Nuffnang

Monday, January 31, 2011

HUJAN DAN BANJIR

Tajuk di atas tidak ada kena-mengena dengan kumpulan Hujan, kerana ketika ini, sekalipun kumpulan Hujan mencipta lagu sehebat mana pun, hujan tidak akan tunduk pada lagu mereka seraya berhentilah banjir yang melanda negeri Johor sekarang ini. Itu tidak perlu dan tidak akan berlaku.



Hujan kali ini tidak mahu berhenti mencurahkan 'baktinya' kepada kita. Malah, sekarang ini kita terasa benar bahawa hujan semacam berlebih-lebihan pula mencurahkan 'baktinya' sehingga kita berkata, "Tidak perlulah sebanyak ini sehingga kami kehilangan rumah kerana ditenggelami dengan 'baktimu' itu."

Sekali-sekala hujan turun, kalau kita iringi dengan sebuah lagu merdu, hujan menjadi teramat indah. Teramat indah untuk kita nafikan. Biarlah kita terkurung di dalam rumah dan tidak dapat keluar membeli-belah, namun hujan yang dituruti dengan lagu yang indah akan membuatkan hati berasa damai.

Sekarang ini, jauh berbeza, dan kita seperti melanggar hukum 'hujan membawa rahmat'. Kerana doa yang pernah nabi ajarkan kita tidak mahu amalkan. Makanya sekarang ini hujan tidak lagi menyenangkan kita. Biarlah ia diiringi dengan Tenia Tanto Que Darte sekalipun, ianya tidak lagi indah. Rumah sudah tenggelam. Pakaian sudah basah, air entah sudah bercampur dengan najis apa benda, ada anak yang mati lemas, ada kereta yang tersangkut, ada motorsikal yang hanyut. Ketika ini, Nda pun tidak bisa menyenangkan perasaan.

Orang-orang, saya tahu semuanya sedang resah. Orang Johor jarang-jarang ditimpa banjir seperti orang-orang di Pantai Timur. Bagi mereka, bah itu adalah sesuatu yang wajib untuk dilalui, tetapi tidak orang Johor. Namun, kalau Tuhan sudah mahu ia terjadi, satu juta penduduk Johor membantah pun tidak ada gunanya. Suara hamba tidak mampu mengatasi suara Tuhan. Kita mungkin boleh merayu kepada-Nya, namun kerja Tuhan kita tidak pernah tahu misterinya.



Saya juga faham bahawa kita sedikit terkilan kerana ianya berlaku saat begini. Saat sekolah sedang berjalan, saat undi sedang berlangsung dan saat orang-orang Cina hendak meraikan Tahun Baru Cina. Ya, terkilan, sedih dan mungkin ada yang menyumpah banjir ini. Tapi, macam saya katakan tadi, siapa kita hendak melawan Tuhan.

Saya kira kita tidak tahu bagaima megahnya hujan sekarang ini kerana matahari belum ada can lagi hendak menampakkan sinarnya, kerana awan hujan sedang bermaharajalela. Mungkin hujan berkata, "Giliran aku hendak menunjukkan kehebatan." Atau mungkin juga mentari sudah berpakat dengan si hujan, "Ramai manusia tidak mahu bersyukur dengan sinar panas yang dikurniakan Tuhan kepadaku, maka ku persilakanlah engkau, dengan izin Tuhan untuk turun semahu-mahunya, supaya kelak mereka merayu supaya aku muncul kembali dan pakaian mereka boleh kering..."

Seumur hidup saya, cuma sekali saja saya berhadapan dengan banjir, iaitu pada penghujung tahun 2006. Itupun bukan di rumah saya, tetapi di rumah nenek saya di Batu Pahat. Ketika itu, Johor mengalami kejutan maha dahsyat. Saya tidak peduli kejutan itu, kerana banjir telahpun menguasai tanah, dan yang perlu diambil kira ialah bagaimana mahu 'menghalau' air keluar rumah. Namun, kalau sudah banjir, tentulah air tetap di situ. Cuma menunggu ianya surut. Tinggal usaha mengalihkan barang-barang berharga ke tempat lain yang selamat daripada air.

Ketika ini, semua orang sedang berusaha untuk membantu setakat mana yang mampu. Malah ada orang kenamaan mengarahkan supaya segerakan membantu mangsa banjir. Satu yang menarik, jarang rumah orang kenamaan terletak di bawah, tetapi selalunya di atas bukit. Ya, demi mengelakkan mereka ditimpa kejadian seperti ini. Lantak merekalah. Jika mereka sudi untuk turun ke bawah dan membantu, itu sudah cukup baik. Jika mereka tetap dengan kesombongan, nanti kelak ada 'banjir' dari atas sana untuk menghentam kemewahan mereka.

Masih kita teringat saat masih kecil. Banjir adalah aneh dan unik bagi kami, makanya kami suka bermain-main dengan air banjir kerana selama ini air di rumah tidak boleh dibuka banyak-banyak kerana bil air akan melambung. Makanya, bila air sudah bertakung di kaki, kami kanak-kanak adalah makhluk yang paling seronok, padahal bukanlah baik pun bermain air banjir kerana ianya kotor dan harapan untuk terjatuh dan lemas dibawa air adalah tinggi (kecuali air paras buku lali). Ada juga bapa-bapa yang terbawa-bawa kenakalan anak mereka, lantas membeli bot mainan bermotor untuk dijalankan atas air banjir. :-)

Duduk di pusat pemindahan bukanlah sesuatu yang menyeronokkan. Bahkan tidak selesa sebenarnya. Namun, saat itu, apalah yang mahu dimarahkan. Nyawa sudah selamat pun sudah cukup baik. Harta dan barangan rumah boleh diganti, tetapi nyawa ada satu. Pernah saya mengikut atuk ke pusat pemindahan banjir di kampung saya, dan itulah kali pertama dalam hidup saya melihat keadaan pusat pemindahan di depan mata. Orang-orang tua yang uzur, anak kecil yang tidak tahu apa-apa dan ibu bapa yang bersedih. Bantuan datang tidak putus-putus daripada mereka yang berkenaan menenangkan sedikit jiwa mereka.

Apa pun, banjir adalah sebahagian daripada bencana alam yang akan terus berlaku, selagi Tuhan mengizinkan. Kita sebagai manusia yang ada akal, haruslah mencari jalan mencegahnya atau paling kurang jalan menghadapinya.

Wallahua'lam...

3 comments:

musafir kehidupan said...

Perkongsian yang baik..Amerika pun dilanda banjir...
"sesuatu yang tidak biasa berlaku, bukanlah mustahil, jika Allah hendak ianya berlaku..:)

AKMAL_ALIF said...

...:-)
Pernah merasa pengalaman ditimpa banjir...?

musafir kehidupan said...

Pernah..suatu ketika dahulu..seingat saya, ketika sekolah rendah di sekolah, dan di rumah, sebahagian rumah ditenggelami banjir..seronok!
suka main air...