Selalu kita ini berdoa apabila ditimpa kesusahan. Saya pun sama. Kita akan berdoa bersungguh-sungguh kepada Tuhan apabila ada musibah menimpa kita ?
Beginilah keadaan saya, seorang yang terperangkap di dalam kesalahan diri sendiri. Semoga Tuhan mengampunkan. Berdoa setiap hari, dengan penuh harapan supaya Tuhan tidak menghukum segala kesalahan yang lalu dengan cara tidak memakbulkan doa saya.
Kita sudah sedia maklum bahawa Tuhan suka sekali kita berdoa kepada-Nya. Disuruh kita perbanyakkan doa kepada-Nya. Doalah apa sahaja. Mintalah apa sahaja kepada-Nya, nescaya akan dikabulkan. Syaratnya mestilah tidak melampaui batas dan meminta yang bukan-bukan. Berdoa untuk sesuatu perkara yang buruk adalah tidak baik.
Telur di hujung tanduk. Keadaan kita yang seperti ini menyebabkan kita tidak senang duduk. Resah dan gelisah sepanjang masa. Entah apa pengakhirannya, kita tidak pasti. Hendak bersangka baik, sukar sekali. Hendak bersangka buruk, lagi memburukkan keadaan. Apalah kekuatan kita untuk menghadapi keadaan semacam ini ?
Hendak solat, namun solatnya entah ke mana khusyuknya. Semakin payah. Jiwa semakin gelisah. Hidup semakin susah. Nafas semakin sempit. Dada berombak seolah-olah akan mati. Semuanya berlaku kerana tersepit dengan kesalahan sendiri.
Tuhan tidak pernah zalim. Kita yang menzalimi diri sendiri. Semoga Tuhan mengampunkan.
Kadangkala Tuhan beri kita peluang untuk berubah, namun kita lalai. Apabila Tuhan menyempitkan peluang, dikatanya Tuhan itu tidak mengasihinya. Bahkan tidak begitu.
Saya sedaya upaya bersangka baik dengan Tuhan. Kerana di situlah puncak kita meredhakan segala suratan yang menimpa diri.
Namun, sudah namanya manusia, seboleh-bolehnya kita berkehendakkan hasil yang terbaik. Maka, dengan doalah kita panjatkan kepada Tuhan, semoga Tuhan menolong kita yang berada di dalam kesusahan ini...
No comments:
Post a Comment