Lagu-lagu yang berunsur ketuhanan membuatkan saya amat menyenangi penyanyi Indonesia yang satu ini. Jikalau hendak dibandingkan dengan penyanyi di Malaysia, mungkin kita boleh bandingkannya dengan M.Nasir. Walaupun begitu, Jika M.Nasir mencipta lagu, terdapat juga penulis lirik lain yang menyumbangkan lirik mereka kepada lagu M.Nasir, terutamanya Allahyarham Loloq. Tetapi, penyanyi Indonesia yang bernama EBIET G. ADE ini mencipta lagunya sendiri 100% tanpa melibatkan penulis lirik yang lain.
Saya mula mengenali beliau ketika mendengarkan sebuah lagu yang berjudul BERITA KEPADA KAWAN. Beliau ketika itu berduet dengan M.nasir saat M.Nasir mengadakan konsert MANIFESTASI AKUSTIKA pada tahun 1995. Ketika itu Ebiet G. Ade diundang khas untuk mepersembahkan nyanyiannya yang merdu itu. Nyata gabungan mereka mantap dan berjaya. Saya tertanya-tanya siapakan penyanyi ini ? Lantas saya mencari maklumatnya di internet, dan saya dapat mengetahui perihal perjalanan seni beliau melalui sebuah laman web yang menawarkan lagu-lagu M.Nasir dan Ebiet G.Ade secara percuma tetapi tidak boleh dimuat turun. Nyata kembaranya panjang sejak dari dekad 80-an, sama seperti M.Nasir.
Saya menemui kelainan dalam lirik lagunya berbanding dengan penyanyi Indonesia yang lain yang kebanyakannya menyanyikan lagu-lagu cinta dan dangdut. Sebaliknya, Ebiet G. Ade memilih pendekatan lagu puisi dan lagunya pula lebih menjurus ke arah ketuhanan. Ada juga beliau menghasilkan lagu yang berunsur cinta tetapi dengan lirik yang lebih halus dan mendamaikan.
Apa yang menarik tentang Ebiet G. Ade ialah beliau tidak pernah menyanyi dalam keadaan berdiri, sebaliknya beliau lebih senang duduk sambil memetik gitarnya. Jadi, pesembahannya kelihatan santai dalam kehalusan seni.
Apa yang jelas, beliau menyanyikan lagu puisi. Dan puisi itu pula dialunkan dengan irama yang indah. Irama yang indah tetapi dengan lirik yang teruk, semestinya akan menghasilkan lagu yang buruk. Dan lirik yang terlalu memuja duniawi juga pasti akan mengundang kesan yang tidak elok kepada pendengar.
Saya masih mengagumi lagunya seperti Hidupku MilikMu, Mimpi-mimpi Yang Kandas, Tatkala Letih Menunggu, Cinta Sebening Embun, Aku Ingin Pulang.
Lagu AKU INGIN PULANG pernah menjadi 'background music' bagi sebuah iklan raya Petronas. Nyata ramai yang tertanya-tanya siapakah penyanyi lagu ini. Sudah semestinya ramai anak muda tidak tahu akan kewujudan penyanyi ini lantaran seronok dengan lagu yang entah apa-apa. Tambahan pula, Ebiet G. Ade ini memulakan perjalanan seninya bukan dengan cara yang popular seperti menyertai program realiti TV dan sebagainya.
Sesunguhnya, Ebiet G. Ade merupakan salah satu penyanyi di nusantara ini yang tidak menggunakan suaranya untuk menyanyikan lagu yang sia-sia dan langsung tidak membawa sebarang nasihat yang baik, apatah lagi dengan bahasa yang bukan-bukan. Bahkan, beliau sentiasa memastikan yang bahasa lagunya itu baik dan mendatangkan manfaat kepada pendengarnya.
1 comment:
pretty cool stuff here thank you!!!!!!!
Post a Comment