Nuffnang

Wednesday, June 05, 2013

AKU MEMBESAR DENGAN FILEM-FILEM P.RAMLEE (1)

Beberapa ketika dulu aku telah menulis di bawah pengaruh yang sama, iaitu P.Ramlee. Namun, sirinya ialah 'Aku Membesar Dengan Lagu-lagu P.Ramlee'. Ada empat siri penulisan yang telah aku hasilkan, dan ianya berkisar kepada lagu-lagu beliau yang amat aku minati.

Aku letakkan 'link' di sini untuk mereka yang masih belum membacanya:

a) Siri 1
b) Siri 2
c) Siri 3
d) Siri 4

Setelah aku menulis berkenaan dengan P.Ramlee dan Azizah semalam, tiba-tiba aku rasa aku nak menulis tentang filem-filem beliau yang telah lama aku ikuti, sejak dari kecil dulu. Serius, pengaruh filem-filemnya bukan kecil, tapi sangatlah besar dalam hidup aku ni. Kadangkala sampai begitu banyak sekali 'rujukan' dari filem beliau yang aku gunakan dalam perbualan seharian aku, terutamanya dalam kalangan keluarga aku sendiri. Hehehe.

Okey, mungkin seeloknya aku bercerita bermula dengan filem beliau sekitar tahun 40-an. Ya, filem-filem beliau pada dekad ini aku tak berminat sangat atas beberapa sebab. Antaranya:


  • penggunaan dialog baku oleh para pelakon (mungkin kesan daripada pengarah ketika itu yang bukannya orang Melayu, tetapi orang India, dan juga kesan daripada penterjemahan skrip daripada bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu),
  • Emosi yang ditonjolkan oleh para pelakon ketika itu lebih berat kepada ala Hindustan,
  • P.Ramlee sangat kurus dan tidak 'hensem',
  • elemen komedi lebih kepada slapstik ala-ala Charlie Chaplin.


Namun begitu, ada satu filemnya pada ketika ini yang berjaya menambat hati aku, iaitu filem IBU. Filem ini diarahkan oleh S. Ramanathan. Pelakon utama filem ini dah tentulah P.Ramlee sendiri dan juga rakan baiknya Neng Yatimah. Menariknya, nama komersial Neng Yatimah itu diberikan oleh P.Ramlee sendiri apabila beliau mendapat tahu yang Neng Yatimah itu berdarah Jawa.


Filem ini mengisahkan anak yang lupa diri kerana seorang perempuan sehingga mengabaikan ibunya sendiri. 'Simple' bukan ? Namun untuk era itu, filem seperti ini dah tentulah membawa kisah yang berat, iaitu pengabaian seorang anak terhadap ibunya lantara leka dengan seorang gadis yang buruk akhlaknya. Ya, sehinggakan P.Ramlee membenci gurunya sendiri yang telah membimbingnya hingga menjadi artis yang berjaya. Amacam, bukan ke hal seperti itu berlaku terhadap artis zaman sekarang ?

Kenapa aku menyukai filem ini ? Kerana salah satu lagu nyanyian beliau, iaitu Ibu. Dari situ barulah aku tahu siapa dia penyanyi asal lagu 'Ibu, engkaulah ratu hatiku, bila ku berduka, engkau hiburkan selalu...'

Namun begitu, untuk filem ini, lagu-lagunya telah dicipta oleh Ahmad Jaafar. Beliau boleh dilihat bermain piano di dalam filem itu.

P.Ramlee pada ketika ini masih lagi menggayakan 'trademark' seluar 'gedoboh' dan baju lengan panjang dilipat sampai ke siku. Ketika ini beliau tidak begitu kacak kerana terlalu kurus kering dan berjerawat batu yang jelas kelihatan di wajahnya.

Segala-galanya berubah apabila P.Ramlee mula berlakon dan mengarah untuk filem PENAREK BECHA.



Pada asalnya, aku memang tidak begitu berminat dengan filemnya yang ini kerana beliau tidak memasukkan elemen komedi. Ya, mungkin kerana P.Ramlee ingin mengambil sikap berhati-hati memandangkan ini filem pertama arahannya. Mujurlah beliau telah terlebih dahulu berpengalaman sebagai budak studio, jadi sudah tentulah sedikit sebanyak beliau faham bagaimana krew filem bekerja. Kemudian, beliau juga telah banyak berlakon sebelum mula mengarah. Oleh itu, beliau tentulah telah faham bagaimana hendak memberi arahan kepada pelakon di bawah arahannya. 

Namun, seperti mana yang dikhabarkan oleh ramai pihak, P.Ramlee memang masih berat ke arah elemen Hindustan untuk filem ini. Luahan emosi beliau dan juga watak heroinnya Azizah lakonan Saadiah Baharum amatlah Hindustan jika kita perhatikan. Walaupun begitu, ada beberapa babak yang aku lihat cuba disesuaikan dengan sosio-budaya masyarakat Melayu. Contohnya seperti perbualan anak-beranak Udo Omar, Saadiah dan emaknya selepas Saadiah pulang dari belajar menjahit yang santai. Kemudian babak di mana Saadiah belajar menjahit. Satu hal yang menarik, guru menjahit yang dilakonkan oleh Mak Dara aku lihat dari dari 'trademark' biasa pelakon ketika itu yang bertutur dengan bahasa baku, termasuklah P.Ramlee sendiri. Mungkin dari situlah bermula titik tolak perubahan filem Melayu yang menggunakan bahasa Melayu baku kepada bahasa Melayu pertuturan biasa kita sehari-hari. P.Ramlee mungkin secara halus cuba 'bereksperimen' di situ. Mungkin saja ya.

Namun begitu, P.Ramlee telah maju selangkah lagi apabila beliau juga bertindak sebagai pencipta lagu untuk filem ini. Sudah semestinya untuk filem ini, lagu yang paling popular ialah Azizah dan Engkau laksana Bulan.


Tetapi, bagi aku, lagu yang paling aku suka di dalam filem ini ialah Dengarlah Sang Ombak Berdesir. Aku tak tahu puncanya tapi lagu ini amat istimewa bagi aku. P. Ramlee telah berjaya menghasilkan sebuah lagu dengan suara harmoni yang dialunkan dengan baik oleh penyanyi latarnya. Ditambah pula dengan suara Momo Latiff yang klasik itu.


P.Ramlee telah mengajarkan kita pengajaran yang mudah tetapi sangat penting untuk kita, iaitu janganlah kita bersikap sombong terhadap orang miskin, kerana pada satu masa dan satu ketika, merekalah yang akan membantu kita. Ditambah pula, mereka juga manusia yang mempunyai untuk hidup di atas muka bumi ini. Bantulah mereka dengan kekayaan kita, mudah-mudahan kita diberkati.



Baik, filem SEMERAH PADI adalah filem kedua arahan P.Ramlee. Dan, filem ini langsung jauh berbeza daripada filem Penarek Becha arahan pertama beliau. Penarek Becha diarahkan pada tahun 1955 manakala Semerah Padi ini diarahkan pada tahun 1956. Menurut Aziz Sattar, filem inilah yang sebenar-benarnya mengangkat P.Ramlee sebagai pengarah filem Melayu terulung apabila beliau berani membuat perubahan tatkala penonton filem masih lagi asyik dengan filem-filem bergaya Hindustan. Beliau mengubah tema penceritaan, set, kostum, penataan cahaya, dialog dan juga muzik. Meskipun sebelum filem ini, P.Ramlee telah membintangi filem Hang Tuah yang diarahkan oleh Phani Majumdar. Namun begitu, memandangkan Phani Majumdar adalah pengarah dari India, kesannya dilihat jelas juga pada filem itu, di mana masih ada elemen Hindustan di dalamnya, meskipun filemnya bercorak purba.

Berbalik kepada filem SEMERAH PADI, P.Ramlee juga telah mengubah corak pertuturan dialog para pelakonnya, sesuai dengan filem bercorak purba. Malah temanya sendiri sudah dilihat 'terlalu berani' untuk sebuah filem ketika itu, iaitu berkisar tentang Islam dan hukum-hakam syariahnya. Malah timbul pula kontroversi apabila P.Ramlee dikritik kerana hukuman sula yang dijatuhkan kepada pesalah zina, sedangkan tidak ada dalam Islam. Sedangkan apabila kita selidik, perkara itu memang ada kerana ketika itu masyarakat Melayu masih mengamalkan undang-undang adat. Si pesalah zina itu bukan saja berzina, malah mereka membunuh orang yang tidak berdosa.

Ok, tentang lakonan, aku amat suka stail yang telah dipupuk oleh P.Ramlee kepada rakan baiknya Noordin Ahmad (al maklum, kedua-duanya orang utara). Dari sinilah ketokohan beliau sebagai pelakon filem purba mula terserlah. Begitu juga dengan stail P.Ramlee sendiri yang aku lihat seakan-akan cuba untuk tidak terlalu menonjol sedangkan beliau adalah pelakon utama, sebaliknya beliau semacam sengaja untuk dibayangi kehebatan Noordin Ahmad di dalam filem ini. Saadiah ? Ah, tak usah cerita, beliau tetap hebat dengan gayanya sendiri yang unik. Aku boleh bayangkan Saadiah mengawal pernafasannya untuk dialog-dialog yang memerlukan beliau untuk lebih 'feeling', terutama apabila Aduka (P.Ramlee) dilihat jelas cuba menjauhi Dara (Saadiah) lantaran beliau telah bertunang dengan Taruna (Noordin Ahmad). Oh ya, di dalam filem ini juga, sekali lagi Salleh Kamil memegang watak jahat selepas filem Penarek Becha. Beliau yang membawa peranan Borek sebagai kepala penjahat telah melakonkan wataknya dengan baik sekali, ditambah pula kelincahannya di dalam aksi perlawanan dengan P.Ramlee. 

Tentang set, aku memang tabik kepada P.Ramlee dan krew beliau untuk set filem ini. Kawasan kampung dan hutan itu sememangnya dibina di dalam studio. Namun, kehebatan penataan cahaya dan sudut kamera telah menjadikan set itu kelihatan sangat 'real'. Sehingga sekarang, aku masih tertanya-tanya bagaimana mereka membina set pokok-pokok hutan itu di dalam studio mereka. Cuma ada beberapa keadaan saja di mana P.Ramlee menggunakan latar di luar studio seperti di tanah sawah dan juga sungai tempat perahu nelayan berlayar.

Dan, yang paling kerap dibincangkan ialah pengaruh filem luar untuk filem ini. Dikhabarkan bahawa P.Ramlee amat terkesan dengan sebuah filem tersohor dunia iaitu Rashomon yang diarahkan oleh Akira Kurosawa. Oleh itu, ada beberapa 'shot' di dalam filem ini digunapakai oleh P.Ramlee, iaitu babak Aduka mencari Dara dan juga babak Borek cuba merogol Dara. Rashomon diterbitkan pada tahun 1950, manakala filem ini diterbitkan pada tahun 1956. Makanya, tidak diketahui bila agaknya P.Ramlee menonton Rashomon itu.

Pada asalnya, aku tidak mengetahui sangat tentang filem ini ketika aku kecil. Aku mula menonton filem ini berulang kali ketika aku bersekolah menengah, kerana pada mata aku, filem yang ini amat berbeza sekali. Ya, ketika ini, P.Ramlee masih belum mengarahkan sebarang filem komedi. Oleh itu, dapat aku simpulkan sememangnya komedi bukanlah pilihan utama P.Ramlee apabila mengarah filem. Namun, apabila beliau diminta untuk mengarah sebuah filem komedi, beliau tidak pula mengarahkannya dengan sambil lewa. Habis dicurahkan segala jiwa dan raganya untuk filem itu. 

Di dalam filem Semerah Padi, aku melihat kisah ketaatan anak-anak kepada kedua ibu bapa yang tidak ada tolok bandingnya. Namun, kesilapan sendiri telah mengundang padah, dan ibu bapalah yang turut sama menanggung malunya. Di dalam filem ini juga, aku melihat P.Ramlee cuba dengan sinis memberitahu kita bahawa iman manusia itu ada naik dan turunnya. Meski Aduka dan Dara adalah manusia yang cukup jaga akhlak dan pergaulannya, namun dek kerana nafsu, tersungkur mereka berdua ke kancah penzinaan yang amat 'taboo' oleh masyarakat pada ketika itu. 

BERSAMBUNG...

No comments: