Ini kisah Hari Ibu.
Selepas hari PRU.
Semuanya keliru dan semacam kaku.
Namun tidak segundah hati seorang ibu.
Saya punya seorang ibu. Satu-satunya ibu. Tidak bergalang ganti dengan barang satu. Punya cerita syahdu tentang PRU.
Katanya, mengapa hal ini boleh berlaku. Bukankah sepatutnya semua tahu. Yang dahulu itu jasanya bukan seringan bulu. Bahkan lebih besar dari sebongkah batu. Namun kenapa jadi begitu, hingga yang dahulu pernah menakhodai angkatan yang jitu, bertukar menjadi seteru.
Daku pun menjawab.
Mengapa tidak aduhai ibu. Nakhodanya yang baru itu tidak sebulu. Sudahlah begitu penuh cerita yang tidak tahu. Bila ditanya terperosok malu tersipu-sipu. Mahu menjawab pun macam budak-budak mahu puting susu. Macam mana rakyat seperti ibu hormat nakhoda sebegitu.
Ibuku punya pertikaian.
Kalau begitu mengapa semua digadaikan ? Bukankah patut dia yang disingkirkan ? Bukan ditenggelam semua angkatan ? Tidak langsungkah ada jasa untuk dikenangkan ?
Aduhai ibu yang budiman.
Memang begitu dahulu diharapkan. Sudah dinasihat kiri kanan belakang dan depan. Oleh orang setia bukan sembarangan. Bahkan besar dalam pentadbiran. Tapi dia mengambil pilihan. Katanya tidak ada semangat setiakawan. Lalu ditendang macam bola di padang permainan, jatuh terhina tanpa bantuan.
Lalu mereka bangkitlah melawan. Kerana mereka tahu, dia bukan Tuhan. Bahkan seorang ketua penuh sangkaan, dari dalam dan luar dewan kemuliaan. Dalam pada dia mengumpul kaki mengampu, yang melawan mengumpul seteru. Membentuk gabungan yang serba baharu, mencipta kekuatan melawan yang keliru.
Lalu ibuku bertanya lagi.
Lihatlah pula apa yang terjadi. Yang baik pun ikut sekali.
Kataku begitulah adat melawan.
Dahulu pun mereka itu tidak cekatan.
Hanya semua ikut-ikutan.
Mahu menjaga nasi di pinggan.
Berkatalah sudah nakhoda terdahulu.
Bahawa angkatan itu tidak macam dahulu.
Rosak semua kerana kelabu.
Pada wang, harta dan pangkat yang semu.
Ibuku mengeluh lagi.
Jiwa ibunya tetap berlari.
Memikirkan nanti apa yang terjadi.
Entah tergadai maruah bangsa nanti.
Aku segera menenangkan.
Bahawa agama, bangsa dan budi pekerti bukan kerja kerajaan.
Bahkan itu tersemat jauh di dalam badan.
Bercampur darah, keringat dan kekuatan.
Agama tertegak kerana akhlak.
Bukan sekadar berarak menjerit keluar anak tekak.
Nabi itu bermula dengan akhlak, hingga teguh iman mereka yang tertampak. Barulah disubur dengan syariat, makin teguhlah Islam di bawah rahmat.
Ibuku masih risau.
Kerana setianya menjadi galau.
Kata aku kepada ibu.
Mahu setia itu silalah.
Tidak pernah menjadi salah.
Tapi ibu berdoalah.
Supaya mereka merasa salah.
Segera kembali melihat ke bawah.
Di situlah terletak maruah yang diinjak.
Kembalilah mencari sebuah jatidiri.
Jauhkan mencari nakhoda yang tuli.
Hanya melihat harta duniawi.
Dengan harapan membeli undi.
Mengecilkan marhen yang menagih janji.
Jangan dihina ibu di luar lingkaran.
Kerana itu kurang ajar berkekalan.
Takut nanti dilaknat Tuhan.
Kerna ibu tidak tergantikan.
Aku berdoa kepada Tuhan, jangan kita putus ikatan, kerana siasah yang tidak berkekalan, semoga senantiasa berbahagiaan, mencari semula redha Tuhan.
SELAMAT HARI IBU.
No comments:
Post a Comment