Nuffnang

Sunday, January 31, 2010

WARKAH HARI LAHIR BUAT PERAWAN DARI SANG SAPURBA TIRANA

Bismillahirrahmaanirrahim...

Segala puji-pujian bagi Allah...

Adapun warkah ini merupakan tulisan Sang Sapurba Tirana buat adinda isterinya yang cantik tiada terperi. Adapun isterinya itu amatlah molek budi pekerinya, ibarat Humairah yang berselendangkan sutera Bahrain yang merah hati warnanya.

Wahai perawan kecintaanku,
Adapun kekanda mengetahuilah bahawa hari ini genaplah usia adinda sebanyak 22. Syukurlah kita kepada Allah Taala yang mengurniakan kepanjangan usia sebanyak itu.

Adapun kekanda ini berpergian jauh hingga ke tanah orang kulit putih kuning yang berambut perang atas nama berdagang dengan Nakhoda Haji Awang Sulung Merah Menyala. Hamba berpergian dengan suami sahabat adinda itu, iaitu Demang Daun Ketapang.

Mereka itu, orang-orang kulit putih kuning berbintik merah itu lagak mereka menyambut hari lahir itu dengan bersuka-sukaan tiada terperi. Mereka terkinja-kinja, terlompat-lompat, mereka bahkan ada pula yang bersenggama secara terbuka saat hamba berehat sebentar di salah sebuah rumah permalaman sementara. Hampir hamba mencabut keris hendak membunuh mereka lantaran kurang ajarnya mereka itu. Namun, adapun sedarlah hamba mereka itu bahkan bukan orang Melayu dan bukan juga beragama Islam. Justeru, mereka tidak tahu apa batas-batasnya.

Adapun adinda wahai isteriku, tiadalah kekanda bersama-sama dengan adinda saat hari lahir adinda ini. Terkilan tiada terperi kerana memikirkan adinda yang keseorangan dengan anak kita yang satu itu. Semoga anak kita sihat adanya.

Adinda, kekanda berupaya memahamkan sesuatu saat berlayar jauh ini. Kekanda menemukan bahawa perihal umur itu rupa-rupanya bukanlah semakin bertambah akan ia, sebaliknya berkuranglah ia. Kerana apa ? Kerana Tuhan telahpun menetapkan tempoh umur kita itu. Makanya, setiap tahun dari tarikh adinda dilahirkan, semakin pendeklah umur adinda kepada umur penamatnya.

Maha suci Tuhan. Berapakah amal ibadat kita ini, wahai adinda ? Cukupkah untuk dibawa bertemu Tuhan ? Aduhai, adinda. Belum tentu cukup. Kekanda berasa sedih sekali melihat sudah ada orang Melayu yang mengagungkan hari lahirnya namun melupakan hakikat umurnya yang berkurang itu.

Ketahuilah adinda, umur adinda yang baru ini sama-samalah kita kenang sebagai satu tanda aras kepada kematangan. Sama-samalah kita laki bini berkasih-kasihan sesama kita supaya umur kita diberkati Tuhan.Maafkanlah kekanda seandainya sepanjang umur yang lepas kekanda melakukan kesalahan terhadap adinda dan anak kita, si Damaq yang comel itu.

Kekanda tamatkan warkah kekanda di sini dahulu. Purnama akan datang insya Allah kekanda akan pulang. Siapkanlah pulut panggang dan pengat pisang untuk kanda dan dinda makan bersama.

Wallahua'lam.
Assalamualaikum.


*Surat ini ditulis saat Sang Sapurba Tirana berdagang ke Eropah. Ketika itu, rempah-ratus nusantara mendapat permintaan teramat tinggi di sana. Dan ketika itu Melaka adalah pusat rempah ratus paling besar di dunia. Isteri Sang Sapurba Tirana ini adalah anak kepada seorang ulama dari tanah Arab yang berkahwin dengan perempuan Melayu. Surat ini walau bagaimanapun tiba ke isterinya ketika Sang Sapurba telahpun meninggal dunia kerana terkena wabak saat berdagang jauh itu.

*Surat ini berkenaan dengan menghargai umur yang semakin mengurang di sebalik kita seronok menyambut hari lahir kita. Sama-samalah kita mengambil iktibar.

No comments: