Nuffnang

Thursday, September 23, 2010

MARHABAN - SELAWAT KE ATAS NABI, DOA BUAT TUAN RUMAH DAN JAMUAN BUAT KAMI

Sollallahu 'ala Muhammad
Sollallahu 'alaihi wa sallam...
(2x)

Ya nabi salamun alaika
Ya rasul salamun alaika
Ya habib salamun alaika
solawatullahi alaika...

Menetap di Johor, saya sudah biasa mendengar perkataan 'marhaban' ini. dari kecil lagi. Kalau dalam bahasa Arab, ertinya 'selamat datang', kan ?

Begitulah keadaannya. Rombongan marhaban akan bertandang ke rumah-rumah tertentu dan mengalunkan selawat. Tidak perlu panjang-panjang seperti dalam kitab berzanji yang berwarna merah hati itu. Cukuplah diambil 4 hingga 5 rangkap selawat yang kita biasa dengar dan alunkan sekuat-kuatnya dengan hati yang lapang dan jiwa yang gembira. Yalah, hendak memuji Nabi Muhammad s.a.w. atas kemuliaannya, mestilah puji baik-baik, dan ikhlas tentunya.

Tahun 2010, saya sekali lagi menyertai rombongan marhaban ini. Tahun lepas saya tidak menyertainya kerana menolong orang dapur memasak bagai nak rak. Yalah, bila nak menghidangkan makanan berkuah ni, memang payahlah nak masaknya. Nak menghidangkannya pun satu kerja juga. Kena berhati-hati, jangan ada yang tumpah atau terpercik ke atas mana-mana kain. 

Image283

Kali ini, hidangan adalah bihun goreng yang banyak sayur itu. Kalau waktu kecil dahulu, saya cukup tak suka bihun goreng ini kerana terlalu banyak sayur bagi saya. Dan saya tak suka makan sayur. Sekarang, saya 'bedal' saja. Terasa 'masyuk' sekali bila mengunyah sayur dengan bihun goreng itu.

Beberapa tahun dahulu, rombongan marhaban akan bertandang ke rumah atuk saya pada waktu pagi, sekitar jam 8.30 pagi. Kerana apa ? Kerana ketika itu atuk saya menjawat jawatan sebagai penghulu. Jadinya, itulah rumah pertama rombongan marhaban. Sekarang, atuk saya telah pencen, maka atuk saya memilih untuk dibuat pada waktu selepas Zohor. Molek juga begitu, tak adalah mak-mak di dapur itu terkejar-kejar nak memasak. Saya masih ingat pada satu ketika, dek kerana agak tergesa-gesa memasak nasi goreng, nasi yang berada di bahagian bawah lebih pedas berbanding di atas kerana gaul tidak berapa kemas. Penyudahnya, rombongan tercungap-cungap pada pagi yang permai itu. Semua pakat ke dapur mencari air sejuk. Sudahlah begitu, rombongan tidak pernah kurang daripada 100 orang, termasuk anak-anak.





    

Tugas saya yang paling kerap dilakukan ialah keluar ke kedai untuk membeli barang dapur. Kadang-kadang, baru saja balik, kena pergi semula kerana ada barang yang terlupa hendak dibeli. Itulah perangai mak-mak yang ada di dapur nenek saya itu. Kadang-kadang mereka gelak sendiri melihat saya keluar masuk membeli barang. Alasan mereka untuk melembutkan hati saya,

"Ini latihan tau ? Nanti besok dah ada bini ginilah kerja kau..."

Image289 

Oh ya, rombongan marhaban ini akan diketuai oleh seorang yang berpengalaman. Selalunya, mereka yang sudah senior dan penuh ilmu di dada yang akan mengetuai rombongan ini. Kalau di kampung saya ini, akan ada ketua, tukang baca doa dan juga tukang pungut derma. Derma itu adalah untuk tabung masjid. Selalunya, seorang 'brader' yang besar tinggi yang membawa tabung itu. Tetapi, tahun ini seorang pak cik yang memang saya kenal sebagai tukang jaga tabung derma di masjid pula yang membawa tabung kecil besi berwarna hijau itu. Tukang baca doa ? seperti biasa, seorang cikgu yang alim akan membacakan doa. Suaranya cukup nyaring. Siapa tak kenal suaranya di kampung itu, memang ertinya jarang-jarang pulang ke kampung.

Cikgu itu akan membaca doa meminta semoga disejahterakan kehidupan tuan rumah dan dilimpahkan dengan rezeki yang halal serta diminta keberkatan bulan Syawal.
Image290 

 Selesai saja doa dibaca, rombongan pun menjamulah selera mereka masing-masing. Ada yang minum air saja, sebab dari pagi lagi dah makan macam-macam makanan. Ada yang ambil kesempatan meminta ampun dan maaf kepada atuk dan nenek saya. Memang itu yang dituntut pun. Kalau sekadar datang, makan dan blah, nak buat apa. 

Resmi orang Jawa, caranya meminta ampun dan maaf amat sopan sekali. Kadang-kadang, mereka sampai melutut di hadapan nenek saya, biarpun yang meminta maaf itu lelaki. Nenek saya apa lagi, menangislah jawabnya. Maklumlah, orang tua mudah menangis, begitulah adatnya. Kadang-kadang saya yang melihat pun terharu juga, kerana resmi macam ini jarang-jarang dapat diketemui di bandar-bandar besar. Minta maaf pun main-main. Siap cakap, zero-zero, ok ? Itu bukan adat meminta maaf. Meminta maaf ini, kalau saya perhatikan cara orang tua-tua kita, dimulakan meminta ampun dosa yang lalu, kemudian diminta halalkan makan dan minum, dan akhirnya diminta doakan kebahagiaan keluarga, biarpun hidup membujang. Itulah adatnya. Adat yang menurut syarak, Insya Allah beroleh pahala.

Ketika marhaban ini jugalah, saya berpeluang mengenal orang-orang lama di kampung saya. Salah seorang yang wajib saya jumpa adalah suami kepada adik atuk saya. Namanya Omar, tapi lidah Jawa kami menyebutnya Umo, Atuk Umo. Isterinya kami panggil Atuk Enon. Kalau saya tak beraya ke rumahnya, memang dia marah. Tapi, marah-marah sayanglah, bukan marah bertempik gitu.

Atuk Umar... 
Inilah dia Atuk Umar @ Umo...

Selesai di rumah atuk saya, mereka akan bergerak ke rumah belakang pula. Ketika inilah, baru saya dan sepupu-sepupu akan mengekor rombongan ini. Duit raya ? Ah, dah begini besar, tak akan dapat duit raya lagi. Dapat kenyangkan perut saja, itu sudah cukup baik.

Sama juga, selawat akan dialunkan dan doa dibaca. Kemudian, makanlah apa yang dihidangkan. Terpulang pada tuan rumah, nak hidang yang ringan-ringan pun boleh, nak hidang yang berat-berat pun boleh. Rombongan tak akan sekali-kali mempersoalkan hidangan. Kalau ada yang persoalkan, mereka akan disuruh balik saja, tak guna ikut rombongan kalau kerjanya nak menghentam orang lain. Memang ada pakcik-pakcik yang garang-garang yang akan memastikan tak ada mulut-mulut yang kurang ajar berkata itu-ini dan juga buat perangai tidak senonoh seperti menyepahkan rumah orang atau merosakkan barang rumah orang lain.

Image298 

Haa...bagi budak-budak pula, ini juga peluang mereka nak mengumpul duit raya. Tuan rumah yang mampu bagi duit raya akan memanggil budak-budak ke belakang rumah, selalunya di dapur untuk mengambil duit raya. Maka, beraturlah mereka macam beratur di kantin asrama nak ambil makanan.
Image291 

Kalau dapur rumah agak kecil, maka budak-budak akan disuruh beratur di luar rumah. Panas ? Ah, mereka peduli apa, kalau sudah namanya nak dapat duit. panas pun panaslah. Saya dekat nak pitam sebab cuaca petang itu amat panas/ Mata jadi kecil memandang ke depan.


Pada hakikatnya, rombongan tidak menggalakkan terlalu ramai budak-budak, kerana agak menyukarkan untuk mengawal pergerakan budak-budak ini. Ada yang nakalnya nauzubillah. Segala macam benda nak dibuatnya sampai menyusahkan orang lain. Sebab itulah amat diperlukan pakcik-pakcik yang bermuka bengis dan bersuara garau untuk mengawal budak-budak ini. Bapak-bapak yang membawa anak-anak mereka memang disuruh supaya mengawal anak mereka baik-baik dan jangan biar mereka terlalu liar ke sana ke mari. Hal ini terutamanya untuk deretan rumah kampung yang dekat dengan jalan besar yang banyak lori dan kereta. Jalan besar itu adalah penghubung antara Tongkang Pechah dengan Bukit Pasir.

Image311 

Image314

Image307
Ramainya anak-anak beratur nak duit raya, dan pakcik itu mengawal mereka supaya tidak bertolak-tolak.

Image312

Pak cik ini saya kenal memang sentiasa ada setiap tahun untuk menjaga budak-budak supaya jangan kurang ajar dan berbuat benda yang bukan-bukan. Lihat tangannya itu. Ketika itu dia berkata, "Yang dah ambil duit pergi rumah belakang, sekarang !"

Sememangnya, marhaban ini banyak ragamnya. Walaupun saya tidak pergi ke semua rumah, namun gembiranya tetap terasa. Paling seronok dapat bersama-sama dengan orang kampung. Ada yang saya kenal, ada yang saya tidak pernah nampak pun. Kadang-kadang, mereka juga bertanyakan saya ni anak siapa. Itu juga sebahagian daripada kerja mengeratkan hubungan silaturrahim sesama penduduk. Meskipun saya orang bandar, kampung saya tidak akan saya lupakan. Sebab waktu kecil saya dahulu dipenuhi dengan aktiviti budak-budak kampung. kalau tak kena tungau dalam sebulan, memang tak sah. :-)

Apa pun, marhaban sebahagian daripada budaya orang Johor yang tidak patut dilupakan, malah wajar diteruskan sampai bila-bila. Menjamu selera, memintam ampun dan maaf, bersalam-salaman dan kunjung-mengunjung adalah perkara yang amat indah untuk dilupakan.

Semoga selawat itu akan berkumandang sampai bila-bila, meskipun  orang-orang tua ini sudah tidak ada lagi...

Sollallahu 'ala Muhammad
Sollallahu 'alaihi wasallam...

Ya nabi salamun alaika
Ya rasul salamun alaika
Ya habib salamun alaika
Solawatullahi alaika...

Wallahua'lam...

No comments: