Tahu mengapa tidak ramai manusia yang menemukan Ramadhan yang sebenar ? Kerana semuanya sibuk hendak memikirkan tentang raya lebih daripada Ramadhan itu sendiri.
Ramadhan itu hanya sekadar bulan yang mesti dilalui setiap tahun untuk bertemu dengan bulan raya.
Sebab itulah ramai manusia masih sama sahaja perangainya sebelum Ramadhan dan selepas Ramadhan.
Jika kita fikirkan, takkanlah Tuhan itu 'mewujudkan' bulan Ramadhan ini hanya untuk 'mengizinkan' kita berhari raya ?
Tentunya ada lagi hikmah tersembunyi di sebalik Ramadhan itu sendiri. Sebab itulah ramai ulama menyuruh kita menyemak kembali sejarah yang berlaku dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Antaranya ialah turunnya Al-Quran kepada Nabi kita Muhammad s.a.w. Namun begitu, al-Quran itu tidak diturunkan 'selepuk' ke atas nabi. Sebaliknya, al-Quran itu 'disimpan' di Baitul Izzah lalu diturunkan kepada nabi sedikit demi sedikit. Boleh sahaja kita bayangkan kalaulah al-Quran itu diturunkan sekaligus, tentulah nabi kita menghadapi kesulitan untuk menyampaikannya. Lalu atas nama kebijaksanaan Tuhan, al-Quran itu diturunkan sesuai dengan rentetan peristiwa yang berlaku sepanjang kehidupan nabi sebagai seorang penyampai risalah agung iaitu Islam.
Itu baru satu, sedangkan ada banyak lagi peristiwa agung yang berlaku saat Ramadhan. Bukankah jelas bahawa ada lagi kemuliaan tersembunyi dalam Ramadhan ini ?
Ada orang memberitahu saya tentang Ramadhan ini,
"Kalau kau sudah berjumpa dengan Ramadhan yang sebenar, kau takkan rasa lapar dan dahaga lagi pada siang hari, dan kau tidak akan kekenyangan pada malam hari. Yang ada hanyalah kerinduan untuk bertemu dengan Tuhan. Itu Ramadhan yang sebenar."
Hmm...nampaknya susah. Memang pun. Ramadhan bukan untuk bermain-main. Sebaliknya bersungguh-sungguh menghayatinya. Sehinggakan dikhabarkan kepada kita bahawa jika kita memulakan sesuatu di bulan ini, kita akan menjadi biasa melakukannya pada bulan-bulan lain. Contohnya merokok. Jika kita memulakan untuk tidak merokok pada bulan Ramadhan ini, kita tidak akan merokok lagi selama-lamanya. Itulah misteri bulan Ramadhan. Seolah-olah setiap satu perbuatan itu dirahmati Tuhan. Namun, ianya perlukan kesungguhan dan keyakina terhadap janji Tuhan bahawa sesiapa meninggalkan yang buruk, Tuhan akan menggantinya dengan yang baik.
Seperkara lagi yang menarik tentang Ramadhan ini, pintu neraka ditutup dan pintu syurga dibuka seluas-luasnya. Rahmat keselamatan daripada seksaan kubur diberikan kepada ahli kubur. Bergembiralah mereka di dalam lahad selama sebulan ini. Cara mereka bergembira tentulah tidak sama dengan kita yang hidup ini. Lagi satu, tiada catatan dosa sepanjang Ramadhan ini.
Wah, betapa besarnya kurniaan Tuhan dalam bulan mulia ini. Takkanlah ianya semata-mata untuk membolehkan kita beraya selepas berpuasa ? Tentulah ada perkara lain yang mewajibkan kita berpuasa pada bulan ini.
Bersederhana
Satu lagi nilai Ramadhan yang sering dilupakan ialah bersederhana. Perkara ini termasuklah membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadhan. Ramai orang membeli juadah sehingga tahap 'tidak masuk akal'. Alasannya, nanti lepas Terawih boleh makan lagi. Itukan nanti akan menyesakkan perut dan menyukarkan kita untuk bangun sahur sebab terlalu kenyang pada malam hari.
Mengapa nabi menggalakkan kita bangun sahur meskipun dengan meminum seteguk air ? Kerana pada sahur itu ada keberkatan. Apabila bercakap soal keberkatan ini, ianya memang misteri dan tidak dapat dijangkau oleh akal logik. Hanya Tuhan sahaja yang tahu nilai keberkatan dalam bersahur.
Amal Ibadah
Perkara ini sering dibincangkan di kaca televisyen terutamanya di dalam rancangan yang bercorak agama seperti al-Kuliyyah dan sebagainya. Soal amal ibadat sepanjang bulan Ramadhan.
Mengapa kita disuruh meningkatkan amal ibadat ? Kerana pada bulan Ramadhan pahala amal dilipatgandakan.
Kalau begitu jelaslah bahawa Tuhan itu Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Tuhan memang hendak kita masuk syurga, tetapi kita sendiri yang bodoh memilih jalan ke neraka. Tuhan tidak pernah zalim, bahkan kita sendiri yang menzalimi diri kita. Kita tidak meletakkan diri kita pada tempat yang selayaknya, iaitu sebagai hamba Tuhan. Kita ini lupa bahawa kita hanyalah seorang hama, tidak lebih daripada itu.
Raja seorang hamba, presiden seorang hamba, perdana menteri seorang hamba, naib canselor seorang hamba, ketua jabatan seorang hamba, profesor seorang hamba dan ketua pegawai eksekutif juga seorang hamba. Lalu, apa yang hendak dibanggakan dengan pangkat dan kebesaran sedangkan taraf kita yang hakiki ialah hamba yang diberi sedikit jawatan dunia kemudian akan dipertanggungjwabkan jawatannya itu di akhirat kelak ?
Jika begitu, Ramadhan ini adalah bulan yang amat baik untuk kita menyedarkan diri kita sendiri. Sedarlah diri kita ini hanyalah manusia yang akan dijemput pulang kembali apabila tiba masanya. Bulan Ramadhan ini adalah bulan untuk melatih sifat zuhud dan tidak tamakkan harta dunia yang tidak kekal. Bahkan bulan Ramadhan juga bulan yang amat baik untuk membuang sifat mazmumah dalam diri kita dan melatih diri untuk mencapai tingkatan nafsu al-mutmainnah.
Amal ibadah seperti solat sunat, membaca al-Quran, berzikir, bersedekah dan menunaikan zakat adalah ibadah untuk melatih untuk tidak cintakan dunia yang sementara, sebaliknya melatih untuk mencintai dunia yang kekal buat selama-lamanya, iaitu syurga, bukan neraka. Kita tidak mahu 'mencintai seraya 'menempah' neraka. Memang pelik sekali mengapa pengikut-pengikut aliran karut yang menyembah syaitan dan iblis sanggup membahayakan diri mereka untuk dibaham api neraka di mana satu zarah apinya mampu menghanguskan bumi ini seluruhnya.
Tanda kesyukuran
Biasalah, tidak lengkap berbicara tentang Ramadhan sekiranya tidak disertai dengannya Syawal. Seolah-olah kedua-dua bulan ini 'bersatu'.
Syawal itu dikatakan orang kebanyakan ialah bulan kemenangan. Menang apa ? Menang melawan godaan nafsu sepanjang bulan Ramadhan. Namun, apa yang peliknya di sini ialah mereka mendakwa mereka menang melawan godaan nafsu, tetapi semasa di bulan Syawal ramai di antara mereka yang kalah dengan nafsu. Makan sebanyak-banyaknya, minum sebanyak-banyaknya dan membazir sebanyak-banyaknya. Pelik sekali. Bagaimana dikatakan menang sebaliknya di 'bulan kemenangan' itu mereka telahpun 'kalah' ?
Dalam bulan Syawal ini juga, kita digalakkan untuk berpuasa sunat selama enam hari seperti yang pernah dilakukan oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w. Orang Melayu menggelarnya 'puasa enam'. Tidak kisahlah bagaimana kita menggelarnya, namun amalan itu rupa-rupanya amat baik untuk kesihatan. Ianya seolah-olah untuk mengelakkan badan kita 'naik' semula selepas berpuasa selama sebulan. Tabiat manusia kan begitu. Apabila tidak makan pada siang hari selama sebulan, kemudia dapat makan semula, tentulah tabiat hendak 'membalas dendam' itu ada. Dan puasa enam ini 'membunuh' tabiat itu sebaik-baiknya. Malah diajar pula supaya puasa itu dilakukan berselang-seli.
Nah, lihatlah betapa Tuhan sayangkan kita.
Secara jujurnya, orang perempuan memang 'pantang' jika tidak menghias rumah saat berhari raya. Itu bagus kerana ia petanda kita meraikan tetamu. Mereka malu sekali jika langsir tingkap yang digunakan tahun lepas masih digunakan lagi tahun ini. Begitu juga dengan hiasan ruang tetamu dan sebagainya. Semuanya hendak dibarukan. Namun, kadangkala ianya agak berlebihan sehingga kita berasa kurang senang dengan wang yang dibelanjakan untuk itu. Nah, sekali lagi kita kalah dengan nafsu kita. Agama kita tidak melarang untuk menghias rumah demi meraikan tetamu, bahkan ianya dituntut pula supaya tetamu merasa diraikan. Tetapi, jika ianya sudah berlebihan, dikhuatiri tidak mendapat pahala, bahkan mendapat dosa pula kerana mungkin di situ ada unsur-unsur riak dan membangga diri kerana berhasil menampilkan hiasan rumah yang hebat dan cantik sekali. Mudah-mudahan penyakit syirik kecil ini dapat kita jauhkan.
Kesimpulannya, untuk menemukan nilai Ramadhan yang sebenar, kita perlulah membersihkan jiwa kita daripada rasa cinta kepada dunia, sebaliknya suburkanlah rasa sayang kepada Tuhan supaya kita dapat merasai nikmat berpuasa yang sebenar-benarnya. Hal itu bukanlah mudah, namun kita boleh melatihnya sedikit demi sedikit. Semoga kita berhasil mendapatkan barakah Ramadhan dan berhasil menenangkan jiwa kita yang sering tertekan dengan masalah dunia yang serba kacau ini.
Wallahua'lam.
*Ditulis dan diterbitkan di blog Friendster.com.
No comments:
Post a Comment