Nuffnang

Sunday, June 02, 2013

SELALU ADA BERSAMAKU (ITSUMO NANDO DEMO)

Perjalanan ini,Terasa sangat menyedihkan,Sayang engkau tak duduk di sampingku kawan,Banyak cerita,Yang mestinya engkau saksikan,Di tanah kering berbatuan... 

Yep, kadangkala, pada sesetengah waktu dan ketika, selalu kita mengharapkan agar orang-orang tertentu di dalam hidup kita ini ada bersama kita. Bersama-sama merasa detik-detik yang berharga mahupun yang pahit.

Kerana apa ? Kerana adat manusia memerlukan teman. Teman adalah sesuatu yang sangat berharga dalam hidup kita, terutama apabila kita ditimpa kesusahan. Seringkali, kita akan berhadapan dengan sesuatu yang hampir-hampir membuatkan kita putus asa, dan tidak ada sesiapa pun di sisi kita yang boleh menenangkan kita, hatta ibu dan ayah kita sendiri.


Oh, memiliki kawan yang ramai belum tentu membahagiakan kita, kerana di dalam ramai-ramai kawan itu, yang paling hampir di hati kita adalah bernama sahabat. Huh, sudah banyak orang bercerita tentang sahabat. Sahabat juga selalu bertukar menjadi kecintaan. Kerana baiknya sahabat itu yang senantiasa mengambil berat tentang kita, merisaukan tentang diri kita meski nun di kejauhan, dan juga bersedia menolong kita tatkala kita di dalam kesusahan.

Aku punya kawan, tapi aku jarang ketemukan dari kalangan mereka itu sahabat yang sudi berada di sisiku ketika aku benar-benar di dalam kesedihan. Nyatalah duniawi ini semakin merosakkan nilai persahabatan. Kawan hanya datang ketika ada untungnya. Apabila rugi yang ketara dari segi keuntungan dunia, maka kita ditinggal-tinggalkan. Beb, aku sudah puas merasai keperitan itu, ditinggalkan kawan keseorangan. Tidak ada sesiapa sudi membantu aku ketika aku di dalam kesusahan. Aku pernah merasai itu semua.


Ya, mungkin aku sendiri pun pernah berperangai seperti itu. Kerana itu Tuhan hendak mengingatkan aku akan hakikat itu. Kerana itulah selalu dikatakan orang bahawa manusia banyak itu adalah cerminan diri kita. Perhatikanlah manusia di sekeliling kita, nescaya kita akan melihat banyak pantulan diri kita pada diri mereka semua, bergantung kepada seberapa besar hati kita untuk menerima kekurangan diri sendiri dan sedia membaikinya.


Aku percaya dalam kalangan ramai manusia, mereka akan berkata begini, "Kalaulah dikau selalu ada bersamaku..."



Namun, kita tidak akan dapat menolak peraturan alam, setiap pertemuan akan ada perpisahan. Bagaimana kita menanggapi perpisahan itu sahaja yang berbeza-beza. Ada yang berpegang bahawa perpisahan adalah selangkah lebih dekat kepada penyatuan abadi. Itulah yang berlaku kepada Maulana Jalaluddin ar-Rumi yang kehilangan sahabatnya.

Kita belum berkisah tentang ajal dan maut. Hal ini juga adalah titik perpisahan kepada tiap-tiap persahabatan. Alangkah sedihnya apabila sahabat kita dijemput pulang oleh Tuhan, sedangkan kita benar-benar kasih kepadanya dan tidak ingin berpisah dengannya. Namun, hal itu ada jua hikmahnya. Bahawasanya Tuhan yang menjemput pulang sahabat kita itulah sebenarnya sahabat yang paling utama.

Kerana itulah nilai sahabat itu teramatlah tinggi. Kita selalu tidak menghargai hinggalah kita kehilangannya. Baginda nabi kita dahulu amat menghargai para sahabatnya dan para sahabatnya bersedia mengorbankan jiwa dan raga demi baginda. Itulah pengorbanan yang sejati. Keuntungan dunia bagi mereka tidak penting asalkan pengorbanan mereka dipandang mulia di sisi Tuhan.

Oleh itu, hargailah sahabat kita, kerana mereka adalah anugerah dari Tuhan...wallahua'lam...

No comments: