Nuffnang
Monday, August 31, 2009
JEDA KEMERDEKAAN
Ruang kemerdekaan itu adalah satu semangat misteri yang mewakili nenek moyang kita yang hendak mengajar kita apa ertinya merdeka dan bagaimana susahnya hendak merdeka.
Kita merdeka daripada tangan penjajah, bukan daripada Tuhan. Kita tidak pernah merdeka daripada Tuhan. Kita tetap terikat dengan perbendaharaan syariat Tuhan yang luas dan bererti itu. Justeru, nenek moyang kita, dengan nama Tuhan, sedaya upaya memerdekakan tanah air kita daripada si kafir yang mencengkam segenap kekayaan yang kita ada. Sudahlah begitu, tak kurang juga yang menyangsikan kebolehan kita untuk merdeka. Padahal, sebelum itu kita telahpun kaya raya sehinggakan Portugis buat pertama kalinya datang menjajah kita dan menyebarkan benih agama Kristian dalam masyarakat kita, iaitu Melayu. Namun, orang Melaka yang sudah kukuh Islamnya tidak mudah dipujuk oleh sang paderi.
Bermula dari satu, lebih daripada 500 tahun, nenek moyang kita, leluhur kita bertempur, bermandi darah untuk memerdekakan kita, atas nama kita, pewarisnya. Kita bertempur dengan pedang, keris, panah dan juga lembing untuk merdeka. Kemudian, sedikit demi sedikit, kita beralih cara dengan bertempur cara lisan dan pena.
Maka, lahirlah Ishak Haji Muhammad, Abdul Rahim Kajai, Tan Sri A. Samad Ismail, dan ramai lagi pejuang yang tidak berjuang melalui mata pedang, tetapi dengan mata pena dan tutur lisan.
Hal ini semua ternyata memakan masa berpuluh-puluh tahun. Orang Melayu, bersama-sama dengan orang Cina dan India ketika itu berusaha untuk merdeka. Semua disatupadukan atas dasar untuk merdeka. Orang putih kian risau kerana kita semakin kuat. Lalu, Persekutuan hendak dibentuk setelah Malayan Union yang menghapuskan kuasa raja-raja Melayu ditentang habis-habisan.
Lalu, berlakulah rundingan demi rundingan. Itu kita belum kira lagi dengan mereka yang khianat pada pemimpin kita. Ketika itu.
Nah, kalau mahu diimbas balik, ianya rentetan peristiwa yang panjang sekali. Penuh duka daripada suka.
Jadi, bersyukurlah dengan rahmat kemerdekaan oleh Tuhan. Jangan sampai Tuhan menarik kembali nikmat itu. Atau, mungkinkah Tuhan sedang menarik nikmat itu sedikit demi sedikit disebabkan ramai di antara kita lupa diri dan tidak bersyukur ?
Wallahua'lam.
Tuesday, August 25, 2009
'ENJOY' BERBUKA PUASA
Contohnya ialah berbuka di Macdonald sambil bergelak ketawa dengan rakan-rakan.
Mengapa saya berkata begini ?
Kerana berbuka puasa itu adalah satu nikmat.
Lihat, perkataan 'nikmat' itu ada rahsianya yang tersendiri.
Ketika kita berbuka puasa itu, ada ke kita mengenangkan orang-orang miskin yang tidak dapat makan dan minum selama beberapa hari ? Adakah kita teringat kisah seorang wanita merebus batu hanya untuk memujuk anaknya supaya tidak merengek kelaparan ?
Oh, terlupa. Begitulah resam manusia yang terlalu asyik berseronok sehingga terlupa hal-hal sebegini yang boleh meruntun jiwa kita ke arah rasa bersyukur dengan apa yang ada.
Sebenarnya, nikmat berbuka puasa itu juga adalah satu 'tarbiah' daripada Allah buat hamba-Nya supaya tidak lupa dengan kesusahan orang lain. Betapa hebatnya nilai berbuka puasa sehingga mampu membuat kita rasa bersyukur, bukan 'enjoy' tak pasal-pasal.
Dalam bulan Ramadhan ini, ada banyak sekali perkara 'ajaib dan misteri' yang boleh kita temui yang membuktikan bahawa Ramadhan ini memanglah bulan yang terhebat yang dianugerahkan Allah kepada umat Islam, atas nama Yang Maha Penyayang.
Sunday, August 23, 2009
NAIK TARAF MASJID
MEMPERTEMUKAN NILAI RAMADHAN YANG SEBENAR
Tahu mengapa tidak ramai manusia yang menemukan Ramadhan yang sebenar ? Kerana semuanya sibuk hendak memikirkan tentang raya lebih daripada Ramadhan itu sendiri.
Ramadhan itu hanya sekadar bulan yang mesti dilalui setiap tahun untuk bertemu dengan bulan raya.
Sebab itulah ramai manusia masih sama sahaja perangainya sebelum Ramadhan dan selepas Ramadhan.
Jika kita fikirkan, takkanlah Tuhan itu 'mewujudkan' bulan Ramadhan ini hanya untuk 'mengizinkan' kita berhari raya ?
Tentunya ada lagi hikmah tersembunyi di sebalik Ramadhan itu sendiri. Sebab itulah ramai ulama menyuruh kita menyemak kembali sejarah yang berlaku dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Antaranya ialah turunnya Al-Quran kepada Nabi kita Muhammad s.a.w. Namun begitu, al-Quran itu tidak diturunkan 'selepuk' ke atas nabi. Sebaliknya, al-Quran itu 'disimpan' di Baitul Izzah lalu diturunkan kepada nabi sedikit demi sedikit. Boleh sahaja kita bayangkan kalaulah al-Quran itu diturunkan sekaligus, tentulah nabi kita menghadapi kesulitan untuk menyampaikannya. Lalu atas nama kebijaksanaan Tuhan, al-Quran itu diturunkan sesuai dengan rentetan peristiwa yang berlaku sepanjang kehidupan nabi sebagai seorang penyampai risalah agung iaitu Islam.
Itu baru satu, sedangkan ada banyak lagi peristiwa agung yang berlaku saat Ramadhan. Bukankah jelas bahawa ada lagi kemuliaan tersembunyi dalam Ramadhan ini ?
Ada orang memberitahu saya tentang Ramadhan ini,
"Kalau kau sudah berjumpa dengan Ramadhan yang sebenar, kau takkan rasa lapar dan dahaga lagi pada siang hari, dan kau tidak akan kekenyangan pada malam hari. Yang ada hanyalah kerinduan untuk bertemu dengan Tuhan. Itu Ramadhan yang sebenar."
Hmm...nampaknya susah. Memang pun. Ramadhan bukan untuk bermain-main. Sebaliknya bersungguh-sungguh menghayatinya. Sehinggakan dikhabarkan kepada kita bahawa jika kita memulakan sesuatu di bulan ini, kita akan menjadi biasa melakukannya pada bulan-bulan lain. Contohnya merokok. Jika kita memulakan untuk tidak merokok pada bulan Ramadhan ini, kita tidak akan merokok lagi selama-lamanya. Itulah misteri bulan Ramadhan. Seolah-olah setiap satu perbuatan itu dirahmati Tuhan. Namun, ianya perlukan kesungguhan dan keyakina terhadap janji Tuhan bahawa sesiapa meninggalkan yang buruk, Tuhan akan menggantinya dengan yang baik.
Seperkara lagi yang menarik tentang Ramadhan ini, pintu neraka ditutup dan pintu syurga dibuka seluas-luasnya. Rahmat keselamatan daripada seksaan kubur diberikan kepada ahli kubur. Bergembiralah mereka di dalam lahad selama sebulan ini. Cara mereka bergembira tentulah tidak sama dengan kita yang hidup ini. Lagi satu, tiada catatan dosa sepanjang Ramadhan ini.
Wah, betapa besarnya kurniaan Tuhan dalam bulan mulia ini. Takkanlah ianya semata-mata untuk membolehkan kita beraya selepas berpuasa ? Tentulah ada perkara lain yang mewajibkan kita berpuasa pada bulan ini.
Bersederhana
Satu lagi nilai Ramadhan yang sering dilupakan ialah bersederhana. Perkara ini termasuklah membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadhan. Ramai orang membeli juadah sehingga tahap 'tidak masuk akal'. Alasannya, nanti lepas Terawih boleh makan lagi. Itukan nanti akan menyesakkan perut dan menyukarkan kita untuk bangun sahur sebab terlalu kenyang pada malam hari.
Mengapa nabi menggalakkan kita bangun sahur meskipun dengan meminum seteguk air ? Kerana pada sahur itu ada keberkatan. Apabila bercakap soal keberkatan ini, ianya memang misteri dan tidak dapat dijangkau oleh akal logik. Hanya Tuhan sahaja yang tahu nilai keberkatan dalam bersahur.
Amal Ibadah
Perkara ini sering dibincangkan di kaca televisyen terutamanya di dalam rancangan yang bercorak agama seperti al-Kuliyyah dan sebagainya. Soal amal ibadat sepanjang bulan Ramadhan.
Mengapa kita disuruh meningkatkan amal ibadat ? Kerana pada bulan Ramadhan pahala amal dilipatgandakan.
Kalau begitu jelaslah bahawa Tuhan itu Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Tuhan memang hendak kita masuk syurga, tetapi kita sendiri yang bodoh memilih jalan ke neraka. Tuhan tidak pernah zalim, bahkan kita sendiri yang menzalimi diri kita. Kita tidak meletakkan diri kita pada tempat yang selayaknya, iaitu sebagai hamba Tuhan. Kita ini lupa bahawa kita hanyalah seorang hama, tidak lebih daripada itu.
Raja seorang hamba, presiden seorang hamba, perdana menteri seorang hamba, naib canselor seorang hamba, ketua jabatan seorang hamba, profesor seorang hamba dan ketua pegawai eksekutif juga seorang hamba. Lalu, apa yang hendak dibanggakan dengan pangkat dan kebesaran sedangkan taraf kita yang hakiki ialah hamba yang diberi sedikit jawatan dunia kemudian akan dipertanggungjwabkan jawatannya itu di akhirat kelak ?
Jika begitu, Ramadhan ini adalah bulan yang amat baik untuk kita menyedarkan diri kita sendiri. Sedarlah diri kita ini hanyalah manusia yang akan dijemput pulang kembali apabila tiba masanya. Bulan Ramadhan ini adalah bulan untuk melatih sifat zuhud dan tidak tamakkan harta dunia yang tidak kekal. Bahkan bulan Ramadhan juga bulan yang amat baik untuk membuang sifat mazmumah dalam diri kita dan melatih diri untuk mencapai tingkatan nafsu al-mutmainnah.
Amal ibadah seperti solat sunat, membaca al-Quran, berzikir, bersedekah dan menunaikan zakat adalah ibadah untuk melatih untuk tidak cintakan dunia yang sementara, sebaliknya melatih untuk mencintai dunia yang kekal buat selama-lamanya, iaitu syurga, bukan neraka. Kita tidak mahu 'mencintai seraya 'menempah' neraka. Memang pelik sekali mengapa pengikut-pengikut aliran karut yang menyembah syaitan dan iblis sanggup membahayakan diri mereka untuk dibaham api neraka di mana satu zarah apinya mampu menghanguskan bumi ini seluruhnya.
Tanda kesyukuran
Biasalah, tidak lengkap berbicara tentang Ramadhan sekiranya tidak disertai dengannya Syawal. Seolah-olah kedua-dua bulan ini 'bersatu'.
Syawal itu dikatakan orang kebanyakan ialah bulan kemenangan. Menang apa ? Menang melawan godaan nafsu sepanjang bulan Ramadhan. Namun, apa yang peliknya di sini ialah mereka mendakwa mereka menang melawan godaan nafsu, tetapi semasa di bulan Syawal ramai di antara mereka yang kalah dengan nafsu. Makan sebanyak-banyaknya, minum sebanyak-banyaknya dan membazir sebanyak-banyaknya. Pelik sekali. Bagaimana dikatakan menang sebaliknya di 'bulan kemenangan' itu mereka telahpun 'kalah' ?
Dalam bulan Syawal ini juga, kita digalakkan untuk berpuasa sunat selama enam hari seperti yang pernah dilakukan oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w. Orang Melayu menggelarnya 'puasa enam'. Tidak kisahlah bagaimana kita menggelarnya, namun amalan itu rupa-rupanya amat baik untuk kesihatan. Ianya seolah-olah untuk mengelakkan badan kita 'naik' semula selepas berpuasa selama sebulan. Tabiat manusia kan begitu. Apabila tidak makan pada siang hari selama sebulan, kemudia dapat makan semula, tentulah tabiat hendak 'membalas dendam' itu ada. Dan puasa enam ini 'membunuh' tabiat itu sebaik-baiknya. Malah diajar pula supaya puasa itu dilakukan berselang-seli.
Nah, lihatlah betapa Tuhan sayangkan kita.
Secara jujurnya, orang perempuan memang 'pantang' jika tidak menghias rumah saat berhari raya. Itu bagus kerana ia petanda kita meraikan tetamu. Mereka malu sekali jika langsir tingkap yang digunakan tahun lepas masih digunakan lagi tahun ini. Begitu juga dengan hiasan ruang tetamu dan sebagainya. Semuanya hendak dibarukan. Namun, kadangkala ianya agak berlebihan sehingga kita berasa kurang senang dengan wang yang dibelanjakan untuk itu. Nah, sekali lagi kita kalah dengan nafsu kita. Agama kita tidak melarang untuk menghias rumah demi meraikan tetamu, bahkan ianya dituntut pula supaya tetamu merasa diraikan. Tetapi, jika ianya sudah berlebihan, dikhuatiri tidak mendapat pahala, bahkan mendapat dosa pula kerana mungkin di situ ada unsur-unsur riak dan membangga diri kerana berhasil menampilkan hiasan rumah yang hebat dan cantik sekali. Mudah-mudahan penyakit syirik kecil ini dapat kita jauhkan.
Kesimpulannya, untuk menemukan nilai Ramadhan yang sebenar, kita perlulah membersihkan jiwa kita daripada rasa cinta kepada dunia, sebaliknya suburkanlah rasa sayang kepada Tuhan supaya kita dapat merasai nikmat berpuasa yang sebenar-benarnya. Hal itu bukanlah mudah, namun kita boleh melatihnya sedikit demi sedikit. Semoga kita berhasil mendapatkan barakah Ramadhan dan berhasil menenangkan jiwa kita yang sering tertekan dengan masalah dunia yang serba kacau ini.
Wallahua'lam.
*Ditulis dan diterbitkan di blog Friendster.com.
PUASA BUKAN LAGI TIDAK MAKAN DAN MINUM
Di saat orang lain mengeluh kehausan, dia tidak dahaga.
Di saat orang lain muram keletihan, dia tidak letih.
Kerana apa ?
Kerana dia telah tahu, puasa bukan lagi menahan lapar dan dahaga.
Baginya, puasa adalah jalan bertemu Tuhan dalam keadaan yang sungguh misteri.
Di saat agama lain menyalahkan Tuhan jika mereka kelaparan dan dahaga, dia dengan agama suci itu bisa menemukan Tuhan dalam keadaan lapar dan dahaga. Seolah-olah Tuhan telah merahmati rasa lapar dan dahaganya sehingga tidak ada lagi rasa lapar dan dahaga pada zahirnya, sebaliknya rasa lapar dan dahaga pada batinnya.
Batinnya memerlukan Tuhan. Dan Tuhan akan dikejarnya. Tuhan akan dicarinya. Tuhan akan dirinduinya. Tuhan akan dikasihinya.
Mengasihi Tuhan.
Itulah puncak kasih tertinggi yang jarang diperoleh manusia kebanyakan lantaran leka dengan hiburan dunia.
Pancainderanya dipelihara baik-baik demi Tuhan. Perutnya dijaga baik-baik demi Tuhan. Lidahnya dijaga baik-baik demi Tuhan.
Lalu Tuhan menyampaikan kurnia kepadanya dengan mempertemukan dia dengan malam kemuliaan, kemuncak perhambaan saat Ramadhan yang mulia.
Lailatul Qadar.
Malam padanya diturunkan al-Quran.
Bertasbihlah alam semesta memuji Tuhan Rabbul Alamin.
Bertebaranlah rahmat di seluruh pelusuk bumi ini.
Begitu balasan Tuhan buat mereka yang ikhlas.
Dan nyata sekali.
Ikhlas itu bukan perkara yang mudah melainkan ada padanya pengorbanan.
Selamat berpuasa.
Wallahua'lam.
Saturday, August 22, 2009
PERTAMA RAMADHAN INI
Atas nama keberkatan, kumohon jangan ada perselisihan fahaman lagi.
Atas nama keberkatan, ku mohon jangan dihina-hina agama orang lain.
Atas nama keberkatan, ku mohon jangan menghukum orang sesuka hati lagi.
SELEBRITI SAMBUT BULAN PUASA
Baik pergi lihat di luar sana tiga golongan menyambut puasa.
Pertama : Golongan kaya.
Kedua: Golongan sederhana
Ketiga: Golongan miskin
Ketiga-tiganya ini yang lebih mencorakkan Ramadhan dengan ragam dan perangai yang berbeza-beza.
Kalau selebriti, lebih ramai yang bermuka-muka berbanding jujur.
Wednesday, August 19, 2009
BIARLAH KALI INI SAMPAI MATI
Patutnya kena berniat semoga berbahagia dan kekal hingga ke syurga. Syurga jangan lupa, bro. Lepas kita mati, kita hendak ke syurga. Bukan mati itu, selesai begitu sahaja. Akan ada perbicaraan agung.
Semoga perkahwinan ini menjauhkan kalian berdua daripada dosa-dosa besar.
Emm...paling penting, wajibkanlah isteri itu menutup aurat sebaik-baiknya. Bukan sekadar tudung lilit kat leher kemudian berbaju dan berseluar sendat, ketat dan nampak pusat. Itu tak guna juga.
YANG PUTIH BERSIH
Dahulu, ya kita ini kain putih.
Kemudian, ibu dan ayah kita dengan baik-baik 'mewarnakan' kita mengikut 'kreativiti' mereka. Ya, mungkin juga mereka merujuk orang yang 'pakar' dalam mewarna 'kain putih' seperti kita ini.
Alim ulama, contohnya.
Dan nabi kita, tentunya.
Lalu, kain yang terhasil tentulah kain yang bercorak unik dan beraneka.
Selalunya, setiap kain putih akan berbeza-beza coraknya.
Itulah kita sekarang ini.
Kemudian, akan ada benda-benda yang akan mengotorkan 'warna' kita yang cantik itu.
Debu dosa.
Habuk noda.
Tumpahan nista.
Palitan keji.
Tompokan hina.
Semua itu akan 'cuba' menyinggah ke atas kita.
Jadi, 'sabun pencuci' perlu disiapsediakan untuk mencuci 'warna' kita yang bakal 'kotor'.
Kita tidak akan dapat lari daripada semua 'kekotoran' itu. Itu memang 'ujian dunia'.
Jadi, mereka yang berpakaian putih tidak semestinya mencerminkan hati yang bersih.
Saturday, August 15, 2009
TAK PERCAYA CINTA
Mengapakah Lyana Jasmay 'Papadom' ini tidak percayakan cinta ?
Kerana Lyana Jasmay yang 'mewakili' orang lain itu berpendapat cinta itu penuh dusta.
Ya, cinta itu memang penuh dusta. Kerana cinta itu cinta nafsu. Kalau cinta suci atas keimanan dan ketakwaan, tiadalah ia palsu sama sekali.
Jadi, Lyana Jasmay perlu 'mencari' di manakah sebenarnya cinta yang sepatutnya dipercayai.
Sebab apa ?
Sebab Lyana Jasmay mendendangkan sebuah 'cinta yang tidak boleh dipercayai'.
Wednesday, August 12, 2009
ADA KALANYA...
Kadangkala, perubahan bawa bahaya...
Monday, August 10, 2009
Friday, August 07, 2009
KETENANGAN MASJID...
Thursday, August 06, 2009
PERBINCANGAN BERKUMPULAN
Wednesday, August 05, 2009
REMBULAN MENANGIS
Di serambi malam
Intan buah hatimu
Dicabik tangan-tangan serigala
Binting-bintang muram
Beku dalam luka
Untukmu saudaraku
Kami semua turut berduka
Lolong
Burung malam di rimba
Melengking
Menyayat jiwa
Tangis kami pecah di batu
Duka kami remuk di dada
Doa kami bersama-sama
Untukmu
Angin pun menjerit
Badai bergemuruh
Semuanya marah
Hanya iblis terbahak
Bersorak...
Saturday, August 01, 2009
TERBAIK MALAYSIA
Petikan Utusan Malaysia :
JOHOR BAHRU 31 Julai - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) muncul sebagai universiti terbaik di negara ini berdasarkan penarafan Webometric yang dikeluarkan, di sini hari ini.
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Zaini Ujang berkata, melalui penarafan itu, ia menjadikan UTM sebagai universiti terbaik di Malaysia meninggalkan Universiti Sains Malaysia (USM) di tempat kedua.
Beliau berkata, penarafan tersebut dibuat dua kali setahun oleh Cybermetric Lab iaitu sebuah kumpulan penyelidik terbesar dari Sepanyol berdasarkan analisis kuantitatif laman web sesebuah universiti dan kandungan yang diperoleh daripada Internet.
''Kejayaan UTM disebabkan inisiatif serta sokongan semua pihak bagi menaik taraf dan melancarkan laman web baru dengan paparan yang yang lebih menarik, mudah diakses dan pantas.
''Di samping itu, banyak laman pengkayaan maklumat dan bahan yang bersesuaian dibangunkan setiap kakitangan akademik di fakulti dan pusat kecemerlangan menggunakan domain yang sama dalam usaha menyumbang ke arah peningkatan kedudukan dalam penarafan Webometric,'' katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Zaini berkata, penarafan terbaru itu menunjukkan UTM berjaya menduduki tempat ke-10 di kalangan universiti di Asia Tenggara.
Beliau berkata, antara universiti tempatan yang tersenarai dalam kedudukan 100 universiti terbaik di Asia ialah Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Turut tersenarai, katanya, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Beliau berkata, UTM turut memperkenalkan rangkaian laman web sosial yang boleh diakses secara terus daripada laman web universiti berkenaan sebagai salah satu kaedah untuk mendekati golongan sasaran.
''Langkah itu bagi membolehkan UTM memperkenalkan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan kepada golongan sasaran seperti remaja, mahasiswa serta penyelidik berkaitan program pembelajaran, kepakaran penyelidikan termasuk jaringan kerjasama antarabangsa,'' katanya.