Maafkan aku,
Wahai Ramadhan,
Kerana aku tidak menghargaimu,
Biarpun kau sudi menjengah kehidupanku,
Sebulan yang lalu.
Maafkan aku,
Wahai bulan kemuliaan,
Kerana aku masih senang,
Ikut perangai setan,
Meski di dalam bulan kemuliaan,
Aku masih suka berbuat kejahatan.
Maafkan aku,
Wahai bulan seribu bulan,
Kerana padamu aku mengada-ada,
Malas beribadah kerana keletihan,
Padahal dirimu menjanjikan pertambahan,
Berkali ganda pahala dalam sebulan.
Maafkan aku,
Wahai bulan diturunkan Al-Quran,
Kerana kitab suci Tuhanmu,
Masih malas ku hadamkan,
Biarpun cantik dalam susunan.
Berhabuk ia dalam kenangan.
Maafkan aku,
Wahai bulan pengampunan,
Meski Tuhan telah menjanjikan,
Akan padaku hamba-Nya diberi pengampunan.
Sejauh timur, barat, utara dan selatan,
Pun aku masih lena di atas perbaringan.
Maafkan aku,
Wahai bulan kerahmatan,
Kerana padamu aku abaikan,
Doa kepada Tuhan tidak ku panjatkan,
Kerana asyik dengan kebendaan,
Kecintaan dunia yang melekakan.
Maafkan aku,
Wahai bulan ketenangan,
Aku telah gagal mengawal nafsuku,
Yang membawa kepada kerosakan,
Aku masih selesa dengan kehidupan,
Yang menjadikan nafsu sebagai pedoman,
Sehingga tiada beroleh ketenangan.
Maafkan aku,
Wahai bulan Tuhan,
Kerana aku hanya menghargaimu,
Ketika sudah di hujung bulan,
Aku akan kau tinggalkan,
Dengan sebuah penantian,
Dengan sebuah harapan,
Agar kau aku temukan kembali,
Pada tahun hadapan...
Dan ketika itu,
Semoga dikau tidak membenciku,
Hanya kerana kau sering aku lupakan...
Maafkan aku, wahai bulan Ramadhan...
Kita kenang kembali harapan kita terhadap bulan Ramadhan, sebulan yang lalu...:
Apakah harapan itu telah dapat kita capai...?
No comments:
Post a Comment