Nuffnang

Sunday, June 16, 2013

AYAHKU DAN CERITA SEBUAH PENGAJARAN

'Tapi kerinduan tinggal hanya kerinduan,
Anakmu sekarang banyak menanggung beban...'




Aku dengan ayahku.

Aku dapat ibaratkan bahawa hubungan kami berdua seumpama ada dinding penghalang. Dinding yang menghalang aku daripada bermesra-mesra, bergurau-gurau, bercerita-cerita dengannya. Begitu juga ayahku sendiri. Meski pada usia begini, aku tahu sewajarnya aku dengan ayahku menjadi kawan, berkongsi suka-duka kehidupan masing-masing, mendapatkan pengalaman. Namun, tidak begitu hakikatnya.

Kami terhalang.

Namun.

Darahnya mengalir di dalam badanku. Aku adalah sebahagian daripada hidupnya yang ranjau berliku. Aku tahu bahawa usia kecilnya tidak semudah aku ketika kecil. Hidupnya payah. Keringatnya senantiasa mencurah. Tubuh kecilnya telah pernah dikerah untuk kerja-kerja manusia dewasa. Arwah atukku dahulu khabarnya selalu menyuruh ayahku melakukan kerja-kerja itu - sama ada berkebun, menebas semak-samun mahupun menjaga lembu. Kerana itu, aku faham kalau sekiranya jiwanya itu keras. Keras di sini bukanlah semata-mata degil. Keras di sini bagiku lebih kepada kurang sifat nak bermanja-manja dengan anak. Pada usia kecil itu memanglah aku dan adik-adikku bermanja dengannya. Namun, bila usia meningkat, kemanjaan itu digantikan dengan sebuah emosi yang kadangkala susah untuk aku terjemahkan.

Nada suaranya garang, tapi bukan marah.
Perintahnya keras, tapi bukan semestinya dipatuhi.
Pujuknya juga keras, tidak meleweh-lewah.

Aku sebagai anak sulong merasakan bahawa ada sesuatu yang sedang cuba diperturunkan oleh ayahku kepada diriku. Entah apa agaknya. Kekadang aku cuba menilik-tilik sendiri. Mengamati setiap butir kata dan perilakunya. Kadangkala aku juga cuba belajar darinya tentang bagaimana menyelesaikan masalah yang bertandang di dalam hidup. Apa perlu aku mengalah atau membujur aku lalu, melintang aku patahkan ?

Hidup bukan mudah. Itu yang aku sedar. Jadi, orang yang paling dekat untuk aku memahami kesusahan hidup itu dah tentulah dari dirinya sendiri.

Kata orang, kesusahan dan kepayahan hidup yang kita lalui itu kadangkala menumbuhkan semacam kebijaksanaan di dalam diri kita. Ya, bijaksana ini lain daripada bijaksana kita dalam pembelajaran. Bijaksana di sini ialah bijaksana dalam menjalani hidup yang berliku. Percayalah, orang bijak pandai dalam pelajaran juga belum tentu bijak mengurus kehidupannya kelak. Tatkala rintangan dan halangan mula bertalu-talu bertandang di dalam hidup, malah ada yang langsung kecewa dan putus asa.

Aku tahu.

Ayahku itu, usia mudanya kuat.
Tapi aku.
Usia mudaku lemah.
Aku berpenyakit.
Aku tak dapat bekerja terlalu kuat.
Kadangkala aku cemburu dengan orang yang boleh bekerja kuat, mengerahkan seluruh tenaga mereka untuk sesuatu kerja itu. Bagi aku, orang seperti itu sangat 'ganteng' dan bersikap kelelakian sejati.

Aku tidak punya kekuatan itu.

Mungkin.

Itulah yang sedang ayah aku perturunkan kepada aku.

Dalam diam.

Sebuah kekuatan.

Kekuatan itu. Mungkin aku telah salah tafsirkan.

Kekuatan yang dimiliki ayah aku itu bukanlah semata-mata kudrat tubuh badannya.

Tetapi.

Yang paling utama adalah pada semangatnya.
Semangat yang tidak pernah pudar demi untuk anak-anaknya yang leceh dan membebankan.
Ya, anak adalah anugerah.
Namun, anak juga boleh menjadi beban.
Kalau anak itu tidak tahu menghargai usaha ayah dan ibunya.
Anak yang terlalu manja sehingga tidak ada satu kerja boleh dilakukan untuk kedua ibu bapanya.

Mungkin.

Ayah aku sedang mengajar aku begitu. Untuk tidak menjadi anak yang tidak boleh memberikan sesuatu kepada kedua orang tuanya.

Mungkin ayah aku tidak terlalu mengharapkan wang ringgit daripadaku.

Tapi, mungkin sekurang-kurangnya. Dia mengharapkan.

Agar.

Sekali-sekala.

Aku mengulurkan bantuan dari segi kudratku. Biarpun aku hanya membersihkan halaman rumah. Aku kira itu adalah satu penghargaan yang telah aku berikan kepada ayah dan ibuku.

Ayah aku juga cermat mengurus duitnya. Satu hal yang menjadi kelemahan ketara bagi aku.
Aku kurang mahir mengurus duitku sendiri.
Malah, kadangkala aku tidak dapat bezakan yang mana pembaziran dan yang mana tidak.

Teruja untuk mendapatkan sesuatu itu adalah kelemahan aku.
Orang ada sesuatu, aku mahukannya juga.

Mungkin.

Ayahku sedang mengajar aku sesuatu.
Iaitu erti syukur.
Kerana itu aku tidak diberikan segala-galanya yang aku minta.
Ada ketikanya dia berkeras dengan pendiriannya.
Maka jiwa kecilku remuk-redam kerana permintaan tidak ditunaikan.

Walaupun begitu.
Satu masa dan ketika.
Aku mula belajar sesuatu daripada kekerasannya itu.

Bahawasanya.
Terlalu mudah untuk mendapatkan sesuatu membuatkan aku kurang menghargainya.
Kerana kekerasan itu.
Aku perlahan-lahan belajar untuk menghargai.
Biarpun pemberian itu, hanyalah kecil sahaja.
Kerana menghargai pemberian itu, paling tidak aku telah membahagiakan orang yang memberi itu dengan penghargaanku.

Ayahku,
Umurnya semakin tua.
Kudratnya semakin kurang.
Matanya semakin kabur.

Kerana itu.
Kadangkala.
Aku merasa sangat terhormat.
Apabila.
Ayahku meminta pertolonganku.
Untuk kerja-kerja yang satu masa dahulu.
Hanya dia seorang saja yang lakukan.
Tanpa memerlukan bantuan sesiapa.

Ketika ini.
Dia memohon bantuan anaknya.
Anaknya yang sebenarnya cukup dia sayangi.
Cuma dia tidak terlalu memanjakannya.
Kerana dia tahu.
Anak yang terlalu dimanjakan hanya akan menyusahkan.
Bukan memudahkan...

Kerana itu.
Meski aku sudah dewasa begini.
Jika ayahku tidak ada di rumah.
Aku akan segera bertanya,

"Ayah pergi mana ???"

Secara tiba-tiba, aku seolah-olah kembali ke zaman kecilku.
Tatkala aku masih dimanjakan ayahku, sebagai anak kecil.
Apabila dia hendak keluar rumah saja, aku akan bertanya,

"Ayah nak pergi mana ?"

Maka, ayahku akan menjawab,

"Ayah nak pergi kerja..."

Aku hanya menunggu di rumah sehingga ayahku pulang, dan mula merengek nak itu-ini.

Sedangkan pada masa yang sama. Aku tidak pernah tahu. Bagaimana seksanya dia bekerja demi aku, ibuku dan adik-adikku.

Pernah satu ketika, aku tidak mahu melepaskan ayah aku untuk pergi kerja. Aku yang masih terbaring di atas tilam mahu dia terus memicit-micit kepala kecilku ketika itu. Ah, apa yang aku tahu ketika aku kecil.

Sekarang aku sudah dewasa.

Apabila aku mula merasa pengalaman bekerja, maka sedarlah aku.

Betapa peritnya mencari sesuap nasi untuk diri sendiri. Apatah lagi kelak untuk keluargaku pula.

Apa yang aku belajar dari ayahku ?

Sabar, dan teruslah bersabar.

Itulah pengajaran yang paling besar yang sedang diajar oleh ayahku, sehinggalah umurku sekarang.

Menjadi manusia sabar bukanlah mudah.

Kalau hidup selalu disuap dan dihulur, maka kuranglah sabar kita menghadapi hidup.
Kerana kita tidak bersusah-susah mencari sesuatu yang kita hajatkan.

Sedangkan.

Apabila kita diajar untuk berusaha sendiri.
Makanya, pada masa yang sama kita belajar untuk bersabar.
Sabar yang hakiki.

Ayahku tahu bahawa aku ini mudah hilang sabar.
Kerana itu aku selalu dimarahinya.
Kerana marahnya itu untuk mengingatkan aku.
Bukan membenci aku.

Oleh itu, aku senantiasa berdoa kepada Tuhan.
Supaya aku tidak pernah lupa mendoakan kedua orang tuaku.

Semoga Tuhan mengasihi ayahku dan juga ibuku yang semakin tua.
Seperti mana mereka mengasihiku sejak aku kecil hinggalah ke akhir hayatku nanti...

*Buatku ayahku yang dikasihi, ampunilah dosa anakmu ini...

SELAMAT HARI BAPA.

1 comment:

Anonymous said...

tersentuh membaca kotak memori awk dgn ayah awk, keep it up menjadi anak yang baik, dan akmal baik :)