Nuffnang

Monday, May 10, 2010

IBU DAN DUA ULAMA BESAR

Saya yakin dan pasti bahawa seorang ibu memberi pengaruh yang kuat pada seorang anak dalam menentukan hala tuju hidupnya. Oleh itu, saya tidak hairan kalau ada anak-anak kecil yang 'miang' sekali hendak menjadi penyanyi melainkan ibu dan bapanya sama menyokong dan menggalakkan.

Cuti yang agak panjang ketika ini mengizinkan saya membaca beberapa buah buku sejarah berkenaan dengan ulama besar, iaitu Imam Syafie [1] dan Imam Malik [2]. Kedua-duanya ditulis oleh penulis yang sama. [3]

Kalau sesiapa yang membaca kisah Imam Malik ini dan tidak berasa kagum dengan kesungguhannya menuntut ilmu, maka adalah yang tidak kena dengan kepala otak mereka.

Imam Malik diriwayatkan merupakan seorang anak yang cerdas akal fikirannya dan amat dikasihi kedua ibu bapanya. Namun, sempena hari ibu yang baru saja berlalu, saya hendak menceritakan sedikit tentang pengaruh ibu ke atas dua ulama hebat ini.

Ibu Imam Malik bernama Siti Aliyah binti Syuraik bin Abdul Rahman bin Syuraik al-Azdiyah. Sifat wanita solehah yang ada pada diri ibu Imam Malik ini telah membawa impak yang besar kepada dirinya. Siapa sangka yang dahulunya Imam Malik pernah menyimpan hasrat hendak menjadi penyanyi ? Ya, dahulu tidak ada AF, OIAM dan sebagainya. Beliau menyatakan hasratnya itu kepada ibunya, namun ibunya dengan penuh hikmah tidak mengizinkan dengan alasan dan hujah yang cukup baik.

"Ibu mahu kamu menjadi seorang ulama, bukannya seorang penyanyi. Ulama tidak memerlukan wajah yang cantik dan suara yang merdu. Syaratnya perlu ada ilmu pengetahuan. Jadi kamu perlu belajar bersungguh-sungguh supaya menjadi orang yang berilmu pengetahuan."

Imam Malik yang sememangnya diajar supaya mematuhi kedua orang tuanya akur dan melupakan hasratnya untuk menjadi penyanyi. Lihatlah apa kesannya. Sehingga kini beliau dimuliakan dan disanjungi kerana ketokohan ulama yang ada pada dirinya dan kitabnya yang agung itu iaitu Al-Muwattak. Itulah impak mematuhi nasihat ibu bapa dan ibu bapa pula tahu bagaimana hendak mendidik anak supaya menjadi insan yang bertakwa kepada Allah.

Alangkah kasihannya seorang nak dididik oleh ibu yang jahil dan sombong pula. Sudahlah tidak tahu ilmu agama, tidak mahu belajar dengan berbagai-bagai alasan. Penyudahnya, hendak mengaji perlu menghantar ke rumah orang lain. Dirinya sendiri tidak pula mahu belajar bersama-sama anaknya. Inilah masalah yang dihadapi dalam institusi kekeluargaan masakini yang lebih mengutamakan kebendaan dan dunia berbanding akhirat. Oleh itu, harta dan pangkat yang dikejar, agama dan nasihat ditinggalkan.

Kita beralih cerita kepada Imam Syafie pula. Kenal Imam Syafie ? Ya, mazhab beliaulah yang menjadi pegangan rasmi negara Malaysia. Pun begitu, kita mengiktiraf juga mazhab-mazhab yang lain itu iaitu Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali. Oleh yang demikian, tidak ada masalahnya untuk mereka yang bertandang ke Malaysia dan bermazhab Hanafi dan lain-lain untuk mengamalkan ajaran mazhab mereka. Yang berlaku selisihan pendapat hanyalah pada perkara-perkara fiqah sahaja, sedangkan akidah tauhid kita tetap sama dan tidak berubah.

Sama seperti Imam Malik, Imam Syafie juga dilahirkan sebagai seorang anak yang cerdas dan mempunyai daya ingatan yang luar biasa hebatnya. Ya, mungkin sahaja berkat doa ibunya yang solehah dan tatacara pemakanan yang dijaga.

Mari kita berkenalan dengan ibu beliau.

Menurut riwayat yang popular, nama ibunya ialah Ummu Habibah al-Uzdiyyah yang berasal dari kabilah Yaman dari suku Uzd. Ibunya amat mentaati suaminya sehinggakan ada satu ketika beliau menyuruh suaminya merotannya jika dia pernah mengecilkan hati suaminya. Begitulah wanita solehah. Bukan seperti wanita yang tak pasal-pasal bercerita mengenai hak yang tidak sama rata dan bermacam-macam lagi pertikaian sehinggakan Al-Quran pula hendak diadili sesuka hati.

Dikhabarkan bahawa ibu Imam Syafie sering mengamalkan membaca Al-Quran sebelum tidur dan gemar membaca surah Yusuf dan Luqman. Itulah yang diamalkannya sejak dia mengandung dan berharap semoga anak yang dikandungnya memiliki paras rupa yang cantik dan cerdik. Dengan izin Allah, dia melahirkan anaknya itu dengan mudah dan kesakitan yang sedikit.

Satu ketika, suaminya berazam hendak menjadikannya anaknya seorang pahlawan yang hebat. Ya, mungkin sehebat Khalid al-Walid. Namun, ibu Imam Syafie yang solehah ini mencadangkan lain pula.

"Sekiranya anak kita seorang pahlawan kelak, dia dipergunakan oleh pemerintah bagi mengukuhkan kezaliman mereka. Tetapi sekiranya dia seorang ulama, dia akan menegur pemerintah yang zalim."

Begitulah adik-adik dan kakak-kakak. Tidak pula si ibu hendak menjadikan anaknya itu penyanyi atau penari gelek dan ayahnya pula tidak terhegeh-hegeh membawa anaknya itu berjumpa Mas Idayu dan merayu agar anaknya masuk rancangan Mentor.

Satu kelebihan yang ada pada diri Imam Syafie ialah bersyair. Ya, orang Arab yang pandai bersyair kebiasaannya memiliki tutur kata yang berhemah tinggi dan santun. Satu ketika, setelah selesai berguru dengan seorang penyair, beliau pulang ke rumah. Beliau mengetuk pintu dengan kuat sambil menjerit nama ibunya menyuruh membuka pintu.

Ibunya bergegas membuka pintu. Melihat keadaan Imam Syafie, ibunya tersinggung lalu berkata,

"Beginikah pekerti kamu selepas menjadi seorang penyair ? Sesungguhnya ilmu itu menjadikan kamu sombong. Lebih baik kamu pergi menuntut ilmu agama hingga budi pekerti kamu menjadi baik," marah Ummu Habibah.

Imam Syafie yang merasa bersalah segera memohon ampun. Begitu ya, adik-adik dan kakak-kakak. Bukan membantah dan bercakap yang bukan-bukan terhadap ibu kita.

Inilah sedikit cerita. Semoga kita dapat jadikan iktibar. Kepada yang perempuan, persiapkanlah diri anda untuk menjadi wanita solehah seraya menjadi ibu yang penyayang dan berilmu pengetahuan serta baik budi pekerti. Kepada yang lelaki, marilah kita mempertingkatkan amal ibadah kita dan berdoalah kita supaya dikurniakan Allah isteri yang solehah dan anak-anak yang soleh dan solehah.

Tidak adil jika kita berkehendakkan isteri yang baik tetapi kita sendiri tidak mahu memperelokkan diri kita. Wallahua'lam.

Rujukan:

[1] Imam Syafie, Abdul Latip Talib, PTS Litera Utama Sdn. Bhd.

[2] Imam Maliki, Abdul Latip Talib, PTS Litera Utama Sdn. Bhd.

[3] Abdul Latip Talib, latiptalib.blogspot.com.

No comments: