Nuffnang

Friday, December 31, 2010

TAHUN BARU DAN KEBERKATAN UMUR

Saya kira, dalam kalangan anak muda, baik di kampung atau di bandar, penghujung tahun masehi lebih dirasai berbanding penghujung tahun hijrah. Bahkan saya fikir boleh sahaja anak-anak muda tidak tahu pun bila penghujung tahun hijrah kalau tidak ada cuti pada tarikh 1 Muharram itu dan televisyen serta radio tidak menguar-uarkannya.

Masakan tidak. Penghujung tahun masehi, kita berpesta dengan bunga api berdentum-dentam, sama dengan negara-negara barat yang meraikan tahun baru pada malam 1 Januari, tepat jam 12 tengah malam. Itu kita belum ambil kira konsert-konsert yang diadakan dan artis-artis yang sama terkinja-kinja menyambut tahun baru masehi bersama-sama dengan lautan manusia yang sama menonton konsert.

Dalam pada itu, kita juga nanti akan jumpa anak-anak muda sama berseronok melakukan perbuatan keji seperti zina, minum arak dan dadah. Kita juga belum ambil kira parti bogel yang diadakan secara haram di mana-mana kelab malam (err...ada ke parti bogel yang halal ?). Lagi satu, kita juga belum menghitung anak-anak muda remaja bangsa kita tak pasal-pasal berpesta merempit di jalanan seolah-olah jalanraya itu mak bapak mereka yang punya. Oh ya, kita juga belum kira nanti berapa ramai anak gadis kita menggadaikan daranya untuk kepuasa nafsu serakah. Ooopppss....minta maaf, yang sudah tidak ada dara pun sama juga, berseronok-seronok dengan pasangan masing-masing. Dosa, halal dan haram seolah-olah 'tidak wujud' lagi ketika hendak menyambut tahun baru masehi.

Apa kepentingan menyambut tahun baru ? Saya kira dengan meletakkan azam tahun baru, itu sahajalah kepentingannya. Selain pejabat-pejabat kerajaan telahpun menyiapkan laporan tahunan dan syarikat-syarikat swasta bersiap-sedia nak buka buku baru untuk tahun hadapan serta melaksanakan rancangan syarikat yang telah diatur sejak tahun lepas, apa lagi kepentingan menyambut tahun baru ?

Minta maaf, saya tidak nampak dengan menyambut tahun baru itu, segala-galanya akan menjadi lebih baik. Bahkan, kita perlu segera ingat, tahun baru itu bererti umur dunia sedang berkurang sedikit demi sedikit. Kita sedang hendak menghampiri usia penamat. Siapa kata tahun baru itu ertinya semakin bertambah ? Salah. Sebenarnya semakin berkurang. Begitu juga dengan umur kita. Jika tahun depan kita sudah naik 23 tahun, sebenarnya umur kita sedang berkurang. Kerana Tuhan telah terlebih dahulu tahu bila kita akan mati. Sedang kita pula masih terkinja-kinja menyambut tahun baru, parti selamat hari jadi dan sebagainya.

Kerana itulah, kita perlu selalu berdoa supaya umur yang kita lalui ini diberkati. Kita lihatlah bagaimana umur nabi kita yang hanya sekitar 63 tahun itu. Dengan berkat kenabian dan rahmat kasih sayang Tuhan, perjalanan hidup nabi yang hanya 63 tahun telah berjaya menggoncang dunia dengan gerakan penyucian akidah yang mulanya terhimpit dan tersepit. Sudahlah begitu, nabi yang maksum itu pun bertaubat setiap hari atas tanda bersyukur. Kita ini ? Dapat bangun tidur pada keesokan hari pun kita tidak sudi mengucapkan tahmid kepada Tuhan. Bagaimana kita mahu umur kita diberkati ?

Begitulah juga umur para ilmuwan seperti Ibnu Sina dan lain-lain. Dikhabarkan umur Ibnu Sina tidakpun mencapai 40 tahun (betulkan saya jika salah), namun kita lihatlah apa yang diwariskan olehnya kepada dunia. Sebuah kitab perubatan yang dihormati dunia sehingga sekarang. Itulah yang kita katakan keberkatan umur. Mengapa demikian ? Kerana umur kita itu tidak kita habiskan dengan keseronokan dunia, sebaliknya kita menyiapkan bekal untuk perjalanan ke akhirat.

Nah, tahun baru sebenarnya adalah petanda dunia semakin tua. Setiap tahun, berapa banyak kerosakan telah kita lakukan ke atas bumi Tuhan ini. Tidakkah kita berasa malu apabila penghujungnya kita berpesta-pesta pula ? Tentulah malu, kan ? Malu di sini ialah malu dengan Tuhan.

Bayangkan sahajalah ketika kita menghitung detik 12 tengah malam itu, nyawa kita diambil Tuhan...

Wallahua'lam...

1 comment:

musafir kehidupan said...

Salam. benar tu saudara. panjang pendek umur bukan ukuran, tapi keberkatannya... Mengenai tahun baru tu memang pelik sangat apabila melihat keterujaan sebilangan "mereka" yang bila fikir dengan logik, takda faedah pun... Wallahualam.