Di saat orang lain mengeluh kelaparan, dia tidak lapar.
Di saat orang lain mengeluh kehausan, dia tidak dahaga.
Di saat orang lain muram keletihan, dia tidak letih.
Kerana apa ?
Kerana dia telah tahu, puasa bukan lagi menahan lapar dan dahaga.
Baginya, puasa adalah jalan bertemu Tuhan dalam keadaan yang sungguh misteri.
Di saat agama lain menyalahkan Tuhan jika mereka kelaparan dan dahaga, dia dengan agama suci itu bisa menemukan Tuhan dalam keadaan lapar dan dahaga. Seolah-olah Tuhan telah merahmati rasa lapar dan dahaganya sehingga tidak ada lagi rasa lapar dan dahaga pada zahirnya, sebaliknya rasa lapar dan dahaga pada batinnya.
Batinnya memerlukan Tuhan. Dan Tuhan akan dikejarnya. Tuhan akan dicarinya. Tuhan akan dirinduinya. Tuhan akan dikasihinya.
Mengasihi Tuhan.
Itulah puncak kasih tertinggi yang jarang diperoleh manusia kebanyakan lantaran leka dengan hiburan dunia.
Pancainderanya dipelihara baik-baik demi Tuhan. Perutnya dijaga baik-baik demi Tuhan. Lidahnya dijaga baik-baik demi Tuhan.
Lalu Tuhan menyampaikan kurnia kepadanya dengan mempertemukan dia dengan malam kemuliaan, kemuncak perhambaan saat Ramadhan yang mulia.
Lailatul Qadar.
Malam padanya diturunkan al-Quran.
Bertasbihlah alam semesta memuji Tuhan Rabbul Alamin.
Bertebaranlah rahmat di seluruh pelusuk bumi ini.
Begitu balasan Tuhan buat mereka yang ikhlas.
Dan nyata sekali.
Ikhlas itu bukan perkara yang mudah melainkan ada padanya pengorbanan.
Selamat berpuasa.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment