"Wahai orang-orang beriman. Diwajibkan bagi kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan bagi orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa." (al-Baqarah: 183)
Alam bersama-sama dengan keberkatan Ramadhan. Hawa dari syurga berarak menyeliputi umat Islam di seluruh dunia sehingga tidak ada apa lagi yang kita dapat rasakan melainkan ketenangan di bulan Ramadhan. Datanglah ujian bertimpa-timpa, datanglah sedih bertalu-talu, namun dengan berkat kemuliaan Ramadhan, insya Allah kita dapat melaluinya dengan tenang dan sabar.
Sekalian pintu neraka ditutup dan dibukakanlah akan Tuhan sekalian pintu syurga seluas-luasnya. Tidak ada seksaan kubur di bulan mulia ini, maka bergembiralah ahli kubur berkat Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Segala iblis dan syaitan dibelenggu demi mententeramkan jiwa orang yang berpuasa. Tinggal nafsu manusia itu sahajalah yang memacu manusia itu untuk merosakkan puasanya.
Kalaulah kita perhatikan, tak selalu kita berpuasa dalam keadaan sejuk (hujan) di Malaysia ini. Selalu sahaja cuacanya panas terik sehinggakan kita seolah-olah merasa terhidrasi. Sehinggakan dikhabarkan dalam riwayat bahawa baginda nabi yang dahulunya menetap di kawasan padang pasir itu pernah membasahkan kepalanya dengan air ketika berpuasa lantaran cuaca yang terlalu panas. Nah, nabi sendiri merasakan cabaran berpuasa. Akan tetapi, manusia suci yang dekat dirinya dengan Tuhan itu tidak pernah sekalipun menganggap puasa sebagai beban dari Tuhan. Sebaliknya, kita menemukan banyak sabdanya tentang kemuliaan dan kebaikan puasa. Begitu nabi diwahyukan Tuhan dalam sabdanya sehinggakan sedarlah kita bahawa puasa bukan perkara yang membebankan dari Tuhan. Bahkan, demi kebaikan hamba-hamba-Nyalah puasa ini diwajibkan dalam bulan Ramadhan. Ianya tidak melanggar fitrah tubuh badan kerana pada senjanya kita dibenarkan berbuka puasa. Makanlah kau dengan tenang tetapi janganlah sampai berlebih-lebihan kerana ia tidak baik pula untuk badan. Paling teruk, berbuka puasa dengan menghisap rokok. Itu tidaklah molek sama sekali. Kemuliaan berbuka puasa dihitamkan dengan nikotina bangsat.
Ramadhan ini, orang-orang kita menggelarnya sebagai bulan pesta. Pesta apa ? Pesta ibadah, katanya. Akan tetapi, para ustaz kita tidak setuju jika kita tumpukan pada satu bulan ini sahaja untuk memperbanyakkan ibadah, sedangkan bulan lain kita sambil lewa saja.
Setiap bulan adalah bulan ibadah.
Setiap hari kita diwajibkan menjauhi dosa besar, bukan dalam bulan Ramadhan saja.
Setiap hari dalam setiap bulan kita disuruh banyakkan bertaubat seperti yang diajar nabi, bukan dalam bulan Ramadhan saja.
Setiap hari dalam setiap bulan kita disuruh menjaga waktu solat fardhu, bukan bulan Ramadhan saja. Setiap hari dalam setiap bulan kita dianjurkan untuk solat berjemaah, bukan bulan Ramadhan saja.
Setiap hari dalam setiap bulan kita dianjurkan untuk selalu mengunjungi majlis ilmu, bukan bulan Ramadhan saja.
Setiap hari dalam setiap bulan kita dianjurkan untuk membaca al-Quran, bukan bulan Ramadhan saja.
Nabi kita, setiap hari tekun beribadah meskipun dirinya maksum (suci tanpa sebarang dosa). Yalah, orang maksumlah paling hebat ibadahnya sebagai tanda syukurnya kepada Tuhan. Demikianlah jawapan nabi saat ditanya isterinya Aisyah r.a. Nabi kita bahkan makin hebat ibadahnya saat di bulan Ramadhan. Begitu sepatutnya. Bukan bulan Ramadhan baru sibuk nak itu-ini dalam beribadah sedangkan bulan lain langsung tak ada ikhtiar hendak memperbaiki ibadah masing-masing. Kerana itulah, dianjurkan untuk senantiasa melatih diri dalam beribadah semoga dengan harapan apabila tibanya bulan di mana pahala digandakan dengan banyaknya ini, kita mampu meningkatkan ibadah kita tanpa rasa sukar dan payah. Kerana sesungguhnya, hendak mengabdikan diri kepada Tuhan bukanlah macam makan kacang goreng. Bahkan ianya memerlukan pengorbanan yang besar. Nafsu perlu dikekang dari perkara keji. Mata dipelihara daripada memandang benda yang haram. Mulut dijaga daripada berkata perkara keji. Tangan dipelihara daripada berbuat perkara haram. Kaki dipelihara daripada melangkah ke tempat yang haram. Perut dijaga daripada makan dan minum daripada benda yang haram. Dan semua itu kita tahu bukanlah mudah. Kerana itu, diri perlu dilatih setiap hari. Namun begitu, nabi tidak mengajar kita untuk sampai menyeksa diri sehinggakan kesihatan terabai. Bahkan nabi tetap menyuruh kita merehatkan badan apabila perlu kerana tubuh juga mempunyai haknya sendiri.
Maha suci Tuhan, bahawa sesungguhnya nabi kita pernah bersabda,
“Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama Rayyan, di mana memasuki daripadanya orang orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya”. (Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim)
Begitulah kemuliaan orang berpuasa. Dan semestinya golongan ini adalah golongan di mana puasanya bukan sembarang. Bahkan puasanya adalah puasa yang tinggi kualitinya. Dia menjaga keseluruhan pancainderanya ketika berpuasa. Orang-orang inilah yang insya Allah dengan belas ihsan Tuhan akan memasuki syurga ini.
Lailatul Qadar
Malam yang dinanti-nanti orang beriman ketika bulan mulia ini tak lain dan tak bukan ialah malam al-Qadar (lailatulqadar). Pada malam inilah al-Quran diturunkan di Baitul Makmur sebelum diwahyukan beransur-ansur kepada baginda Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Jibril a.s.
Malam ini dianjurkan untuk kita perbanyakkan berdoa dan memohon keampunan Tuhan. Meskipun kita tidak mengetahui dengan jelas malam ke berapa al-Qadar ini, namun nabi telah mengisyaratkan bahawa ianya ialah pada 10 malam terakhir Ramadhan. Maka janganlah kita terlalu seronok hendak berhari raya sehingga kita terlepas peluang untuk meraih pengampunan Allah pada 10 malam terakhir ini. Malang sekali kerana ramai di antara kita telah leka dengan persiapan raya. Memanglah tidak menjadi kesalahan untuk membuat persiapan hari raya, namun janganlah sampai diabaikan terus kelebihan yang dikurniakan Tuhan kepada kita. Dikhabarkan bahawa nilainya menyamai seribu bulan beribadah. Maha suci Tuhan. Semoga kita nanti dapat bersama-sama memperkuatkan lagi ibadah kita pada 10 malam terakhir. Kita tidak tahu waktu ajal menjemput kita. Justeru, alangkah ruginya jika melepaskan peluang untuk meraih keampunan Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Oleh yang demikian, kita sama-samalah berdoa semoga Ramadhan kali ini semakin baik kualitinya berbanding yang lepas-lepas. Kita berharap supaya Tuhan merahmati hidup kita sepanjang bulan Ramadhan ini dan kita menjadi istiqamah dalam menjaga ibadah kita supaya berterusan sampai ke akhir hayat.
Wallahua'lam...
No comments:
Post a Comment