Nuffnang

Wednesday, February 10, 2010

AKU TAHU MENGAPA MEREKA BERSEDIH...

Kalau dahulu, selalu juga saya mendengarkan kisah manusia-manusia silam yang amat mengasihi sepertiga malam, seperti mana mereka mengasihi agama mereka.

Kelihatan jelas mereka itu semuanya memiliki peribadi yang hebat-hebat belaka.

Saya tertanya-tanya juga, apakah kerana kasihnya mereka pada itu ? Sepertiga malam itu sehingga menyebabkan mereka boleh memiliki peribadi sehebat itu ?

Ya. Mungkin juga.
Saya mendengarkan kisah Salahuddin Al-Ayyubi yang kasihkan sepertiga malam.
Saya mendengarkan para imam 4 mazhab yang mengasihi sepertiga malam.
Saya mendengarkan para sahabat nabi mengasihi sepertiga malam.
Dan saya juga mendengarkan kisah nabi yang teramat mengasihi sepertiga malam.

Pelik kan ?
Di sebalik kita disuruh berehat pada malam hari dengan tidur secukupnya, kerana dari sudut saintifik ianya memberi kesan tertentu pada otak, mengasihi sepertiga malam ini dengan tidak tidur dan bangun juga memberi kesan kepada bukan sahaja otak dan akal, bahkan juga tubuh badan serta kejernihan hati.

Nampaknya kesannya lebih besar dan hebat.
Ya. Begitulah keadaannya. Kadangkala bukan semua perkara boleh dijelaskan dengan pendekatan saintifik seperti mana sains tidak boleh menghurai perihal roh.

Saya mendengar orang bercerita bahawa kasihnya mereka pada sepertiga malam sehinggakan mereka bersedih jika mereka tertinggal walaupun semalam.

Nabi bahkan pernah menenangkan kita bahawa sekiranya kita sudah bertekad hendak bangun pada sepertiga malam namun kita tertidur hingga ke subuh, tidur kita adalah hadiah daripada Allah.

Aduhai, kasihnya Allah pada kita.
Mungkin itu sebabnya mereka begitu sayangkan sepertiga malam itu. Ketika manusia lain sedang lena diulit mimpi, mereka dengan kerendahan hati dan kemurnian jiwa bangun lalu membersihkan diri. Kemudian, dengan segala ketenangan, mereka mendirikan solat dua rakaat, berdoa dan bermunajat kepada Allah dengan segala penyerahan. Kadangkala, air mata boleh sahaja bercucuran.

Malam itu tentunya berakhir dengan ketenangan, meskipun siangnya kita dihimpit dengan pelbagai masalah.

Maka, sekarang aku sudah tahu mengapa mereka bersedih...
Dan aku teringin sekali bersedih bersama-sama mereka...
Semoga Allah Taala mengizinkan...

No comments: