Nuffnang

Friday, February 19, 2010

CERITA YANG SAKTI UNTUK ORANG YANG SAKIT...

Orang-orang sakit selalu mengharapkan sebuah keajaiban. Ya, sebuah keajaiban.
Keajaiban yang mana mampu membawa pergi penyakitnya jauh dari dirinya. Bayangkan, orang-orang yang menghidap asma kritikal, barah otak, barah hati, darah tinggi, sakit jantung, angin ahmar dan banyak lagi penyakit, semuanya mengharapan sebuah keajaiban.

Rasanya mustahil bukan untuk keajaiban singgah dengan tidak ada usaha.

Dahulu, lama dahulu, adalah sebuah cerita. Seorang lelaki entah di bandar mana di Amerika. Dia berkulit hitam. Makanya, tentulah dia adalah bangsa yang ditindas di sana. Namun begitu, kan Tuhan Maha Pemurah. Dia boleh mengurniakan kelebihan, keajaiban dan kehebatan pada sesiapa sahaja di dunia ini, sama ada orang itu beriman ataupun tidak.

Orang itu namanya John Coffey. Ya, John Coffey. John Coffey ini ditangkap atas tuduhan membunuh dua orang kanak-kanak perempuan yang malang. Namun begitu, ada cerita di sebalik pembunuhan itu. Saya tidak mahu menceritakan kerana tumpuan saya di sini adalah pada kelebihan anugerah Tuhan pada John Coffey.

Orang-orangnya seakan-akan bodoh-bodoh alang. Cakapnya macam kebudak-budakan, tersekat-tersekat.

Ada satu ketika, rakan sepenjaranya membela seekor tikus yang aneh. Tikus ini amat disayanginya. Namanya ialah Eduard Delacroix. Tikus itu diberi nama Mr.Jingles. Ada seorang polis yang entah apa jenis perangainya suka pada kekejaman, maka dibunuhnya tikus itu. Namun, tikus itu tidak serta-merta mati. Masih nyawa-nyawa ikan selepas dipijak dengan but polis yang berat itu.

Eduard yang kesedihan meminta John Coffey itu menyelamatkan tikusnya, dengan syarat tikus itu belum mati. Ya, John Coffey tidak akan dapat menghidupkan makhluk yang sudah mati. Dia bukan Tuhan.

Rahmat Tuhan ke atas sesiapa sahaja, ketika John menekup tikus itu dengan kedua-dua tapak tangannya, tangannya itu mengeluarkan cahaya aneh keemasan, seolah-olah sedang memberi kuasa penyembuhan kepada tikus itu.

Ya, keajaiban sedang berlaku. Polis-polis yang ada di situ kehairanan (ketika itu, polis yang jahat itu, Percy Wetmore namanya tidak ada) melihat keadaan itu. Perkataan yang keluar daripada mulut salah seorang polis itu, Brutus Howell namanya,"Dear Jesus..."

Tahu tak ?
Tikus itu kembali sembuh seperti sediakala.

Kemudian, selepas 'menyedut' kesakitan pada tikus itu, si John Coffey akan memuntahkan semacam serangga yang berduyun-duyun keluar daripada mulutnya. Entah apa benda, Tuhan sahaja yang tahu. Selepas itu juga, beliau akan terasa amat letih.

Salah seorang polis yang bernama Paul Edgecomb dapat merasakan bahawa tidak mungkin manusia yang diberi kelebihan seperti itu membunuh kanak-kanak yang tidak berdosa. Dia merasakan begitu. Kuasa penyembuh tak akan diberi pada seorang penjahat. Tuhan tidak bodoh.

Pengurus penjara bagi hukuman mati di kerusi elektrik itu mempunyai seorang isteri yang menghidap barah otak. Ketumbuhan sebesar buah lemon ada di dalam kepalanya. Keadaan perubatan ketika itu tidak mengizinkan sebarang pembedahan dilakukan kerana kelengkapan dan kepakaran yang tidak cukup. Lalu, para polis yang baik hati ini mengambil risiko paling berbahaya iaitu dengan membawa keluar si John Coffey ini dari penjara yang besar itu untuk dibawa bertemu dengan isteri pengurus penjara itu.

Hampir sahaja ditembak si John Coffey ini oleh pengurus itu namun berjaya ditenangkan oleh Paul. Pada mulanya, pengurus itu tidak membenarkan si John ini berjumpa isterinya kerana dia disyaki membunuh. Ya, anda takkan membiarkan seorang yang disyaki membunuh mendekati keluarga anda. Tentunya.

Namun, pujukan demi pujukan mengalahkan ego si pengurus itu. Dibenarkan juga John berjumpa isterinya yang sudah tidak ingat apa yang dipertuturkannya sendiri. Kadangkala, dia mengeluarkan kata-kata yang kesat dan keji sama sekali. Demikian kesan daripada barah otak yang diterimanya. Keadaan fizikalnya juga semakin teruk. Wajahnya kelihatan amat tua daripada usianya. John Coffey yang terlebih dahulu mendapat semacam alamat untuk mengubati perempuan ini menghampiri isteri pengurus itu sambil cuba menenangkan perempuan itu yang agak ketakutan
melihat tubuhnya yang hitam legam serta besar pula.


John Coffey memujuk perempuan itu supaya tidak bergerak sementara dia 'mengikhtiarkan' sesuatu. Ketika itu juga, John Coffey merapatkan mulutnya ke mulut perempuan itu lalu 'disedut' penyakit perempuan itu perlahan-lahan. Tuhan sahajalah yang tahu bagaimana penyakit itu disedut keluar, padahal ianya adalah barah iaitu ketumbuhan yang besar. Tidak logik pada akal rasional untuk seketul ketumbuhan sebesar buah lemon keluar melalui mulut.

Perlahan-lahan, John Coffey menyedut sesuatu daripada mulut perempuan malang itu. Semakin terang cahaya keemasan yang keluar daripada mulut perempuan itu dan lampu yang ada di dalam bilik itu juga ikut sama semakin terang.

Akhirnya, John Coffey berjaya menyedut keseluruhan penyakit perempuan itu. Dan perempuan itu sembuh seperti sediakala seolah-olah tiak pernah ada sebarang ketumbuhan di kepalanya itu.

Namun begitu, John Coffey tetap dihukum mati di kerusi elektrik...

Ini cerita sakti...
Adakah mungkin lelaki seperti ini wujud di dalam dunia Allah Taala ini ?
Mungkin. Siapa tahu...

Saya masih mengingatkan bagaimana ibu Imam Bukhari mendoakan anaknya yang buta supaya sembuh. Dengan izin Tuhan, Imam Bukhari ternyata sembuh.

Saya masih terkenang Imam Sharafuddin Muhammad al-Busiri yang lumpuh separuh badan mendendangkan qasidah di dalam mimpinya di hadapan Nabi Muhammad s.a.w, lalu baginda menyelimutkan tubuhnya dengan burdah. Apabila terjaga dari tidur, dengan izin Tuhan sembuhlah penyakitnya itu.

Saya masih ingat bahawa Nabi Muhammad s.a.w mengajarkan banyak doa untuk kita meminta pertolongan Allah agar disembuhkan kita daripada penyakit yang berbahaya. Justeru, janganlah kita terlalu mengharapkan ubat-ubatan tertentu dan keramat manusia tertentu kerana penyembuhan tetap datang daripada Allah, bukan manusia. Kalau diikuti kisah John Coffey tadi, ianya terlalu sakti untuk dibayangkan di alam nyata ini (ya, ianya kisah yang dicipta oleh seorang penulis yang bukan beragama Islam). Meskipun begitu, ianya juga terlalu sakti untuk dinafikan begitu sahaja. Apa pun, kuasa penyembuhan hanyalah pada Allah, bukan manusia. Manusia hanya mampu beirkhtiar, dan keputusannya hanyalah pada Allah.

Itulah sebab mengapa kita disuruh supaya bergantung sepenuhnya kepada Allah. Kerana jika kita berjaya, kita tidak akan lupa diri, dan jika kita gagal, kita tidak akan terlalu kecewa.

Apa pun, kita disuruh berikhtiar dan jangan putus asa...
Mudah-mudahan Allah Taala menunjukkan jalan keluarnya...

No comments: