Nuffnang

Monday, May 16, 2011

GURU DAN DOA


Saya teramat yakin dengan doa seorang guru. Seorang guru dan doanya adalah dua perkara yang sepatutnya kita hormati dan muliakan. Jangan sekali-kali kita kurang ajar dengan seorang guru, biarlah guru itu bengis macam harimau yang ditembak tapi tak mati.

Kita mungkin menyampah. Tetapi selagi dia menyampaikan ilmu kepada kita, layaklah dia kita hormati. Namun, sekiranya seorang guru tidak berperangai seperti seorang guru tetapi berperangai seperti malaun yang mencabul anak murid, tidur di dalam kelas dan tidak serius mengajar, layaklah kita adukan pada pihak atasan semoga guru itu ditegur dan diadili sebaiknya.


Saya juga sebenarnya amat takut dengan doa seorang guru. Guru dan doa mereka adalah berkat buat kita, sekiranya mereka mendoakan kebaikan buat kita. Namun, kalaulah guru itu mendoakan keburukan, maka malapetakalah buat kita. Saya sering berjumpa dengan budak-budak atau pelajar-pelajar yang kurang ajar dengan guru, tidak kiralah sama ada di sekolah, kolej matrikulasi atau universiti. Oh ya, kurang ajar ini tidak semestinya dengan hanya menumbuk seorang guru ya, tetapi kerap ponteng kelasnya juga adalah kurang ajar. Tidak menyiapkan kerja sekolah juga adalah kurang ajar. Tidak menghantar tugasan juga adalah kurang ajar. Saya yakin kita semua pernah berbuat begitu, termasuklah saya. Kalaulah guru itu menyampah dengan kita dan mendoakan kita supaya kita tidak berjaya, maka tidaklah kita akan berjaya. Kerana doa dari seorang pengajar ilmu pengetahuan amat tinggi darjatnya di sisi Tuhan. Namun, kita tengok juga bagaimana akhlak guru itu sendiri. Guru yang mencabul anak murid bukanlah guru yang mulia di sisi Tuhan, bahkan dia telah mencemarkan profesion keguruan itu sendiri dengan perangainya yang tidak senonoh.

Baru-baru ini, rakan-rakan sekursus saya siap menghantar projek sarjana muda mereka. Seronoklah mereka kerana doa mereka telah dimakbulkan. Begitu juga dengan doa ibu bapa mereka. Namun, janganlah mereka lupa, mungkin sahaja penyelia mereka iaitu pensyarah mereka sendiri mendoakan kejayaan mereka. Siapa tahu di sebalik garangnya penyelia mereka itu, di dalam hati mereka tidak putus doa kejayaan buat pelajar seliaan mereka. Siapa tahu ? Tuhan sahaja yang tahu. Kita tidak akan tahu. Bahkan doa yang baik ialah doa yang ditujukan kepada seseorang tetapi orang itu tidak tahu akan doa kita itu. Oleh itu, janganlah kita lekas perasan bahawa doa kita dimakbulkan. Mungkin sahaja ibu, ayah dan guru kita mendoakan kita supaya doa kita dimakbulkan. Dengan izin Tuhan, termakbullah doa mereka itu dan sekaligus termakbullah juga doa kita yang tidak seberapanya ini. Kerana itulah belas ihsan Tuhan buat hamba-Nya.


Seorang guru, secara tidak langsung juga memberi kesan kepada jiwa seorang penuntut ilmu. Kadang-kadang, kita senang sekali dengan pendekatan yang guru kita ajarkan dan kita amalkan. Begitulah pengaruh guru pada kita. Pensyarah pun begitu juga. Jika tidak, masakan kita pernah merasakan bahawa pensyarah tertentu seolah-olah sesuai dengan jiwa kita, lantas kita berasa senang bersama mereka, senang berbincang dengan mereka dan senang meminta nasihat mereka. Itulah sedikit-sebanyak pengaruh yang guru bawa dalam kehidupan kita.

Paling penting, doa mereka adalah rahmat buat kita. Kita seharusnya sentiasa bersyukur kerana dapat menuntut ilmu di sekolah, di institut dan di mana-mana sahaja. Ada orang di luar sana yang teringin sekali belajar, namun hajat mereka tidak kesampaian.

Justeru, sempena hari guru ini, di samping kita mengucapkan SELAMAT HARI GURU kepada semua guru, kita doakanlah juga kebahagiaan mereka dan kita sama-sama muhasabah diri kita tentang guru kita yang paling utama, iaitu pengalaman hidup kita sendiri.

DAN, penghormatan terbesar buat guru yang mengajar kita mengenal Tuhan yang sebenar, iaitu junjungan alam baginda MUHAMMAD s.a.w..

Allahumma solli 'ala Muhammad,
Wa 'ala ali Muhammad...

2 comments:

musafir kehidupan said...

Nabi Muhammad s.a.w adalah guru terunggul bagi kita kerana yang mengajarnya adalah tuhan semesta Alam...
suka post ini..

AKMAL_ALIF said...

musafir,
Terima kasih... :-)