Nuffnang

Saturday, November 28, 2009

BILA RUMI MENARI


Bila terdengar Masnawi ciptaan Maulana
Ku bunuh nafsu leburnya rantainya dari badan

Hingga hilang bangga diri
Berani hidup berani mati
Bagai musafir bertemu janji
Ini Darwis sudah gila berahi

Kita tak rindu pada siasah dunia
Perangkapnya membuat manusia hampa
Untuk bertemu impian bukan percuma
Mengorbankan yang tersangat kita cinta

Bagai Yunus (a.s) dimakan paus
Ibrahim (a.s) tak dimakan api
Bertemu Kekasih di malam kudus
Luka di badan tak terasa lagi

Pukullah
Rebana jantungku
Bersyairlah Maulana
Aku mabuk hakiki
Mendengar suaramu

Sayang...
Pada mereka yang tak mengerti
Sayang...
Pada hati tertutup mati

Bagai sangkar tanpa penghuni
Burung berharga terlepas lari

Rindu
Kembali bersatu
Hatiku merindukan Pemiliknya

Rindu
kembali bertemu
Kembali bertemu dengan yang dikasihi

Rindu
Kembali bersatu
Hatiku merindukan Pemiliknya

Rindu
Kembali bertemu
Kembali bertemu dengan Kekasih...

"Dia adalah orang yang tidak mempunyai ketiadaan. Saya mencintainya dan saya mengaguminya. Saya memilih jalannya dan saya memalingkan muka ke jalannya.
Setiap orang mempunyai kekasih. Dialah kekasih saya, kekasih yang abadi.
Dia adalah orang yang saya cintai, dia begitu indah, oh dialah yang paling sempurna.
Orang-orang yang mencintainya Adalah para pencinta yang tidak pernah sekarat.
Dia adalah dia dan dia dan mereka adalah dia.
Ini adalah sebuah rahsia.
Jika kalian mempunyai cinta, kalian akan memahaminya..."

(Sultanul Awliya' Maulana Sheikh Nazhim Adil al-Haqqani - Cucu Maulana Jalaluddin Ar-Rumi, Lefke, Cyprus, Turki, September 1998)

TEMPAT YANG PALING SEMPIT DI DUNIA

Sesungguhnya,

Tempat yang tersempit dalam dunia adalah hati yang lalai daripada mengingati Tuhan.

Tidak ada satu kebaikan yang boleh memasukinya lantaran kesempitan itu, sedang segala macam kebaikan itu besar-besar belaka.

Kebaikan yang kecil pada manusia, belum tentu pada Tuhan.
Sedang Tuhan menyukai amal yang banyak, walaupun kecil.

KETEMU

Aku tidak mencari kaya,
Tidak aku mencari miskin.
Aku tidak mencari senang,
Tidak aku mencari susah.
Aku tidak mencari gembira,
Tidak aku mencari sedih.
Aku tidak mencari dunia,
Tidak aku mencari akhirat.
Aku tidak mencari syurga,
Tidak aku mencari neraka.

Aku mencari aku.

Dalam aku,
Aku menemukan bahawa kaya itu menyenangkan,
Aku menemukan juga bahawa kaya itu menyusahkan.

Dalam aku,
Aku menemukan bahawa miskin itu menyusahkan,
Aku menemukan juga bahawa miskin itu menyenangkan.

Dalam aku,
Aku menemukan bahawa senang adalah impian,
Aku menemukan juga bahawa senang adalah mimpi ngeri.

Dalam aku,
Aku menemukan bahawa susah adalah mimpi ngeri,
Aku menemukan juga bahawa susah adalah impian.

Dalam aku,
Aku menemukan bahawa gembira adalah penawar duka,
Aku menemukan juga bahawa gembira adalah penyubur luka.

Dalam aku,
Aku menemukan bahawa sedih adalah perosak jiwa,
Aku menemukan juga bahawa sedih adalah penyembuh jiwa.

Dalam aku,
Aku menemukan bahawa dunia adalah indah,
Aku menemukan juga bahawa dunia adalah racun yang paling berbisa.

Dalam aku,
Aku menemukan bahawa akhirat adalah pemutus,
Aku menemukan juga bahawa akhirat adalah penyambung.

Dalam aku,
Aku menemukan bahawa syurga adalah indah untuk didiami,
Aku menemukan juga bahawa syurga adalah sukar untuk didapati.

Dalam aku,
Aku menemukan bahawa neraka adalah hina untuk didiami,
Aku menemukan juga bahawa neraka adalah mudah untuk didapati.

Dalam aku,
Aku menemukan Tuhan,
Tuhan menemukan aku,
Aku bersatu dengan Tuhan,
Tuhan bersatu dengan aku.
Aku adalah hamba Tuhan,
Tuhan adalah tuhan aku.

Dalam aku, aku menemukan semua,
Maka untuk apa mengejar dunia ?

Sunday, November 22, 2009

MISKUL RUH

Alhamdulillah.

Setelah beberapa lama mencari, akhirnya saya ketemukan siapa yang begitu lunak suaranya mengalunkan selawat-selawat murni itu dengan diiringi seruling dan rebana yang menyentuh jiwa.

Rasanya pernah terjumpa album di ini di kedai-kedai buku agama. Tapi, tidak tergerak untuk membelinya lantaran saya tidak kenal siapa penyanyinya.

Lagu selawat yang paling saya suka di dalam album ini adalah Solatullah.

Mendengar beberapa kali di IKIM.FM, saya tertanya-tanya siapa penyanyi ini dan apakah judul lagu ini.

Ya, beberapa hari ini saya kembali mencari di ruang maya internet yang luas ini, namun diizinkan Tuhan untuk menemukannya juga, meskipun sering 'ditipu' laman-laman tertentu.

Oh ya, miskul ruh itu maknanya Kasturi Jiwa.

Dan nama penyanyinya juga seakan-akan penyanyi yang berasal dari Indonesia itu, Haddad Alwi. Namanya pula Alwi Al-Haddad.

Friday, November 20, 2009

UPSR

Teringat cerita lama.

Tahun ?

2000. Tepat.

Ketika itulah saya menempuh peperiksaan ini. Rasa ? Susah ada. Senang ada. Begitulah namanya peperiksaan. Yang mana kita mahir dan selalu mengulitinya, menjawab soalannya terasa sangat menyeronokkan.

Kalau yang tidak mahir dan lupa pula, memang berpeluh seolah-olah sudah lari 5 pusingan.

Keputusan ?
Tidak seperti budak-budak sekarang. 5A berduyun-duyun (seolah-olah gred lulus sudah diturunkan).

Thursday, November 19, 2009

KALI KEDUA...

Apa ertinya kali yang kedua ?

Mungkin semacam peringatan daripada Allah Taala tentang apa kesilapan yang kita lakukan. Ya, kadang-kadang kite berdoa kepada Tuhan supaya kita dapat apa yang inginkan dan mengelak daripada apa yang kita tidak mahu.

Namun, kerja Tuhan memang misteri sama sekali. Kita kadang-kadang tidak memahami sebab Tuhan tidak memakbulkan doa kita. Namun, itulah Tuhan yang Maha Bijaksana. Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Sebenarnya.

Kali kedua ini benar-benar mencengkam jiwa yang lemah. Terasa hendak melepaskan segalanya. Namun, kerja Tuhan siapa yang tahu...

Saturday, November 14, 2009

KENANGAN SEKOLAH RENDAH

Marilah saya bercerita tentang latar belakang pendidikan saya ketika sekolah rendah. Sebabnya supaya anda sekalian boleh tahu betapa kenangan manis saat kita masih kanak-kanak tidak boleh dilupakan sama sekali.

Saya mula bersekolah tadika di Tadika Perpaduan Segamat pada tahun 1994. Kencing dalam seluar, menangis pada hari pertama, tak mahu pakai tanda nama dan takut pada cikgu adalah ragam saya pada hari pertama. Selepas beberapa minggu, barulah saya sedikit berani dan tidak menangis lagi. Ketika itu waktu persekolahan saya ialah pada pukul 1 tengah hari hingga pukul 5 petang. Saya mendapat beberapa orang kawan yang baik di sini. Antaranya ialah Fahmi si bijak pandai, Abu yang haram tak reti melukis. Nak lukis muka orang jadi bentuk telur. Oh ya, ayah si Abu inilah yang membekalkan kami makanan untuk kami makan ketika waktu rehat. Kalau tidak, tak makanlah kami dan cikgu-cikgu kami itu. Biasalah, waktu rehat adalah waktu main. Kami bermain entah apa-apa. Ada yang baik sikit dengan membaca buku cerita. Ketika inilah saya amat membenci seorang rakan saya yang sombong dan ingat dia seorang sahaja yang kuat. Dia pernah meletakkan kakinya di atas kepala saya. Hampir sahaja saya hendak menendang dua biji yang bergantungan di dalam seluarnya itu. Mujurlah cikgu menahan. Saya dapat tahu yang dia ini anak yang amat manja dengan emaknya. Jadi, itu modal kami yang terbaik untuk mengejeknya seraya meruntuhkan kesombongannya itu. Mentang-mentanglah emaknya seorang pelakon. Ya, serius. Saya sendiri pernah melihat emaknya berlakon dalam sebuah drama. Entah siapa emaknya, saya sudah lupa. Mungkin sudah tidak berlakon lagi. Heh...

Selepas itu, saya bersekolah darjah satu di Sekolah Kebangsaan Temenggung Abdul Rahman. Dalam kelas 1 Mawar saya ditempatkan dengan beberapa rakan lama saya di tadika dan juga rakan baru. Seingat saya, ada seorang rakan saya yang nakal sekali dan namanya Hishamuddin. Pernah suatu ketika, dia diangkat oleh Cikgu Onn yang mengajar Bahasa Melayu dengan kedua-dua belah telinga hingga dia menjerit sekuat-kuatnya seolah-olah dibantai dengan besi panas. Namun, dia tidak pernah begitu lembik sehingga nak mengadu pada ibu bapanya. Tak macam budak-budak zaman sekarang. Ketika ini saya cukup benci pada guru pendidikan jasmani saya yang kerjanya nak mencubit dan merotan belakang saya dan rakan-rakan untuk sebab yang remeh-temeh seperti tidak menggaris tarikh dan hari pada buku latihan dan tulisan yang buruk.

Ketika darjah dua, saya masih bersekolah di sekolah yang sama. Pun di kelas 2 Mawar. Namun, tidak berapa lama selepas itu, saya dan beberapa orang rakan yang lain terpaksa dipindahkan di kelas 2 Delima. Sani, masih ingat lagi budak ini yang tidak bersekolah agama pada waktu petang dan sering mengacau kami. Namun, dia seorang budak yang baik. Pernah sekali dia memerhatikan saya sedang belajar di kelas fardhu ain pada waktu petang. Ustazah yang mengajar bertanyakan kepadanya mengapa dia tidak bersekolah agamanya. Jawapannya saya sudah lupa. Ya, ustazah ini cukup garang. Saya pernah bermain satu alat permainan yang seperti kipas yang jika kita memusingnya dengan tapak tangan, ia akan terbang. Dan kipas itu terbang tepat ke kepala ustazah itu yang berada di belakang saya. Dan saya dimarah sepuas-puasnya.

Cikgu Mariam adalah guru matematik saya. Cakapnya kasar dan sering menjerkah kami tak pasal-pasal. Pernah kawan saya yang bernama Muhamad Nazmi dimarahinya cukup-cukup sehingga dia menangis teresak-esak. Ketika dia menulis, air matanya menitis ke atas buku sehingga rosak tulisannya. Itu saya masih ingat sebab dia duduk di depan saya. Nazmi ini begitu mudah tersentuh. Jika anda cakap begini,”Ala, aku nak merajuklah macam ni”, tentu dia akan meminta maaf berulang kali walaupun dia tidak buat apa-apa kesalahan. Ada pula seorang lagi rakan saya yang bernama Muhaimin . Dia suka bercerita tentang hantu. Seolah-olah semua hantu dan jembalang yang wujud di dunia ini pernah dijumpainya. Namun, saya dan rakan-rakan tetap suka mendengar ceritanya yang merepek itu. Masih ingat lagi petua karutnya untuk menghalau hantu di jamban. Caranya ialah meletak al-Quran dalam mangkuk jamban. Celaka sungguh petuanya !. Khabarnya kini dia berada di Rusia mendalami ilmu perubatan di sana. Jangan dia ajarkan petua karut ini pada pelajar Islam di sana sudah.

Guru Bahasa Inggeris kami ketika itu sudah tua. Dan perempuan pula. Saya memanggilnya Cikgu Zaleha. Saya suka dia mengajar pada hari Jumaat kerana ketika itu kami dibenarkan berbaring di lantai hadapan untuk menyalin apa yang ditulisnya di papan hitam. Oh ya, lantai itu bertikar getah, jadi tidak ada masalah. Dan kami tidak kisah baju kami kotor kerana hari Jumaat hari terakhir sekolah, esoknya Sabtu dan baju pasti dicuci. Kami ketika itu diwajibkan berpakaian baju Melayu putih dan sampin hitam pada hari Jumaat.

Sekolah Kebangsaan Temenggung Abdul Rahman terpaksa saya tinggalkan kerana saya terpaksa berpindah ke pekan Labis. Labis ini masih lagi dalam daerah Segamat ketika itu. Pihak berkuasa tempatannya dipanggil Majlis Daerah Segamat Selatan (MDSS). Kependekan ini boleh ditemui di kerusi-kerusi plastik milik majlis daerah di dewan besar Labis. Pekannya tenang dan damai. Ianya seolah-olah menjadi penghubung Segamat dengan Yong Peng dengan melintasi beberapa pekan lain seperti Chaah, Desa Temu Jodoh dan Lam Lee. Di Labis ini, saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sri Labis. Dahulunya ialah Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Labis, cuma perkataan ‘rendah’ itu dibuang. Saya mula belajar di sini dalam darjah tiga. Mulanya, guru kelas saya ialah Cik Vasugi. Garangnya sungguh menakutkan. Jika saya dan rakan-rakan keluar rehat tanpa memasukkan kerusi ke bawah meja, kami akan dirotan sekuat-kuatnya. Satu sampah di lantai, tiga sebat untuk semua. Dia mengajar bahasa Inggeris. Tidak lama kemudian dia melanjutkan pelajarannya dan diganti oleh Cikgu Siti Khadijah. Cikgu ini putih melepak dan berasal daripada Kelantan.

Ketika ini saya begitu lemah dalam sifir. Oleh itu, cikgu Matematik saya bertanggungjawab mendera saya untuk menghafal sifir. Satu salah, satu rotan. Malangnya, saya sudah lupa nama penuhnya. Saya cuma mengingatinya dengan nama Cikgu Tey. Namun, caranya itu berkesan. Saya dapat menghafal dengan baik selepas itu. Rakan saya ketika itu, Ahmad Zahiruddin juga membantu. Orangnya memang tampan, rambutnya berwarna perang dan dia juga gila-gila macam saya. Oh ya, saya juga meminati adiknya yang muda setahun daripada saya. Hehehe...

Cikgu Bahasa Melayu saya pula namanya Encik Saari Sairan. Seorang yang suka membuli kami. Namun kami semua sayang kepadanya kerana dia pandai pula berjenaka. Di bawah tunjuk ajar beliau, saya berhasil menulis sebuah karangan pendek yang judulnya 'Aku dan Ikan Paus.' Itulah karangan pertama saya yang merapu dan tidak masuk akal sama sekali. Masakan saya bela ikan paus di rumah. Namun begitulah khayalan anak-anak yang berumur 9 tahun. Membela sesuatu yang tidak logik. Ketika inilah, saya mula rapat dengan seorang budak yang bernama Azad Azahari. Dia seorang rakan yang baik. Tetapi, kadangkala dia juga sering mengusik saya. Basikal lamanya yang tidak ada brek dan tongkat itu sering saya tunggangi seperti menunggang motorsikal yang tidak ada enjin. Ramai rakannya menyangkakan yang 'Azahari' itu nama ayahnya. Padahal itu memang namanya. Subjek Pendidikan Seni ketika ini diajar oleh Encik Jumaat yang garang. Kereta Proton Saganya tertampal Stiker Batman. Setiap pagi, kami diwajibkan olehnya untuk memungut daun-daun kering di sekitar sekolah. Namun, kami hanya akan mula memungut apabila dia sampai ke sekolah. Oleh itu, kami mempunyai 'mata-mata' yang akan menunggu di pintu pagar sekolah sambil menyibuk dengan pengawas yang menjaga di situ dan memerhatikan keretanya. Apabila sebuah kereta Proton Saga putih jelas dari kejauhan dengan stiker Batman itu, dia akan berlari mendapatkan kami sambil menjerti, "Cikgu Jumaat sudah datang !!!" Ketika itulah kami akan bertindak pura-pura memungut daun-daun kering itu.

Ketika itu, saya sering menyumpah-nyumpah pokok ketapang besar yang meluruhkan daun-daun kering itu. Pernah saya berpakat dengan kawan hendak menebang pokok itu. Hahaha. Itu tidak mungkin kerana kami baru sahaja darjah tiga.

Naik ke darjah 4, saya berguru kelas dengan Encik Jumaat bin Abdul Hamid itu yang digeruni kerana penampar besinya. Bagi kami yang berumur 10 tahun, ditampar sebegitu kuat tentulah menyakitkan dan menyedihkan. Akibat bising, saya pernah ditamparnya. Ketika itu saya langsung tidak sedar bagaimana keadaan saya. Yang pastinya, saya kepeningan. Kawan saya si Adrian berkata,”Awak berpusing-pusing.” Encik Jumaat ini mengajar saya Bahasa Melayu. Tegurannya ketika saya berkeputusan teruk dalam ujian penggal pertama membuatkan saya semakin takut dengannya. Guru Bahasa Inggeris saya ketika ini ialah seorang Cina yang berbadan besar dengan keadaan yang tidak terurus. Saya pun tidak tahu bagaimana orang selekeh seperti beliau boleh menjadi guru. Beliau sering menyebut nama kami dengan salah dan selalu pula menggelar kami dengan gelaran yang bukan-bukan. Mohd Faiz menjadi ‘Landak’, Uzair menjadi ‘Ursa’. Begitulah lidah Cinanya ingin memudahkan penyebutan. Pernah dia bertanya saya, “Akmal, sudah siapkah ?” Saya menjawab 'sudah.' Dia pun menjawab, “Ha, Alhamdulillah.”

Ketika darjah 4 ini, ada seorang rakan perempuan saya yang bernama Nabilah binti Mastuki. Hihihi...Dia agak tomboi jika diperhatikan betul-betul dan suka menyebut satu perkataan keji dalam bahasa Inggeris. Dia juga suka membuat bising dalam kelas. Walaupun begitu, dia memang seorang pelajar perempuan yang pandai.

Ketika darjah 4 inilah saya dan rakan-rakan didatangi seorang guru yang penampilannya seakan-akan ustaz. Namanya ialah En. Khairil Anuar bin Ibrahim. Nah, dia mengajar kami Matematik untuk beberapa ketika sebelum diganti dengan Encik Ismail pula. Bagi subjek sains pula, kami diajar oleh seorang guru yang sangat cantik. Anak dara pula. Sehinggakan seorang rakan lelaki saya selalu malu-malu apabila cikgu ini bertanya kepadanya. Renungannya dan gerak bibirnya memang menawan sekali. Namanya ? Oh, Tuhan. Saya sudah lupa. Entah di mana cikgu itu sekarang ini. Mungkin sudah berkahwin dan beranak tiga. Barangkali.

Cikgu yang saya katakan berpenampilan seperti ustaz itu mengajar kami bernasyid dan sering pula kami membuat persembahan apabila sekolah mengadakan sesuatu majlis. Saya sendiri pernah menjadi penyanyi utama untuk sebuah lagu yang entah apa namanya. Itu dahulu. Sebelum suara saya yang merdu macam Mamat Exist itu 'dikhianati' umur akil baligh yang telah menyebabkan suara saya tak ubah seperti itik yang kehilangan ibu. Ha, disebabkan aktif bernasyidlah, saya jadi meminati lagu-lagu nasyid. Hal ini kerana lagu-lagunya menenangkan jiwa kanak-kanak saya yang suka sangat cari pasal. Masih saya ingat lagi ketika kami mendendangkan sebuah lagu Raihan yang berjudul 'Ya Rasulullah', jika tidak silap. Ketika itu saya sedang mengalami batuk. Maka, berhempas-pulaslah saya menahan batuk. Lagak saya ketika itu tak ubah seperti orang yang menghidap batu karang hendak membuang air kecil. Pun begitu, lagu itu membuatkan kami diminati ramai rakan-rakan perempuan. Bukan kerana kami terlalu 'hensem' ataupun nampak 'alim', tetapi kerana lagu itu sedap sekali didengar dan dinyanyikan oleh anak-anak yang belum pecah suara. Ketika ini memang kumpulan nasyid mendominasi jiwa hiburan kami. Lupa sekejap sama Search, Wings, dan lain-lain itu.

Saya naik ke darjah 5 pada tahun 1999. Ketika ini, ada di antara rakan saya yang mula tumbuh tanduk. Antaranya ialah Ravi Kumar yang teramat suka mencuri. Kegilaannya ialah memakan ‘ubat pensel’. Tabiat pengotornya itu menular pula kepada rakan-rakan India dungu yang lain. Ya, saya ada beberapa rakan India yang baik. Antaranya ialah Vikcnesh, Vikneswaran, Kaliswaran, Deevagar dan Thilaga. Si Thilaga ini amat mahir matematik dan saya dulu duduk bersebelahan dengannya dan sering meminta tunjuk ajarnya. Rakan perempuan? Oh, tentulah ada. Dan Si Thilaga tadi itu pun perempuan. Antaranya ialah Nor Baizura yang manis, Raihana Has, Syarifah Nur Khairunnisa yang cantik, Nurhaniza binti Mohd Khoiri, Siti Zulaikha binti Ramli yang comel dan Nur Farah Liza binti Abdullah yang cun-melecun. Si Nur Farah Liza ini baru sahaja berpindah ke sekolah kami. Ramai rakan-rakan saya meminatinya dan saya sendiri salah seorang peminatnya. Tambah menyeronokkan dan membuatkan saya ingin terbang apabila ada rakan perempuan saya memberitahu yang dia sangat menyukai saya. Wahahaha.

Ketika ini, subjek sains diajar oleh seorang cikgu Cina yang bernama Encik Chia Lee Beng. Dia seorang muda yang tegas dan garang. Dan dia juga guru kelas kami. Kami sering mentertawakan pelat cinanya yang membuatkan kami tidak faham apa yang diajarnya. Cikgu Bahasa Melayu kami ? Ya, Cikgu Jumaat masih mengajar kami. Ketika ini beliau amat garang dan selalu sangat merotan kami. Malahan dia pernah menampar seorang rakan saya sehingga terjatuh. Budak perempuan juga tidak terkecuali. Semua ditamparnya jika tidak berpuas hati. Seperti biasa, kami tidak pernah mengadu kepada ibu bapa kami. Entah kenapa.

Subjek Bahasa Inggeris dan Matematik pula diajar oleh Encik Ravindran. Seorang cikgu senior di sekolah kami. Pendengarannya sudah kurang baik. Perkataan ‘once again’ sering diucapkannya apabila tidak mendengar kami menjawab soalannya. Oh ya, beliau juga menjawat jawatan sebagai penolong guru besar sekolah kami. Sungguh melucukan sekali jika dia mewakili guru besar untuk menyampaikan amanat ketika perhimpunan mingguan sekolah yang diadakan setiap Isnin itu. Saya tidak akan dapat melupakan gelagatnya. Dia akan naik ke pentas kecil, kemudian mengucapkan, "Selamat pagi, murid-murid !" Selepas itu, dia akan mengambil sapu tangannya di kocek belakang sambil menyebut, "Yang pertama..., yang kedua...,yang ketiga...". Maknanya, setiap kali hendak menyampaikan sesuatu, dia akan mengesat mulutnya. Kami akan tergelak di belakang barisan, dan sering juga kami 'diangkut' pengawas supaya berdiri di depan kerana bising. Hehehe.

Darjah 6. Ketika inilah saat yang paling indah apabila orang yang kita minat itu duduk di hadapan kita. Ya, Nur Farah Liza duduk di hadapan saya. Sungguh bertuah sekali. Susunan meja ketika itu amat menyebelahi saya dan mendatangkan tuah. Meja disusun berkelompok. Satu kumpulan ada 6 pelajar. Apa yang saya buat untuk kegembiraan ini ? Tidak ada apa-apa. Saya masih segan dengannya sebab dia seorang budak perempuan yang cantik jika hendak dibandingkan dengan saya yang berpenyakit semput, kulit yang agak gelap dan bersuara tidak enak didengar. Malah saya tidak pandai bergaya.Itu ketika di zaman saya. Zaman sekarang ini, kalau sudah suka, terus diterkamnya, malah ada khabar yang menyatakan budak bawah umur sekarang ini sudah tahu berzina. Nauzubillah. Kita dahulu tidak berani hendak sentuh mereka pun. Sayalah. Tidak tahulah pula rakan-rakan yang lain. Hehehe.

Tetapi, dasar cinta monyet yang sial. Si Nur Farah Liza beralih arah kesukaannya kepada seorang rakan saya yang lain. Hanafi namanya. Wah, Si Hanafi sangat pandai. Mungkin itu sebabnya dia menyukai Hanafi. Adakah saya bergaduh dengan si Hanafi untuk merebut dia kembali ? Tidak. saya malah tak tahu nak buat apa. Lagipun, peduli apa. Saya baru sahaja darjah 6. Nak bercinta pun tidak ada duit. Malahan saya tidak tahu pun apa itu cinta. Lebih malang, tempat duduk kami diatur semula. Saya terpaksa duduk di depan dan pelajar perempuan duduk di barisan belakang. Mungkin guru kelas kami tidak mahu kami ini terlalu bebas bergaul dengan budakperempuan. Jika begitu halnya, kami tidak kisah. Guru kelas kami bernama Encik Sumail bin Nasir. Beliau mengajar kami subjek Matematik. caranya mengajar cukup pantas dan saya sering ketinggalan. Ya, saya agak lemah dalam subjek yang ada kira-kira ini. Ada sesuatu yang berbahaya pada diri Cikgu Sumail ini. beliau gemar mencubit. Ya, bukan cubit-cubit sayang,tetapi cubit sehingga terkoyak kulit. Maknanya, dia mencubit dengan kukunya yang sedikit panjang itu. Saya pernah kena sekali dengannya. Sebabnya ? Seperti biasa, dasar budak lelaki yang tak reti duduk diam, bisinglah. Apa lagi.

Encik Jumaat masih mengajar kami Bahasa Melayu. Seolah-olah sudah tidak ada guru Bahasa Melayu lain di sekolah ini. Betapa malangnya kami ini kerana peluang hendak ditampar lagi begitu besar sekali. Namun, Encik Jumaat tidak lagi aktif menampar orang. Mungkin sudah ditegur guru besar, barangkali. Namun begitu, ada satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan ketika belajar dengannya, iaitu ketika dia memarahi seorang kawan saya yang agak 'lembap' dalam pelajaran. Mungkin kerana sakit. Mungkin.

Kemarahannya begitu membara sekali kerana budak ini tidak menyiapkan kerja sekolahnya untuk kali yang ke berapa ratus, saya tidak tahu. Dituju tepat buku latihannya ke mata budak itu sehingga budak itu menangis. Kemudian, marahnya dah lebih takat didih, diambilnya pembaris kuning 'trademark' sekolah zaman 90-an itu lalu dipatahkannya. Kami langsung terdiam. Tak tahu nak cakap apa. Selepas itu Encik Jumaat keluar kelas kerana waktunya sudah habis. Kemarahannya diterjemahkan dengan menyuruh kami menyiapkan berpuluh-puluh soalan latihan Bahasa Melayu. Jika ada salah satu soalan, dia akan menampar kami mengikut jumlah soalan yang salah itu. Kami memang takut dengan amarannya itu kerana beliau memang boleh melakukannya.

Guru besar ketika ini ialah Encik Kamaruddin. Beliau amat tegas dalam kelembutan bicaranya. itulah membuatkan beliau dihormati para guru. Dan kami secara automatik menghormatinya juga. Langkah pertama ketika beliau mengambil alih jawatan guru besar daripada guru besar yang terdahulu, dia mengerah kami untuk membersihkan pejabat sekolah. Bilik-bilik guru habis kami bersihkan. Kami suka kerana kami tidak payah belajar satu hari. Namun, ada sedikit kelucuan pada guru besar kami ini, iaitu tandatangannya. Jika anda membaca tandatangannya, kelihatan seperti ejaan ‘kasino’.

Subjek Bahasa Inggeris kami masih diajar oleh Encik Ravindran. Antara dendanya yang kami tidak lupa ialah mengetuk jari kami dengan pembaris papan hitam yang berwarna kuning dan besar itu. sakitnya sehingga jari-jemari kami lebam. Encik Ravindran ini mengajar kami dengan tenang. Itu yang bagusnya kerana saya lemah dalam Bahasa Inggeris. Jadi, ketenangan itu membuatkan saya dapat menuruti pengajarannya dengan baik.

Ketika ini kami juga berdebar untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Bermacam-macam program dianjurkan sekolah untuk kami. Semuanya untuk memastikan kami cukup bersedia untuk menghadapinya. Kami diwajibkan menyertai bengkel menjawab soalan UPSR. Bengkel diadakan 5 hari. Satu hari satu subjek. Saya sengaja memilih barisan belakang supaya senang untuk tidur jika mengantuk. Aih, tak berguna sungguh.

Akhirnya, ketika keputusan UPSR diumumkan, saya tidak sebaris dengan pelajar yang memperoleh 4A atau 5A, tetapi saya amat bersyukur kerana tidak ada satupun subjek yang gagal. Saya memperoleh 3A1B1C. Malahan saya tidak menyangka subjek matematik yang saya amat takuti berkeputusan A. Pelik sungguh.

Demikian serba sedikit rentetan perjalanan hidup saya ketika bersekolah rendah. Suka duka, tangis ketawa semuanya adalah pengalaman yang tidak akan dilupakan. Selepas itu, kami berpecah untuk memasuki sekolah menengah. Ada yang bersekolah di bandar, ada pula yang bersekolah menengah di kampung. Si Nur Farah Liza yang cun-melecun bersekolah di bandar. Saya bersekolah menengah di sekolah yang agak ‘kampung’ kerana lokasinya yang berhampiran dengan hutan dan ladang getah serta terletak di kaki bukit sehinggakan sekolah menengah itu tidak ada padang.

Bagaimana dengan anda semua ? Masih terkenang-kenangkan ragam ketika kanak-kanak ? Apa yang berlaku ketika kanak-kanaklah yang membentuk jiwa remaja kita. Jika kita dididik dengan kemanjaan yang terlampau, maka kita akan menjadi remaja yang tidak boleh ditegur dan dinasihati. Jika kita dididik dengan kekerasan yang terlampau, maka kita akan menjadi remaja yang kasar dan ganas. Oleh itu, bersyukurlah kerana kita telah melalui zaman yang membentuk peribadi kita kini. Masih ada kesempatan untuk berubah. Begitu juga halnya dengan saya ini.

Wassalam.

*Saya menerbitkan entri ini di blog Friendster. Namun, di sini saya buat beberapa penambahan. Ada beberapa kisah yang tiba-tiba menyinggah kembali dalam kepala yang tepu ini.

Friday, November 13, 2009

DOA

Selalu kita ini berdoa apabila ditimpa kesusahan. Saya pun sama. Kita akan berdoa bersungguh-sungguh kepada Tuhan apabila ada musibah menimpa kita ?

Beginilah keadaan saya, seorang yang terperangkap di dalam kesalahan diri sendiri. Semoga Tuhan mengampunkan. Berdoa setiap hari, dengan penuh harapan supaya Tuhan tidak menghukum segala kesalahan yang lalu dengan cara tidak memakbulkan doa saya.

Kita sudah sedia maklum bahawa Tuhan suka sekali kita berdoa kepada-Nya. Disuruh kita perbanyakkan doa kepada-Nya. Doalah apa sahaja. Mintalah apa sahaja kepada-Nya, nescaya akan dikabulkan. Syaratnya mestilah tidak melampaui batas dan meminta yang bukan-bukan. Berdoa untuk sesuatu perkara yang buruk adalah tidak baik.

Telur di hujung tanduk. Keadaan kita yang seperti ini menyebabkan kita tidak senang duduk. Resah dan gelisah sepanjang masa. Entah apa pengakhirannya, kita tidak pasti. Hendak bersangka baik, sukar sekali. Hendak bersangka buruk, lagi memburukkan keadaan. Apalah kekuatan kita untuk menghadapi keadaan semacam ini ?

Hendak solat, namun solatnya entah ke mana khusyuknya. Semakin payah. Jiwa semakin gelisah. Hidup semakin susah. Nafas semakin sempit. Dada berombak seolah-olah akan mati. Semuanya berlaku kerana tersepit dengan kesalahan sendiri.

Tuhan tidak pernah zalim. Kita yang menzalimi diri sendiri. Semoga Tuhan mengampunkan.

Kadangkala Tuhan beri kita peluang untuk berubah, namun kita lalai. Apabila Tuhan menyempitkan peluang, dikatanya Tuhan itu tidak mengasihinya. Bahkan tidak begitu.

Saya sedaya upaya bersangka baik dengan Tuhan. Kerana di situlah puncak kita meredhakan segala suratan yang menimpa diri.

Namun, sudah namanya manusia, seboleh-bolehnya kita berkehendakkan hasil yang terbaik. Maka, dengan doalah kita panjatkan kepada Tuhan, semoga Tuhan menolong kita yang berada di dalam kesusahan ini...

Saturday, November 07, 2009

KALAM

Seorang sahabat saya yang sama-sama menuntut dengan saya, sering menyebut pen sebagai 'kalam' dalam loghat Terengganunya itu. Hmm...tak faham pada mulanya.

Namun, itulah sebenarnya.

"Alladzi Allamabil qalam..."

Kalam atau pen atau pensel atau apa sahaja medium yang membenarkan penulisan berlaku itu adalah bersangkutan dengan ilmu pengetahuan.

Mendokumentasi ilmu telah berlaku ribuan tahun dahulu sehingga kini. Jika di zaman Rasulullah s.a.w dahulu, kerja-kerja mencatat ayat-ayat suci Al-Quran digalas dengan beratnya oleh sahabat nabi yang bernama Zaid bin Tsabit. Pun begitu, ketika itu ianya disalin dengan tidak berbaris seperti yang kita baca sekarang ini. Hanya huruf-huruf yang dicantumkan menjadi ayat dalam bahasa Arab. Mengapa perlu semua ini ?

Sebab manusia mudah lupa.

Saidina Umar r.a. risaukan perkara kematian para hafiz di medan perang dan kebarangkalian ayat Al-quran akan luput dari ingatan manusia itu tinggi sekali, maka disarankan supaya Al-quran itu dibukukan. Namun berat hati Saidina Abu Bakar r.a. hendak mengerjakannya. Namun setelah didesak dan melalui pertimbangan yang wajar, barulah dikumpulkan naskhah-naskhah yang ada sebelum semuanya sempurna pada zaman pemerintahan Saidina Uthman r.a. dan dipanggil rasm Uthmani. Disuruh kita membaca Al-Quran itu dengan lahjah Quraisy, atau dalam erti kata yang mudah seperti mana Rasulullah s.a.w. dahulu membacanya semasa baginda masih hidup.

Begitulah perjalanan panjang pembukuan Al-Quran. Itu belum diambilkira pembarisan ayat, kesilapan-kesilapan yang diperbetulkan dan macam-macam lagi masalah yang kita tidak tahu. Semuanya berakar umbi daripada kebolehan kalam atau pen itu sebagai pencatat ilmu.

Dahulu tidak ada komputer, maka pen itu medium terutama. Sekarang, komputer, PDA, telefon bimbit dan berbagai-bagai lagi alatan canggih yang boleh mencatat maklumat, namun pen juga masih pilihan utama.

Mengapa ?

Sebab ia mudah sekali digunakan untuk mencatat.

Ketika berada di dalam bilik kuliah, menari-nari pen itu di atas kertas mencatat segala macam ilmu yang ada di hati pensyarah. Saya tidak mahu kata di dada. Sebab dada terlalu umum. Maka di hati itu adalah tepatnya. Otak berfungsi untuk mengingat, dan hati itu untuk menghadam dan menghayati serta memperhalusi ilmu. Sebab itulah mereka yang kotor hatinya tidak dapat menghayati ilmu. Nauzubillah...semoga dijauhkan.

Apabila terpandang pen, segera teringatkan ilmu yang boleh dicatat...