Nuffnang

Saturday, September 25, 2010

AYAH NAK AJAR TENTANG KURANG AJAR...


Wallahua'lam, saya tidak tahu bagaimana kondisi anak-anak kita masakini dalam mendepani dunia yang kian 'mengarut' dan 'tidak munasabah' sama sekali.

Apakah itu petanda kiamat ?
Barangkali, ya.

Anak itu, kita tahu benar adalah amanah Tuhan. Bila kita tahu perkataan amanah, maknanya kita faham betapa besarnya beban yang kita wajib tanggung. Anak manusia bukan macam anak haiwan. Anak manusia itu bila lahir bukan boleh terus pandai berjalan macam kuda. Bahkan si ibu dan bapa perlu bertatih mengajar anaknya, satu demi satu hal-ehwal kehidupan dunia.

Kalau peringkat bayi, kita tahulah apa yang perlu ibu bapa lakukan, seperti memberi makanan dan minuman yang berkhasiat, dibacakan Al-Quran ke telinga mereka setiap hari, diberi nama yang baik-baik, dipakaikan pakaian yang baik-baik dan diajar buat perkara yang baik-baik. Jangan macam budak gemuk di atas ini. Tidak ke pelik, budak sebesar ini gila merokok mengalahkan orang tua ? Kalau tidak si ayah dan ibu yang membiarkan si anak ini menghisap rokok, siapa lagi ?


Ini teruk juga. Perkara ini adalah kesan daripada anak-anak didedahkan kepada benda-benda 18sx pada usia yang kecil seperti filem yang ada unsur lucah (Malaysia pun ada), laman web lucah, video lucah, gambar lucah, perbuatan lucah dan segala macam kelucahan yang ada. Seperti yang kita sedia maklum, anak kecil itu resminya serba nak tahu. Nah, jadinye seperti gambar di atas. Apa mahu jadi ? Nafsu syahwat mereka sudah bangkit ketika umur mereka masih lagi kecil. Padahnya ?


Inilah dia padahnya. Zina. Perbuatan yang teramat kurang ajar dalam tatacara pergaulan hidup manusia. Paling kurang ajar. Saya tak hairan kalau dua-duanya pun memang dah lama terdedah kepada video dan gambar lucah. Biarpun gambar ini berlaku di negara orang, apa pula nak menjadi penghalang daripada benda macam ini berlaku di negara kita ini ? Bahkan ada satu laporan akhbar yang dua kanak-kanak perempuan bersaudara ditangkap emaknya sedang melakukan aksi lucah di dalam bilik. Klunya, terdengar seperti suara mendengus orang bersenggama. Nauzubillah. Dan peristiwa itu berlaku di Malaysia.


Oleh kerana itulah, ketua keluarga iaitu ayah wajib memainkan peranannya dengan betul iaitu sentiasa menjaga anaknya daripada dikotori dengan perkara duniawi yang buruk dan busuk. Kalau perlu dirotan, rotanlah tapi jangan sampai mencederakan si anak dan mentalnya terganggu. Kan seorang anak itu ibarat kain putih. Siapa yang mencorakkan kain putih itu dengan warna-warna suci ? Ibu bapalah. Seorang ibu yang baik pula, bukan dengan sentiasa mempertahankan anak meskipun si anak terang dan nyata buat perkara yang salah, sebaliknya menegur dengan hikmah dan tegas. Bukan lembut manja semata-mata. Kalau si ayah menegur dengan keras, mungkin si ibu boleh menyeimbangkan pula dengan menegur dengan lembut. Begitu cara yang diajar.


Seorang anak itu juga resminya inginkan perhatian kedua ibu bapanya. Makanya, ada masanya mereka perlu dipuji, dan disanjungi. Ada masanya juga perlu berkeras terutama hal-hal yang wajib seperti solat, menutup aurat dan sebagainya. Silap ibu bapa yang paling nyata pada masakini ialah anaknya sejak kecil sudah dibiasakan memakai pakaian yang seksi. Kemudian, terdapat juga ibu bapa yang beria-ia mengajar anaknya berpuasa, sebab nanti bile ke sekolah, cikgu tahu anaknya berpuasa, cikgu akan puji mak ayahnya, "Eeii...pandainya puasa. Bagusnya mak ayah kamu."

Malangnya, solat si anak tidak dipedulikan pun. Kalau anaknya terbongkang dari Zuhur sampailah dekat nak Maghrib, pun dibiarkan saja. Itu adalah tidak betul sama sekali.

Anak-anak sekarang juga ramainya kurang ajar dengan orang yang lebih tua. Mereka tidak tahu menghormati orang tua kerana ibu dan ayahnya tidak mahu mengajar dengan baik. Alasan mereka, "Alah, kan budak itu kecil lagi. Mana dia tahu apa-apa..."

Sebab dia TAK TAHU APA-APA itulah mak dan ayah kena beritahu, apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Satu ketika,saya hampir mempelangkung seorang anak kecil yang begitu kurang ajar menjerit-jerit memarahi orang tua. Mujur orang tua itu rileks saja, jadi saya pun 'terpaksalah' rileks juga. Itulah masalah anak-anak zaman sekarang. Hendak salahkan mereka seratus-peratus, tidak boleh. Kerana ibu bapa yang bentuk mereka pada peringkat awal. Kalau anda terjumpa budak-budak kurang ajar di sekolah, itu petandanya di rumah mereka tidak dididik oleh ibu bapa mereka dengan baik. Dan sekolah adalah tempat terbaik untuk menjadi kurang ajar.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama memperbaiki akhlak dan ibadah kita, supaya kelak kita boleh menjadi ibu dan bapa yang baik. Dan insya Allah, anak kita pun akan menjadi baik juga. Kenapa ? Kerana kelak nanti apabila kita sudah tiada, anak-anak yang baiklah yang akan mendoakan kita ketika kita sudahpun baring diam-diam di dalam liang lahad.

Sentiasalah kita berdoa selepas solat supaya kita menjadi lelaki yang soleh dan beroleh isteri yang solehah serta anak-anak yang soleh dan juga solehah.

Wallahua'lam...

No comments: