Membenarkan dengan hati, melafazkan dengan lidah dan mengamalkan dengan anggota.Demikianlah pengertian sebuah perkataan yang bernama iman. Kalau seseorang itu bernama Nourul Iman, maka ertinya cahaya keimanan.
Kalau diserahlan pembicaraan tentang iman ini pada seorang ustaz mahupun ustazah yang berkebolehan, nescaya sehari suntuk pun tidak akan habis. Betapa banyaknya inti perbincangan. Namun, saya tidak boleh begitu. Kerana apa? Kerana saya bukanlah seorang yang ahli dalam ilmu agama. Apa yang ada hanya cukup-cukup untuk 'pakaian diri' yang kerdil ini. Pun begitu, apalah salahnya saya berkongsi sesuatu di sini, semoga ada baiknya untuk saya dan anda sekalian.
Kita semua yang beragama Islam ini diwajibkan untuk sentiasa menjaga iman kita seraya kepercayaan kita itu. Kerana apa ? Kerana iman itu boleh turun dan naik. Ketika ianya berada di takat yang teramat indah, kita boleh melakukan perkara-perkara keji dan hina. Sebaliknya, ketika iman itu berada di takat yang teramat tinggi, kita bahkan teramat dekat dengan Tuhan. Dekat di sini bukanlah secara lahiriah, namun secara batiniah. Oleh itu, ianya tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Mata hati pun dalam kepayahan, sekiranya hati tidak bersih.
Sebelum berpanjang lebar, saya ingin bertanya, ingatkah anda semua pada rukun iman ? Jika ingat, alhamdulillah. Itulah yang sebaik-baiknya. Jika tidak ingat, marilah sama-sama kita ingat-mengingatkan.
- Beriman kepada Allah
- Beriman kepada para malaikat
- Beriman kepada kitab-kitab Allah
- Beriman kepada para nabi dan rasul
- Beriman kepada hari kiamat
- Beriman kepada qada dan qadar Allah.
Kita teliti kembali pengertian iman. Pertama disebut di situ membenarkan dengan hati. Oleh itu, kita membenarkan dengan seyakin-yakinnya akan keenam-enam perkara itu. Tidak ada keraguan padanya. Kita membenarkan kewujudan Allah itu. Kita membenarkan keberadaan malaikat itu secara ghaib. Kita membenarkan kitab-kitab Allah yang empat itu: Zabur, Taurat, Injil dan Al-Quran. Kita membenarkan Kenabian dan kerasulan manusia-manusia terpilih. Kita membenarkan hari kiamat yang pasti datang memusnahkan segala-galanya. Kita juga membenarkan segala takdir baik dan buruk daripada Allah taala.
Makanya, secara jelas rukun iman itu menidakkan penggunaan akal semata-mata dan menafikan perkara ghaib. Justeru, mereka yang mengekor 'mazhab akal rasional semata-mata' ini secara tidak langsung telahpun menafikan rukun iman. Hal itu semestinya berbahaya kepada duduk letak iman mereka sendiri dan mereka boleh sahaja terjerumus ke dalam lembah 'free thinker' ataupun 'ateis'.
Membentuk Diri
Iman juga sebenarnya berupaya membentuk diri kita sebagai seorang Muslim sejati. Kita ini selalu mendengar orang-orang berpengaruh seperti pemimpin, mahasiswa, presiden sesebuah persatuan mahupun gerakan berkata tentang Muslim sejati ini. Apa sebenarnya Muslim sejati ini ?
Muslim itu adalah kata Arab untuk Orang Islam.
Oleh itu, maknanya orang Islam sejati. Sejati yang bagaimana ? Tentulah sejati dari segi imannya dan amal ibadahnya. Sejati ini bererti dia tidak akan berkompromi dengan sebarang perkara yang merosakkan kedua-dua perkara itu, sama ada besar mahupun kecil.
Dalam erti kata yang lain, mereka akan berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan diri daripada melakukan dosa-dosa kecil dan besar. Mereka juga tidak akan sekali-kali membiarkan perkara yang merosakkan iman bermaharajalela dalam negaranya. Contohnya hiburan lagha. Sesiapa pun tidak dapat menafikan perkara ini melainkan pengekor setia hiburan lagha itu sendiri. Pengekor setia yang saya maksudkan di sini adalah mereka yang menjunjung hiburan lagha itu sendiri.
Hiburan lagha adalah perkara yang memang boleh merosakkan iman dan juga ibadah. Cuba kita nilaikan duduk letak iman para remaja yang 'dikurung' dalam kawah di sebuah pentas lip-lap lip-lap sambil terkinja-kinja menjerit sambil memuja artis yang menyanyi di atas pentas itu. Sudahlah begitu halnya, bercampur-aduk pula antara lelaki dan perempuan. Masihkah kita boleh berkata, "Eih, jangan dinilai luarannya..." Padahal iman itu sendiri membentuk pendirian seorang Muslim untuk tidak berbuat perkara yang nyata hukumnya haram itu.
Justeru, pendirian seorang Muslim itu sememangnya dipengaruhi banyak oleh iman mereka sendiri. Buat Muslim yang sentiasa menjaga imannya, pendirian mereka tentulah berbeza dengan mereka yang mengamalkan hidup 'lantaklah nak jadi apa pun...'
Pegangan
Muslim itu berpegang kepada kalimah La ilaha illallah wa Muhammadur rasulullah. Ertinya Tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Justeru, pegangan syahadah yang agung ini memisahkan kita daripada sebarang bentuk penyembahan selain Allah. Kita tidak akan menyekutukan Allah dengan sebarang makhluk pun di dunia ini. Tidak ada batu yang boleh mewakili Allah. Tidak ada gunung-ganang dan bukit-bukau yang boleh mewakili Allah. Tidak ada matahari dan bulan yang boleh mewakili Allah dan tidak ada manusia yang boleh mewakili Allah sepeti mana sembahan orang-orang Nasrani terhadap Jesus Christ dengan pegangan Jesus Christ adalah anak Tuhan.
Justeru, Allah itu tidak bersekutu dengan sesuatu apa pun. Allah itu sifatnya Mukhalafatuhu taala lil hawaadith serta qiyamuhuu taala binafsihi.
Mustahil sama sekali Allah itu bersandaran dengan apa jua makhluk pada-Nya.
Firman Allah swt dalam surah al-Ikhlas:
Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;
“Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;
“Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;
“Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.
Jelas di situ bahawa tidak ada satu pun yang layak disekutukan kepada Allah.
Justeru, apa kaitannya dengan iman ?
Suka diingatkan di sini bahawa inilah akar keimanan. Mengakui bahawa Allah adalah Tuhan yang Esa dan Muhammad saw adalah pesuruh-Nya.
Mana mungkin seorang yang beriman tidak mengakui kebenaran ini ? Tentulah mengakuinya, bukan ?
Keimanan ini mengukuh dengan amal. Apakah amalnya ? Itulah yang termaktub di dalam Rukun Islam. Ketahuilah bahawa senarai yang lima itu bukan sekadar senarai kewajipan semata-mata. Sebaliknya, kesemua perintah utama itu tersirat padanya nilai pengukuhan kepada pengesaan Allah Taala dan pengakuan kebenaran kerasulan Muhammad s.a.w.
Marilah kita sama-sama ambil tahu jika lupa, apa itu Rukun Islam :
- Mengucap dua kalimah syahadah
- Menunaikan solat 5 waktu sehari semalam
- Berpuasa di bulan Ramadhan.
- Menunaikan zakat
- Mengerjakan haji di Baitullah
Hal ini namanya keikhlasan. Dan sifat ikhlas memang didapati dalam diri orang-orang beriman. Ikhlas itu bererti melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah. Ketahuilah bahawa bukan mudah untuk bersikap ikhlas. Memang sukar. Niat itu amat penting sekali. Terdetik dalam hati hendak menunjuk-nunjuk, maka ikhlas itu langsung hilang. Ianya tidak elok dan membuatkan orang benci kita kerana menunjuk-nunjuk.
Pergaulan
Tidak sah rasanya jika tidak berbicara tentang pergaulan. Hal ini kerana dalam hidup kita mesti bergaul dengan masyarakat kerana ianya memang dituntut dalam agama Islam demi memajukan agama dan masyarakat.
Namun begitu, ianya menjadi lain pula sekiranya pergaulan itu terlalu bebas. Bebas di sini bermaksud percampuran antara lelaki dan perempuan itu melanggar hukum agama. Erinya, lelaki dan perempuan bergaul bukan lagi sebagai anggota masyarakat. Sebaliknya, sebagai pasangan merpati dua sejoli yang cuba 'mengubah hukum' dengan 'menghalalkan diri mereka' untuk merapat-rapatkan diri, bergurau-senda dalam keadaan yang tidak menyenangkan, cubit-cubitan, senggol-senggolan dan bermacam-macam istilah yang menggambarkan betapa enaknya mereka bergaul. Lebih teruk, mereka sudah mula berani bertemu di malam hari di tempat yang agak sunyi daripada umum, entah berbualkan apa. Kemudian, memegang pipi sambil melafaz kata cinta.
Persoalannya, adakah lagi iman dalam diri mereka ?
Masih ada. Namun berada di takat yang rendah sekali. Tentunya. Tak usah dipersoalkan lagilah. Banyak soal boleh menjadikan kita bertambah dosa kerana seolah-olah cuba membodohkan diri sendiri padahal diri itu mengetahui keadaan sebenarnya.
Hal ini kerana orang yang benar-benar menjaga imannya pasti akan sedaya-upaya mengelak perkara ini daripada berlaku. Jika hendak berjumpa, mereka berjumpa di tempat umum dan menjaga jarak di antara mereka supaya tidak timbul fitnah. Ingat, fitnah itu amatlah berbahaya. Konon marah orang ramai kerana masuk campur hal mereka berdua. Peduli apa. Mereka sendiri yang membiarkan diri mereka dikutuk dan dikeji oleh kerana perbuatan jahil mereka sendiri.
Oleh itu, perlulah kita berhati-hati kerana orang beriman itu sikapnya berahti-hati dalam semua keadaan. Terutamanya ketika bergaul sesama rakan-rakan mahupun masyarakat. Tidak molek sekali melihat dua orang Muslim yang mengaku Tuhannya Allah dan rasulnya Muhammad tetapi melakukan perkara yang tidak elok ini.
Bahagia Jiwa
Orang yang beriman selalunya bahagia jiwa mereka. Mereka jarang sekali berasa kecewa dan putus asa dengan kehidupan kerana mereka sedar segala yang baik serta buruk datangnya dari Allah. Justeru, mereka sedar bahawa Allah tahu apa yang terbaik untuk diri mereka. Lalu, mereka bersangka baik dengan Allah Taala dan bertaubat kepada-Nya.
Orang beriman sedar bahawa mereka tidak pernah suci daripada dosa. Sebaliknya, mereka selalu merasakan diri mereka berdosa dan mereka sentiasa pula bertaubat. Demikian, hati mereka menjadi bersih dan segala perlakuan mereka dijaga sebaik-baiknya.
Begitu indahnya iman...
Sehingga menjadikan manusia dekat dengan Tuhan...
Wallahua'lam.
Oleh: Akmal Alif bin Amran
No comments:
Post a Comment