Nuffnang

Thursday, March 25, 2010

...KU SAMBUNG TULISAN IBUKU...


Lama dahulu, aku mengenal ibuku sebagai seorang yang teramat mulia. Dia menggalas kerja-kerja seorang ibu dengan penuh keikhlasan seperti tidak ada yang terbeban padanya melainkan semuanya merupakan kemuliaan seorang ibu.

Ibu telah memelihara saya, ayah saya dan adik saya dengan baik sekali. Saya tidak berani untuk menuduh dia tidak pernah berbuat apa-apa untuk saya, padahal saya telah menumpang di dalam perutnya untuk jangka masa yang agak lama. Bayangkanlah beban yang ditanggungnya ketika itu. Layakkah saya memarahinya jika dia tidak mampu untuk menunaikan beberapa permintaan saya ?

Tidak sama sekali.saya hanyalah seorang anak.
Saya wajib mentaati ibu saya.

KOMA

Ibu saya suka menulis. Entah apa yang dia tuliskan, saya tidak tahu. Mulanya saya tidak mahu ambil tahu, kerana beranggapan itu adalah hobinya yang saya tidak patut ganggu sama sekali. Namun, saya merasakan yang kegemarannya itu semacam meresap ke dalam jiwa kami semua. Kami seolah-olah merasakan ada satu beban yang pergi satu demi satu dari keluarga setiap kali dia menulis.

Apakah dia menulis azimat ?
Apakah dia menulis sebuah jampi serapah ?apakah dia melukis rajah untuk pengubatan jiwa ?
Saya tidak tahu hal itu.
Yang penting, dia memang suka menulis.

Namun begitu, penulisan ibu rupa-rupanya cuba melindungi kesakitan dirinya. Ibu sedang sakit. Dan saya amat sedih sekali.
Teramat sedih.
Namun ibu masih tersenyum ceria.
Inilah ibu yang hakiki.
Yang menerima takdir Tuhan dengan redha.
Pahala menggunung mendatangi dirinya sehinggakan tiada apa yang ada pada dirinya melainkan ketenangan yang penuh misteri.
Saya mengagumi kecekalan ibu.Ya, kecekalan ibu itu kadangkala melebihi kekuatan ayah.
Ibu bahkan lebih tahu perihal anak-anaknya.
Itulah kelebihan yang Tuhan berikan pada seorang ibu.
Sebab itulah saya merasakan yang amatlah bodoh bagi seorang perempuan yang tidak mahu menjadi ibu. Padahal Tuhan menyediakan banyak kurniaan pahala kepada seorang ibu, bermula daripada mengandungkan kita sehinggalah kita dewasa.

Justeru, apabila ibu sudah sakit, saya merasa terbeban sekali. Saya tidak mahu ibu pergi dengan kesakitan yang dirasai. Saya mahu ibu tenang dengan kebahagiaan yang saya berikan, meskipun saya hanyalah seorang anak yang tidak punya apa-apa pun.

Saya menitiskan air mata apabila melihat seorang anak kecil memberi hadiah berupa kotak kosong kepada seorang ayah yang baran. Ayahnya hampir memukulnya kerana menyangka yang anaknya mempersendakannya. Namun, rupa-rupanya anaknya tidak ada duit hendak membeli hadiah, lalu kotak kosong berbalut indah itu sahajalah yang menjadi penggantinya. Luluhlah hati ayah itu dan menangislah si ayah itu semahu-mahunya lalu memeluk anak perempuannya yang satu itu.
Itu cerita orang.
Bagaimana dengan saya ?
Apa ikhtiar saya demi membahagiakan ibu yang sedang bertarung dengan penyakit berbahaya ?

Doa.
Itu adalah satu cara yang nabi ajarkan kepada umatnya. Makanya, saya sentiasalah berdoa agar Allah mempermudahkan jalan kehidupan yang tersisa buat ibu saya.

Saya berdoa agar ibu saya sentiasa tenang.
Saya berdoa agar ibu saya sentiasa gembira.
Saya berdoa agar ibu saya menjadi kuat.
saya berdoa agar ibu saya pergi ketika saya ada di sisinya.

KOMA

Kubur itu masih basah dengan siraman air mawar segar.

Dan saya masih menangis.
Ayah masih berduka.
Adik masih mengesat air mata.

Ibu sudah tiada.

Saya mengemaskan barang-barang milik ibu.
Saya tidak mempedulikan barang-barang kemasnya mahupun beg tangannya ataupun tudung serta bajunya.

Apa yang saya tumpukan di sini adalah hasil penulisannya.

Saya terjumpa helaian-helaian syair indah yang memuji Tuhan dan nabi.
Saya menemukan sajak-sajak keberanian.
Saya menemukan cerita-cerita pendek tentang pengorbanan.
Dan saya menemukan diari ibu yang kusam, namun amat bererti...

Judulnya INI RAMADHANKU YANG TERAKHIR.

Saya tidak mengerti punca arwah ibu memilih tajuk itu.
Namun pengisiannya adalah tangisan buat saya.
Masakan saya boleh ketawa melihat tulisan jerih-perih seseorang yang sudah tiada.
Sedang saya tersenggut-senggut menahan tangis saat mengaji al-Quran, begitulah juga saya tersedu-sedu menangis tatkala membaca diari ibu...

Diarinya tidak sempat dihabiskan.
Dan demi Allah, saya menyambungnya kembali, atas nama ibu...yang tercinta...

P/s: Saya dedikasikan entri ini buat seorang rakan yang sudah kehilangan ibunya. Semoga Allah merahmati roh ibunya. Al-Fatihah...

2 comments:

umYrah daRWis said...

so touching..
sy suka n3..
thx for nice n3..
i really enjoy it..
=)

AKMAL_ALIF said...

umyrah:
Terima kasih...entri ini ditujukan khas buat para wanita yg menyayangi ibu mereka...

Untuk lelaki juga... :-)