Nuffnang

Tuesday, November 23, 2010

BUKANKAH SAYA SUDAH KATAKAN, TUHAN ITU CARA KERJANYA MISTERI SEKALI ? (2)

 Saya hentikan 'pencarian' saya di sini. Hari ini. Noktah.
Tuhan sudah mempertemukan. Alhamdulillah.
Namun, ianya tidak 'secantik' yang diharapkan. Innalillah.
Saya pulangkan semuanya kepada Tuhan.

Saya juga tak akan 'lupakan' keperitan 'pencarian' saya itu.
Umpamakan sahajalah. Badan ditoreh dengan pisau perlahan-lahan dalam keadaan kita sedar namun tidak mampu melawan.
Sakit, bukan ?
Begitulah perumpamaan saya. Orang mungkin nampak tak ada apa-apa.
Tapi saya dengan Tuhan sahajalah yang tahu bagaimana keadaannya.

Nanti dahulu,
Kalau saya umpamakan begitu, memanglah sakit.
Cubalah kalau saya umpamakan 'pencarian' saya itu umpama sebuah perjalanan mengharungi lembah yang penuh dengan kehijauan dengan berbagai-bagai jenis bunga dan pohon untuk dinikmati dengan tenang. Bukankah lebih tenang ? Tapi, apabila sampai ke destinasi, dan ianya tidak seperti yang dihajatkan, bukankah keperitan dirasai, dan keindahan itu tidak lagi bererti ?

Kalau begitu, samalah juga halnya.

Sekali lagi, jawapan yang Tuhan berikan kepada saya amat memeritkan untuk saya terima. Namun, siapa saya untuk melawan Tuhan ?

Pun begitu, saya cuba mengikut resam orang-orang beriman.

Jawapan Tuhan kepada saya itu adalah seperti yang pernah saya panjatkan kepadanya lama dahulu.
Lebih kurang 5 tahun lamanya.
Nah, Tuhan mengkabulkannya, tapi Tuhan tidak meletakkan nama saya dalam pengkabulan hajat itu.

Perlukah saya bersedih ?
Ya. Mungkin.
Kerana itu fitrah manusia.
Tetapi, bersedih selepas doa dikabulkan tampak seperti saya tidak bersyukur.
Itu lebih teruk.

Ya, mungkin orang akan ingat saya mengada-ada.
Tetapi, begitulah hakikatnya. Memang Tuhan itu hendak menunjukkan kepada saya, maka saya telah ketahui. Jadi, peduli apa saya dengan cakap-cakap orang.

Satu ketika, saya meletakkan 'batu asas' dalam pencarian saya. Tapaknya adalah di sebuah daerah kecil. Dan saya berjanji akan 'kembali' ke daerah itu untuk mengambil kembali 'batu asas' yang telah saya tanam. Namun, ada orang telah memecahkannya dengan penuh 'penghormatan'. Jadi, kalau sudah pecah, buat apa hendak kembali ?

Lebih baiklah saya 'mencari' batu asas yang tidak akan pecah sampai bila-bila. Ia lebih kukuh, teguh dan utuh. Malah tidak ada satu kuasa pun di atas muka bumi yang dapat menghancurkannya, biarpun diupah seribu jin dan sejuta pendekar untuk menghancurkannya. Kerana batu asas itu adalah CINTA. Ya, orang-orang yang berserah diri memang mendambakan CINTA yang satu ini, lebih dari segala-galanya.

Dan CINTA saya yang sebenar-benarnya ini telahpun memberikan saya jawapan kepada permintaan saya satu ketika dahulu, iaitu :

"Semuga 'kamu' sentiasalah berada di dalam rahmat Tuhan dan dibahagiakan Tuhan dengan kesihatan, kesenangan, kemurahan rezeki dan bahagian hingga ke 'negeri' abadi..."

Dengan sepenuh-penuh pujian kepada CINTA, saya menyapu wajah, menerima dengan hati yang penuh syukur...

Namun...

Tidak mungkin 5 gantang beras dapat direndam dengan 1 gelas air...
Jadi, saya perlu gantikan gelas itu dengan bekas yang lebih besar, yang berisi air yang benar-benar banyak, supaya terendamlah 5 gantang beras itu dengan tenang...

Selawat dan salam saya ucapkan ke atas baginda Muhammad s.a.w. dan sekalian ahli keluarganya yang mulia...

Allahumma solli 'ala Muhammad, wa 'ala ali Muhammad...

Duhai Mawlana, izinkanlah aku menyertai 'kembaramu'...
Wallahua'lam...

Saturday, November 20, 2010

JAGALAH BATAS PERGAULANMU, HAI ANAK...


...dan tutuplah auratmu sedari kecil, semoga kamu berjaya. Supaya kelak kamu dewasa kamu tidak kekok dan malu hendak menutup aurat. Jangan sampai jadi macam seorang artis yang dengan lancang mulut berkata, "Kenapa saya perlu menutup aurat sedangkan itu bukanlah saya ?"

Itulah bencananya...

Wednesday, November 10, 2010

MENCARI 'DEKAN' KERANA ALLAH TAALA

Rupa-rupanya, sudah hampir 'sempurna' satu semester dalam tahun-tahun terakhir kami. Apa tidaknya, peperiksaan akhir telahpun tiba. Seperti biasa, ayat-ayat klise yang biasa keluar, "Oh, cepatnya masa berlalu..."

Ketika ini, kami mulalah tercari-cari rentak. Nota-nota kembali diseluruhi. Kerja mencari soalan-soalan lepas juga bermula. Kami teramat kelam-kabut. Kami kelam-kabut dalam keseronokan. Mana tidaknya, dah puas berseronok, barulah terhegeh-hegeh hendak mengulangkaji. Memang celaru.

Ketika ini jugalah, hati-hati kecil kami yang terperuk jauh ke dalam mula bersuara, "Bagaimana hendak kita hadapkan segala ilmu ini di depan Tuhan ?" Kerana apa ? Kerana kita tahu bahawa satu masa nanti, ketika kita dihadapkan di hadapan pengadilan Tuhan, ilmu yang kita pelajari akan dipersoalkan, ke mana kita gunakan ia ?

Memberontak ? Mungkin. Hati kecil kami sedang memperlekehkan kami. Sudahlah selama ini kami ber'enjoy-enjoy' dengan hiburan duniawi yang entah apa-apa, apabila sampai masa hendak diuji semula, kami jadi cuak dan serabut.

Mulalah kita mencari emak dan ayah. Mulalah kita meminta mereka mendoakan mereka. Padahal mungkin sahaja kita tidak sedar, yang ibu ayah kita tak putus-putus mendoakan kita di rumah, sedang kita di sini bukan main seronok bersuka-sukaan dengan rakan-rakan tanpa pernah ingat walau sekalipun untuk mendoakan ibu ayah kita. Yang kita suka buat ? Telefon makwe tengah malam, beritau esok ade peperiksaan, u doakan I ye, sayang...itulah kita, buat yang ada awek. Tapi taklah semua, utnuk pengetahuan. Tapi ramainya begitulah.

Demi mencari sebuah kekuatan, kita tercari-cari pula apa agaknya perangsang yang boleh membuatkan kita kembali berharap kepada sebuah kekuatan. Ada yang kembali membaca Al-Quran selepas berbulan-bulan meninggalkannya. Maklumlah, nak mencari ketenangan. Ada juga yang membelek-belek buku-buku hadis untuk dijadikan panduan. Dan ada juga yang menampal di dinding atau di mana-mana 'spot' di dalam biliknya kata-kata semangat atau frasa untuk sesuatu yang hendak dicapai. Misal kata, "Aku mahu dapat semua 'A' ini semester !"

Dari hati turun ke kertas. Cuma, apakah ia dari hati kecil atau hati besar ? Sebab menurut seorang pakar motivasi, gerak kata yang terbit dari hati besar berupa kata-kata ego, kata-kata mementingkan diri sendiri dan kata-kata sombong. Selalunya hati besar akan cuba berpura-pura di depan semua orang. Penampilannya akan cuba kelihatan 'perfect' di mata orang. Manakala hati kecil pula lebih jujur dan tulus. Suaranya didengar ketika kita benar-benar kepayahan. Selalunya. Tentunya kita pernah dengar seolah-olah hati kita berbisik,

"Saya ini bukanlah manusia yang sempurna..." 

Haa...itulah suara hati kecil. Makanya, ketika kita menterjemahkan semangat kita itu di atas kertas, perlulah kita bertanya, 'Apakah perangsang ini lahir daripada hati kecil atau hati besar ?'

Kita perlu sentiasa ingat, prioriti yang terutama dalam tingkat kehidupan kita adalah Allah. Keduanya adalah Nabi Muhammad s.a.w. Ketiga ialah ibu bapa kita. Jadinya, segala apa yang kita lakukan di dunia ini, ianya adalah kerana Allah. Begitulah juga peperiksaan yang kita hendak hadapi. Kembalikanlah kesemuanya kepada Allah. Kerana apa ? Kerana itulah puncak kejayaan. Tidak guna kita mengucap syukur di mulut padahal hati berbangga dengan mengatakan, "Hah, puas hati aku. Bukan main pulun aku 'study', akhirnya dapat juga aku 'dekan' !" Ha, ini hati besar berkata-kata. Rupa-rupanya kita masih sombong dalam kesyukuran. Sungguh hipokrit.

Akan tetapi, jika kita kurang memberangsangkan, kita tidaklah terlalu kecewa sehingga rasa putus harapan. Itulah punca kebanyakan pelajar mengambil jalan hina iaitu membunuh diri. Kerana harapannya tidak disandarkan pada Tuhan, tapi semata-mata pada usahanya. Sedangkan kita yang beragama Islam ini ada tiga elemen penting iaitu doa, usaha dan tawakkal. Pernah ada satu untaian kata menyatakan, "Jangan lupa menyandarkan segala usaha pada Allah, kerana apabila kita berjaya, kita tidak menjadi sombong, dan apabila kita gagal, kita tidak terlalu kecewa."

........................................

Ramai rakan-rakan kita hendak mencari anugerah dekan dalam setiap semesternya. Anugerah dekan adalah kemuncak tertinggi dalam setiap semesternya. Markah yang diperolehnya amat tinggi dan disebut-sebut orang. Usahanya yang begitu gigih mengulangkaji dan menyiapkan tugasan membuahkan hasil yang sebegitu baik, sehingga kita berasa cemburu pula.

Namun begitu, perlu juga kita ambil kira, bagaimana duduk letak kita di sisi Tuhan dengan anugerah itu ? Ertinya di sini ialah perlu kita ketahui adakah anugerah yang kita peroleh itu semakin membuatkan kita tunduk mengaku bahawa kejayaan kita datangnya daripada rahmat Tuhan dan kita semakin tunduk menginsafi diri bahawa semakin besar kejayaan, semakin kecil diri kita di sisi Tuhan. Hal ini adalah penting kerana dari situlah lahirnya rasa bersyukur yang sebenar-benarnya. Kerana tanda syukur ialah taat kepada-Nya. Berapa ramai dalam kalangan kita mengucapkan, "Syukur, aku berhasil." Kemudian, syukur itu diraikan dengan berseronok, bersuka-sukaan, bergaul bebas dan kembali bermaksiat kepada Tuhan. Padahal mereka yang bersyukur itu adalah mereka yang taat pada perintah Tuhan dan menjauhi segala larangan-Nya. Bukan makin galak berseronok dan leka selepas berjaya.

Saya tertarik apabila ada seorang telah bercerita, beza antara mereka yang mengejar markah berbanding mengejar ilmu. Mereka yang mengejar semata-mata markah pada setiap semester pastinya banyak hilang ilmu daripada hatinya. Sedangkan mereka yang gigih mengejar ilmu begitu dekat dengan ilmu itu dan kekal di dalam hatinya. Inilah jua masalah yang kita termasuk saya hadapi sekarang. Kita rupanya terlalu asyik mengejar markah. Bukan ilmunya. Padahnya, naik semester baru, kita lupa ilmu pada semester lepas. Akhirnya, kita berakhir dengan 'banyaknya aku dah lupa.' Itu yang ada kes si pelajar kembali mencari pengajarnya kerana telah lupa semua yang dipelajari padahal apa yang dipelajari itu sedang kritikal untuk digunakan semasa kerja.

Kerana itulah, jika kita hendak mencari 'dekan', kita carilah kerana Allah. Segala usaha kita kembalikan kepada Allah, kerana dari Allah kita datang, kepada Allah jualah kita akan kembali. Oleh itu, moleklah 'dekan' yang kita kejar-kejarkan itu berupaya mengingatkan kedudukan kita di sisi Tuhan. Kerana sebuah kejayaan yang tidak berupaya mendekatkan diri kita kepada Allah adalah sia-sia sahaja. Wallahua'lam.

P/s: Kita renungkan kejayaan Nabi Muhammad s.a.w. membuka Kota Makkah, kita renungkan kejayaan Salahuddin al-Ayyubi membebaskan Jerusalem dari cengkaman tentera Salib, kita renungkan kejayaan Sultan Muhammad Fateh membuka kembali Konstatinople, mereka semua adalah si perkasa yang semakin hebat takwa mereka kepada Tuhan selepas mendapat kejayaan.

Monday, November 08, 2010

ANDY MCKEE, ANTOINE DUFOUR, SUNGHA JUNG, AKU DAN CERITA TENTANG GITAR

Kalau anda seorang yang sedang belajar bermain gitar dan berumur 21 tahun, kemudian anda melihat seorang budak yang berumur dalam lingkungan 10 tahun sudahpun mahir memetik gitar dengan kod yang kompleks, anda akan terasa seperti hendak menghempuk gitar anda ke skrin komputer.

Kata mudahnya JEALOUS. Ya, cemburu yang teramat sangat.

Suka kita ingatkan di sini bahawa setiap manusia itu ada bakatnya yang tersendiri. Ada orang yang sampai koyak-koyak hujung jarinya, namun kord gitar yang dia tahu hanya 3 sahaja. Sedangkan ada hamba Allah yang lain, telahpun mahir kord-kord yang lebih kompleks dan umurnya teramat muda !


Saya mula meminati gitar ketika umur saya 14 tahun. Melihat seorang penyanyi menyanyikan lagu sambil memetik gitar adalah teramat 'cool' bagi saya ketika itu. Dari situ, datang entah dari mana minat untuk saya belajar bermain gitar. Ya, khabarnya pandai bermain gitar akan menarik perhatian ramai gadis. Umur saya yang ketika itu 'mula tumbuh tanduk' semakin berkobar-kobar untuk belajar kerana hendak mengorat 'awek' di sekolah. Hehehe...teramat nakal.

Malangnya, saya tidak berduit. Maka, ayah sayalah menjadi 'mangsa'. Ayah saya pula bukan seorang yang manjakan anaknya. Justeru, amat sukar untuk memujuknya. Tambahan pula, ketika itu ayah saya cukup risau dengan keputusan peperiksaan saya yang tidak berapa baik.

Makanya, saya memendam rasa. Manalah tahu Tuhan akan melembutkan hati ayah saya dan membelikan sebuah gitar untuk saya. Nah, Tuhan mengkabulkan. Selang beberapa bulan, ayah saya membawa pulang sebuah gitar berwarna biru. Masih ingat saya pada namanya iaitu Omiya. Dan ayah saya tahu pula bermainnya. Nah, rupa-rupanya ayah saya juga pernah belajar ketika umur mudanya dahulu. Mungkin gen minat bermain gitar itu menurun pula kepada saya, sedikit.

Saya pun mulalah memetik gitar, dengan penuh seksa. Cis, saya ingatkan begitu mudah bermain gitar disebabkan melihat orang-orang mengadakan persembahan bermain gitar dan kelihatannya mereka begitu santai bermain gitar. Rupa-rupanya amat menyakitkan sekali. Jari-jari terasa seperti sedang dikoyak-koyakan oleh tali-temali gitar yang berbeza-beza saiz itu.

PMR telah menjadi penghalang tegar saya untuk terus belajar bermain. Sudahlah belajar tanpa guru, lagilah malas jadinya. Maka, gitar saya tinggalkan selama lebih 3 tahun. Sehinggalah pada tahun 2006, saya melayari internet suka-suka dan melawat laman YouTube. Sengaja saya menaip kata kunci gitar dan menjumpai ribuan video mengenai gitar. Namun, saya tertarik dengan satu nama yang membuatkan saya bersemangat kembali untuk bermain gitar. Beliau bernama Andy Mckee. Dan video beliau yang pertama saya tonton adalah Drifting. 


Cara bermain gitarnya yang teramat unik itu membuatkan saya ingin tahu siapa lelaki hebat ini. Maka, beberapa lagi videonya saya jumpai. Dan saya terus 'jatuh cinta' dengan salah satu lagu ciptaannya iaitu Rylynn. Menurut Andy Mckee, lagu itu dicipta sebagai dedikasi kepada seorang anak perempuan rakannya yang telah meninggal dunia.


Gitar saya yang telah berhabuk itu kembali saya sentuh setelah 3 tahun membiarkannya terperuk di satu sudut bilik. Kali ini, saya tidak lagi belajar kerana hendak mengorat perempuan, tetapi kerana minat lama kembali menghantui. Dan jari-jemari saya kembali sakit seperti dahulu, malah lebih susah kerana jari saya sudah keras kematu dan besar. Saya belajar berpandukan kepada cd interaktif belajar bermain gitar bagi seorang pemula. Satu demi satu pelajaran di dalamnya saya ikuti. Sehinggalah satu masa, ketika saya memetik tali-temali gitar itu, saya tidak lagi merasa sakit seperti selalu-selalu. Rupa-rupanya, kulit hujung jari saya sudah mengeras. Seolah-olah ada lapisan lain pada kulit itu. 

Ketika ini, seorang lagi pemain gitar yang saya minati adalah Antoine Dufour. Kalau Andy Mckee lebih selesa dengan irama yang lembut dan tenang, Antoine Dufour suka memainkan lagu yang agak rancak, malah-malah kadang-kadang lagunya seperti 'terloncat-loncat' jika kita mendengarnya.


Untuk menghafal kord-kord gitar bukanlah perkara yang mudah, kerana ianya terlalu banyak dan ada di antaranya teramat kompleks. Maka, saya mulakan dengan menghafal kord yang ringkas dahulu. Antaranya ialah kord Am dan juga G.

Kebiasaan bagi 'beginner', lagu-lagu yang dipelajari adalah lagu-lagu rock kapak ataupun lagu-lagu sekitar tahun 80-an dan 90-an. Kebanyakan lagu-lagu mereka ketika itu agak mudah kordnya untuk dipelajari. Salah satu lagu yang seolah-olah menjadi 'wajib' untuk dipelajari ialah lagu Kau Ilhamku nyanyian Man Bai. Ianya santai, rileks dan sesuai dipelajari oleh pemula memandangkan lagunya tidak terlalu laju. Ada juga yang selesa belajar kord daripada lagu-lagu Inggeris. Terpulang kepada diri masing-masing.

Saya mencari-cari lagi video pemain-pemain gitar yang hebat di YouTube, dan dengan takdir Tuhan, saya bertemu dengan seorang anak kecil yang amat luar biasa. Ya, kalau anda kata ianya biasa saja, sila berjumpa dengan doktor untuk membuat pemeriksaan pada otak anda. Tuhan itu Maha Pemurah, Dia boleh memberikan kurniaan-Nya kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya.

Nama anak itu ialah Sungha Jung.

Sungha Jung amat dihormati dalam kalangan pemain gitar profesional memandangkan umurnya yang teramat muda namun nampu bermain gitar dengan kord yang kompleks serta rentak lagu yang pelbagai. Ketika menonton videonya buat kali pertama, saya rasa seperti sia-sia belajar bermain gitar selama ini. Namun, kalau sudah orang itu berbakat dan bakat itu datangnya daripada Tuhan, mahu kata apa lagi. Kita tumpang gembira sajalah. 


Anak ini betul-betul membuatkan saya semakin teruja untuk belajar bermain gitar. Biarpun saya tak ada bakat, namun perlahan-perlahan belajar pun tak apa. Sekurang-kurangnya ada sedikit kepuasan dalam diri. Ayah saya agaknya tahu yang perangainya sedikit sebanyak menurun juga ke dalam diri saya, tidak cakap banyak tentang minat saya itu. Tapi, saya berhati-hati juga supaya dia tidak membebel mengatakan saya membuang masa.

Kalau ditanya-tanya orang, apa kebaikan belajar bermain gitar, saya pun tak tahu hendak kata bagaimana. Samalah seperti anda bertanya kepada orang yang suka menghias kereta dengan alatan entah apa benda, mereka tak akan mampu memberi jawapan yang tepat. Paling banyak yang kita dengar adalah minat dan kepuasan. Bermain gitar juga begitu. Paling penting, jangan sampai diabaikan kewajipan agama seperti solat dan sebagainya. Kalau ketika orang sedang melaungkan azan pun nak bermain gitar, maka hal itu adalah salah. Hormatilah hukum-hakam agama kita. Insya Allah hobi kita tidak akan memudaratkan kita.

Sebagai penutup, terimalah I'm Yours daripada Sungha Jung. :-)