Nuffnang

Sunday, May 10, 2009

PENYUBUR FIKRAH

TIANG AGAMAMU ADALAH SOLAT.

Pernahkah ibu anda mengucapkan perkara ini kepada anda ? Jika pernah, mereka adalah ibu yang sejati.

Seorang ibu yang baik ialah ibu yang mentaati segala perintah Allah s.w.t dan mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w dengan baik sekali. Itulah ibu yang selayaknya dikagumi. Ibu yang tidak reti menutup aurat di khalayak ramai, meninggalkan solat, berperangai tidak senonoh dengan orang lain serta mengamalkan cara hidup tidak sihat bukanlah ibu yang baik. Mereka tidak boleh manjadi contoh yang baik kepada anak-anak mereka. Bukankah nabi pernah menyuruh kita mentaati ibu kita selagi ibu kita tidak menyuruh ke arah perkara yang tidak baik ? Ibu yang menyuruh anaknya melakukan perkara yang tidak baik tentulah ibu yang akhlaknya buruk.

Seorang ibu itu adalah guru kepada anak-anaknya. Seorang ibu akan memupuk fikrah di dalam jiwa anak-anaknya. Justeru, fikrah yang baik tentulah datang daripada ibu yang baik-baik.

Ada orang menyatakan bahawa naluri seorang ibu itu menginginkan perkara yang terbaik buat anak-anaknya. Benar begitu. Namun demikian, naluri itu juga bersandarkan kepada keimanan seorang ibu itu kepada Allah s.w.t. Naluri ibu bukan seperti haiwan. Sebaliknya naluri ibu itu dipupuk saat anaknya dilahirkan hinggalah anaknya meningkat dewasa. Percaya atau tidak, ada ibu yang merosakkan pemikiran anaknya sendiri. Nauzubillah.

Seorang ibu itu haruslah sedar peranan mereka yang sebenarnya. Seorang ibu itu adalah penentang. Penentang segala kejahatan, penentang segala keburukan nilai akhlak, penentang segala penindasan dan penentang segala kezaliman. Itulah ibu yang sebenar-benarnya.

Anak-anaknya akan dipupuk dengan jiwa untuk melawan segala perkara tersebut. Demikian anaknya kelak akan membesar sebagai seorang lelaki atau wanita yang berjiwa besar dan cekal menghadapi cabaran dunia.

Nyatalah seorang ibu adalah penyubur fikrah kepada anak-anaknya.




No comments: