Nuffnang

Thursday, May 17, 2018

CERITERA BULAN PUASA (1)

Sekitar tahun 90-an, saya mula belajar berpuasa. Saya pun tak tahu mengapa saya perlu BELAJAR untuk berpuasa sedangkan secara kasarnya, puasa itukan cuma tak makan dan minum di siang hari. Rupa-rupanya tidak. Ia tak semudah itu.

Sebelum itu pula, saya diajar oleh cikgu di sekolah agama tentang sahur di mana ianya semacam tradisi di bulan puasa untuk bangun pagi-pagi buta dan makan sebagai persediaan untuk seharian berlapar dahaga. Semakin lama, saya semakin faham bahawa sahur itu bukan sekadar tradisi, bahkan ianya adalah sunnah yang nabi saya amalkan terdahulu dan terus diamalkan oleh umatnya, kerana nabi kita pernah berkata bahawa pada sahur itu terdapat padanya keberkatan, begitu juga ianya membezakan dengan puasa-puasa yang diamalkan oleh penganut agama lain.

Ibu saya adalah manusia yang paling awal bangkit dari lenanya. Sekitar 4.30 pagi dia sudah bangun untuk memanaskan lauk dan nasi untuk juadah sahur. Itu resmi kita, kan ? Sedangkan ianya tidak semestinya begitu. Mahu makan kekacang sahaja pun boleh kalau perut kita itu sebesar gulungan kapas sahaja. Disebabkan perut kita ini perut Melayu, maka nasilah santapan rasmi kita. Selepas ibu saya, disusuli pula oleh ayah saya di mana dialah yang akan menggerakkan saya adik-beradik untuk bangun dari tidur.

Saya membantah. Saya mahu tidur. Saya sangat mengantuk.

Namun ugutan demi ugutan dan ancaman demi ancaman yang bersangkutan dengan hal-ehwal 'nanti lapar waktu siang padan muka', maka saya gagahkan diri untuk bangkit dan menuju ke dapur. Selesai mencuci muka, duduk di atas kerusi berhadapan dengan nasi yang telah dihidangkan, saya belum terasa mahu makan. Saya tengok nasi, nasi tenung saya. Mungkin nasi itu mengamalkan teknik hipnosis, tahu-tahu sahaja saya terlelap semula. Kerja ayah saya jugalah yang menepuk badan saya untuk bangun dan segera makan kerana waktu subuh tidak akan melambat-lambatkan dirinya demi untuk melayan kantuk saya.

Kebiasaan ibu saya, air panas yang dihidangkan terdiri daripada dua jenis - teh o dan milo atau milo-o dan kopi-o. Sesekali, dia akan membancuh nescafe-o atau nescafe susu yang menjadi kegemaran saya. Ayah saya sememangnya hanya ngam dengan teh-o panas sahaja. Adik-adik saya pula lebih suka memilih milo-o atau teh-o sahaja. Cuma saya sahaja yang mengikut jejak langkah ibu saya yang boleh membalun kopi-o.

Kadang-kadang, sengaja saya membuncitkan perut dengan meminum air yang banyak dengan alasan tak mahu berasa haus di siang hari sekaligus membantutkan segala tenaga anak-anak yang aktif. Kata ibu saya, banyak sangat minum air sebenarnya jauh lebih memenatkan. Saya tidak percaya pada mulanya. Namun, lama kelamaan perkara tersebut menjadi sebuah kebenaran bagi diri saya. Saya bahkan lebih malas, lembap dan bodoh bila banyak sangat meminum air. Mungkin air itu sebahagiannya tersesat masuk ke dalam kepala saya.

Selepas masuknya waktu subuh, maka bermulalah hari-hari yang menyeksakan bagi saya...

BERSAMBUNG...

No comments: