Rupa-rupanya, sudah hampir 'sempurna' satu semester dalam tahun-tahun terakhir kami. Apa tidaknya, peperiksaan akhir telahpun tiba. Seperti biasa, ayat-ayat klise yang biasa keluar, "Oh, cepatnya masa berlalu..."
Ketika ini, kami mulalah tercari-cari rentak. Nota-nota kembali diseluruhi. Kerja mencari soalan-soalan lepas juga bermula. Kami teramat kelam-kabut. Kami kelam-kabut dalam keseronokan. Mana tidaknya, dah puas berseronok, barulah terhegeh-hegeh hendak mengulangkaji. Memang celaru.
Ketika ini jugalah, hati-hati kecil kami yang terperuk jauh ke dalam mula bersuara, "Bagaimana hendak kita hadapkan segala ilmu ini di depan Tuhan ?" Kerana apa ? Kerana kita tahu bahawa satu masa nanti, ketika kita dihadapkan di hadapan pengadilan Tuhan, ilmu yang kita pelajari akan dipersoalkan, ke mana kita gunakan ia ?
Memberontak ? Mungkin. Hati kecil kami sedang memperlekehkan kami. Sudahlah selama ini kami ber'enjoy-enjoy' dengan hiburan duniawi yang entah apa-apa, apabila sampai masa hendak diuji semula, kami jadi cuak dan serabut.
Mulalah kita mencari emak dan ayah. Mulalah kita meminta mereka mendoakan mereka. Padahal mungkin sahaja kita tidak sedar, yang ibu ayah kita tak putus-putus mendoakan kita di rumah, sedang kita di sini bukan main seronok bersuka-sukaan dengan rakan-rakan tanpa pernah ingat walau sekalipun untuk mendoakan ibu ayah kita. Yang kita suka buat ? Telefon makwe tengah malam, beritau esok ade peperiksaan, u doakan I ye, sayang...itulah kita, buat yang ada awek. Tapi taklah semua, utnuk pengetahuan. Tapi ramainya begitulah.
Demi mencari sebuah kekuatan, kita tercari-cari pula apa agaknya perangsang yang boleh membuatkan kita kembali berharap kepada sebuah kekuatan. Ada yang kembali membaca Al-Quran selepas berbulan-bulan meninggalkannya. Maklumlah, nak mencari ketenangan. Ada juga yang membelek-belek buku-buku hadis untuk dijadikan panduan. Dan ada juga yang menampal di dinding atau di mana-mana 'spot' di dalam biliknya kata-kata semangat atau frasa untuk sesuatu yang hendak dicapai. Misal kata, "Aku mahu dapat semua 'A' ini semester !"
Dari hati turun ke kertas. Cuma, apakah ia dari hati kecil atau hati besar ? Sebab menurut seorang pakar motivasi, gerak kata yang terbit dari hati besar berupa kata-kata ego, kata-kata mementingkan diri sendiri dan kata-kata sombong. Selalunya hati besar akan cuba berpura-pura di depan semua orang. Penampilannya akan cuba kelihatan 'perfect' di mata orang. Manakala hati kecil pula lebih jujur dan tulus. Suaranya didengar ketika kita benar-benar kepayahan. Selalunya. Tentunya kita pernah dengar seolah-olah hati kita berbisik,
"Saya ini bukanlah manusia yang sempurna..."
Haa...itulah suara hati kecil. Makanya, ketika kita menterjemahkan semangat kita itu di atas kertas, perlulah kita bertanya, 'Apakah perangsang ini lahir daripada hati kecil atau hati besar ?'
Kita perlu sentiasa ingat, prioriti yang terutama dalam tingkat kehidupan kita adalah Allah. Keduanya adalah Nabi Muhammad s.a.w. Ketiga ialah ibu bapa kita. Jadinya, segala apa yang kita lakukan di dunia ini, ianya adalah kerana Allah. Begitulah juga peperiksaan yang kita hendak hadapi. Kembalikanlah kesemuanya kepada Allah. Kerana apa ? Kerana itulah puncak kejayaan. Tidak guna kita mengucap syukur di mulut padahal hati berbangga dengan mengatakan, "Hah, puas hati aku. Bukan main pulun aku 'study', akhirnya dapat juga aku 'dekan' !" Ha, ini hati besar berkata-kata. Rupa-rupanya kita masih sombong dalam kesyukuran. Sungguh hipokrit.
Akan tetapi, jika kita kurang memberangsangkan, kita tidaklah terlalu kecewa sehingga rasa putus harapan. Itulah punca kebanyakan pelajar mengambil jalan hina iaitu membunuh diri. Kerana harapannya tidak disandarkan pada Tuhan, tapi semata-mata pada usahanya. Sedangkan kita yang beragama Islam ini ada tiga elemen penting iaitu doa, usaha dan tawakkal. Pernah ada satu untaian kata menyatakan, "Jangan lupa menyandarkan segala usaha pada Allah, kerana apabila kita berjaya, kita tidak menjadi sombong, dan apabila kita gagal, kita tidak terlalu kecewa."
........................................
Ramai rakan-rakan kita hendak mencari anugerah dekan dalam setiap semesternya. Anugerah dekan adalah kemuncak tertinggi dalam setiap semesternya. Markah yang diperolehnya amat tinggi dan disebut-sebut orang. Usahanya yang begitu gigih mengulangkaji dan menyiapkan tugasan membuahkan hasil yang sebegitu baik, sehingga kita berasa cemburu pula.
Namun begitu, perlu juga kita ambil kira, bagaimana duduk letak kita di sisi Tuhan dengan anugerah itu ? Ertinya di sini ialah perlu kita ketahui adakah anugerah yang kita peroleh itu semakin membuatkan kita tunduk mengaku bahawa kejayaan kita datangnya daripada rahmat Tuhan dan kita semakin tunduk menginsafi diri bahawa semakin besar kejayaan, semakin kecil diri kita di sisi Tuhan. Hal ini adalah penting kerana dari situlah lahirnya rasa bersyukur yang sebenar-benarnya. Kerana tanda syukur ialah taat kepada-Nya. Berapa ramai dalam kalangan kita mengucapkan, "Syukur, aku berhasil." Kemudian, syukur itu diraikan dengan berseronok, bersuka-sukaan, bergaul bebas dan kembali bermaksiat kepada Tuhan. Padahal mereka yang bersyukur itu adalah mereka yang taat pada perintah Tuhan dan menjauhi segala larangan-Nya. Bukan makin galak berseronok dan leka selepas berjaya.
Saya tertarik apabila ada seorang telah bercerita, beza antara mereka yang mengejar markah berbanding mengejar ilmu. Mereka yang mengejar semata-mata markah pada setiap semester pastinya banyak hilang ilmu daripada hatinya. Sedangkan mereka yang gigih mengejar ilmu begitu dekat dengan ilmu itu dan kekal di dalam hatinya. Inilah jua masalah yang kita termasuk saya hadapi sekarang. Kita rupanya terlalu asyik mengejar markah. Bukan ilmunya. Padahnya, naik semester baru, kita lupa ilmu pada semester lepas. Akhirnya, kita berakhir dengan 'banyaknya aku dah lupa.' Itu yang ada kes si pelajar kembali mencari pengajarnya kerana telah lupa semua yang dipelajari padahal apa yang dipelajari itu sedang kritikal untuk digunakan semasa kerja.
Kerana itulah, jika kita hendak mencari 'dekan', kita carilah kerana Allah. Segala usaha kita kembalikan kepada Allah, kerana dari Allah kita datang, kepada Allah jualah kita akan kembali. Oleh itu, moleklah 'dekan' yang kita kejar-kejarkan itu berupaya mengingatkan kedudukan kita di sisi Tuhan. Kerana sebuah kejayaan yang tidak berupaya mendekatkan diri kita kepada Allah adalah sia-sia sahaja. Wallahua'lam.
P/s: Kita renungkan kejayaan Nabi Muhammad s.a.w. membuka Kota Makkah, kita renungkan kejayaan Salahuddin al-Ayyubi membebaskan Jerusalem dari cengkaman tentera Salib, kita renungkan kejayaan Sultan Muhammad Fateh membuka kembali Konstatinople, mereka semua adalah si perkasa yang semakin hebat takwa mereka kepada Tuhan selepas mendapat kejayaan.
1 comment:
Alhamdulilah. Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali..
Post a Comment