Nuffnang
Wednesday, March 31, 2010
GOLEK JONGGOL SI NENEK...
Berbaringan di atas tanah bukanlah kegemaran 'dia'. Namun ketika entah tersadung apa benda, 'dia' tersungkur di atas tanah berbatu itu.
Luka sikunya.
Luka tapak tangannya.
Luka lututnya.
Koyak sedikit kulitnya.
Lalu 'dia' menangis. menangis semahu-mahunya.
KOMA
Nenek masih cuba menggagahkan diri untuk bangun mengambil wudhuk untuk bersolat, meskipun anak-anaknya dan juga cucu-cucunya boleh mengambil air sebaldi untuknya berwudhuk di bilik sahaja. Namun, dasar orang tua yang tahu erti kepayahan, tidak mahu dia menyusahkan anak-anaknya.
Badannya terlayah ke kiri ke kanan ketika melangkah ke bilik air. Bilk air baru dibersihkan semahu-mahunya supaya latainya tidak licin kerana lumut atau apa saja lapisan yang melekat padanya.
Wudhuknya tenang.
Solatnya tenang.
KOMA
Lama dahulu Pak Usu pernah menceritakan betapa garangnya nenek ketika muda dahulu. Pernah diikatnya Pak Usu itu di sebatang pokok rambutan yang banyak kerengga hanya kerana pulang ke rumah pada waktu maghrib dek kerana leka bermain basikal dengan kawan-kawan sekampung.
Aduh, kalaulah budak-budak sekarang yang lembik dan terlalu manja itu kena hukuman macam itu, pasti sudah lari dari rumah.
Namun, Pak Usu dan kakak-kakaknya tak pernah terfikir pun hendak memalukan emak mereka iaitu nenek 'dia' itu. Padahal puas kena pukul mahupun cubitan yang menyakitkan. Hampir diterajang emak 'dia' kerana membuat bising saat nenek sedang mengaji. Pantang betul orang tua itu jika dia sedang mengaji orang membuat bising. Budak-budak sekarang ? Tengah azan pun masih boleh melalak melolong dengan lagu entah apa-apa. Perasaan hormatkan azan mahupun orang sembahyang ataupun orang mengaji langsung tidak ada.
KOMA
Nenek menghidap penyakit mata. Matanya sudah tidak nampak lagi. Pernah dia melalui pembedahan untuk merawat korneanya yang rosak. Namun, hanya sekadar pembedahan pertama. Untuk pembedahan susulan, nenek sudah malas. Dia tidak mahu menyusahkan anak-anaknya. 'Dia' juga sedikit takut melihat mata neneknya yang merah menyala itu. Risau dibuatnya.
KOMA
'Dia' dahulu dibela oleh nenek untuk beberapa ketika kerana emak dan ayahnya bekerja. Makanya, hubungannya dengan nenek cukup rapat. Suapa nasi nenek, urutan badan nenek, pangkuan riba nenek dan dodoian nenek amat melekat dalam jiwanya. 'Dia' tidak mahu berpisah dengan nenek, meskipun emak dan ayahnya sudah pulang kerja. Mujurlah emaknya berhenti kerja kemudiannya. Barulah 'dia' dapat dijaga elok-elok oleh emak dan ayahnya. Nenek selalu berpesan kepada emaknya supaya suburkan jiwa anak-anaknya dengan ketenangan, bukan kekalutan mengejar duniawi.
KOMA
Membesar sebagai budak lelaki memanglah mencabar. Semua benda hendak dicuba. Kalau ikut perangai budak kampung, makanya menangkap anak ayam, mengejar kucing bagai nak rak dan memancing sampai hitam kuku adalah perkara yang sering dilakukan. 'Dia' pernah merasa semua itu. Luka-luka meredah belukar untuk mencari terung belanda untuk peluru senapang kayu langsung tidak dikisahkan. badan berbirat disebat emak kerana selalu pulang lewat langsung tak peduli.
Namun, suatu hari...
KOMA
'Dia' menangis tidak berhenti. Entah sakitnya macam apa ketika tersungkur itu. Padahal selama ini badannya sudah puas merasa macam-macam kesakitan yang biasa dirasai anak-anak kecil dalam dekad awal 90-an.
Dia masih berbaringan di atas tanah dalam keadaan meniarap. Menangis lagi.
Peluru pistol mainannya bertaburan keluar daripada kocek seluarnya.
Dan ketika itulah, nenek yang dikasihi mencampakkan sesuatu dari muka pintu dapur kayu itu.
GOLEK JONGGOL yang kelihatan tua. Diperbuat daripada kayu entah apa.
Dibaling begitu, namun ia tidak jatuh, bahkan terus duduk tegak. semacam ada kuasa ghaib yang mengawal golek jonggol itu.
'Dia' lantas menoleh. Melihat nenek dengan 'koyok' tertampal di kedua-dua hujung dahinya, 'dia' bingkas bangun mendapatkan neneknya sambil membawa golek jonggol itu.
"Kenapa nenek bangun, kan nenek demam ?"
Nenek hanya tersenyum tawar.
"Macam mana nenek nak baring kalau dengar kamu menangis ?"
'Dia' hanya memandang neneknya kehairanan.
"nek, apa benda ni ?"
Golek jonggol itu dibelek-beleknya.
Nenek ketawa kecil.
"Ini mainan kayu yang takkan jatuh kalau dibaling ke mana pun. Kalau dibaling ke tanah, dia akan terus duduk." Nenek menerangkan sambil berbaring semula ke katilnya yang diperbuat daripada besi itu. Katil lama 70-an.
Nenek mencampakkan lagi golek jonggol itu. Ya, seperti ada kuasa ghaib, ia bangun dan duduk semula.
"Kamu mesti jadi macam benda ni..."
'Dia' semakin pelik. Mahu jadi seperti mainan ke ?
"Kalau kamu jatuh, kamu mesti bangun semula. Jangan tahu menangis aje. Kamu mesti cari jalan nak bangun semula. Jangan buat emak dengan bapak kamu menangis bila kamu jatuh dan kamu tak tahu nak bangun semula..."
Sungguh.
Meskipun umurnya baru sahaja 5 tahun, namun apa yang neneknya sampaikan itu meresap dalam hatinya baik-baik.
'Dia' mendakap neneknya erat-erat sambil mencium pipi neneknya yang sudah berkedut itu.
Luka di badannya sudah tak terasa, kerana sudah diubati dengan pesan seorang nenek yang kaya jiwa...
Demi Allah yang memegang jiwanya.
Dia akan menjadi seperti si golek jonggol...
P/s: Entri ini ditujukan khas buat anda yang menyayangi nenek anda...kepada mereka yang sudah kehilangan nenek, al-Fatihah...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Golek jonggol..saya baru tahu mengenai kewujudannya...Maaflah, tapi memang kadang2 untuk menerangkan kepada kanak2 tak perlu complicated..cari benda2 yang simple,olah dia..inshaAllah, dorang akan faham..asal kita ikhlas nak bagi nasihat...
Kanak-kanak, jiwanya insya-Allah mudah dilentur kalau kena caranya. satu pendekatan yg saya suka ialah bercerita...
Post a Comment