...Tentulah ianya dipanggil Syawal.
Kalau biasa kita tonton di Tv, beria-ia mereka meraikan Syawal. Ya, tentunya dengan cara 'mempublisitikan' Syawal sebagai satu cara untuk melariskan barang jualan. Celaka. Kerana berniaga, kesucian Syawal tergadai.
Bangun Subuh, kita dapati kita tidak dibenarkan berpuasa pada 1 syawal. Namun, kita digalakkan bertakbir, bertahmid dan bertasbih kepada Tuhan kerana hadirnya Syawal ini adalah sebagai petanda kemenangan. Kemenangan apa yang diraikan ini ?
Kemenangan mengharungi Ramadhan dengan tabah. mengharungi Ramadhan ini bukan sahaja dengan berlapar dahaga, namun keseluruhan anggota badan turut sama 'berpuasa'.
Nah, bagaimana agama Islam meraikan sesuatu ? Dengan tasbih, tahmid dan takbir. Begitu nabi mengajar kita. Jadi, jika kita meraikan kemenangan apa pun, bertakbir, bertasbih dan bertahmid adalah perkara yang terbaik untuk kita lakukan.
Syawal sepatutnya menyaksikan perubahan. Perubahan apa ? Perubahan nilai.
Nilai ini bergantung kepada kualiti puasa ketika Ramadhan. Ramai dalam kalangan kita gagal meningkatkan nilai ini kerana kurangnya penghayatan dalam berpuasa. Baru 1 Ramadhan, kepala otak sudah berfikir tentang baju raya, langsir, kuih raya, ketupat, rendang dan lemang.
Buat seorang abid dan ulama, mereka senang sekali merenung diri ketika Ramadhan dan sedaya upaya mempertingkatkan nilai diri supaya menjadi seorang hamba Tuhan yang bertakwa.
Kesannya, pada Syawal, mereka menjadi hamba yang bersyukur dan semakin tenang jiwanya kepada Tuhan.
Saya perhatikan, betapa kegilaan kita hendak meraikan Syawal sehinggakan ketenangan Ramadhan lenyap dibawa bau rendang, ketupat, lemang, belerang mercun, wangi baju, harum sampin dan indah rupa.
Sememangnya kita digalakkan untuk berpakaian indah dan menghias rumah ketika menyambut Syawal, namun bukan sehingga membazir. Tidak membazir juga merupakan salah satu cara bersyukur.
Ya, kita tidak boleh menyamakan cara orang Arab menghias rumah. Hal ini melibatkan budaya yang berbeza. Namun, kita tetap wajib untuk tidak membazir. Kalau nabi tidak membazir, kita juga tidak boleh membazir.
Solat Raya
Sungguhpun ianya sunat, namun kita amat digalakkan untuk menunaikannya. Yalah, hanya setahun sekali. Betapa ruginya.
Sungguh mengharukan apabila kita bersama-sama dengan jemaah yang lain melaungkan takbir, tasbih dan tahmid sehingga gugur air mata keharuan. Itu buat mereka yang menghayati setiap bait kata dalam alunan suci itu.
Selesai bertakbir, kita mendirikan solat sunat hari raya. Tujuh takbir pada rakaat pertama dan lima takbir pada rakaat kedua.
Selepas itu, kita duduk mendengar khutbah khas untuk Aidilfitri. Sungguh menenangkan jiwa.
Memohon maaf
Apalah ertinya Syawal tanpa bermaaf-maafan. Ianya budaya yang dituntut dalam Islam. Runtuhkanlah ego kita untuk memohon maaf, terutamanya kepada ibu dan bapa kita dan saudara mara kita. Pada rakan-rakan juga tidak ketinggalan.
Hendak menangis ? Silakanlah. Tiada salahnya lelaki menangis. Tiada celanya perempuan menangis. Semuanya menggugurkan dosa-dosa kita. Insya Allah. Percayalah, jiwa berasa tenang selepas meminta maaf.
Kalau selepas itu hendak bergambar beramai-ramai, silakan. Tiada salahnya.
Ziarah
Ha, hal ini memang dikira syarat dalam meraikan Syawal. Nabi juga berbuat demikian, iaitu berziarah.
Kita boleh berziarah ke rumah saudara mara, rakan-rakan dan sesiapa sahaja. Duit raya, itu dikira hadiah. Tidak mengapa.
Namun, berhati-hati ketika menjamu selera. Jangan sampai perut tidak muat lagi hendak memasukkan makanan.
Budaya berziarah ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama kita.
Kita juga boleh berziarah ke kubur dan mendoakan mereka yang telah meninggal dunia.
Ya, Syawal itu sememangnya rahmat Tuhan kepada kita. Justeru, wajarlah kita bersyukur dan memuliakan Syawal dengan perkara yang baik. Jangan kita teriku-ikut rentak mereka yang gilakan hiburan ketika Syawal dan membuatkan punggung kita tidak lekang daripada kerusi demi untuk menonton televisyen sampai terkeluar biji mata.
Syawal dirai dengan kesyukuran...
No comments:
Post a Comment