja tidak akan dihormati orang.

Ketiga, mereka yang mempunyai harta akan membelanjakan harta mereka ke jalan kebaikan seperti menderma dan bersedekah kepada fakir miskin. Mereka tidak akan menggunakannya untuk terlalu berseronok seperti berulang kali melancong ke luar negara dan bertukar-tukar kereta.

Keempat, mereka akan sedaya upaya menyiapkan kerja mereka pada masanya supaya tidak ada yang tertangguh. Kerja yang tertangguh akan menyebabkan masa seakan-akan menjadi suntuk dan tidak cukup buat kita. Penyudahnya, kita jadi stres dan tertekan. Ianya akan membahayakan diri kita sendiri.

kelima, mereka akan sentiasa mengingati mati. Oleh itu, mereka tidak akan berani melakukan dosa-dosa besar kerana mereka tahu mati boleh menjemput mereka pada bila-bila masa sahaja.

Demikianlah...
Menjadikan inti hadis nabi ini sebagai panduan dapat menjadikan kita manusia yang tahu menghargai masa dan tidak mensia-siakannya.

No comments: