Siang hari saya pada ketika puasa tak ubah seperti didenda berdiri di tengah padang kerana tidak menyiapkan kerja sekolah - letih, panas, berlengas dan berasa menyampah. Ketika ini, kalau disua air longkang sekalipun agaknya boleh berfikir dua kali sama ada hendak meminumnya ataupun tidak. Ok, itu agak melampau. Tak adalah sampai ke tahap begitu. Pun begitu, ketika ini kalau melihat kucing sedang mengunyah tulang ikan pun, kita berasa marah dan menuduh kucing tersebut sengaja menunjuk-tunjuk pada kita yang dia sedang berselera makan sedang kita perlu berlapar.
Untungnya anak-anak yang berpuasa sekitar tahun 90-an ialah bulan puasanya berlangsung ketika musim cuti sekolah akhir tahun. Ertinya, sebulan puasa itu habis tanpa perlu hadir ke sekolah. Pun begitu, ianya juga boleh menjadi teramat membosankan kerana kita terkedang sahaja di rumah. Emak pula, kalau sudah namanya emak, tahu saja nakal anak-anaknya. Apa sahaja saki-baki makanan yang ada diletak di dapur, dan ada yang disembunyikan demi untuk mengelakkan saya berbuat kejahatan tersembunyi. Angkatlah tudung saji, maka kita akan berjumpa dengan sebuah kehampaan yang nyata.
Adik-adik saya melayan diri sendiri dengan bermain permainan mereka. Mereka itu walaupun ikut bersahur, mereka bukan puasa pun. Saja nak 'join' makan. Hampeh betul. Ada masanya, saya ikut sekali bermain Lego. Aih, kalau sudah namanya puasa, bermain Lego juga boleh menjadi teramat memenatkan. Itu resmi budak-budak manja tak tentu hala. Saya pun hairan, ramai mak ayah yang membuat kenyataan bahawa anak perempuan lebih mudah berpuasa ketika umur kecilnya berbanding anak-anak lelaki. Tetapi ramai juga yang tak perasan, apabila mereka meningkat remaja, setannya mereka itu sama sahaja. Yang seorang menghisap rokok curi-curi, yang seorang lagi menipu dengan mengatakan dirnya 'period'. Itu jauh lebih kurang ajar.
Iklan di TV berjalan dan terus berjalan. Sesekali, keluarlah iklan yang boleh menjerumuskan anak-anak ke lembah durjana, iaitu mencuri makan...
BERSAMBUNG...
No comments:
Post a Comment