Rupa kamu yang cantik
Mata kamu yang bulat
Membikin pemuda jadilah gembira
Senyumanmu yang manis
Gigi kamu yang putih
O nonaku Azizah
O nonaku Azizah
Hidungmu yang mancung
Rambutmu kerinting
Membikin pemuda
Sehari-hari menaruh cinta padamu
O Azizah...
Cantik rupamu
Dipandang mata
Bagai biduan
Bagai biduan
Dari Syurga
Tidur malam terbayang
Teringat kamu seorang
Membikin hati pemuda
Menjadi bimbang
O Azizah...
Satu ketika, pernah ditilik-tilik oleh peminat P.Ramlee akan identiti sebenar 'Azizah' ini. Dikhabarkan lagu ini bukanlah secara langsung dari filem Penarek Becha yang mana nama heroinnya bernama Azizah (Saadiah Baharum). Sebaliknya ia telah selesai dicipta pada tahun 1945, sedangkan filem Penarek Becha dihasilkan dalam tahun1950-an. Agaknya P.Ramlee memasukkan lagu ini di dalam filem ini kerana nama heroinnya sama dengan lagu itu. Cuma sekarang ini tak diketahui rentak mana satu yang asal. Sama ada yang sedikit rancak seperti di atas mahupun yang perlahan seperti di bawah.
Menurut cerita, lagu ini dicipta kerana arwah P.Ramlee amat meminati seorang gadis bernama Azizah. Ehem-ehem...Begitulah kalau memang sudah ahli muzik, suka sama orang, terus jadi lagu dan gurindam. Kalau orang macam kita ni, berbelit-belit lidah nak melafazkan rasa. Lebih teruk, terus tak terkata. Hahaha...
Perlu kita ingat juga, apabila P.Ramlee mula bekerja di Jalan Ampas sebagai pengarah filem dan pencipta lagu, kebanyakan liriknya adalah ditulis oleh Sudarmadji ataupun Jamil Sulong. Namun, Sudarmadji adalah penulis yang paling banyak bergandingan dengan beliau ketika di Jalan Ampas. Ketika di Studio Merdeka pula, penulis yang sering bergandingan dengan beliau adalah A.R. Tompel, Ainon Jamal dan juga Jamil Sulong. Walaupun begitu, aku tak tahu siapa yang telah menulis lirik lagu ini, sama ada memang P.Ramlee sendiri atau ada penulis lain. Kalau ada siapa-siapa tahu boleh nyatakan ye.
Orang Melayu itu cantiknya pada bahasanya. Masalah kita pada zaman moden ini ialah ketandusan bahasa yang baik kerana terlalu terbawa-bawa dengan gaya bahasa sms, bahasa 'chatting' dan bahasa kasar. Kita merasa malu dan canggung apabila cuba hendak bercakap dengan bahasa yang baik. Penyudahnya, hubungan kemanusiaan langsung menjadi teruk. Dengan orang-orang tua ? Ah, lagilah jahanam dibuatnya.
Okey, Kesimpulannya, berbahasalah dengan bahasa yang baik, seperti mana P.Ramlee kepada 'buah hatinya' Azizah... :-)
No comments:
Post a Comment