Nuffnang

Friday, May 18, 2018

CERITERA BULAN PUASA (2)

Siang hari saya pada ketika puasa tak ubah seperti didenda berdiri di tengah padang kerana tidak menyiapkan kerja sekolah - letih, panas, berlengas dan berasa menyampah. Ketika ini, kalau disua air longkang sekalipun agaknya boleh berfikir dua kali sama ada hendak meminumnya ataupun tidak. Ok, itu agak melampau. Tak adalah sampai ke tahap begitu. Pun begitu, ketika ini kalau melihat kucing sedang mengunyah tulang ikan pun, kita berasa marah dan menuduh kucing tersebut sengaja menunjuk-tunjuk pada kita yang dia sedang berselera makan sedang kita perlu berlapar.

Untungnya anak-anak yang berpuasa sekitar tahun 90-an ialah bulan puasanya berlangsung ketika musim cuti sekolah akhir tahun. Ertinya, sebulan puasa itu habis tanpa perlu hadir ke sekolah. Pun begitu, ianya juga boleh menjadi teramat membosankan kerana kita terkedang sahaja di rumah. Emak pula, kalau sudah namanya emak, tahu saja nakal anak-anaknya. Apa sahaja saki-baki makanan yang ada diletak di dapur, dan ada yang disembunyikan demi untuk mengelakkan saya berbuat kejahatan tersembunyi. Angkatlah tudung saji, maka kita akan berjumpa dengan sebuah kehampaan yang nyata.

Adik-adik saya melayan diri sendiri dengan bermain permainan mereka. Mereka itu walaupun ikut bersahur, mereka bukan puasa pun. Saja nak 'join' makan. Hampeh betul. Ada masanya, saya ikut sekali bermain Lego. Aih, kalau sudah namanya puasa, bermain Lego juga boleh menjadi teramat memenatkan. Itu resmi budak-budak manja tak tentu hala. Saya pun hairan, ramai mak ayah yang membuat kenyataan bahawa anak perempuan lebih mudah berpuasa ketika umur kecilnya berbanding anak-anak lelaki. Tetapi ramai juga yang tak perasan, apabila mereka meningkat remaja, setannya mereka itu sama sahaja. Yang seorang menghisap rokok curi-curi, yang seorang lagi menipu dengan mengatakan dirnya 'period'. Itu jauh lebih kurang ajar.

Iklan di TV berjalan dan terus berjalan. Sesekali, keluarlah iklan yang boleh menjerumuskan anak-anak ke lembah durjana, iaitu mencuri makan...

BERSAMBUNG...

Thursday, May 17, 2018

CERITERA BULAN PUASA (1)

Sekitar tahun 90-an, saya mula belajar berpuasa. Saya pun tak tahu mengapa saya perlu BELAJAR untuk berpuasa sedangkan secara kasarnya, puasa itukan cuma tak makan dan minum di siang hari. Rupa-rupanya tidak. Ia tak semudah itu.

Sebelum itu pula, saya diajar oleh cikgu di sekolah agama tentang sahur di mana ianya semacam tradisi di bulan puasa untuk bangun pagi-pagi buta dan makan sebagai persediaan untuk seharian berlapar dahaga. Semakin lama, saya semakin faham bahawa sahur itu bukan sekadar tradisi, bahkan ianya adalah sunnah yang nabi saya amalkan terdahulu dan terus diamalkan oleh umatnya, kerana nabi kita pernah berkata bahawa pada sahur itu terdapat padanya keberkatan, begitu juga ianya membezakan dengan puasa-puasa yang diamalkan oleh penganut agama lain.

Ibu saya adalah manusia yang paling awal bangkit dari lenanya. Sekitar 4.30 pagi dia sudah bangun untuk memanaskan lauk dan nasi untuk juadah sahur. Itu resmi kita, kan ? Sedangkan ianya tidak semestinya begitu. Mahu makan kekacang sahaja pun boleh kalau perut kita itu sebesar gulungan kapas sahaja. Disebabkan perut kita ini perut Melayu, maka nasilah santapan rasmi kita. Selepas ibu saya, disusuli pula oleh ayah saya di mana dialah yang akan menggerakkan saya adik-beradik untuk bangun dari tidur.

Saya membantah. Saya mahu tidur. Saya sangat mengantuk.

Namun ugutan demi ugutan dan ancaman demi ancaman yang bersangkutan dengan hal-ehwal 'nanti lapar waktu siang padan muka', maka saya gagahkan diri untuk bangkit dan menuju ke dapur. Selesai mencuci muka, duduk di atas kerusi berhadapan dengan nasi yang telah dihidangkan, saya belum terasa mahu makan. Saya tengok nasi, nasi tenung saya. Mungkin nasi itu mengamalkan teknik hipnosis, tahu-tahu sahaja saya terlelap semula. Kerja ayah saya jugalah yang menepuk badan saya untuk bangun dan segera makan kerana waktu subuh tidak akan melambat-lambatkan dirinya demi untuk melayan kantuk saya.

Kebiasaan ibu saya, air panas yang dihidangkan terdiri daripada dua jenis - teh o dan milo atau milo-o dan kopi-o. Sesekali, dia akan membancuh nescafe-o atau nescafe susu yang menjadi kegemaran saya. Ayah saya sememangnya hanya ngam dengan teh-o panas sahaja. Adik-adik saya pula lebih suka memilih milo-o atau teh-o sahaja. Cuma saya sahaja yang mengikut jejak langkah ibu saya yang boleh membalun kopi-o.

Kadang-kadang, sengaja saya membuncitkan perut dengan meminum air yang banyak dengan alasan tak mahu berasa haus di siang hari sekaligus membantutkan segala tenaga anak-anak yang aktif. Kata ibu saya, banyak sangat minum air sebenarnya jauh lebih memenatkan. Saya tidak percaya pada mulanya. Namun, lama kelamaan perkara tersebut menjadi sebuah kebenaran bagi diri saya. Saya bahkan lebih malas, lembap dan bodoh bila banyak sangat meminum air. Mungkin air itu sebahagiannya tersesat masuk ke dalam kepala saya.

Selepas masuknya waktu subuh, maka bermulalah hari-hari yang menyeksakan bagi saya...

BERSAMBUNG...

Sunday, May 13, 2018

HARI IBU SELEPAS PRU

Ini kisah Hari Ibu.
Selepas hari PRU.
Semuanya keliru dan semacam kaku.
Namun tidak segundah hati seorang ibu.

Saya punya seorang ibu. Satu-satunya ibu. Tidak bergalang ganti dengan barang satu. Punya cerita syahdu tentang PRU.

Katanya, mengapa hal ini boleh berlaku. Bukankah sepatutnya semua tahu. Yang dahulu itu jasanya bukan seringan bulu. Bahkan lebih besar dari sebongkah batu. Namun kenapa jadi begitu, hingga yang dahulu pernah menakhodai angkatan yang jitu, bertukar menjadi seteru.

Daku pun menjawab.
Mengapa tidak aduhai ibu. Nakhodanya yang baru itu tidak sebulu. Sudahlah begitu penuh cerita yang tidak tahu. Bila ditanya terperosok malu tersipu-sipu. Mahu menjawab pun macam budak-budak mahu puting susu. Macam mana rakyat seperti ibu hormat nakhoda sebegitu.

Ibuku punya pertikaian.
Kalau begitu mengapa semua digadaikan ? Bukankah patut dia yang disingkirkan ? Bukan ditenggelam semua angkatan ? Tidak langsungkah ada jasa untuk dikenangkan ?

Aduhai ibu yang budiman.
Memang begitu dahulu diharapkan. Sudah dinasihat kiri kanan belakang dan depan. Oleh orang setia bukan sembarangan. Bahkan besar dalam pentadbiran. Tapi dia mengambil pilihan. Katanya tidak ada semangat setiakawan. Lalu ditendang macam bola di padang permainan, jatuh terhina tanpa bantuan.

Lalu mereka bangkitlah melawan. Kerana mereka tahu, dia bukan Tuhan. Bahkan seorang ketua penuh sangkaan, dari dalam dan luar dewan kemuliaan. Dalam pada dia mengumpul kaki mengampu, yang melawan mengumpul seteru. Membentuk gabungan yang serba baharu, mencipta kekuatan melawan yang keliru.

Lalu ibuku bertanya lagi.
Lihatlah pula apa yang terjadi. Yang baik pun ikut sekali.
Kataku begitulah adat melawan.
Dahulu pun mereka itu tidak cekatan.
Hanya semua ikut-ikutan.
Mahu menjaga nasi di pinggan.

Berkatalah sudah nakhoda terdahulu.
Bahawa angkatan itu tidak macam dahulu.
Rosak semua kerana kelabu.
Pada wang, harta dan pangkat yang semu.

Ibuku mengeluh lagi.
Jiwa ibunya tetap berlari.
Memikirkan nanti apa yang terjadi.
Entah tergadai maruah bangsa nanti.

Aku segera menenangkan.
Bahawa agama, bangsa dan budi pekerti bukan kerja kerajaan.
Bahkan itu tersemat jauh di dalam badan.
Bercampur darah, keringat dan kekuatan.
Agama tertegak kerana akhlak.
Bukan sekadar berarak menjerit keluar anak tekak.
Nabi itu bermula dengan akhlak, hingga teguh iman mereka yang tertampak. Barulah disubur dengan syariat, makin teguhlah Islam di bawah rahmat.

Ibuku masih risau.
Kerana setianya menjadi galau.
Kata aku kepada ibu.
Mahu setia itu silalah.
Tidak pernah menjadi salah.
Tapi ibu berdoalah.
Supaya mereka merasa salah.
Segera kembali melihat ke bawah.
Di situlah terletak maruah yang diinjak.
Kembalilah mencari sebuah jatidiri.
Jauhkan mencari nakhoda yang tuli.
Hanya melihat harta duniawi.
Dengan harapan membeli undi.
Mengecilkan marhen yang menagih janji.

Jangan dihina ibu di luar lingkaran.
Kerana itu kurang ajar berkekalan.
Takut nanti dilaknat Tuhan.
Kerna ibu tidak tergantikan.

Aku berdoa kepada Tuhan, jangan kita putus ikatan, kerana siasah yang tidak berkekalan, semoga senantiasa berbahagiaan, mencari semula redha Tuhan.

SELAMAT HARI IBU.

Friday, May 11, 2018

PASCA PRU-14

Itulah.
Dari dahulu lagi.
Sejarah sudah membuktikan. Kalau rakyat sudah bangkit ingin menentang kezaliman, sekuat-kuat kerajaan pun boleh tumbang.

Orang yang wajib bertanggungjawab terhadap kekalahan BN

Sebab apa ?
Sebab kerajaan itu berdiri teguh atas restu rakyat.
Samalah halnya dengan sultan dan raja.
Daulat mereka itu dari rakyat.
Tanpa rakyat, sultan semacam apa begitu ?
Syok sendiri sahaja.

PRU-14 kali membuktikan bahawa yang teguh puluhan tahun itu bukan mustahil untuk ditumbangkan, meskipun ia memiliki dana dan kekuatan bala tentera media yang banyak, serta publisiti dan promosi di sana-sini termasuklah di internet.


Paling menarik, ianya dikepalai oleh seorang tua bangka (menurut pemerintah terdahulu) yang berjaya mengumpul 'bala tenteranya' serta orang-orang kuat penentangan untuk bersatu di bawah satu nama iaitu HARAPAN dan membentuk gabungan luar biasa kuatnya.

Tun Dr. Mahathir - orang yang bertanggungjawab mengetuai pakatan melawan dan menumbangkan kerajaan gah 60 tahun

Meskipun memiliki dana kewangan yang terhad untuk melawan, itu tidak menjadi masalah besar kerana sangat banyak medium-medium percuma yang boleh menyampaikan mesej dan kempen mereka. Dalam pada pihak kerajaan terdahulu lebih mempromosikan ketuanya dan janji manis serta kempen memburuk-burukkan lawan, di pihak orang tua itu pula, beliau menampilkan kebijaksanaan, cakna dan maklum dengan isu semasa yang melanda negara serta dekat di hati rakyat.

BN gagal lagi merampas Selangor
Hal itu sebenarnya wajar menjadi pengajaran kepada pemerintah terdahulu, bahawa mendekati rakyat itu bukan dengan MENYURUH mereka datang dengan habuan, sebaliknya bersuara seiring dengan keluhan rakyat. Itulah strategi yang berjaya di pihak HARAPAN kerana kempen mereka berjalan seiring dengan keluhan rakyat. Ianya ditambah pula dengan rekod cemerlang terdahulu kepunyaan si tua bangka (perkataan yang selalu diejek pemerintah kepada beliau) di zaman pentadbirannya yang sangat membantu meningkatkan pengaruhnya yang dilihat jelas dan faham tentang masalah yang berlaku dalam negara, bukan buat-buat macam tak ada apa-apa seperti yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu. Bila rakyat tampak jelas mengeluh, mereka pun berilah sesuatu sambil diiringi dengan frasa 'memahami denyut nadi rakyat'.

Johor bukan lagi kubu kuat BN


Cuba perhatikan tawaran terakhir yang diberikan BN sebelum hari mengundi. Disebut pula sebagai satu kejutan. Rupa-rupanya, ia mahu memberi cuti tambahan dua hari kepada rakyat dan tol percuma 5 hari kepada rakyat ketika hari raya Aidilfitri. Tawaran semacam apa ini ? Mahu rakyat memberi mandat lagi 5 tahun dengan perkara seciput itu ?

Idris Haron tunjuk besar lagaknya, akhirnya Melaka pun tumbang ke tangan PH

Itulah bahana berpegang kepada fahaman 'cash is king'.
Bertuhankan wang dan harta dunia ini selalunya akan berakhir dengan kekecewaan luar biasa, malah mungkin akan menghumban seseorang ke lembah yang paling hina.

Rakyat sememangnya mengagumi kecerdikan beliau melayani soalan wartawan dalam dan luar negara


Oleh yang demikian, kepada mereka yang kalah itu WAJIB muhasabah dan melaksanakan post-mortem terhadap apa sahaja yang mereka telah lakukan sepanjang 5 tahun dahulu.

Kepada yang menang itu, tersangatlah banyak perkara yang perlu anda lakukan untuk membetulkan kembali hala tuju negara kita yang tercinta ini.

Monday, May 07, 2018

SAMBUNG

Oleh kerana telah terlalu lama, maka saya fikir saya tidak mahu sambung apa yang telah saya tinggalkan dahulu.

Saya akui, zaman laman sosial semakin membesar dan berkembang ini, orang semakin melupakan laman blog yang bersifat jurnal peribadi seperti ini.

Walaupun begitu, masih ada orang berpengaruh yang percaya pada kuasa blog. Antaranya ialah Tun Dr. Mahathir yang masih menulis di blognya.

Kelebihan blog Tun M ialah beliau menulis dalam bentuk poin yang mudah dibaca dan dihadam. Tulisannya mengikut urutan dan mudah difahami. Kadangkala, bahasa ekonomi yang susah kita fahami pun dapat diterangkan olehnya dengan gaya bahasa yang paling mudah.

Itu bermakna dia tahu apa yang dia tulis.

Dahulu, saya mampu menulis entri yang sangat panjang untuk bacaan umum. Saya tak pasti sama ada saya boleh mengulang semula perkara tersebut atau tidak.

Pun begitu, saya akan cuba memanfaatkan perenggan dan poin untuk menjadikan tulisan saya mudah dibaca.

Oh ya, saya bukan penulis prolifik atau terkenal, hanya menulis blog mengikut akal fikiran sendiri. Tak lebih dari itu.