Nuffnang

Thursday, May 28, 2009

RANTAI


Macam anjing.
Saya fikir, orang yang main-main dengan rakyat juga patut dibuat begini.

Friday, May 22, 2009

BALADA CINTA PANDANG KELIMA (TIDAK ADA 'TRIBUTE' PADA SIAPA-SIAPA)

Petang.

Tidak sekhali malam.

Petang.

Masih bising-bising.

Rahman Gedebe menaruh kotak rokok di atas bangku taman.

Selesai 2 batang berkepul-kepul sampai mak cik di sebelahnya menyumpah-nyumpah. "Bodoh betul..."

Ahh...apa Rahman Gedebe peduli.

Baginya, cinta hatinya sudah hancur musnah umpama digelek 'steamroll'.

Asap berkepul-kepul itu baginya cinta yang cuba dibuang jauh-jauh dan meresap dalam udara. Biar semua orang yang menyedut udara itu tahu yang Rahman Gedebe sudah putus cinta.

Hendak memaki cinta, itu tidak boleh.

Sebab Rahman Gedebe bukan arif dengan cinta.

Cinta baginya terlalu sukar untuk diatur sekiranya tidak ada pengalaman. Bahkan orang yang ada pengalaman juga ramai yang tewas.

Kotak rokok sudah kosong.

Rahman Gedebe tidak membuangnya di dalam tong sampah, bahkan dipijak-pijaknya.

Berlalu pergi.

-Tamat siri Balada Cinta-

Tuesday, May 19, 2009

MANFAAT BUKAN MARTABAT

"Lelaki yang masih mempersoalkan rupa, adalah lelaki yang jiwanya miskin. Melihat perempuan hanya pada manfaat, bukannya martabat." Si ibu.

"Saya tahu. Tapi yang namanya cinta, dari mata turun ke hati." Si anak.

"Itu fikiran lelaki mata keranjang. Lihat perempuan, langsung fikirannya ke ranjang." Si ibu.

"Tapi itu penting, ibu." Si anak.

"Tapi kamu memandangnya sebagai satu-satunya yang benar." Si ibu.

P/s: Sedutan dialog filem Ca Bau Kan.

Monday, May 18, 2009

SELALU-SELALU

Seperti selalu-selalu, kenangan lalu akan kembali menyinggah fikiran.

Hinggakan ia mengganggu emosi. Gangguan itu boleh sahaja berupa kegembiraan atau kesedihan.

Namun, ya. Kenangan tetap kenangan. Kita tidak dapat melupakan kenangan manis atau pahit.

Kalau ada orang kata, "Aku tak mahu ingat lagi kenangan pahit itu." Sebenarnya dia tidak pun melupakannya terus. Kenangan itu masih ada.

Ya, seperti selalu-selalu, kenangan akan kembali untuk dikenang.

Sunday, May 17, 2009

TENGGELAM DALAM KESERONOKAN HU HA HU HA

Apalah yang diharapkan daripada rancangan seperti ini selain daripada hiburan, hiburan, hiburan dan hiburan.

Ya, memang kita memerlukan hiburan. Tetapi tahapnya kini sudah berlebih-lebihan.

Saya sudah jangkakan hari di mana sepatutnya anak-anak muda kembali mengenang jasa guru tenggelam dalam keseronokan memuja hiburan sehingga tahap tidak masuk akal.

Saya fikir, kita sudah berlambak artis. Dan saya bersetuju dengan cadangan supaya diberhentikan seketika program realiti hiburan seperti ini. Hal ini kerana ianya sudah berlebih-lebihan.

Tuesday, May 12, 2009

MUALLIM

Jika di sekolah, mereka digelar cikgu.
Jika di universiti, mereka digelar pensyarah.

Hakikatnya, mereka berperanan dengan peranan yang sama. Mendidik dan mengajar.

Jika hendak merujuk kepada sejarah, guru yang terhebat ialah baginda Nabi Muhammad s.a.w.

Betapa sukarnya baginda mendidik akhlak masyarakat Arab ketika itu yang membanggakan maksiat sebagai cara hidup.

Percayalah, mendidik akhlak adalah perkara yang paling sukar bagi seorang guru. Berbanding dengan menyampaikan ilmu pengetahuan, mendidik akhlak bukan sahaja memerlukan ilmu, tetapi juga memerlukan kebijaksanaan emosi.

Justeru, baginda adalah guru terhebat sehingga berjaya membentuk akhlak Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Uthman bin Affan, Saidina Ali bin Abi talib, Khalid al-Walid dan ramai lagi insan mulia yang mengutamakan akhirat daripada dunia.

Begitu besar jasa seorang guru.

Apakah cukup dengan menyambut satu hari sebagai hari guru ? Tidak cukup.

Sunday, May 10, 2009

PENYUBUR FIKRAH

TIANG AGAMAMU ADALAH SOLAT.

Pernahkah ibu anda mengucapkan perkara ini kepada anda ? Jika pernah, mereka adalah ibu yang sejati.

Seorang ibu yang baik ialah ibu yang mentaati segala perintah Allah s.w.t dan mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w dengan baik sekali. Itulah ibu yang selayaknya dikagumi. Ibu yang tidak reti menutup aurat di khalayak ramai, meninggalkan solat, berperangai tidak senonoh dengan orang lain serta mengamalkan cara hidup tidak sihat bukanlah ibu yang baik. Mereka tidak boleh manjadi contoh yang baik kepada anak-anak mereka. Bukankah nabi pernah menyuruh kita mentaati ibu kita selagi ibu kita tidak menyuruh ke arah perkara yang tidak baik ? Ibu yang menyuruh anaknya melakukan perkara yang tidak baik tentulah ibu yang akhlaknya buruk.

Seorang ibu itu adalah guru kepada anak-anaknya. Seorang ibu akan memupuk fikrah di dalam jiwa anak-anaknya. Justeru, fikrah yang baik tentulah datang daripada ibu yang baik-baik.

Ada orang menyatakan bahawa naluri seorang ibu itu menginginkan perkara yang terbaik buat anak-anaknya. Benar begitu. Namun demikian, naluri itu juga bersandarkan kepada keimanan seorang ibu itu kepada Allah s.w.t. Naluri ibu bukan seperti haiwan. Sebaliknya naluri ibu itu dipupuk saat anaknya dilahirkan hinggalah anaknya meningkat dewasa. Percaya atau tidak, ada ibu yang merosakkan pemikiran anaknya sendiri. Nauzubillah.

Seorang ibu itu haruslah sedar peranan mereka yang sebenarnya. Seorang ibu itu adalah penentang. Penentang segala kejahatan, penentang segala keburukan nilai akhlak, penentang segala penindasan dan penentang segala kezaliman. Itulah ibu yang sebenar-benarnya.

Anak-anaknya akan dipupuk dengan jiwa untuk melawan segala perkara tersebut. Demikian anaknya kelak akan membesar sebagai seorang lelaki atau wanita yang berjiwa besar dan cekal menghadapi cabaran dunia.

Nyatalah seorang ibu adalah penyubur fikrah kepada anak-anaknya.




Thursday, May 07, 2009

MIMPI-MIMPI YANG KANDAS


Anak perawan berkebaya
Bersenandung sambil menuai padi
Menunggu kembali kekasih
Terlihat dalam sinar matanya rindu

Anak jejaka mengembara
Langlang buana mencari kesempatan
Berkarya, berbakti, mengabdi
Bagi negeri tanah tumpah darah
tercinta...

Betapa indah
Mimpi-mimpi yang tergambar
di bayangan



Anak perawan terkesima
Membaca surat bersampul biru muda
Jantung pun seperti terhenti
Bibir terkatup air mata berlinang

Anak jejaka patah arang
Melambung dan terbanting di batu karang
Ternyata begitu sulitnya
Menanggulangi petaka
yang berutun
datang...

Dia yang gagal
Meraih mimpi-mimpi yang indah
gemerlapan...

Ebiet G. Ade, Tokoh-tokoh, 1982.

Wednesday, May 06, 2009

BUKU 2 (UMAR AL-KHATTAB)

Elok juga kita mengenali para sahabat pada sisi gelap mereka sebelum hidayah menyapa mereka sekaligus menjadikan mereka insan mulia. Hal ini dapat menerangkan betapa hidayah itu terlalu agung dan hebat apabila ia sudah meresap dalam diri seseorang. Dan tentunya hidayah itu tidak dikurniakan sewenang-wenangnya melainkan dengan kehendak Allah jua.

Umar insan terpilih untuk menerima hidayah itu selain bapa saudaranya, Abu Jahal. Hasil didikan ayahnya yang keras dan kasar semasa kecil menyebabkan Umar membesar sebagai insan yang bengis, garang dan gagah. Justeru, seandainya Islam itu memiliki Umar, tentulah Islam dapat berdiri dengan kuat dengan adanya insan seberani Umar.

Novel ini mengangkat latar belakang hidup Umar bermula dari zaman kecilnya sehinggalah kematiannya yang tragis itu.

Dan seperti biasa, Abdul Latip Talib menyampaikannya dalam bentuk bahasa yang mudah supaya kita tidak jemu membacanya. Apatah lagi ia berkaitan dengan sejarah yang selama ini dianggap oleh anak muda kita sebagai menjemukan dan membosankan.

Tuesday, May 05, 2009

BUKU 1 (SALAHUDDIN AYUBI)

Selesai menguliti novel ini selama dua hari, terasa bagaikan penglima Islam yang satu ini masih hidup. Kalaulah beliau masih hidup, nescaya beliau akan bersedih melihat betapa umat Islam masakini telah berpecah belah.

Novel ini ditulis dengan gaya yang mudah serta tidak meleret-leret. Bahkan, setiap bab di dalam novel ini dapat dihabiskan dalam masa yang singkat serta mudah difahami.

Usai membaca novel, terasa begitu malu dengan semangat umat Islam terdahulu. Sungguhpun serba kekurangan, namun semangat jihad mereka lebih hebat daripada kita. Kita ini, baru putus cinta sahaja sudah nak bunuh diri. Langsung tidak ada kekuatan iman yang tinggi untuk mengharungi hidup yang serba payah ini.

Salahuddin ingin menakluk Jerusalem. Impian yang sukar itu didasari dengan ketaatan kepada Allah dan iman yang jitu. Jerusalem telah sekian lama di bawah tampuk pemerintah orang-orang kristian yang zalim. Justeru, Salahuddin merasakan dirinya bertanggungjawab untuk membebaskan Jerusalem daripada cengkaman penjajah yang kejam itu.

Dengan stretegi peperangan yang licik, Salahuddin berjaya mengelirukan pihak musuh sekaligus mengambil peluang bagi memusnahkan angkatan tentera mereka yang membanggakan salib itu sebagai pelindung dan pembawa tuah kepada mereka.

Apa yang mengagumkan ialah keperibadian Salahuddin yang kuat beribadat biarpun dalam kepenatan berperang.

Siapa agaknya yang dapat menggantikan Salahuddin Al-Ayyubi dalam menentang keganasan Zionis ?

Monday, May 04, 2009

HIDAYAH ITU DATANGNYA DARIPADA ALLAH

Termenung seketika apabila saya mendengarkan luahan pendapat seorang lelaki di radio IKIM.FM tentang sunnah.

Katanya, "Umat Islam sekarang ini telah melakukan apa yang nabi tidak pernah buat, iaitu makan sehingga kenyang."

Aduhai, memang terkena batang hidung sendiri.

Lagi mahu bercakap tentang sunnah wahai pak cik-pak cik berjubah, berjanggut panjang dan berserban tapi perutnya ke depan macam ibu mengandung ?

BETAPA ILMU ITU PELITA HATI (SEMPENA KEMPEN JOM MASUK U)

Benarlah seperti yang difirmankan Tuhan di dalam kitab-Nya bahawa orang yang berilmu itu akan ditinggikan darjatnya.

Oleh itu, mereka yang sedang menuntut ilmu itu rupa-rupanya sedang ditingkatkan darjatnya oleh Allah. Itupun jika menuntut ilmu seikhlas hati.

Ilmu itu pelita hati.
Demikian kata orang bijak pandai.

Pada hakikatnya, frasa itu bukan untuk penuntut universiti yang terlalu mengejar 'pointer'. Sebaliknya hanya khas untuk mereka yang dambakan keredhaan Allah saat mereka bertungkus lumus belajar, tidak kira dalam apa jua disiplin.

Keredhaan Allah ke atas ilmu yang kita pelajari itu bukan didasari oleh 'pointer' yang tinggi ataupun anugerah dekan yang kita dapat. Sebaliknya didasari oleh hati.

Nah, hati yang bagaimana ?
Tentulah hati yang ikhlas.
Mereka yang ikhlas menuntut ilmu itu kelak akan berupaya memupuk ilmu itu agar terus kekal di dalam hati mereka sehingga mereka dapat berbakti kepada agama Allah dengan ilmu mereka itu.

Itulah sebenar-benar prinsip menuntut ilmu yang saya sendiri masih gagal mengikutnya. Kita rupa-rupanya masih membanggakan markah dan 'pointer' daripada nilai ilmu itu yang mekar di dalam hati.

Mungkin saya dapat memberi sedikit contoh bagaimana seorang pensyarah saya yang dapat membina carta kehidupan manusia dan emosi manusia. Ternyata melalui huraian yang beliau berikan, beliau telah dapat menghayati ilmu yang dipelajari. Tumpuan beliau dalam bidang sains dan teknologi tidak pula menghalang beliau untuk meletakkan agama sebagai 'pemurnian' kepada ilmu-ilmu yang beliau pelajari itu. Inilah yang dikatakan ilmuwan, tambahan pula apabila ia merendah diri dan tidak menunjuk-nunjuk kepandaiannya. Malah, jika kita melihatnya secara kasar, kita tidak akan dapat melihatnya sebagai seorang ilmuwan, sebaliknya hanya orang biasa.

Itulah jalan yang sepatutnya kita lalui.
Jalan untuk menjadikan ilmu itu pelita hati.

APABILA ILMU SEMAKIN MAHAL (SEMPENA KEMPEN JOM MASUK U)

Ilmu semakin mahal.

Bukan kerana tukang ajarnya begitu terhormat dan hebat lagi mulia. Tetapi kerana fasiliti atau kemudahan yang disediakan untuk mendapatkan ilmu itu yang mahal.

Justeru, ilmu menjadi mahal asbab daripada kemudahan yang diberi.

Manusia masakini amat mementingkan keselesaan apabila menuntut ilmu. Oleh sebab itu, kerajaan berusaha untuk memenuhi permintaan rakyat dengan memberi dana kepada universiti-universiti kita untuk melengkapkan segala kemudahan yang perlu bagi pelajar yang bakal mendaftar di mana-mana universiti. Hal ini termasuklah tempat tinggal pelajar di hostel.

Ya, tidak lama lagi pelajar-pelajar lepasan SPM dan STPM 2008 akan mendaftar masuk ke universiti yang ditawarkan kepada mereka. Sebelum itu, suka saya mengingatkan di sini kepada mereka semua bahawa untuk hidup selesa dan tidak dihimpit masalah kewangan, tinggalkanlah segala perkara yang merugikan diri dan juga wang. Hal ini kerana banyak kursus yang ditawarkan di mana-mana universiti akan membuatkan anda banyak pakai duit untuk tugasan-tugasan yang diberikan. Hah, kursus saya iaitu sarjana muda sains pembinaan misalnya. Banyak sekali wang yang terpaksa kami labur untuk menyempurnakan tugasan-tugasan kami.

Oleh itu, beringat-ingatlah apabila anda sudah mula belajar kelak. Wang akan mula mengalir keluar.

Kerana ilmu semakin mahal.

P/s: Tahniah kepada semua pelajar lepasan SPM dan STPM 2008 yang berjaya ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Semoga kalian dapat menuntut ilmu seikhlas hati.


Saturday, May 02, 2009

LUAHAN FAISAL TEHRANI

Nah, bertepatan sungguh dengan apa yang saya tulis mengenai penyucian filem kita.

Faisal Tehrani juga membicarakan perihal yang sama iaitu mengenai filem di Majalah Muslimah.

Terlalu menonjolkan kerosakan akhlak di dalam filem dengan alasan untuk memaparkan realiti sosial dan cuba berlaku jujur.

MUDARAT

Bismillahillazii la yadhurru ma'asmihii

syai'un fil ardh

wala fissamaa'i

wahuwassami'ul 'alim


Apabila anda ingin melakukan sesuatu pekerjaan dan dikhuatiri akan beberapa mudarat, maka bacakanlah doa ini sebelum memulakan kerja itu. Semoga Allah memelihara daripada sebarang mudarat.

Zaman sekarang ini, terlalu banyak kerja yangg berisiko tinggi untuk mendapat kecelakaan, walaupun di dalam rumah sendiri.

DENGKI

ALLAHUMMA LA YILNI QALBA.

KAMA LA YANTA LIDAUDAL HADIID...

Kepada mana-mana manusia yang hidupnya dikelilingi oleh manusia-manusia pendengki, amalkanlah membaca doa ini. Semoga Allah memberi hidayah kepada mereka semua.

Doa ini ialah doa Nabi Daud a.s.

Antara kelebihan Nabi Daud a.s. ialah kekuatan tangannya yang mampu membengkokkan besi.

Mudah-mudahan, umpama besi yang dapat dibengkokkan, hati yang terlalu dengki dapat dilenturkan.

Friday, May 01, 2009

KEMBALI 'MENYUCIKAN' FILEM


Pada hemat saya, karyawan filem kita perlu kembali menyucikan jalan cerita filem kita daripada babak-babak yang memualkan dan menjelekkan.

Masakan tidak ?

Kebanyakan filem yang memaparkan babak kotor atau separa lucah itu semuanya diarahkan oleh pengarah yang beragama Islam. Entah di mana mereka meletakkan hukum yang telah ditetapkan Tuhan ketika mereka berkarya.

Melihat iklan mengenai filem Bohsia tempoh hari, ianya sudah cukup untuk membuktikan betapa kita nak sangat menjadi 'Amerika' di dalam filem kita, sedangkan di negara seberang, mereka sudah mula kembali kepada akar jati diri bangsa mereka dalam berkarya. Justeru, hasilan yang hebat dapat mereka tawarkan kepada penonton-penonton luar. Dan kita seharusnya mengambil iktibar bahawa bajet yang besar belum tentu dapat menghasilkan satu filem yang hebat. Dan istilah 'hebat' itu pula haruslah ditafsirkan dengan pendekatan agama dan jati diri.

Permainan kreatif karyawan filem kita masih lagi di takuk lama. Hanya kosmetik sahaja yang membangun. Kosmetik tanpa jiwa.