Nuffnang

Friday, May 28, 2010

ROTAN SI MAS IDAYU, ROTAN SI IBU DAN BELAJAR AL-QURAN


Wahaha...saya fikir Mas Idayulah satu-satunya pengajar yang menggunakan pendekatan lama dalam mengajar, iaitu mengajar dengan rotan. Menurut ceritanya, bagai nak rak si artis yang memenangi rancangan Mentor dahulu dirotannya demi mengajarnya bahawa 'menyanyi bukan kerja main-main'.

Dari satu sudut, saya bersetuju dengan pendekatan Mas Idayu itu. Orang Melayu sejak dahulu memang sudah biasa mengajar anak-anak mereka dengan rotan. Rotan juga sedikit sebanyak boleh membentuk peribadi seorang anak ke arah yang lebih baik. Pun begitu, merotan itu ada tatacaranya agar tidak berlebihan dan boleh pula merosakkan mental si anak.

Apabila mendengar cerita mengenai Mas Idayu yang merotan, saya terkenang-kenang cerita lama.

Ketika kecil dahulu, rotan adalah salah satu elemen wajib mak saya dalam corak pendidikan anak-anaknya. Kau beranilah nak buat benda tak senonoh, rotanlah aku bagi sebagai 'hadiah'. Begitulah lebih kurang caranya. Hal ini tidak terkecuali juga ketika saya belajar mengaji dengan mak saya. Ya, mengaji sekarang tak macam dahulu. Dulu, kita semua dihidangkan dengan rotan apabila mengaji. Kalau main-main, satu libasan tepat ke bahu. Secara tidak langsung, itu juga satu 'amaran' supaya menghormati Al-Quran yang mulianya membawa sehingga hari kiamat.

Saat yang paling 'menyeksakan' ialah ketika saya disuruh mengeja setiap patah perkataan yang ada di muka surat kitab suci itu. Bayangkanlah, satu muka surat yang mengandungi beratus-ratus perkataan disuruh eja mengikut cara Melayu membaca Bahasa Arab, kemudian barulah dibaca sebagai satu ayat. Tentunya, kita pernah mendengar anak-anak Melayu membeca begini :

"Alif lam, mati di atas Al, Ha mim, mati di atas ham, Dal depan du, Lam Lam, sabdu bawah lil, Lam di atas la, Ha bawah hi, Alhamdulillahi..."

Begitulah cara saya belajar membaca Al-Quran. Cara lama yang berkesan, pada hemat saya. Saya tidak pasti pula bagaimana cara anak-anak belajar membaca Al-Quran sekarang ini. Mungkin lebih 'advance' agaknya ditambah pula dengan ICT dan segala macam kemudahan teknologi yang ada, belajar membaca Al-Quran dah jadi macam belajar main komputer.

Satu pantang mak saya ialah berhenti membaca Al-Quran. Mak saya amat membenci anak-anak muda yang berhenti membaca Al-Quran dengan alasan yang tidak munasabah (ada ke alasan yang munasabah untuk berhenti membaca Al-Quran). Sedangkan kita tahu itulah satu-satunya penyuluh kegelapan jiwa yang paling dekat dengan kita. Meskipun kita tidak mengetahui maknanya, untaian kata-kata dan kemerduan bacaannya sendiri sudah mampu menenangkan jiwa.

Sebab itulah rotan amat sesuai sekali dilibas ke atas anak-anak yang malas membaca Al-Quran, kerana mereka seolah-olahnya hendak menjauhkan diri daripada nur yang dikurniakan Allah Taala di dalam kalamullah-Nya yang teramat mulia. Bayangkan, berapa ramai yang telah menerima hidayah setelah membaca Al-Quran lalu memeluk agama Islam. Kita pula dengan lancang hendak meninggalkan diri kita dari membacanya. Apa kes ini ?

Jika dahulu, anak-anak kecil akan beramai-ramai pergi mengaji di rumah ustaz atau ustazah yang mengajar mengaji. Hal ini berlaku jika ibu bapa kurang yakin dapat mengajar anaknya dengan baik (mungkin kesan daripada terlalu lama meninggalkan Al-Quran). Satu pemandangan yang tenang sekali. Dahulu, nenek saya juga mengajar anak-anak kampung mengaji. Sering saya melihat nenek menjerkah anak-anak yang tergagap-gagap mengaji. Menyanyi bukan main pandai, tapi mengaji tak tahu, begitulah lebih kurang. Satu ketika, hampir sahaja nenek saya melempang seorang budak perempuan yang sampai ke sudah masih tidak dapat mengaji dengan baik. Padahal sudah lebih 3 bulan belajar. Ya, kadar 'penangkapan ilmu' bagi manusia itukan lain-lain.

Ayah saya juga pernah mengajar mengaji, namun saya tidak berapa suka, kerana ayah saya mengajar cara yang entah dari mana datang sebutannya. Contohnya, huruf Ba disebut Be dan huruf Ta disebut Te (macam cerita Pendekar Bujang Lapok). Saya yang sudah biasa belajar dengan mak akhirnya terus belajar dengan mak, tidak dengan ayah. Hehehe...

Di rumah, mak saya suka menggunakan batang yang digunakan untuk mengikat belon untuk merotan saya. Sakitnya bila hinggap di badan Tuhan sajalah yang tahu. Sehinggakan satu ketika, saya dan adik berpakat untuk melupuskan rotan itu buat selama-lamanya dengan membuangnya masuk ke dalam parit besar. Namun, mak saya tidak putus asa, digunakan pula pembaris kayu yang berat milik ayah saya untuk melibas punggung saya dan juga bahu saya. Kiranya, babak merotan saya tidak terhad ketika membaca Al-Quran, malah diteruskan juga sepanjang kehidupan saya ketika mencapai umur mumayyiz itu.

Pun begitu, saya amat bersyukur kerana dirotan tidak begitu teruk. Ertinya tidaklah sampai badan saya luka-luka ataupun lebam-lebam. Itu tidak baik bagi seorang anak yang sedang membesar. Psikologinya boleh terganggu, malah boleh menerbitkan rasa benci si anak pada ayah dan ibunya. Kita semua tahu seorang ayah dan ibu yang baik adalah mereka yang tidak terlalu memanjakan anak-anaknya. Kalau sudah bertindak nakal, ibu bapa perlu tegas dan menegur. Perlu rotan, rotanlah sebagai peringatan. Ya, mungkin ada yang menyanggah dengan alasan cara itu sudah tidak relevan. Tapi, lihatlah bagaimana keadaan sekarang. Anak-anak sudah berani kurang ajar dengan mak dan ayah pada usia yang kecil. Malah di sekolah kurang ajar pula dengan guru. Dahulu, guru sentiasa membawa rotan ke sana ke mari. Sekarang, dicubit sedikit dah diadu pada mak dan ayah. Mak ayah yang dungu pula beria-ia mempertahankan anaknya konon tidak bersalah. Aduhai...

Saya fikir, pendidikan yang disertai dengan rotan ini masih relevan jika kena dengan caranya. Boleh juga dipraktikkan jika hendak mendidik anak supaya tidak meninggalkan solat sesuka hati. Sebab nabi pernah berpesan, jika sudah 10 tahun masih malas hendak sembahyang, rotanlah ia. Pun begitu, nabi tak suruh ibu bapa merotan sampai nak mati si anak itu. Berpada-padalah...

2 comments:

Anonymous said...

salam..ni 1st time kami jumpe blog ni..best bace post ni..cara belajar dulu2..jauh beza dengan keadaan sekarang..bolehlah saya buat perbandingan dan fikir cara sesuai nak mengajar anak murid saya kat sekolah

AKMAL_ALIF said...

wau...adakah seorang cikgu yg tgh membaca blog saya ini ? Terima kasih banyak2...

Kalau ada silap dan salah dalam entri saya, mohon ampun dan maaf...

Semuanya byk berkisar drpd pengalaman hidup saya dan sedikit sebanyak pandangan kecil saya ttg dunia...