Seorang sahabat saya yang sama-sama menuntut dengan saya, sering menyebut pen sebagai 'kalam' dalam loghat Terengganunya itu. Hmm...tak faham pada mulanya.
Namun, itulah sebenarnya.
"Alladzi Allamabil qalam..."
Kalam atau pen atau pensel atau apa sahaja medium yang membenarkan penulisan berlaku itu adalah bersangkutan dengan ilmu pengetahuan.
Mendokumentasi ilmu telah berlaku ribuan tahun dahulu sehingga kini. Jika di zaman Rasulullah s.a.w dahulu, kerja-kerja mencatat ayat-ayat suci Al-Quran digalas dengan beratnya oleh sahabat nabi yang bernama Zaid bin Tsabit. Pun begitu, ketika itu ianya disalin dengan tidak berbaris seperti yang kita baca sekarang ini. Hanya huruf-huruf yang dicantumkan menjadi ayat dalam bahasa Arab. Mengapa perlu semua ini ?
Sebab manusia mudah lupa.
Saidina Umar r.a. risaukan perkara kematian para hafiz di medan perang dan kebarangkalian ayat Al-quran akan luput dari ingatan manusia itu tinggi sekali, maka disarankan supaya Al-quran itu dibukukan. Namun berat hati Saidina Abu Bakar r.a. hendak mengerjakannya. Namun setelah didesak dan melalui pertimbangan yang wajar, barulah dikumpulkan naskhah-naskhah yang ada sebelum semuanya sempurna pada zaman pemerintahan Saidina Uthman r.a. dan dipanggil rasm Uthmani. Disuruh kita membaca Al-Quran itu dengan lahjah Quraisy, atau dalam erti kata yang mudah seperti mana Rasulullah s.a.w. dahulu membacanya semasa baginda masih hidup.
Begitulah perjalanan panjang pembukuan Al-Quran. Itu belum diambilkira pembarisan ayat, kesilapan-kesilapan yang diperbetulkan dan macam-macam lagi masalah yang kita tidak tahu. Semuanya berakar umbi daripada kebolehan kalam atau pen itu sebagai pencatat ilmu.
Dahulu tidak ada komputer, maka pen itu medium terutama. Sekarang, komputer, PDA, telefon bimbit dan berbagai-bagai lagi alatan canggih yang boleh mencatat maklumat, namun pen juga masih pilihan utama.
Mengapa ?
Sebab ia mudah sekali digunakan untuk mencatat.
Ketika berada di dalam bilik kuliah, menari-nari pen itu di atas kertas mencatat segala macam ilmu yang ada di hati pensyarah. Saya tidak mahu kata di dada. Sebab dada terlalu umum. Maka di hati itu adalah tepatnya. Otak berfungsi untuk mengingat, dan hati itu untuk menghadam dan menghayati serta memperhalusi ilmu. Sebab itulah mereka yang kotor hatinya tidak dapat menghayati ilmu. Nauzubillah...semoga dijauhkan.
Apabila terpandang pen, segera teringatkan ilmu yang boleh dicatat...
No comments:
Post a Comment