Nuffnang

Sunday, January 31, 2010

WARKAH HARI LAHIR BUAT PERAWAN DARI SANG SAPURBA TIRANA

Bismillahirrahmaanirrahim...

Segala puji-pujian bagi Allah...

Adapun warkah ini merupakan tulisan Sang Sapurba Tirana buat adinda isterinya yang cantik tiada terperi. Adapun isterinya itu amatlah molek budi pekerinya, ibarat Humairah yang berselendangkan sutera Bahrain yang merah hati warnanya.

Wahai perawan kecintaanku,
Adapun kekanda mengetahuilah bahawa hari ini genaplah usia adinda sebanyak 22. Syukurlah kita kepada Allah Taala yang mengurniakan kepanjangan usia sebanyak itu.

Adapun kekanda ini berpergian jauh hingga ke tanah orang kulit putih kuning yang berambut perang atas nama berdagang dengan Nakhoda Haji Awang Sulung Merah Menyala. Hamba berpergian dengan suami sahabat adinda itu, iaitu Demang Daun Ketapang.

Mereka itu, orang-orang kulit putih kuning berbintik merah itu lagak mereka menyambut hari lahir itu dengan bersuka-sukaan tiada terperi. Mereka terkinja-kinja, terlompat-lompat, mereka bahkan ada pula yang bersenggama secara terbuka saat hamba berehat sebentar di salah sebuah rumah permalaman sementara. Hampir hamba mencabut keris hendak membunuh mereka lantaran kurang ajarnya mereka itu. Namun, adapun sedarlah hamba mereka itu bahkan bukan orang Melayu dan bukan juga beragama Islam. Justeru, mereka tidak tahu apa batas-batasnya.

Adapun adinda wahai isteriku, tiadalah kekanda bersama-sama dengan adinda saat hari lahir adinda ini. Terkilan tiada terperi kerana memikirkan adinda yang keseorangan dengan anak kita yang satu itu. Semoga anak kita sihat adanya.

Adinda, kekanda berupaya memahamkan sesuatu saat berlayar jauh ini. Kekanda menemukan bahawa perihal umur itu rupa-rupanya bukanlah semakin bertambah akan ia, sebaliknya berkuranglah ia. Kerana apa ? Kerana Tuhan telahpun menetapkan tempoh umur kita itu. Makanya, setiap tahun dari tarikh adinda dilahirkan, semakin pendeklah umur adinda kepada umur penamatnya.

Maha suci Tuhan. Berapakah amal ibadat kita ini, wahai adinda ? Cukupkah untuk dibawa bertemu Tuhan ? Aduhai, adinda. Belum tentu cukup. Kekanda berasa sedih sekali melihat sudah ada orang Melayu yang mengagungkan hari lahirnya namun melupakan hakikat umurnya yang berkurang itu.

Ketahuilah adinda, umur adinda yang baru ini sama-samalah kita kenang sebagai satu tanda aras kepada kematangan. Sama-samalah kita laki bini berkasih-kasihan sesama kita supaya umur kita diberkati Tuhan.Maafkanlah kekanda seandainya sepanjang umur yang lepas kekanda melakukan kesalahan terhadap adinda dan anak kita, si Damaq yang comel itu.

Kekanda tamatkan warkah kekanda di sini dahulu. Purnama akan datang insya Allah kekanda akan pulang. Siapkanlah pulut panggang dan pengat pisang untuk kanda dan dinda makan bersama.

Wallahua'lam.
Assalamualaikum.


*Surat ini ditulis saat Sang Sapurba Tirana berdagang ke Eropah. Ketika itu, rempah-ratus nusantara mendapat permintaan teramat tinggi di sana. Dan ketika itu Melaka adalah pusat rempah ratus paling besar di dunia. Isteri Sang Sapurba Tirana ini adalah anak kepada seorang ulama dari tanah Arab yang berkahwin dengan perempuan Melayu. Surat ini walau bagaimanapun tiba ke isterinya ketika Sang Sapurba telahpun meninggal dunia kerana terkena wabak saat berdagang jauh itu.

*Surat ini berkenaan dengan menghargai umur yang semakin mengurang di sebalik kita seronok menyambut hari lahir kita. Sama-samalah kita mengambil iktibar.

MENANGISLAH DI BAHUKU...


Kau datang padaku seperti biasa
Ku sambut bahagia dengan tangan terbuka
Kau balas dengan senyum seadanya
Ku tahu ada sesuatu yang berbeza

Kau hanya diam seribu bahasa
Hanya matamu yang cuba berbicara
Bahawa saat ini hatimu terluka
Kau tahu ku ada di sini untukmu


Cuba tak berkedip
Menahan tegar di hujung mata
Hingga kau pun tak kuasa, berderailah air mata
Dalam pelukku kau curahkan semua

Menangislah
Kadang manusia terlalu sombong untuk menangis
Lalu untuk apa air mata telah dicipta
Bukan hanya bahagia yang ada di dunia


Menangislah
Di bahuku kau berikanku kepercayaan
Bahawa laramu adalah haru-biruku
Kerna aku adalah sahabatmu

Menangislah...di bahuku
Ku di sini untukmu...

Menangislah...di bahuku
Kerna ku sahabatmu...

Saturday, January 30, 2010

KAMI ADALAH SATU BADAN...


Ketika itu, kami adalah satu badan yang cukup cantik dan menawan. Umpamakan kami dengan apa sahaja yang indah, semuanya kena belaka. Begitulah indahnya kami yang 'satu nyawa'.

Kami dahulu adalah apa yang dikatakan sebagai 'berpegang pada satu temali' yang kuat, teguh dan utuh.

Kami dapat memanjat ke atas apa pun dek kerana kuatnya tali yang kami bina sendiri dengan segala kudrat yang ada, meskipun sedikit.

Kami adalah apa yang dikatakan Tuhan sebagai 'hablum minannaas'. Kami menepati frasa itu baik-baik. Kami teguhkan frasa itu baik-baik.

Dahulu kami adalah aur yang beriringan dengan tebing. Kami adalah langit yang membiru dan awan yang memutih.Kami adalah apa yang indah di dunia ini.Ketika itu jugalah, syaitan dan iblis laknatullah cuba mengotorkan kami dengan kehinaan yang teramat sangat. Kami dihasut 'baik-baik' oleh si laknat untuk mengotorkan keindahan yang telah kami bina lama dahulu. Kami dihasut supaya meninggalkan frasa 'hablum minannaas' itu.

Kami sedih sekali kerana iblis dan syaitan berjaya melaksanakan tugas mereka baik-baik. Mereka berjaya. Kami bahkan gagal. Kami lupa mentaati perintah Tuhan sesungguhnya dan kami melupakan pesanan Nabi Muhammad s.a.w sesungguhnya.

Kami amat bersedih kerana keindahan kami telah dicacatkan dengan syak wasangka yang teramat menebal dan fitnah-fitnah yang mencemar. Kami adalah apa yang dikatakan dunia sebagai keindahan yang dibaluti kehinaan. Kami sudah bertukar daripada keindahan suci kepada keindahan palsu yang memeritkan.

Kami sudah kalah dengan iblis laknatullah. Nauzubillah...

Kami tidak lama lagi akan 'mati' jika tidak ada pedoman datang menyinggah...

Kami ini adalah apa yang anda sekalian namakan sebagai 'persahabatan'...

Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad, wa 'ala ali sayyidina wa mawlana Muhammad...

Selawat dan salam kami sanjungkan buat baginda Muhammad s.a.w, semoga kami yang tinggal sisa ini dapat pulih kembali...

Wallahua'lam...

Saturday, January 23, 2010

PULANGNYA BAGINDA KE PANGKUAN TUHAN RABBUL ALAMIN


Apabila telah tiba saat ajalnya, maka tiada siapapun yang dapat melambatkannya barang sesaat dan mempercepatkannya barang sesaat, hatta seorang raja sekalipun.

Kita sedekahkan kemangkatan Almarhum Baginda Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail dengan ummul kitab, Al-Fatihah...

JOHOR BAHRU 22 Jan. – Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, mangkat malam ini selepas memerintah Johor hampir tiga dekad.

Baginda berusia 77 tahun.

Almarhum mangkat pada pukul 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri di sini selepas dimasukkan ke hospital itu semalam kerana gering.

Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di sini pada pukul 11.20 malam.

Baginda meninggalkan Sultanah Zanariah serta 10 orang putera dan puteri.

Sultan Iskandar, yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981.

Tiga tahun kemudian pada 15 November 1984 baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Petang ini, putera sulung baginda, Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail dimasyhurkan Pemangku Raja dan istiadat mengangkat sumpah diadakan di Istana Besar Johor.

Berita mengenai kegeringan Sultan Iskandar diumumkan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad pada pukul 5 petang.

Almarhum merupakan putera ketiga Almarhum Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim dan cicinda kepada Bapa Johor Moden, Almarhum Sultan Abu Bakar.

Sultan Iskandar, yang merupakan Sultan Johor keempat dalam sejarah Johor moden, menerima pendidikan awal di Johor Bahru, sebelum melanjutkan pelajaran ke Australia dan United Kingdom.

Baginda yang merupakan Kolonel Yang Dipertua, Rejimen Perkhidmatan Khas Malaysia (Komando), sering kelihatan memakai uniform tentera pada upacara rasmi kerana minatnya dalam bidang ketenteraan.

Sumber: Utusan Malaysia

AL-MARHUM


Almarhum Baginda Sultan Johor



Jenazah baginda ketika di Hospital Pakar Puteri


Tengku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail mengangkat sumpah sebagai pemangku Sultan Johor.


Johor Bahru 22 Jan. - Pemasyhuran Sultan Johor yang baru akan dilaksanakan di Istana Besar Johor sebelum upacara pemakaman jenazah Almarhum Sultan Iskandar Ismail Ibni Sultan Ismail di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah kira-kira pukul 2 petang, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman mengumumkannya.

Kepulangan baginda ke rahmatullah adalah petanda bahawa untuk seketika Negeri Johor tidak ada Sultan melainkan anakandanya Tengku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail ibni Al-Marhum Sultan Iskandar al-Haj menjadi pemangku sultan buat sementara waktu.

Almarhum Al-Mutawakkil 'Alallah As-sultan Iskandar ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim Al-Mahsyur, Sultan dan Yang dipertuan bagi negeri-negeri dan jajahan takluk Johor Darul Takzim.

Al-Fatihah. Semoga Allah Taala merahmati roh baginda dan ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman dan pemimpin yang adil.

Monday, January 18, 2010

QASIDAH BURDAH

مَوْلايَ

مَوْلايَ صَلـِّي وَسَلِّمْ دَائِمًا أَبَدًا

عَلَى حَبِيبِكَ خَيْرِ الخَلْقِ كُلِّهِمِ

مُحَمَّدٌ سَيِّدُ الكَوْنَيْنِ وَالثَّقَلَيْن

وَالفَرِيْقَيْنِ مِنْ عُرْبٍ وَمِنْ عَجَمِ

أُوذِيتَ فِى اللهِ لَمْ تُهْزَمْ وَلَمْ تَهِنِ

حَتَّى غَدَتْ أُمَّةَ الإِسْلامِ فِي النُّجُمِ

حَبِيبَ الله رَسُولَ الله إِمَامًا مُرْسَلِين

يا حَبِيبَ الله رَسُولَ الله إِمَامًا مُرْسَلِين

سَرَيْتَ مِنْ حَرَمٍ لَيْلا إِلى حَرَمٍ

كَمَا سَرَى البَدْرُ فِي دَاجٍ مِنَ الظُّلَمٍ

وَبِتَّ تَرْقَى إِلَى أَن نِلْتَ مَنْزِلَةَ

مِنْ قَابِ قَوْسَيْنِ لَمْ تُدْرَكْ وَلَمْ تُرَمِ

Alunkan dengan penuh ketenangan. Insya Allah air mata akan mengalir. Mengalir kerana terkenangkan baginda Nabi Muhammad SAW yang tercinta...

BUKANKAH SAYA SUDAH KATAKAN, TUHAN ITU CARA KERJANYA MISTERI SEKALI ?

Alhamdulillah. Segala puji-pujian saya panjatkan kepada Allahu rabbul 'alamin.

Buat beberapa ketika, sejak tahun lepas malahan tahun-tahun sebelumnya, saya ini ditipu dengan bayangan dunia. Rupa-rupanya. Sekarang ini, atas nama cinta yang suci, saya menemukan kebenaran. Kadangkala bukannya susah sangat pun, jika Tuhan itu matlamatnya. Namun, yalah. Seperti yang saya katakan, kerja Tuhan siapakan tahu.

Bertahun menunggu, akhirnya diketemukan saya ini dengan sebuah jawapan yang rasanya berupaya menggagahkan diri untuk lebih mendekati Tuhan berbanding mendekati manusia, tak gitu ?

Ah, mungkin ada orang akan mengatakan bahawa saya ini mengada-ada agaknya. Tetapi, begitulah hakikatnya. Bukannya sukar bagi Tuhan untuk menzahirkan kebenaran yang terselindung. Tekan saya di sini, bukannya sukar pun. Malahan tidak ada di dalam alam ini yang menjadi kesukaran bagi Tuhan. Sedang alam diatur indah, inikan pula hendak menyingkap tabir yang menghijab.

Saya merasakan perjalanan melalui lorong-lorong tasawuf dan pengabdian itu kian bererti. Dan saya semakin berasakan betapa beruntungnya Mawlana Jalaluddin dahulunya menempuh jalan yang sukar demi mendapat seberkas cinta Tuhan, di sebaliknya kasihnya beliau pada seorang manusia. Ya, saya mahu melalui jalan itu, jika diizinkan Tuhan. Jalan yang pada orang lain akan memisahkan mereka daripada keseronokan dunia. Namun, apa salahnya begitu ? Dunia banyak menipu daripada berlaku jujur dengan diri kita. Dan kita ini senang sekali tertipu dengan dunia.

Menjauhi dunia yang menipu akan membuka pintu sebuah dunia yang pasti. Dunia keabadian. Suka saya mengingatkan menjauhi dunia bukan bererti meninggalkan terus. Menjauhi dunia itu bererti berhati-hati dengan segala yang ada di dunia. Ada yang di mata nampak cantik, namun di hati buruk sekali. Ada yang di luar nampak indah, namun di dalam sudah busuk.

Pesan nabi semakin bererti buat diri yang hina ini...

Saturday, January 16, 2010

IMAN

Membenarkan dengan hati, melafazkan dengan lidah dan mengamalkan dengan anggota.
Demikianlah pengertian sebuah perkataan yang bernama iman. Kalau seseorang itu bernama Nourul Iman, maka ertinya cahaya keimanan.

Kalau diserahlan pembicaraan tentang iman ini pada seorang ustaz mahupun ustazah yang berkebolehan, nescaya sehari suntuk pun tidak akan habis. Betapa banyaknya inti perbincangan. Namun, saya tidak boleh begitu. Kerana apa? Kerana saya bukanlah seorang yang ahli dalam ilmu agama. Apa yang ada hanya cukup-cukup untuk 'pakaian diri' yang kerdil ini. Pun begitu, apalah salahnya saya berkongsi sesuatu di sini, semoga ada baiknya untuk saya dan anda sekalian.

Kita semua yang beragama Islam ini diwajibkan untuk sentiasa menjaga iman kita seraya kepercayaan kita itu. Kerana apa ? Kerana iman itu boleh turun dan naik. Ketika ianya berada di takat yang teramat indah, kita boleh melakukan perkara-perkara keji dan hina. Sebaliknya, ketika iman itu berada di takat yang teramat tinggi, kita bahkan teramat dekat dengan Tuhan. Dekat di sini bukanlah secara lahiriah, namun secara batiniah. Oleh itu, ianya tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Mata hati pun dalam kepayahan, sekiranya hati tidak bersih.

Sebelum berpanjang lebar, saya ingin bertanya, ingatkah anda semua pada rukun iman ? Jika ingat, alhamdulillah. Itulah yang sebaik-baiknya. Jika tidak ingat, marilah sama-sama kita ingat-mengingatkan.

  • Beriman kepada Allah
  • Beriman kepada para malaikat
  • Beriman kepada kitab-kitab Allah
  • Beriman kepada para nabi dan rasul
  • Beriman kepada hari kiamat
  • Beriman kepada qada dan qadar Allah.
Baiklah, cuba diperhatikan baik-baik keenam-enam rukun iman yang indah itu. Empat daripadanya adalah perkara ghaib dan tidak boleh dilihat oleh mata kasar, terutamanya perihal Allah dan para malaikat itu. Justeru, dapatlah kita simpulkan bahawa Islam yang kita muliakan itu tidak berdiri semata-mata atas dasar logik akal dan taakulan rasional semata-mata. Sebaliknya, Islam itu juga berdiri atas dasar kepercayaan atau keimanan pada perkara-perkara ghaib. Oleh sebab itu, kita tidak dapat menafikan kewujudan jin, iblis dan syaitan, syurga dan neraka serta lain-lainnya. Puak Muktazilah terkeluar daripada perkara ini dan mereka tidak boleh diikuti.

Kita teliti kembali pengertian iman. Pertama disebut di situ membenarkan dengan hati. Oleh itu, kita membenarkan dengan seyakin-yakinnya akan keenam-enam perkara itu. Tidak ada keraguan padanya. Kita membenarkan kewujudan Allah itu. Kita membenarkan keberadaan malaikat itu secara ghaib. Kita membenarkan kitab-kitab Allah yang empat itu: Zabur, Taurat, Injil dan Al-Quran. Kita membenarkan Kenabian dan kerasulan manusia-manusia terpilih. Kita membenarkan hari kiamat yang pasti datang memusnahkan segala-galanya. Kita juga membenarkan segala takdir baik dan buruk daripada Allah taala.

Makanya, secara jelas rukun iman itu menidakkan penggunaan akal semata-mata dan menafikan perkara ghaib. Justeru, mereka yang mengekor 'mazhab akal rasional semata-mata' ini secara tidak langsung telahpun menafikan rukun iman. Hal itu semestinya berbahaya kepada duduk letak iman mereka sendiri dan mereka boleh sahaja terjerumus ke dalam lembah 'free thinker' ataupun 'ateis'.

Membentuk Diri

Iman juga sebenarnya berupaya membentuk diri kita sebagai seorang Muslim sejati. Kita ini selalu mendengar orang-orang berpengaruh seperti pemimpin, mahasiswa, presiden sesebuah persatuan mahupun gerakan berkata tentang Muslim sejati ini. Apa sebenarnya Muslim sejati ini ?

Muslim itu adalah kata Arab untuk Orang Islam.
Oleh itu, maknanya orang Islam sejati. Sejati yang bagaimana ? Tentulah sejati dari segi imannya dan amal ibadahnya. Sejati ini bererti dia tidak akan berkompromi dengan sebarang perkara yang merosakkan kedua-dua perkara itu, sama ada besar mahupun kecil.

Dalam erti kata yang lain, mereka akan berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan diri daripada melakukan dosa-dosa kecil dan besar. Mereka juga tidak akan sekali-kali membiarkan perkara yang merosakkan iman bermaharajalela dalam negaranya. Contohnya hiburan lagha. Sesiapa pun tidak dapat menafikan perkara ini melainkan pengekor setia hiburan lagha itu sendiri. Pengekor setia yang saya maksudkan di sini adalah mereka yang menjunjung hiburan lagha itu sendiri.

Hiburan lagha adalah perkara yang memang boleh merosakkan iman dan juga ibadah. Cuba kita nilaikan duduk letak iman para remaja yang 'dikurung' dalam kawah di sebuah pentas lip-lap lip-lap sambil terkinja-kinja menjerit sambil memuja artis yang menyanyi di atas pentas itu. Sudahlah begitu halnya, bercampur-aduk pula antara lelaki dan perempuan. Masihkah kita boleh berkata, "Eih, jangan dinilai luarannya..." Padahal iman itu sendiri membentuk pendirian seorang Muslim untuk tidak berbuat perkara yang nyata hukumnya haram itu.

Justeru, pendirian seorang Muslim itu sememangnya dipengaruhi banyak oleh iman mereka sendiri. Buat Muslim yang sentiasa menjaga imannya, pendirian mereka tentulah berbeza dengan mereka yang mengamalkan hidup 'lantaklah nak jadi apa pun...'

Pegangan

Muslim itu berpegang kepada kalimah La ilaha illallah wa Muhammadur rasulullah. Ertinya Tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Justeru, pegangan syahadah yang agung ini memisahkan kita daripada sebarang bentuk penyembahan selain Allah. Kita tidak akan menyekutukan Allah dengan sebarang makhluk pun di dunia ini. Tidak ada batu yang boleh mewakili Allah. Tidak ada gunung-ganang dan bukit-bukau yang boleh mewakili Allah. Tidak ada matahari dan bulan yang boleh mewakili Allah dan tidak ada manusia yang boleh mewakili Allah sepeti mana sembahan orang-orang Nasrani terhadap Jesus Christ dengan pegangan Jesus Christ adalah anak Tuhan.

Justeru, Allah itu tidak bersekutu dengan sesuatu apa pun. Allah itu sifatnya Mukhalafatuhu taala lil hawaadith serta qiyamuhuu taala binafsihi.

Mustahil sama sekali Allah itu bersandaran dengan apa jua makhluk pada-Nya.

Firman Allah swt dalam surah al-Ikhlas:

Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;

“Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;

“Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;

“Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.


Jelas di situ bahawa tidak ada satu pun yang layak disekutukan kepada Allah.

Justeru, apa kaitannya dengan iman ?

Suka diingatkan di sini bahawa inilah akar keimanan. Mengakui bahawa Allah adalah Tuhan yang Esa dan Muhammad saw adalah pesuruh-Nya.

Mana mungkin seorang yang beriman tidak mengakui kebenaran ini ? Tentulah mengakuinya, bukan ?

Keimanan ini mengukuh dengan amal. Apakah amalnya ? Itulah yang termaktub di dalam Rukun Islam. Ketahuilah bahawa senarai yang lima itu bukan sekadar senarai kewajipan semata-mata. Sebaliknya, kesemua perintah utama itu tersirat padanya nilai pengukuhan kepada pengesaan Allah Taala dan pengakuan kebenaran kerasulan Muhammad s.a.w.

Marilah kita sama-sama ambil tahu jika lupa, apa itu Rukun Islam :

  • Mengucap dua kalimah syahadah
  • Menunaikan solat 5 waktu sehari semalam
  • Berpuasa di bulan Ramadhan.
  • Menunaikan zakat
  • Mengerjakan haji di Baitullah
Kelima-lima itu ada tambahannya seperti amalan-amalan sunat dan sebagainya. Lalu untuk apa kesemuanya itu ? Untuk mengabdikan diri kepada Allah Taala. Itu sahaja. Tuhan tidak pernah menyuruh kita menunjuk-nunjuk kepada manusia, berlagak, riak, ujub dan bangga diri dengan amal ibadat kita kerana kita beribadat untuk Allah, bukan untuk perkara lain. Jika kita beribadat untuk perkara lain, maka Allah akan pulangkan kembali amalan kita itu kepada apa yang kita niatkan. Ertinya Allah tidak akan menerima ibadat yang bukan dilakukan kerana-Nya.

Hal ini namanya keikhlasan. Dan sifat ikhlas memang didapati dalam diri orang-orang beriman. Ikhlas itu bererti melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah. Ketahuilah bahawa bukan mudah untuk bersikap ikhlas. Memang sukar. Niat itu amat penting sekali. Terdetik dalam hati hendak menunjuk-nunjuk, maka ikhlas itu langsung hilang. Ianya tidak elok dan membuatkan orang benci kita kerana menunjuk-nunjuk.

Pergaulan

Tidak sah rasanya jika tidak berbicara tentang pergaulan. Hal ini kerana dalam hidup kita mesti bergaul dengan masyarakat kerana ianya memang dituntut dalam agama Islam demi memajukan agama dan masyarakat.

Namun begitu, ianya menjadi lain pula sekiranya pergaulan itu terlalu bebas. Bebas di sini bermaksud percampuran antara lelaki dan perempuan itu melanggar hukum agama. Erinya, lelaki dan perempuan bergaul bukan lagi sebagai anggota masyarakat. Sebaliknya, sebagai pasangan merpati dua sejoli yang cuba 'mengubah hukum' dengan 'menghalalkan diri mereka' untuk merapat-rapatkan diri, bergurau-senda dalam keadaan yang tidak menyenangkan, cubit-cubitan, senggol-senggolan dan bermacam-macam istilah yang menggambarkan betapa enaknya mereka bergaul. Lebih teruk, mereka sudah mula berani bertemu di malam hari di tempat yang agak sunyi daripada umum, entah berbualkan apa. Kemudian, memegang pipi sambil melafaz kata cinta.

Persoalannya, adakah lagi iman dalam diri mereka ?

Masih ada. Namun berada di takat yang rendah sekali. Tentunya. Tak usah dipersoalkan lagilah. Banyak soal boleh menjadikan kita bertambah dosa kerana seolah-olah cuba membodohkan diri sendiri padahal diri itu mengetahui keadaan sebenarnya.

Hal ini kerana orang yang benar-benar menjaga imannya pasti akan sedaya-upaya mengelak perkara ini daripada berlaku. Jika hendak berjumpa, mereka berjumpa di tempat umum dan menjaga jarak di antara mereka supaya tidak timbul fitnah. Ingat, fitnah itu amatlah berbahaya. Konon marah orang ramai kerana masuk campur hal mereka berdua. Peduli apa. Mereka sendiri yang membiarkan diri mereka dikutuk dan dikeji oleh kerana perbuatan jahil mereka sendiri.

Oleh itu, perlulah kita berhati-hati kerana orang beriman itu sikapnya berahti-hati dalam semua keadaan. Terutamanya ketika bergaul sesama rakan-rakan mahupun masyarakat. Tidak molek sekali melihat dua orang Muslim yang mengaku Tuhannya Allah dan rasulnya Muhammad tetapi melakukan perkara yang tidak elok ini.

Bahagia Jiwa

Orang yang beriman selalunya bahagia jiwa mereka. Mereka jarang sekali berasa kecewa dan putus asa dengan kehidupan kerana mereka sedar segala yang baik serta buruk datangnya dari Allah. Justeru, mereka sedar bahawa Allah tahu apa yang terbaik untuk diri mereka. Lalu, mereka bersangka baik dengan Allah Taala dan bertaubat kepada-Nya.

Orang beriman sedar bahawa mereka tidak pernah suci daripada dosa. Sebaliknya, mereka selalu merasakan diri mereka berdosa dan mereka sentiasa pula bertaubat. Demikian, hati mereka menjadi bersih dan segala perlakuan mereka dijaga sebaik-baiknya.

Begitu indahnya iman...
Sehingga menjadikan manusia dekat dengan Tuhan...

Wallahua'lam.

Oleh: Akmal Alif bin Amran

Wednesday, January 13, 2010

MENANGIS KERANA SEORANG IBU

Menyertai sebuah kem motivasi bukanlah kegemaran saya. Namun, kem yang satu ini saya pergi kerana adik saya pernah menyertainya. Atas tiket saya merasakan aktiviti yang dijalankan tidak membosankan, saya pun menyertainya ketika berada di tingkatan 3.

Tidak keterlaluan rasanya kalau saya menyatakan bahawa ketika itu adalah zaman kesilapan. Terlalu banyak kesilapan besar yang saya lakukan. Tidak patut sama sekali saya memperincikannya di sini kerana ia melibatkan aib diri.

Senang cerita, saya menyertainya dengan harapan adalah sedikit sebanyak kesedaran yang boleh saya dapatkan di situ.

Seperti biasa, saya paling tidak 'menyukai' apa yang dinamakan sebagai 'ice-breaking'. Ya, mungkin kerana saya segan dengan perempuan, maka saya tidak menyukainya. Takkan tidak tahu, kem motivasi memang disertai ramai orang perempuan. Mujur sahaja fasilitatornya ramai lelaki. Dan saya memang meluat perempuan atau lelaki yang menjaja kelebihan dirinya demi mendapat perhatian atau kata mudahnya 'gedik' bagi perempuan dan 'poyo' bagi lelaki.

Sehari itu saya berada dalam awang-awangan. Saya tidak menumpukan sepenuh perhatian pada modul yang dijalankan kerana saya lebih senang memerhatikan pokok-pokok di sekeliling kem itu dan juga perangai manusia lainnya.

Ya, mereka adalah manusia yang ramainya sedang celaru minda. Sama seperti saya.

Konon kelas pertama, tapi masih gagal menghalang diri daripada melakukan perkara-perkara keji dan jahat.

Malam itu.
Ya, malam itu.
Malam yang bererti.
Teramat sangat.

Malam di mana penilaian saya tentang seorang ibu berubah sama sekali...

Hasil tarbiah seorang fasilitator seniornya yang bijak, maka malam itu dipenuhi dengan air mata...

Jam 11 malam.

Di bawah rimbunan pohon-pohon hutan.

Diterangi dengan cahaya pelita dan beberapa mentol berlampu kuning.

Dan sebuah madah pujangga dari anak-anak tulus suci murni.

Kami menangis.
Semahu-mahunya.
Mengenangkan ibu.
Sama ada masih muda ataupun tua.
Mahupun yang telah tiada.

Jadi, ia membenarkan juga pengaruh ibu dalam kehidupan.
Saya ada seorang rakan yang kasihkan ibunya seperti dia kasihkan dirinya sendiri.
Semoga Tuhan merahmatinya.

Malam itu, saya mulakan dengan nama Allah supaya saya dapat memahami ibu saya dengan baik dan tidak menderhaka kepadanya. Begitu juga dengan ayah saya...

Molek sekali menangis kerana seorang ibu, kerana hati akan diruntun sama untuk menangis kerana seorang nabi, kemudian dikuatkan lagi dengan menangis kerana Allah. Itulah semulia-mulia tangisan...

Monday, January 11, 2010

KERJA TUHAN SIAPAKAN TAHU...

...Itu pegangan aku. Dahulu hinggalah ke akhir hayat.

Semoga Tuhan memeliharaku daripada keburukan dunia...

Sunday, January 10, 2010

LUAHAN HATI SEORANG SAHABAT DI DALAM BLOGNYA

Kadangkala saya mengagumi juga sahabat yang satu ini. Jiwanya 'teramat luhur' apabila melontarkan kata-kata dalam laman blognya sendiri.

Seolah-olah segala beban terlerai apabila dia menulis. Ya, dapat dirasakan begitu. Sebab sahabat ini tak akan menulis selagi dirinya tidak ditimpa kesusahan.

Kesusahan ini bukanlah kesusahan yang sembarangan. Sebaliknya kesusahan yang melibatkan hati dan perasaan.

Nah, jangan dibuat main-main akan hati dan perasaan ini. Kerana kesannya kepada diri amat hebat. Kadangkala ia boleh membuatkan kita menjadi teramat kuat, namun kadangkala ia juga boleh menjadikan kita selemah-lemah manusia.

Demikianlah 'sang pencinta'.

Saya tidak pernah lupa bagaimana 'cinta pertamanya' berputik.

Sungguh 'aneh'. Kiranya.

Kalau mendengarkan apa yang dituturkannya, kadang celaru dan kadang cermat. Ada juga bijak dan bernas. Sesekali.

Namun. Hatinya siapa yang tahu. Melainkan Tuhan dan dirinya sendiri...

*Tribute pada seorang kawan yang baik... :-)

Saturday, January 09, 2010

ASMA UL HUSNA (NAMA-NAMA ALLAH YANG MULIA)

Disebabkan ada orang yang kononnya prihatin dengan isu kalimah Allah ini sambil mempersoalkan serba-serbi, maka saya catatkan di sini Asma Allah yang mulia.

Sebelum itu, sama-samalah kita memahamkan firman Allah s.w.t ini :
"ALLAH mempunyai Asmaa-Ul-Husna (nama-nama yang agung yang sesuai dengan sifat-sifat ALLAH S.W.T.), maka bermohonlah kepadaNya dengan menyebut asmaa-ul-husna itu."
(Surah Al-A'raf:180)


"Dialah ALLAH, tiada Tuhan melainkan Dia, Dia mempunyai al-asmaul-husna (nama-nama yang baik)"
(Surah Thaha:8)

Maha Suci Allah yang tiada kekurangan pada-Nya, izinkanlah hamba menzahirkan nama-namaMu yang agung di dalam entri yang kerdil dan hina ini.
Semoga Engkau merahmatiku dengan kebaikan.
Rahmatilah kami semua yang mengasihi agama-Mu yang murni ini.
Dan jauhkanlah kami daripada melakukan perbuatan yang memburukkan maruah agama-Mu ini.

Ya man huwallahulladzi
La ilaha illa huwa:

01 Ar-Rahman -Yang Maha Pemurah

02 Ar-Rahim -Yang Maha Mengasihi

03 Al-Malik -Yang Maha Menguasai

04 Al-Quddus -Yang Maha Suci

05 Al- Sallam -Yang Maha Selamat Sejahtera

06 Al-Mu'min -Yang Maha Melimpahkan Keamanan

07 Al-Muhaimin -Yang Maha Pengawal serta Pengawas

08 Al-Aziz -Yang Maha Berkuasa

09 Al-Jabbar -Yang Maha Kuat

10 Al-Mutakabir -Yang Melengkapi Segala Ke Besarannya

11 Al-Khaliq -Yang Maha Pencipta

12 Al-Bari -Yang Maha Menjadikan

13 Al-Musawwir -Yang Maha Pembentuk

14 Al-Ghaffar -Yang Maha Pengampun

15 Al-Qahhar -Yang Maha Perkasa

16 Al-Wahhab -Yang Maha Penganugerah

17 Al-Razzaq -Yang Maha Pemberi Rezeki

18 Al-Fattah -Yang Maha Pembuka

19 Al-'Alim -Yang Maha Mengetahui

20 Al-Qabidh -Yang Maha Pengekang

21 Al-Basit -Yang Maha Melimpah Nikmat

22 Al-Khafidh -Yang Maha Perendah (Pengurang)

23 Ar-Rafi' -Yang Maha Peninggi

24 Al-Mu'izz -Yang Maha Mengasihi dan menghormati (Memuliakan)

25 Al-Muzill -Yang Maha Menghina

26 As-Sami' -Yang Maha Mendengar

27 Al-Basir -Yang Maha Melihat

28 Al-Hakam -Yang Maha Mengadili

29 Al-'Adl -Yang Maha 'Adil

30 Al-Latif -Yang Maha Lembut serta Halus

Al-Khabir -Yang Maha Mengetahui

32 Al-Halim -Yang Maha Penyabar

33 Al-'Azim -Yang Maha Agung

34 Al-Ghafur -Yang Maha Pengampun

35 Asy-Syakur -Yang Maha Bersyukur

36 Al-'Aliy -Yang Maha Tinggi serta Mulia

37 Al-Kabir -Yang Maha Besar

38 Al-Hafiz -Yang Maha Memelihara

39 Al-Muqit -Yang Maha Menjaga

40 Al-Hasib -Yang Maha Penghitung

41 Al-Jalil -Yang Maha Besar serta Mulia

42 Al-Karim -Yang Maha Pemurah

43 Ar-Raqib -Yang Maha Waspada

44 Al-Mujib -Yang Maha Pengkabul

45 Al-Wasi' -Yang Maha Luas

46 Al-Hakim -Yang Maha Bijaksana

47 Al-Wadud -Yang Maha Penyayang

48 Al-Majid -Yang Maha Mulia

49 Al-Ba'ith -Yang Maha Membangkitkan Semula

50 Asy-Syahid -Yang Maha Menyaksi

51 Al-Haqq -Yang Maha Benar

52 Al-Wakil -Yang Maha Pentadbir

53 Al-Qawiy -Yang Maha Kuat

54 Al-Matin -Yang Maha Teguh

55 Al-Waliy -Yang Maha Melindungi

56 Al-Hamid -Yang Maha Terpuji

57 Al-Muhsi -Yang Maha Penghitung

58 Al-Mubdi -Yang Maha Pencipta dari Asal

59 Al-Mu'id -Yang Maha Mengembali serta Memulihkan

60 Al-Muhyi -Yang Maha Menghidupkan

61 Al-Mumit -Yang Mematikan

62 Al-Hayy -Yang Senantiasa Hidup

63 Al-Qayyum -Yang Hidup serta Berdiri Sendiri

64 Al-Wajid -Yang Maha Penemu

65 Al-Majid -Yang Maha Mulia

66 Al-Wahid -Yang Maha Esa

67 Al-Ahad -Yang Tunggal

68 As-Samad -Yang Menjadi Tumpuan

69 Al-Qadir -Yang Maha Berupaya

70 Al-Muqtadir -Yang Maha Berkuasa

71 Al-Muqaddim -Yang Maha Menyegera

72 Al-Mu'akhkhir -Yang Maha Penangguh

73 Al-Awwal -Yang Pertama

74 Al-Akhir -Yang Akhir

75 Az-Zahir -Yang Zahir

76 Al-Batin -Yang Batin

77 Al-Wali -Yang Wali / Yang Memerintah

78 Al-Muta'ali -Yang Maha Tinggi serta Mulia

79 Al-Barr -Yang banyak membuat kebajikan

80 At-Tawwab -Yang Menerima Taubat

81 Al-Muntaqim -Yang Menghukum (mereka yang bersalah)

82 Al-'Afuw -Yang Maha Pengampun

83 Ar-Ra'uf -Yang Maha Pengasih serta Penyayang

84 Malik-ul-Mulk -Pemilik Kedaulatan Yang Kekal

85 Dzul-Jalal-Wal-Ikram -Yang Mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan

86 Al-Muqsit -Yang Maha Saksama

87- Al-Jami' -Yang Maha Pengumpul

88- Al-Ghaniy -Yang Maha Kaya serta Serba Lengkap

89- Al-Mughni -Yang Maha Mengkayakan dan Memakmurkan

90 Al-Mani' -Yang Maha Pencegah

91 Al-Darr -Yang Mendatangkan Mudharat

92 Al-Nafi' -Yang Memberi Manfaat

93 Al-Nur -Yang bercahaya

94 Al-Hadi -Yang Memimpin dan Memberi Pertunjuk

95 Al-Badi' -Yang Maha Pencipta Yang Tiada BandinganNya

96 Al-Baqi -Yang Maha Kekal

97 Al-Warith -Yang Maha Mewarisi

98 Ar-Rasyid -Yang Memimpin (Ke arah Kebenaran)

99 As-Sabur -Yang Maha Penyabar


*RUJUKAN:

http://www.familiazam.com/asmaul_husna.htm