Kalaulah...
Saya kata kalaulah...
Nabi Muhammad s.a.w itu masih hidup...
Akan saya usahakan diri saya untuk berjumpa dengannya seperti berusahanya remaja kita untuk pergi ke konsert-konsert ataupun gig-gig celaka yang merosakkan jiwa dan iman...
Akan saya peluk seerat-eratnya kekasih Allah itu, meski tubuh saya ini begitu hina untuk berdakapan dengannya yang suci tulus bersih...
Akan saya leraikan beban dunia ini kepadanya...
Akan saya luahkan segala-gala masalah saya kepadanya...
Semoga...
Dengan berkatnya,
Akan saya ketemukan ketenangan dan kebahagiaan hakiki,
Meski saya tidak punya apa-apa,
Meski saya tidak punya ibu bapa,
Meski semua rakan-rakan meninggalkan saya,
Meski seluruh manusia membenci saya,
Meski saya dihalau daripada masyarakat cantik,
Meski saya kehilangan dua mata mahupun dua tangan ataupun dua kaki,
Meski saya tidak setampan seperti mana lelaki tampan yang digilai ramai wanita celaru fikiran,
Meski saya sering diumpati rakan-rakan mahupun musuh-musuh,
Semua itu saya tidak peduli lagi,
Sekiranya saya dapat mendakap baginda,
Seerat-eratnya...
Saya mahu berjumpa dengan baginda dan sahabat-sahabatnya,
Cemburunya saya dengan sahabat baginda adalah seperti cemburunya seorang isteri terhadap seorang suami....
Cemburu kerana kasih, bukan kerana benci...
Bolehkah kita berbuat begitu melainkan kita benar-benar sayang akan seseorang itu ?
Tidak cemburukah kita melihat manusia-manusia lalu dapat ketemu sama junjungan mulia itu ? Tidak cemburukah kita mengetahui mereka dapat bersolat bersama-sama baginda ?
Tidak cemburu ?
Bererti rosaklah jiwa kita dek kerana sudah terlalu asyik dengan dunia.
Ya, menggilai habuan dunia seperti lelaki, perempuan, kekasih, duit, makanan, minuman, kereta mewah, rumah mewah, saham dan banyak lagi permainan dunia...
Hidup menjadi indah sekiranya kita bersama-sama dengan sebuah keindahan hakiki. Dan baginda membawa keindahan itu.
Agama kita.
ISLAM.
Islam membawa makna sejahtera. Sepatutnya kita membawa kesejahteraan, bukan kerosakan.
Mengapa ramai remaja Islam merosakkan ?
Kerana mereka telah dirosakkan ?
Siapa yang merosakkan ?
Dunia yang menipu.
Dunia menghambat manusia untuk melanggar perintah Tuhan.
Dunia menghambat manusia untuk sesuka hati membuka aurat dan berpakaian mengikut bentuk tubuh badan sehinggakan tidak ubah seperti sarung nangka yang rabik dek dimakan semut.
Dunia menghambat manusia untuk bermusuh-musuhan sehinggakan kalau kita dalam satu bahagian kecil di dalam sebuah dunia kekalutan, kita masih hendak bergaduh.
Dunia menghambat kita untuk menggilai wang, pangkat dan nama sehinggakan kecil-kecil lagi kita diajar untuk menjunjung Tuhan HIBURAN yang menawarkan wang, nama dan kekayaan.
Dunia menghambat kita untuk meninggalkan segala pesan nabi.
Dunia menghambat kita untuk meninggalkan segala perintah agama.
Dan dunia menghambat kita untuk meninggalkan Tuhan dalam hidup kita.
Di sebalik dunia itu ada kekejian yang nyata. Syaitan yang direjam.
Manusia begitu mudah tertipu disebabkan lemahnya iman...
Lemahnya iman kerana terlalu sibuk dengan hal keduniaan...
Inilah gara-gara kita tidak mencintai nabi kita...
Padahal kita tahu mencintai nabi juga bererti mencintai Tuhan...
Hidup menjadi sempit, Langit seakan-akan menghimpit. Seolah-olah tiada lagi ruang untuk kita bernafas selega-leganya.
Tikar sejadah hanya menjadi hamparan indah namun tiada tanda-tanda zuhud padanya. Ya, kita perlu tinggalkan dunia ketika hendak solat. Itu yang diajar nabi. Namun, ketika solat pun kita masih memikirkan dunia.
Kita masih memikirkan tugasan yang entah apa nilaiannya di sisi Tuhan.
Kita masih memikirkan tentang tunang kita yang menipu kita.
Kita masih memikirkan jiran kita yang bergaduh dengan kita sehinggakan bertembung pun tidak sudi menguntumkan senyuman apatah lagi memberi salam.
Lupakah kita Allah melaknat jiran yang tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bayangkan sahaja jika kita berdendam selama-lamanya. Selama itulah hidup dilaknat Allah. Nabi ada mengajar begitu ?
Tidak.
Nabi mengajar tentang keindahan budi pekerti.
Nabi mengajar kita untuk memandang kepada orang yang bercakap kepada kita, bukan kita menoleh ke tempat lain. Kerana hal itu adalah akhlak.
Nabi mengajar kita untuk memberi senyuman kepada rakan-rakan. Kerana hal itu adalah akhlak.
Nabi mengajar kita untuk memaafkan. Kerana hal itu adalah akhlak.
Nabi mengajar kita untuk menerima ketentuan Allah dengan tenang. Kerana hal itu adalah akhlak.
Nabi mengajar kita untuk berhati-hati ketika berbicara. Kerana hal itu adalah akhlak.
Nabi mengajar kita untuk berpakaian menutup aurat dan dilonggarkan, bukan diketat-ketatkan. Kerana hal itu adalah akhlak.
Nabi mengajar kita supaya berbaik-baik dengan jiran. Kerana hal itu adalah akhlak.
Nabi mengajar kita supaya menziarah orang sakit. Kerana hal itu adalah akhlak.
Nabi mengajar kita supaya mengawal amarah kita. Kerana hal itu adalah akhlak.
Nabi mengajar kita supaya sentiasalah bertaubat kepada Allah. Kerana hal itu adalah akhlak.
Nah.
Cubalah ditelitikan satu persatu. Kalaulah kita merendah diri dan melakukan semua perkara di atas, adakah martabat kita jatuh ? Adakah kita kelihatan seperti si dungu ? Adakah kita kelihatan seperti si bahlol ? Tidak. Bahkan itulah yang nabi lakukan.
Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan mengatakan kesemuanya itu sebagai tindak-tanduk orang bahlol, samalah halnya tuan-tuan mengatakan yang nabi kita bahlol. Nauzubillah...
Sampai hati tuan-tuan...
Lalu, apa pula ceritanya jika kita masih berlaku sombong dan sentiasa berkata perkara-perkara yang keji dan buruk ? Itulah tanda kita tidak mahu merasa keindahan hidup di dalam keredhaan Allah.
Kerana hal-hal inilah, saya kepingin mahu berjumpa dengan Nabi, biarpun nabi hanya tersenyum dari kejauhan. Sesungguhnya, demi Allah yang memegang jiwa saya, akan mengalirlah air mata apabila melihat ketenangan senyuman baginda yang tulus murni. Saya tidak tahu siapa lagi yang boleh senyum seperti Rasulullah s.a.w ?
Hero-hero Korea pujaan anda, dapatkah menyamai senyuman baginda ?
Hero-hero barat anda, dapatkah menyamai senyuman baginda ?
Hero-hero Hindustan anda, dapatkah menyamai senyuman baginda ?
Heroin-heroin anda semua, dapatkah menyamai senyuman baginda ?
Rasanya tidak.
Oleh itu, mengapa digila-gilakan orang-orang seperti itu, padahal ada lagi manusia yang lebih hebat iaitu nabi kita Muhammad s.a.w.
Tahukah anda bahawa nabi ingin sekali berjumpa dengan kita kerana kita mencintai baginda tanpa melihat wajah baginda. Jika anda beralasan kita tidak tahu bagaimana wajah nabi, anda termasuklah dalam kalangan orang-orang yang bodoh sombong.
Nabi berkata begitu sehinggakan sahabat terdiam. Padahal kita tahu benar para sahabat sentiasa berdampingan dengan nabi, namun nabi lebih teringin hendak berjumpa dengan kita, umat yang tidak berkesempatan berjumpa baginda, namun kita terlalu menyayanginya.
Kita terlalu menyayanginya sehinggakan kita rasa hendak menciligilingkan mulut manusia-manusia yang kurang ajar menghina baginda.
Kita terlalu menyayanginya sehingga kita rasa hendak berhenti berbicara selama-lamanya dan mulut kita hanya berselawat ke atas nabi.
Namun, itu kita kirakan sebagai keterlaluan. Memadailah kita lakukan semampu kita.
Tahukah kita nabi itu diutuskan untuk menyempurnakan akhlak kita ?
Kalau kita berakhlak buruk, rasa-rasanya siapa yang telah gagal ?
Nabi atau kita ?
Tentulah kita.
Hal itu kerana nabi telah menggarispanduankan tatacara berakhlak mulia, kita pula begitu bebal hendak berkelakuan sebaliknya dengan berperangai buruk dan suka berkelahi dengan orang lain.
Ingatlah peristiwa nabi hendak memberitahu kita perihal lailatulqadar namun baginda menjadi lupa dek kerana ada beberapa orang arab sedang berkelahi.
Sungguh bergaduh, berkelahi dan berperang mulut itu sesuatu yang amat hina. Ianya menjatuhkan maruah kita, meskipun kita di pihak yang benar.
Nabi tidak pernah bergaduh, walaupun kita tahu yang nabi nabi memang di pihak yang benar.
Kenapa kita yang telah sedia maklum sentiasa melakukan dosa ini nak tunjuk hebat dengan selalu bergaduh kemudian pandai-pandai menghukum "Dia salah, bukan aku !!!"
Dengan bergaduh, kita semakin menjauhi keindahan hidup yang sebenar. Tidak ada indahnya hidup ini dengan membenci, berkelahi dan berdendam, melainkan kita semakin tertekan dan mulalah hendak membenci semua perkara, termasuklah membenci Tuhan kerana kononnya memberi kehidupan yang sempit kepadanya.
Begitulah hal, tuan-tuan dan puan-puan sekalian...
Kalaulah Nabi Muhammad s.a.w masih hidup dan melihatkan perangai kita masakini, entah bagaimana perasaan baginda. Mungkin sahaja baginda akan sujud dan memohon kepada Allah agar kita dipanjangkan umur untuk bertaubat.
Malunya kita dengan nabi kita yang penyayang ini.
Mana kita hendak letak muka pada manusia mulia ini kelak ? Dengan perangai kita yang tidak senonoh, layakkah kita memohon syafaat baginda di akhirat kelak ?
Oleh itu, marilah kita sama-sama mencintai baginda Nabi Muhammad s.a.w, dan amalkanlah sunnahnya dan kasihilah juga keluarganya dan para sahabatnya kerana mereka adalah manusia mulia dan tempat untuk kita mencari pengajaran dan pedoman dalam kehidupan. Sentiasalah membaca al-Quran agar hidup menjadi tenang dan damai...
Wallahua'lam...
No comments:
Post a Comment