Kata guru Imam As-Syafei rahimahullahutaala, ilmu itu adalah cahaya. Ia tidak akan dapat masuk ke dalam hati yang kotor dan suka melakukan maksiat. Nasihat lama itu benar sehinggalah ke hari ini. Kita membayangkan bahawa hati kita adalah wadah. Bayangkan sahaja jika wadah itu sudah dikotori, mahukah kita meletakkan sesuatu yang sepatutnya bersih di dalamnya ? Tentulah tidak. Itulah hakikat ilmu pengetahuan.
Jika kita berbicara tentang ilmu, maka kita tidak dapat lari daripada soal barokah ataupun kita katakan berkat. Hal ini selalu diperkatakan oleh semua orang. Keberkatan ilmu. Ilmu tanpa berkat adalah sia-sia, malah boleh celaka jadinya.
Kita tidak mungkin boleh membaca Al-Umm karangan yang mulia Imam Syafei sekiranya ilmu yang beliau pelajari tidak diberkati para gurunya. Kita juga tidak mungkin dapat menekuni lembaran Al-Muwattak sekiranya Imam Malik tidak diredhai para gurunya seraya memberi keberkatan. Kita juga pasti mustahil untuk mengetahui kewujudan Al-Qanun Fit Tib sekiranya Ibnu Sina menuntut ilmu tanpa sebuah keberkatan daripada para gurunya. Dapatkah pula Abu Musa Al-Khawarizmi menulis Hisab Al-jabr wal Muqabbilah sekiranya beliau kurang ajar dengan gurunya dan gurunya tidak memberkatinya ? Jawapannya adalah tidak. Begitulah pentingnya keberkatan ilmu.
Bagaimana manusia zaman kini menghormati ilmu seraya menghormati guru ? Amat mengecewakan. Kita tidak menafikan ada juga yang memuliakan guru dengan menghormati mereka dan mentaati ilmu mereka. Namun begitu, ramai lagi yang kurang ajar dan biadab. Hal ini bukan sahaja di sekolah, malah juga di universiti. Bagaimana pelajar universiti berlaku biadab dengan pensyarahnya ? Dengan cara selalu ponteng kuliah dan tidak menyiapkan tugasannya. Padahal kita tahu tugasan yang diberikan adalah amanah. Dan sebuah amanah yang tidak dijaga adalah khianat. Perbuatan khianat tentunya tidak akan mendapat keredhaan.
Keredhaan ilmu adalah barokah. Barokah itu datangnya daripada pengajar kita, sama ada guru mahupun pensyarah. Mereka ini kita istilahkan dalam bahasa Arab ialah muallim. Dalam dunia ini, muallim yang paling mulia adalah junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w. Baginda adalah guru yang paling hebat. Baginda mengajar hakikat ketauhidan kepada Tuhan. Baginda mengajar beribadat. Baginda mengajar hidup bermasyarakat, hidup berkeluarga, hidup bujang dan segala macam aspek kehidupan yang lengkap. Bayangkan sahajalah jika baginda tidak meredhai ilmu yang baginda ajar, bagaimana keadaan kita ini ? Tentulah porak-peranda dan huru-hara jadinya. Namun, dengan rahmat Allah, perkara seperti itu tidak terjadi. Baginda yang diangkat sebagai kemuliaan dan rahmat seluruh alam tidak pernah berdendam dan menyakiti hati orang lain. Justeru, meski ada umatnya yang menolak ilmunya, baginda tidak mencelakakan orang itu, bahkan mendoakan supaya mereka mendapat hidayah dan menemui kebenaran.
Oleh sebab itu, mereka yang menggalas tanggungjawab sebagai seorang pengajar ilmu sedang mewarisi kerja mulia nabi, iaitu mengajar ilmu. Pernah nabi bersabda bahawa ulama adalah pewaris nabi. Kita juga tahu para nabi tidak mewariskan harta dan kekayaan, sebaliknya mewariskan ilmu kepada umat.
Sepatutnya kita jelas bahawa kita tidak seharusnya biadab dengan ilmu dan mempermainkan pengajarnya. Jika jelas kita melakukan kesilapan, pohonlah kemaafan daripada mereka kerana tanpa keredhaan, tiadalah barokah dalam ilmu itu. Ilmu yang dituntut tanpa barokah adalah sia-sia. Meskipun kita pandai dan boleh menjawab soalan peperiksaan dengan baik, itu tidak bermakna kita sudah mendapat sebuah ilmu yang diredhai. Janganlah kita lupa yang Tuhan menguji bukan sahaja dengan kesusahan dan kepayahan, tetapi juga dengan kesenangan dan kepandaian. Ramai pelajar yang pandai tetapi buruk akhlak, tidak menunaikan solat (yang beragama Islam) dan banyak melanggar suruhan agama. Orang seperti itu kita lihat mungkin berjaya di universiti, tetapi belum tentu berjaya di alam pekerjaan, semuanya gara-gara ilmu tanpa sebuah keberkatan daripada guru. Sentiasalah memohon ampun kepada guru dan pohonlah keampunan kepada Allah Taala. Semoga Allah Taala merahmati kita semua.
Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment