Nuffnang

Saturday, March 06, 2010

KEMBARA ROHANI - DARI MULA KE MULA


Izinkan saya memulakan entri kali ini dengan selawat...

Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad, wa 'ala ali sayyidina wa mawlana Muhammad...

Saya terpanggil ataupun kata orang seakan-akan diberi ilham daripada seorang rakan blogger untuk menulis sesuatu yang saya kira besar juga ertinya, meskipun kalau dibaca kelihatannya seperti diulang-ulang. Namun, apa salahnya perkara yang baik itu diulang-ulang, kan ?

Ini cerita tentang rohani. Kembara rohani.

Kalau bercerita tentang sebuah kembara itu, tentunya ia sebuah perjalanan yang panjang. Dari satu titik ke satu titik yang lain, itu tetap dikira panjang. Meski jarak fizikan hanya sekitar 1-2 tahun. Namun jarak hakikinya mungkin hampir melebihi beberapa masa. 'Masa' di sini bolehlah diertikan sebagai jiwa kita dalam menerima kebenaran mahupun kepalsuan. Kebenaran dan kepalsuan itu dah cuba disematkan oleh dua entiti ghaib ke dalam diri kita sejak kita kecil dahulu.

Kalaulah ibu bapa kita tidak menjaga kita baik-baik, nyatalah kepalsuan akan menang. Namun, jika ibu bapa kita menjaga kita dengan memenuhi tuntutan agama ke atas ibu bapa terhadap seorang anak, maka kebenaran akan menang. Hal inilah yang saya ertikan sebagai 'masa jiwa'. Perpindahan dari jiwa ibu bapa kepada kita sebagai anak dalam mencari kebenaran kehidupan itu sudah lama. Apabila ibu dan bapa kita dicipta Tuhan sebagai lelaki dan perempuan, mereka sudah dilatih oleh ibu bapa mereka pula untuk mencari kebenaran rohani. Lalu mereka bawa diri mereka baik-baik dengan berpegang kepada didikan yang diasuh ke atas mereka. Jika didikan yang baik dan ikhlas, maka penyudahnya baiklah, itupun jika kita tahu menghargainya.

Baiklah, apabila Tuhan mempertemukan lelaki dan perempuan ini, lalu mereka pun berkahwin. Dari situ, satu kembara lain bagi diri mereka bermula, iaitu sebagai suami isteri. Mereka mendidik diri antara satu sama lain supaya mereka mengetahui yang manakah kebenaran rohani bagi sepasang suami isteri. Apakah sekadar seronok menikmati alam rumahtangga ataupun ada lagi rahsia yang teramat besar dalam perkahwinan yang perlu mereka cari. Itu kembara mereka sebelum lahirnya kita.

Apabila mereka bersenggama demi tuntutan batiniah mereka, mereka rupa-rupanya sedang mempersiapkan satu lagi bahagian kembara rohani besar dalam hidup mereka, iaitu memiliki anak.

Apa kata agama kita tentang seorang anak ?

'Anak itu adalah amanah Allah.'

Dengan izin Tuhan, lahirlah kita setelah ibu kita menanggung 'kembara pendek' iaitu 9 bulan 10 hari. Dalam kembara pendek itu, ibu bapa kita wajib mempersiapkan diri mereka untuk menyambut kita dengan memperbanyakkan amal ibadah kepada Tuhan. Nah, itu bukan sekadar atas nama ibu bapa, tetapi juga atas nama diri mereka sebagai seorang hamba kepada Tuhan. Itu kembara mereka dan semua manusia di dunia. Dan mereka akan 'mewariskan' kembara rohani itu kepada kita, yang akan dilantik Tuhan untuk memegang 'jawatan' sebagai seorang anak. Mana mungkin kita keluar dari perut ibu kita lalu 'menjawat jawatan' ayah ataupun ibu ? Kita akan menjadi anak. Meski orang meramal apa pun tentang kita seperti mana masyarakat dahulu meramal kelahiran nabi junjungan, ianya masih kembara yang jauh, dan berliku-liku.

Apabila membesar dalam jagaan ibu dan ayah kita, kita diajar supaya bersiap-sedia dengan sebuah lagi kembara rohani. Kembara rohani itu untuk kita, atas nama ibu dan ayah kita, atas nama Nabi Muhammad s.a.w dan juga demi Allah. Kita akan bersedia menghadapi kembara itu sesuai dengan cara ibu dan ayah kita mendidik kita, sesuai dengan cara bagaimana ibu dan ayah kita mentaati ajaran agama dan sesuai dengan cara bagaimana ibu dan ayah kita mencintai Tuhan.

Katakanlah ibu dan ayah kita terlalu mencintai dunia sehingga Tuhan dibelakangi, maka kelak kembara kita bakal menjadi begitu. Kita akan mengembara mencari duniawi. Kita tidak akan mahu mencari rohani kerana saki-baki 'ketaatan' ibu dan ayah kita pada duniawi itu telah diserap dalam diri kita juga.

Apabila kita mencapai usia baligh, di mana kita sudah tahu menilai mana yang baik dan buruk, kita akan berdepan dengan kembara kita yang sebenar-benarnya. Ketika ini, akan ada kepalsuan yang mendatang dan akan ada kebenaran yang menyinggah. Yang palsu itu datangnya daripada syaitan, dan yang benar itu datangnya daripada malaikat. Kedua-duanya akan cuba masuk dalam hati kita, di mana kelak ia akan memberi kesan kepada kembara rohani kita.

Kita akan berjalan...berjalan...berjalan...
Kita akan berjumpa dengan kesenangan....dan kesusahan...
Kita akan ketawa....dan kita akan menangis...
Kita akan berjaya...dan kita akan kecewa...
Kita akan jujur...dan kadangkala kita juga akan berdusta...
Kita akan kasih...dan kadangkala kita juga akan benci...
Kita akan diberi macam-macam pilihan...dan kita akan termangu-mangu hendak memilihnya...
Kita akan beroleh pahala...dan kita juga berhadapan dengan banyak dosa...
Kita mahu memilih syurga...namun kita juga banyak beramalan seperti ahli neraka...
Kita mahu taat kepada Tuhan...namun kita akan banyak lalai dengan perkara yang menjauhkan kita dengan Tuhan...

Itu kembara kita, yang bersambungan daripada ibu dan ayah kita yang juga pernah menjadi seperti kita, sebagai seorang lelaki mahupun perempuan.

Itulah legasi yang diperturunkan kepada kita, demi menempuhi sebuah kembara rohani yang kita harapkan berpenghujung dengan kebaikan dan ketenangan.
Namun, jangan kita lupa.

Kembara kita bermula tetapi bukannya berakhir dengan penghujung...

Sebaliknya kembara kita bermula demi menempuhi satu lagi permulaan...
Iaitu alam keabadian...
Di mana hala tuju kembara kita bakal menentukan kita mahu hidup di dalam alam keabadian yang mana satu.

SYURGA atau NERAKA ?

Kita mahu yang mana ?
Kembara kita rasa-rasanya mahu menuju ke mana ?
Benarkah kita yakin akan ke syurga ?
Atau mahukah kita singgah sebentar ke neraka kemudian masuk dalam syurga ?

Kita kadangkala tidak tahu pun.
Kita kadangkala tidak sedar pun.

Kita dahulunya bermula dengan kebaikan. Namun, tiba-tiba di pertengahan, kita kalah dengan kepalsuan.

Mulalah kita meninggalkan hakikat kebenaran. Kita mula mencintai kepalsuan.

Kita mula mencintai dosa.
Dosa itu ada banyak.
Pahala itu juga ada banyak.

Namun, seperti yang diceritakan, syaitan akan memperlihatkan dosa itu kelihatan sungguh megah dan menawan untuk dilakukan.

Zina.
Membuka aurat.
Merpati dua sejoli haram.
Judi.
Arak.
Disko.
Seks.
Lagu-lagu lagha (cinta dunia, kecelaruan dan mempersoalkan hakikat ketuhanan).
Tarian yang mengghairahkan.
Berkelahi.
Berdendam.
Bermuka-muka.
Murtad.
Tatu di badan.
Menyerupai jantina lain.
Dan lain-lain.Ini semua akan digambarkan oleh syaitan sebagai sesuatu yang amat menyeronokkan untuk dilakukan. Dan jika kita mengembara tanpa ilmu dan iman, maka kita akan tertipu dengan keindahan palsu ini. Padahal jika menyedarinya, ianya sesuatu yang teramat jijik untuk dipandang apatah lagi dilakukan.

Itulah kepalsuan dalam kembara rohani.

Apa pula kebenaran ?
Ada banyak sekali.

Kebenaran paling jitu adalah mentaati perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Dan juga mencintai baginda Nabi Muhammad s.a.w dan keturunan ahli keluarganya kerana telah dijanjikan Allah bahawa jika kita tidak mahu selamat, maka kita ikutlah nabi sebagai contoh dan panduan kita.

Benar.

Kembara kita perlu dipandu. Dan panduan itu adalah Nabi Muhammad s.a.w. Nabi adalah contoh teladan yang sangat mulia. Maka kembara rohani kita menjadi mulia jika kita mengikuti sebuah kebenaran. Dan nabi membawa kebenaran. Membelakangi nabi bererti membelakangi kebenaran. Oleh itu, banyaklah kepalsuan yang datang kepada kita.

Orang yang ditimpa kepalsuan ini akan menjadi ego dan sombong. Mereka akan berpegang dengan ideologi mereka sendiri dan membelakangkan nabi.

Apa pendapat kita apabila ada seorang perempuan berkata begini :

"I don't need unpleasant people to judge me.
let me be what i want."

Baiklah, bagaimana halnya jika orang yang dikatakan 'unpleasant' padanya itu adalah alim ulama mahupun sahabat handai yang kasihkannya ?

Oh, kalaulah orang ini mempunyai kekasih seperti perempuan-perempuan lainnya, apakah mungkin kekasihnya sama sepertinya, atau adakah wujud manusia yang suci hati namun masih pula ada nafsu untuk 'bercinta-nafsu' seperti itu ?

Adakah wujud cinta suci dalam diri dua orang lelaki dan perempuan yang bukan muhrim kemudian berpegangan tangan, menyandar kepala antara satu sama lain, berpelukan dan bercumbu-cumbuan ? Tidak usah berbicara mengenai aurat dan batas-batas berpakaian, semuanya main pakai hentam sahaja, meski dahulu kononnya tidak begitu ?

Tidak bolehkah kemaksiatan ini ditegur atas nama agama yang murni ?

Bagaimana agaknya tujuan kembara rohani hidupnya ?

Benarkah ataupun bercelaru sama sekali ?

Lupakah dia pada amar makruf nahi mungkar. Bayangkan sahaja dirinya tanpa teguran dan pedoman, ke manakah agaknya dirinya dihabiskan ?

Tentulah ke arah kepalsuan.
Kepalsuan yang akan merosakkan kembara rohaninya.
Ramai anak-anak lupa tentang kembara rohani mereka dek kerana tertipu dengan kepalsuan dunia.

Agaknya bagaimanakah legasi yang ditinggalkan ibu bapanya kepadanya ? Baikkah atau burukkah ? Jika buruk, maka kita fahamlah. Jika baik, mengapa pula boleh jadi begitu ?

Kerana dia tidak mencari pedoman sebenar. Pedoman sebenar ada pada nabi dan ahli keluarganya. Jika dirinya adalah perempuan, maka lihatlah peribadi Sayyidatina Fatimah az-Zahra yang solehah itu. Adakah tidak layak perempuan mulia ini menjadi pedoman baginya ? Adakah Fatimah Az-Zahra juga menjadi sebahagian manusia yang 'unpleasant' baginya jika tuntutan kebenaran yang dibawa oleh wanita mulia itu berlawanan dengan kehendak hawa nafsunya ?

Bagaimana hal ini boleh berlaku ?

Kembara rohaninya telah dicemari dengan nafsu. Kita umpamakan sahajalah kita sedang memandu kereta di atas jalanraya yang penuh tahi lembu. Kemudian, kereta kita menyodok tahi lembu itu sampai habis kotor semuanya. Lalu kita akan sampai ke destinasi dalam keadaan kereta kita telahpun kotor dan jijik kelihatannya. Begitulah halnya dengan kembara rohani kita. Kalaulah sepanjang kembara itu kita telah dikotorkan dengan hawa nafsu kita sendiri dan kita sampai ke destinasi kelak dalam keadaan jijik, apakah kita akan mendapat belas kasihan ?

Sama ada lelaki atau perempuan, kita perlu menyucikan kembali kembara rohani kita. Duniawi membuatkan kembara kita sama sekali terkandas di pertengahan jalan. Sudahlah begitu, pertolongan tidak pula sampai dek kerana kita tidak mahu dan sombong untuk bertaubat kepada Allah.

Ya, manusia yang sombong memang akan dipencilkan. Sedang sombong dengan manusia pun akan dibenci, apatah lagi dengan Tuhan.

Sedang dengan Tuhan pun hendak menipu, apatah lagi sesama manusia.

Inilah yang perlu kita sucikan kembali. Kita memerlukan sebuah perjalanan yang tenang, meski beribu ujian mendatang. Dengan iman dan amal, kita dapat menangkisnya dengan baik.

Maha suci Tuhan, semoga Tuhan memperbetulkan kembali jalan kembara rohani kita ini...

No comments: