Nuffnang

Thursday, December 31, 2009

TAHUN BARU MASEHI

Masehi disambut seolah-olah dunia ini ana yang punya.

Berbeza benar dengan 1 Muharram beberapa minggu yang lalu.

Semuanya kerana tanggapan.

Kita menganggap tahun baru yang dibawa dari budaya barat ini lebih besar, hebat dan berkuasa. Target dan pencapaian dimulakan dalam tahun baru masehi, bukan hijrah.

Yalah, tahun baru Islam tidak megah, tidak hebat dan tidak segagah tahun baru masehi. Media bukan main lagi bertungkus-lumus menyiarkan program hiburan demi menyambut tahun baru masehi.

Tahun baru hijrah dengan rendah hati mengenang dan menyerap semangat nabi dan para sahabat berpakaian lusuh dan berkeadaan penat dan takut merentasi gurun kering demi mengharapkan sinar kehidupan yang lebih selamat. Mereka membawa Islam dan harapan saat berhijraj. Mereka tidak ada apa-apa. Nabi sendiri dalam bahaya. Para sahabat dalam bahaya. Justeru, hijrah menjadikan mereka kuat. Teramat kuat. Lebih kuat daripada kita. Target mereka adalah Tuhan. Pencapaian mereka adalah syahid. Jika mereka mati, mereka mati di jalan Allah.

Kita ? Mati kerana merempit pada malam tahun baru masehi.

Demikianlah bahana kita abaikan yang utama demi keseronakan palsu.

Tahun baru masehi disambut sebagai sebuah hari suci agama Kristian. Ya, kita sama-sama sambut dengan orang Kristian.

Mari kita pergi pesta, tonggang arak, pakai baju separuh bogel, pakai rantai, gelang dan perhiasan jelek, ambil ectassy, berdansa di disko, menyanyi di karaoke dan marilah kita berzina, atas nama tahun baru masehi. Kita mahu enjoy. Itu cara orang-orang yang tidak sedar diri menyambutnya.

Ini semua manusia-manusia yang derhaka di sisi Tuhan. Mereka langsung lupa Tuhan apabila jam berdenting pukul 12 tengah malam. Menjeritlah mereka, "Happy New Year !!!"

Ya, selamat tahun baru !

Tahun baru ini diiringi dengan kerosakan. Target entah ke mana, pencapaian entah ke mana.

Dan.

Tahun baru hijrah dilupakan terus.

Ramailah lagi anak-anak muda yang rosak...

SYAIR SI PENGEMBARA...


Wahai hariku, bangkitlah...
Dan zarah-zarah yang berpusing,

Pada-Nya berterima kasihlah atas bumi yang menari berpusing-pusingan.


Dan jiwa-jiwa jugakan menari,
menari dengan kemabukan,

Kan ku bisikkan pada telingamu,

Di mana tari-tari mereka membawa mereka,


Sekalian zarah di udara dan pepasiran,

Seakan-akan semuanya kegilaan.

Tiap satunya zarah, gembira mahupun merana,

Tertarik padanya mentari,

Di mana semuanya tiadalah mampu berkata-kata...

Monday, December 28, 2009

BERSIH

Cuba beritahu, siapa yang tidak sukakan kebersihan ?

Kalau tikus dan lipas, mereka memang sukakan kekotoran. Takkanlah kita hendak menjadi tikus ataupun lipas ?

Bersikap bersih adalah amalan mulia. Karutlah manusia boleh bekerja dengan baik dalam suasana yang kotor melainkan pekerja memungut sampah. Itupun tujuan mereka memungut sampah kerana hendak menjadikan persekitaran bersih. Nah, semuanya hendak bersih, walaupun pemungut sampah sekalipun. Mereka tidak suka kekotoran.

Namun, ada manusia-manusia pelik yang suka biarkan persekitarannya kotor. Macam tong sampahlah kiranya.

Katakanlah sebuah bilik di sebuah kolej kediaman di sebuah universiti di sebuah negeri di sebuah negara.

Baju kat tepi pintu.
Seluar atas kipas.
Singlet kat tepi tingkap.
Seluar dalam atas almari.
Selimut bawah katil.
Bantal atas meja.
Buku atas bantal.
Habuk rokok sana-sini.
Puntung rokok dalam cawan.
Plastik makanan bawah meja.
Polisterin makanan atas kerusi.
Kotak tepi katil.
Kertas lama bawah katil.
Tinggal belum ada najis saja.

Nah, betapa serabut dan kotornya. Masakan boleh selesa dalam keadaan begitu ?

Bukankah ada hadis menyebutkan bahawa kebersihan adalah sebahagian daripada iman ?

Makanya, jika kita tidak bersikap bersih, sebahagian iman kita sudah tidak ada.

Malang juga apabila ramai juga pemuda pemudi Islam yang berperangai begini. Tidak terlalu bersih, namun kemas juga sudah memadai. Ini sudahlah tidak kemas, kotor pula.

Kotor macam tempat tikus membiak.

Justeru, bagaimana pula halnya dengan ibadah solat ?

Bukankah solat hendaklah di tempat yang bersih dan selesa ?

Bagaimana solatnya dalam keadaan persekitaran bilik yang kotor itu ?

Rasa-rasanya khusyuk tak ?

Tentu sahaja tidak.

Persekitaran juga mempengaruhi kekhusyukan kita. Tidak mungkin bilik yang kotor mendatangkan rasa khusyuk.

Saya pernah melihat sebuah rumah di kawasan saya yang begitu kotor sekali, seolah-olah isi rumahnya tidak pernah reti mengemas. Dan seorang lelaki tua yang menghuni rumah itu sering pula ke masjid. Kalaulah dia benar-benar menghayati pemergiannya ke masjid itu, tentu sahaja dia akan membersihkan rumahnya.

Sudahlah rumahnya tidak sebesar mana, malah kotor pula.

Tidak ada gunanya berpakaian kemas dan menarik di luar namun biliknya kotor. Umpama menipu diri sendiri...

Oleh itu, sama-samalah kita membersihkan diri dan persekitaran kita, kerana ianya mendatangkan ketenangan dalam hati kita dan juga orang lain.

Wallahua'lam.

Friday, December 25, 2009

ASYURA...

Lembut tuturmu
Tegas membela agama
Gagah berani tiada tandingnya

Mulia akhlakmu
Didikan rumah kenabian
Penyinar segala kegelapan

Ibundamu penghulu wanita di syurga
Jelmaan bidadari di dunia
Menyintainya adalah suatu ibadah
Puteri kesayangan Rasulullah

Al-Husaini kepahitanmu ku rasai
Terkorban kau menentang kemungkaran
Rebah tersungkur masih di dalam senyuman
Tabah hati menempuh cabaran

Ya Allah sampaikan salamku kepadanya
Pemergian tiada pengganti

Pemuda syurga gelaranmu di dunia
Kau pepohon penyinta ketakwaan
Zuhud sifatmu
Redha setiap ketetapan
Pedoman, engkaulah teladan

Hancur tubuhmu
Bercerai di Karbala
Darah suci
Merah mengalir
Tenang nafasmu menyahut panggilan syuhada
Iringan wangian pengasih

Ya Allah...

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia baginda Muhammad s.a.w...

Thursday, December 24, 2009

JILBAB CINTA

Amatlah berkuasa jilbab itu wahai adik-adik dan kakak-kakak sehinggakan terzahir ia perbezaan ketara antara yang mulia dan yang hina, demikian katanya orang-orang tua. Tiada terdaya akan perempuan itu, wahai adik-adik dan kakak-kakak akan dia menutupi kepalanya melainkan kuatlah peribadinya menjadi mulia.

Akan perempuan seraya wanita itu, wahai adik-adik dan kakak-kakak, tiadalah ia bersungguh-sungguh dalam jilbab seperti mana sungguhnya ia dalam cinta, melainkan padanya kekukuhan iman dalam diri. Bersungguh dalam mentaati perintah Tuhan itukan mulia peribadi dan mulia budi pekerti. Lalu, perempuan itu pada Tuhan disediakan akan Dia satu peraturan yang wajar sama sekali. Lalu akan ada perempuan itu entah gilakah mereka cuba bermain-main dengan hukum-hakam Tuhan seraya mempersendakan syariat agama yang murni dengan mempersoalkan kewajipan ke atas dirinya.


Adapun jilbab itu adalah isyarat akan Tuhan itu pada wanita tentang cinta. Cinta Tuhan pada hamba-Nya terzahir dengan hukum-hakam tertetap padanya. Maka apa gila manusia itu mengatakan Tuhan zalim dengan hukum-Nya ?


Wahai adik-adik dan kakak-kakak sekalian, sesunggunya nyata dan jelaslah akan kemuliaan itu pada tutup penuhnya mereka dengan kemuliaan hijab yang melindung diri daripada mata-mata syaitan yang direjam. Sungguh wanita itu umpan padanya syaitan dan iblis laknatullah untuk lelaki yang lalai leka mengingati Tuhan. Apa tidakkan malu dan benci dijadikan umpan oleh iblis dan syaitan akan wanita itu ?


Maka ketahuilah pada hukum itu ada perlindungan Allah padanya. Jilbab adalah cinta Tuhan kepada hamba-Nya yang bernama perempuan itu. Akan perempuan itu wajarnya bersyukurlah pada-Nya yang memberi cinta dengan kemuliaan peribadi yang tutup padanya teguh dan iman padanya utuh.


Dalam pada itu, wahai adik-adik dan kakak-kakak sekalian, akan dunia itu sentiasalah menipu. Adalah pula wanita mahupun perempuan jua namanya berselindung dengan hijab akan dia akhlaknya yang buruk dan busuk itu. Maka sengajalah ia menampilkan ciri-ciri yang baik pada luarnya sedang dalamnya hina dan dina sekali. Manusia itu ramai sekali tertipu dengan luaran. Maka jibab cinta itu tiadalah ia menepati akan perempuan-perempuan buruk akhlak ini. Bahkan padanya terzahir menipulah ia pada dirinya sendiri.

Jadi, wahai adik-adik dan kakak-kakak, akan Tuhan itu janganlah dipermain-mainkan hukum-hakamnya.

Jagalah akan ia maruah jilbab cinta itu supaya tiadalah ia dirosakkan oleh perempuan yang kepura-puraan pada jiwanya itu.

Jilbab cinta bukan untuk perempuan yang berselindung dalam akhlak yang buruk, bahkan hanyalah ia khusus untuk wanita-wanita mulia budi pekerti dan tulus keikhlasan padanya beragama murni.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda Muhammad dan sekalian ahli keluarganya yang mulia.

Wallahua'lam...

Tuesday, December 22, 2009

AKU SUDAH BERTUNANG !!!


Ya...demikian ungkapan kegembiraan buat insan yang sudah 'dimiliki'. Kononnya.

Ramai juga nampaknya rakan-rakan saya ini yang sudah bertunang. Ada yang saya sangsikan kebenarannya, dan ada juga yang 'nampak macam betul'. Apa pun, kata orang, bertunang merupakan satu langkah ke arah jinjang pelamin yang indah, megah dan meriah.

kegembiraan bagi sepasang insan berkasih-kasihan adalah tali pertunangan. Jika bertunang saja sudah berair mata, apatah lagi bernikah. Boleh jadi berair hidung juga. Barangkali.

Perempuan mana yang tidak gembira melihat hantaran di hadapan mata dengan hiasan cantik dan menarik ? Perempuan mana yang tidak gembira melihat bakal tunang segak berpakaian Melayu tersenyum melihat kita yang juga berpakaian cantik dan menawan ? Perempuan manakah yang tidak gembira menadah tangan berdoa supaya pertunangan membawa kepada pernikahan ?

Semua perempuan gembira. Kecuali yang terpaksa bertunang sedang diri masih hendak berseorangan.

Namun, pengamatan saya terhadap pasangan muda belia bertunang ini, ramai melupakan proses mentarbiah diri dan nasihat menasihati. Itu pengamatan saya. tak tahu pula pengamatan orang lain.
Berapa ramaikah pasangan yang mentarbiah diri untuk memupuk sifat-sifat mahmudah dalam diri supaya kelak diri bersedia melayari bahtera rumahtangga yang penuh dengan gelora jika diri tiada ilmu dan amal. Ilmu sahaja tidak mencukup, perlu diamalkan.

Tarbiah mahupun muhasabah diri ini sebenarnya perlu sepanjang proses kehidupan ini. Berapa ramaikah pemuda dan pemudi (kita kecilkan skop kepada mereka yang baru sahaja bertunang dan sudah lama bertunang) ini beriktiar untuk mendalami ilmu agama sepanjang pertunangan mereka ? Tidak ramai, rasanya. Pergi kursus perkahwinan ? Itu sahaja tidak cukup. Baca buku motivasi ? Itu juga tidak cukup. Saya sering menemukan pasangan yang sudah lama berkahwin bercerai-berai dek kerana kurangnya amal dalam agama dan sikitnya ilmu rumahtangga dan persefahaman. ya, persefahaman juga memerlukan ilmu.

Oleh sebab itu, demi mendapatkan persefahaman, ramai pasangan muda kononnya mencari kekasih yang sama hobi, sama kegemaran, sama kesukaan makanan dan minuman demi mendapatkah persefahaman. Sebenarnya itu silap. Pertunangan, pernikahan dan perkahwinan adalah proses penerimaan ke atas segala kelemahan, kekurangan dan kelebihan. pemerhatian saya pusatkan kepada ibu dan ayah serta datuk dan nenek saya sendiri. Saya memerhatikan bagaimana 'pasangan lama' ini melalui proses penerimaan itu dengan baik sekali. Sehinggakan timbul ungkapan, "Mak faham sangat abah kau tu..."

Tetapi, pasangan muda masakini sering berungkapan, "Saya tak fahamlah dengan awak ni..."

Begitulah bagaimana terlalu seronok dengan perkataan 'tunang', kekasih, cinta hati dan kesukaan jiwa sehingga ramainya mengabaikan ini dalam diri mereka.

Ilmu penerimaan dan persefahaman.

Oleh itu, pusat rujukan saya tidak boleh pada buku dan seminar semata-mata. Maka, orang-orang tua kitalah yang menjadi 'bahan pemerhatian' saya yang masih mentah ini. Ya, amat molek sekali kita memerhatikan kehidupan orang tua demi kita juga akan melaluinya.
Kasihan sekali dengan pasangan muda yang terputus di tengah jalan. Mujur juga putus ketika tali pertunangan. Kalau sudah tali pernikahan ? Bukankah malu...?

Jadi, perkataan 'tunang' itu sebenarnya bukan main-main. Ianya melibatkan maruah dua manusia, dua keluarga dan satu agama.

Apabila saya menulis tentang pertunangan ini, ianya juga melibatkan penyatuan dua jiwa yang jauh berbeza kesukaan dan pemahaman diri tentang dunia. Itulah namanya proses penerimaan. Namun, ramai yang tidak mengetahui caranya. Bahkan silap pula.

Mencari persefahaman dengan menemukan hobi yang sama, kesukaan makan dan minum yang sama bukanlah 'persefahaman'. Kata orang-orang tua, ikatan suami isteri lebih kuat dan utuh serta bertahan lama apabila karakter dua pasangan berbeza sama sekali. Justeru, pasangan akan berusaha untuk saling memahami dan bekerjasama menguatkan rumahtangga mereka.

Nah, semuanya berakar umbi daripada pertunangan yang menjadi kesukaan dan 'huya-huye' anak muda kini.

Oh ya, ramai juga anak muda beranggapan pertunangan 'menghalalkan' segala yang diharamkan bagi lelaki dan perempuan. Makanya, ada yang berani berzina atas alasan 'sudah bertunang'. Ada juga yang keluar bersama, beramah mesra, berpeluk sakan dan sentuh-menyentuh atas alasan 'sudah bertunang.

Wallhua'lam...

Sunday, December 20, 2009

KEMBALI LAGI, DENGAN IZIN TUHAN...


Saya berharap sangat dapat pergi ke pesta buku ini. Pesta buku yang lalu, saya hanya sempat membeli beberapa buah buku dan bertemu dengan beberapa orang penulis seperti Azizi Ali, Serunai Faqir dan lain-lain (hajat nak berjumpa Faisal Tehrani tidak kesampaian). Ketika itu juga saya dan rakan-rakan diiringi oleh seorang penulis iaitu Cikgu Zulkifli Khair.

Jadi, harap-harap dapat berjumpa dengan beliau kali ini.

Semoga Tuhan mengizinkan...

P/s: Hairan dengan manusia yang sanggup berasak-asakan di konsert-konsert dan majlis hiburan, tetapi tidak sanggup berasak-asakan di pesta lambakan ilmu pengetahuan...

Friday, December 18, 2009

KEKASIHKU SUDAH PULANG KE PANGKUAN TUHAN...

Lama dahulu.
Sebelum aku merindukan.
Semoga sudilah dia menerima aku menjadi sebahagian jiwa raganya yang suci murni itu.
Meski banyaknya silap aku padanya,
Aku menyayanginya lebih daripada nyawa aku sendiri.
Semoga hal itu berbaloi sama sekali.
Dalam dunia yang penuh dusta dan kepura-puraan.

Kita sangka dia kawan, rupanya tidak.
Kita sangka dia musuh, rupanya tidak.
Kita sangka dia sahabat, rupanya tidak.
Kita sangka dia kekasih, rupanya tidak.
Kita akan dilupakan apabila kesenangan menimpa mereka.
Kita akan dicari semula apabila kesusahan menimpa mereka.
Begitulah dunia yang menipu.
Mujur saja kekasihku tidak mengajarku supaya membenci manusia seluruhnya, kerana ada juga sekelumit kejujuran dan keikhlasan dalam dunia ini, meski ramainya munafik.

Ketika ini, saat ini, aku semakin merindukan kekasihku.
Kalau aku diberi izin untuk mempersoalkan, aku akan mempersoalkan.
Mengapa aku tidak berkesempatan bertemu dengannya, sebelum aku merindukan ?

Namun, kerja Tuhan siapa tahu...

Tuhan sudah mengambil kekasihku pulang, kerana Dia lebih menyayanginya daripada aku.
Siapalah aku untuk menghalang Tuhan...

Allhumma solli ala muhammad, wa ala ali muhammad...

Thursday, December 17, 2009

GADIS REMANG-REMANG


Waktu kau bicara
Berhamburlah bujuk manis bagai madu
Melantunkan segala pujian
Bergelora dada setiap lelaki
Yang mendengar

Waktu kau menatap
Kau rentang busur
Kau lepas anak panah
Menuju sasaran akurat
Berbungalah dada setiap lelaki
Yang terlena

Gadis
Jalan yang kau tempuh
Rasanya keliru
Malam yang beNing ini
Engkau perlakukan
Rumah kegelapan

Aku nasihatkan kepadamu
Tak semua lelaki mudah tergoda
Tak akan lama engkau dapat bertahan
Di dalam nista

Waktu telah berjalan
Semua mata merobekmu
Hina dina
Hanya tinggallah satu jalan
Bertaubat dan kubur semua kenangan
Gadis jalang

Gadis
Mimpimu kusut masai seperti sampah
Malam yang bening ini
Engkau perlakukan
Rumah kegelapan

Aku nasihatkan kepadamu
Tak akan lama nikmat dapat kau reguk
Tak akan lama kau dapat bertahan
Di dalam nista

MUHARRAM...

Cuti...!!!

Hah, jika awal Muharram itu semata-mata cuti, maka sia-sialah jadinya.

Awal Muharram adalah satu kenangan dan iktibar kepada satu perjuangan yang maha payah demi agama yang tercinta.

Ya, penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dan umat Islam ke Madinah. Madinah ini tidaklah bernama Madinah saat baginda berhijrah ke sana. Sebaliknya namanya Yathrib. Ianya hanya ditukar kepada Madinah Al-Munawwarah setelah Nabi sampai ke sana dengan selamatnya.

Dan jika anda menyatakan bahawa tarikh Nabi berhijrah adalah pada 1 Muharram, maka anda silap. Tarikh satu Muharram ini diangkat oleh Saidina Umar al-Khattab sebagai pemula dalam kalendar Islam sempena memperingati betapa peritnya baginda berjuang demi agama Allah yang maha suci ini.

Betul, cuti itu menyeronokkan. Siapalah yang tidak sukakan cuti ?
Namun, semoga cuti ini kita dapat muhasabah, walaupun seketika duduk letak diri kita ini dalam menyumbangkan sesuatu untuk agama...

Apa yang telah kita lakukan untuk agama kita ?
Berbanding dengan kita sibuk memikirkan apa yang hendak kita sumbangkan dalam persatuan, kelab dan sebagainya, eloklah kita fikirkan juga sumbangan kita dalam agama kita secara ikhlas, bukan kerana nama...

Semoga awal Muharram kali ini lebih bererti...

Wednesday, December 16, 2009

TUHAN MAHA PEMURAH

Adik-adik dan kakak-kakak,
Tuhan itu Maha Pemurah. Justeru, Dia boleh sahaja mengurniakan anugerah kecantikan dan keayuan serta kemanisan wajah serta bentuk badan yang seksi kepada mana-mana perempuan yang diingini-Nya, tidak kiralah perempuan itu Islam, beriman atau tidak. Dan Dia juga tidak mengira apa pun bangsa perempuan itu. Semua itu kerana Tuhan itu Maha Pemurah.

Adik-adik dan kakak-kakak,
Sekiranya anda tidak berapa cantik, janganlah dengki dan iri hati dengan kecantikan orang lain. Ya, anda boleh melakukan beberapa perkara seperti memperbanyakkan solekan pada muka dan menyarung korset yang gila ketat untuk mengaburi mata orang lain. Dan anda juga boleh membuat pembedahan plastik ataupun cucuk botox. Tetapi perkara itu dilarang sama sekali. Pun begitu, semua itu untuk apa ? Tentulah untuk ‘disajikan’ kepada orang lelaki kan ? Buat apa nak bertanding sesama perempuan. Lebih baik ditayang ‘mentah-mentah’ pada lelaki.

Adik-adik dan kakak-kakak,
Ada perempuan entah siapa namanya pernah menyatakan, “Kejelitaan adalah hak milik setiap insan.” Insan di sini tentulah perempuan. Takkanlah lelaki nak dipanggil ‘jelita’. Agnes Monica barulah layak dipanggil Jelita. Sebenarnya perempuan itu salah, wahai adik-adik dan kakak-kakak. Yang sebetulnya, kejelitaan adalah hak milik Allah. Hal ini kerana apa ? Kerana Dialah yang mengurniakan kejelitaan itu kepada anda, wahai adik-adik dan kakak-kakak. Justeru, Allah telahpun mengamanahkan kepada anda satu kejelitaan, kecantikan, keseksian dan keayuan untuk dipelihara daripada sebarang bentuk kemaksiatan. Apa itu kemaksiatan yang melibatkan kecantikan, keayuan, kejelitaan dan keseksian, wahai adik-adik dan kakak-kakak ?

a) Mendedahkan aurat sesuka hati.
b) Memakai pakaian yang mengikut bentuk badan.
c) Sengaja meliuk-lintukkan badan bagi menarik perhatian lelaki.
d) Sengaja meluruskan rambut dan mempamerkannya kepada khalayak ramai untuk menunjukkan yang r
ambutnya cantik dan menawan. (Ya, adik-adik dan kakak-kakak, lelaki suka membelai dan mengusap rambut perempuan yang cantik dan menawan).
e) Melilit tudung (jika bertudung) di leher sehingga m
enampakkan bentuk dada yang menonjol ke depan.
f) Memakai seluar yang ketat sehingga mengikut bentuk peha dan punggung yang menonjol ke belakang. Kalau punggungnya besar ?Wallahua’lam.

Itulah ya, adik-adik dan kakak-kakak.
Sebenarnya banyak lagi. Tetapi memadailah yang itu-itu dahulu.

Aduhai, mengapalah Tuhan begitu kejam kepada kami dengan melarang itu-ini ?
Mungkin itulah yang anda ingin katakan, wahai adik-adik dan kakak-kakak. Tidak. Tuhan itu tidak kejam sama sekali. Kitalah yang zalim. Kita ini (yang perempuan terutamanya) zalim kerana tidak mahu mengikut perintah Tuhan yang melarang kita mendedahkan aurat (lelaki pun sama) sesuka hati.

Justeru, untuk apa semua kecantikan, kejelitaan, keayuan dan keseksian itu jika tidak boleh ‘dipergunakan’, wahai adik-adik dan kakak-kakak ?

Adik-adik dan kakak-kakak,

Ketahuilah di sini bahawa kesemuanya itu untuk bakal suami anda yang tercinta. Ya, yang tercinta. Bukan sang pencinta. Lelaki yang akan memanggil ada ’sayang’, ‘ayang’, ‘anje’, ‘adik’, ‘maknye’, ‘awaknye’, ‘humaira’, ‘juwita’ dan banyak lagi panggilan mesra yang kadangkala tak masuk akal sama sekali. Ya, suami andalah yang berhak untuk melihat kecantikan anda, keayuan anda, kejelitaan anda dan keseksian anda. Oleh sebab itu, jika anda sudah selesai dan beres menayangkan segala yang ada pada tubuh anda kepada khalayak ramai ketika anda belum berkahwin, apa lagi yang tinggal untuk suami anda, wahai adik-adik dan kakak-kakak ?

Adik-adik dan kakak-kakak,
Nampak tak betapa pemurahnya Tuhan kepada anda dan betapa Maha Pengasihnya Tuhan kepada anda kerana mengurniakan kepada anda perkara yang akan membuatkan suami anda tak sudah-sudah memuji anda (masa muda sahaja ya, bila dah tua tak ada apa-apa lagi melainkan kedut yang merata-rata). Apabila anda memelihara diri anda, suami anda akan menghormati anda. Ramai perempuan di luar sana masih tidak memahami. Mereka sering membantah dengan berkata,

“Ramai perempuan yang tutup aurat, jaga diri, sentiasa menghormati orang tua tetapi akhirnya dijodohkan dengan suami yang jahat.”

Wahai adik-adik dan kakak-kakak, bukankah Tuhan telah berjanji di dalam al-Quran bahawa lelaki yang baik hanya untuk perempuan yang baik.Justeru, jika ada perempuan yang ‘baik’ tetapi suaminya jahat, itu bermakna perempuan itu ada melakukan kesalahan-kesalahan tertentu dan masih lagi belum bertaubat, sama ada kepada manusia atau kepada Tuhan. Justeru, sebab itulah nabi menyuruh kita bertaubat setiap hari dan meminta maaf serta memaafkan semua kesalahan.

Adik-adik dan kakak-kakak,
Kecantikan, kejelitaan, keayuan dan keseksian anda telah membuka satu perbincangan yang santai tetapi tetap ke arah yang satu - mencari keredhaan Tuhan. Justeru, adik-adik dan kakak-kakak, hargailah pemberian Tuhan kepada anda dengan menutupnya dengan baik dan kukuhkanlah rasa iman anda kepada Tuhan supaya anda tidak mencemuh atau mengutuk segala ketetapan-Nya.

Oh ya, Andrea Hirata dalam tetraloginya pernah menyatakan satu pengajaran moral : Jika anda cantik, jiwa anda tidak tenang. Di situ tersimpan makna yang mendalam lagi ‘menyucuk’ kalbu.

P/s: 'Model' kita ialah seorang si cantik dari Mongolia. :-)

Foto diambil daripada blog AbyRad...

Sunday, December 13, 2009

SEORANG DIRI DALAM DAKAPAN UJIAN TUHAN

Dalam menjalani kehidupan kita sebagai manusia, kita tidak dapat mengelak daripada diuji dengan ujian yang kadangkala ringan, kadangkala berat juga.

Begitulah manusia diciptakan sebagai hamba, akan diuji oleh Tuhan demi menyedarkan manusia bahawa mereka itu hanyalah hamba di sisi Tuhan, tidak kira berpangkat presiden sekalipun.

Namun, apa yang kita sedihkan ialah kita sering ditimpa ujian dalam keadaan kita keseorangan. Tiada seorang kawan pun yang sudi bersama-sama kita ketika itu.

Kalau yang perempuan, medium mereka 'membangsatkan' ujian itu banyaknya di laman-laman sosial seperti Facebook, Myspace dan Friendster dengan harapan akan adalah kawan-kawan yang tahu bahawa kita ini sedang dalam kesedihan. Namun, tidak kurang juga yang berahsia dengan ujian Tuhan. Makanya, bila ditanya orang, "Bermasalahkah ?" Segera dijawabnya 'tidak ada'.

Begitu juga halnya dengan lelaki, mereka ramainya itu sering 'menyumpah' ujian itu dengan 'mencarut' dan marah-marah.

Demikianlah namanya manusia.
Tidak boleh ditimpa ujian, cepat sekali hilang kewarasannya.

Keseorangan dalam menghadapi ujian memanglah menyedihkan. Sedang nabi dahulu amat sedih dalam menghadapi ujian Tuhan lantaran sudah kematian isteri dan bapa saudara tercinta yang amat rapat dengannya.

Rasanya, tidak keterlaluan sekiranya saya menyatakan manusia yang paling hebat diuji di atas dunia ini ialah para nabi dan rasul. Bayangkan sahaja, mereka membawa risalah Tuhan yang mesti disebarkan dalam kalangan umatnya yang degil, engkar dan tidak sudi menerimanya meskipun kebenaran memang nyata terzahir di situ.

Kadangkala menangislah kita di dalam bilik mengenangkan nasib diri yang keseorangan. Pun begitu, kita tidak boleh lupa kepada Tuhan, kerana Dia sentiasa memerhatikan kita. Makanya, dalam keadaan kita berseorangan di dunia ini, Tuhan ada memerhatikan kita.

Orang bijaksana berkata, ujian Tuhan adalah bukti kasih sayang Tuhan. Dengan ujian, banyak sekali dosa digugurkan. Benar begitu. Manusia itu diuji semata-mata hendak digugurkan dosa-dosa mereka yang lalu. Di samping itu, dengan ujian juga, manusia boleh mendekati Tuhan perlahan-lahan.

Nabi teramat rapat dengan Tuhan dek kerana ujian Tuhan terhadapnya.

Para ulama soleh teramat kasihkan Tuhan setelah ditimpa berbagai-bagai ujian di dunia ini.

Lihatlah, ada banyak kisah lampau yang membuktikan bahawa ujian Tuhan itu juga berupa rahmat.

Lalu, kenapa ramai sekali manusia zaman kini terlalu bersedih dengan ujian lantas menafikan Tuhan ?

Tuhan itu dikatanya kejam, zalim, tak guna, biadap dan sebagainya.

Sedang Tuhan itu Maha Pengasih dan Penyayang.

Maka, bertambah jauhlah kita daripada Tuhan, dan bertambah sunyi dan kosonglah hidup kita ini.
Ramai manusia tidak mengetahui, rupa-rupanya keseorangan itu juga dapat membersihkan hati. Ramai manusia dahulukala beruzlah mengasingkan diri daripada masyarakat demi menyucikan hati yang kotor. Makanya, kita sudah diberi peluang oleh Tuhan dengan berseorangan, mengapa tidak digunakan peluang itu dengan beribadah kepada-Nya ?

Kadangkala sendirian itu juga memberi ketenangan di jiwa.

Rupa-rupanya, keseorangan, bersendirian dan kesunyian itu juga adalah rahmat daripada Tuhan. Begitulah Tuhan. Ada sahaja rahsia dalam apa yang diberikan kepada kita yang tidak kita ketahui.

Jadi, buat saudaraku yang keseorangan, carilah cinta Tuhan.
Semoga saudaraku sekalian tidak lagi keseorangan, kerana cinta Tuhan adalah pelengkap hati yang kosong serta sunyi...

Saturday, December 12, 2009

MESRA OMBAK


Ramai yang menggeruni ombak.

Ombak yang besar, tentunya.

Boleh sahaja si ombak besar 'menyedut' menusia ke perut laut yang luas itu.

Namun, si ombak juga kadangkala mesra menyapa kaki, tenang menyapa jiwa.

Cecahkan kaki seketika ke air laut, ombak akan menyapa kaki kita dengan tenang, jika kena waktunya.

Jika tidak kena waktunya, ombak akan menyapa seluruh tubuh kita dengan kebasahan.

Rypa-rupanya ombak juga hendak bersahabat dengan kita.

Kerana dia juga makhluk Tuhan...

Friday, December 11, 2009

PEMBARINGAN


Ahmadinejad tanpa katil mewah dan bilik yang indah seperti mana kebanyakan pemimpin sebuah negara.


Rebahkan tubuh kita, anda dan mereka di atas tilam yang empuk.
Saat itu, apa yang difikirkan ?
Lega ?
Seronok ?
Mengantuk ?
Rehat ?

Ya, semua itu dirasakan saat berada di pembaringan.

Namun, satu yang sering dilupakan.

Mati.

Pembaringan juga bakal menjadi saksi nyawa kita diangkat baik-baik ataupun teruk-teruk oleh Izrail yang hadir berpandukan amal ibadah kita.

Jika hidup dipenuhi dengan semata-mata maksiat dan kelekaan, maka datanglah ia dengan kemurkaan.

Jika hidup dipenuhi dengan kebaikan dan ketenangan, maka datanglah ia dengan senyuman dan kelembutan.

Pembaringan akan menerima tuan yang baru. Bukan lagi kita, sebaliknya sekujur tubuh yang namanya mayat.

Makanya, saat kita, anda dan mereka hendak berbaring, bersiap sediakah untuk menerima tetamu yang 'mengerikan' itu ?

Siapkah dengan wudhuk ?
Siapkah dengan doa ?
Siapkah dengan kemaafan ?
Siapkah dengan ketaatan ?
Siapkah dengan amalan ?
Siapkah dengan ketakwaan ?
Siapkah dengan ilmu ?
Siapkah dengan syahadah ?

Berapa ramai yang berada di atas pembaringan dengan keadaan langsung tidak bersedia ?

Ramai sekali.

Tidur itu padahal merupakan pemisah dengan kehidupan sehari-hari.
Mata terkatup.
Otak berehat.

Apa pula salahnya saat ini kita dijemput pulang ?

Soalnya, bersediakah kita ?

Thursday, December 10, 2009

LAUT

Ya, kali ini kita merenung laut.

Pernah ke laut ?

Pernah tahu di mana pinggirnya laut itu ?

Tidak tahu kerana mata kita ini diciptakan Tuhan dengan segala keterbatasan untuk melihat di mana mulanya dan hujungnya laut itu.

Berada di tepi laut pada waktu tengah hari memang panas dan kulit tentu sahaja bertambah gelap.

Sebab itulah ramai orang gemar berjalan-jalan tanpa selipar mahupun kasut di pantai pada waktu pagi dan juga petang.

Mengapa ?

ya, tentunya mencari ketenangan.

Ketenangan itu tidak dapat dibeli dengan duit, namun Tuhan itu, dengan kebijaksanaan-Nya meletakkan punca-punca atau bibit-bibit ketenangan pada segala ciptaan-Nya yang agung. Salah satunya laut ini.

Betapa besar dan luasnya laut itu sehingga kadangkala kita terpana seketika, terutamanya buat mereka yang sudah jelak melihat pencakar langit dan kenderaan yang berasap di sana-sini.

Manusia tidak akan dapat menandingi ciptaan Tuhan, meskipun manusia kadangkala mengagumi ciptaan manusia itu sendiri.

Ya, manusia mengagumi Menara Berkembar Petronas.
Ya, manusia mengagumi Burj Dubai.

Namun, ciptaan Tuhan tetap tidak dapat ditandingi.

Tuhan mencipta dengan kebijaksanaan Tuhan, sedang manusia mencipta dengan kebijaksanaan manusia.

Manakan sama. Tentunya.

Pengisian pada laut adalah ketenangan, seperti mana ciptaan Tuhan yang lainnya.

Namun, kadangkala laut juga boleh menjadi bencana. Itupun atas kekuasaan Tuhan.

Pun begitu, eloklah kita tumpukan pada ketenangan.

Merenung laut sambil mengalunkan tasbih tentu sahaja menghadirkan rasa tenang pada diri. Daripada kita bersiar-siar dengan kekasih, berkepit-kepit, berpakaian tidak senonoh di tepi pantai, eloklah kita sama-sama buang ego dan kesombongan serta kelekaan pada dunia dengan merenung kejadian Tuhan yang hebat ini.

Laut...

PADANG PASIR

...Siapa kata tanah tandus itu tidak ada ilham padanya ?

Di samping kita melawat kawasan-kawasan yang dipenuhi kehijauan, bunga-bungaan dan segala macam benda yang berwarna-warni, kita melupakan tanah tandus.

Ya, apa yang ada pada ketandusan itu melainkan kepanasan, dahaga dan keletihan ?

Itu benar.
Namun, kita melupakan perkara lain.

Penyerahan.

Bukankah kita tahu bahawa Tuhan menyaksikan kita di mana sahaja ?

Bukankah kita tahu bahawa Tuhan berada di mana sahaja ?

Penyerahan.

Kenapa dengan penyerahan ?

Dahulu.

Lama dahulu.

Tanah tandus ini, tanah kering kontang ini, menyaksikan kelahiran sesuatu yang bakal disempurnakan.

Perancangan itu sudah disimpan lama oleh Tuhan.

Sejak Adam dijadikan.
Sejak Hawa diciptakan.

Jadi, apakah tidak ada ketenangan di sini ?
Sering kita mendengarkan manusia mengunjungi kehijauan demi mendapat sedikit ketenangan.

Selalukah kita mendengar manusia mengunjungi ketandusan, kekeringan dan kepanasan demi sebuah penghayatan kepada penyerahan dan ketenangan abadi ?

Jarang sekali.
Bahkan mungkin sahaja manusia dari rantau sebelah sini tidak berkeinginan langsung hendak mengunjunginya, apatah lagi menghayatinya.

Apa pun, ianya juga sebahagian kecil ciptaan agung Tuhan yang Maha Esa...

Friday, December 04, 2009

PENUTUP

Tahun 2009 sudah sampai ke penghujungnya.

Dalam tahun ini, saya menemukan dua kegagalan besar bagi seorang pelajar.

Aduhai, beban yang cukup menyedihkan.

Namun, kerja Tuhan siapa yang tahu.

Mungkin sahaja ada yang tidak kena dengan segala amal ibadah terhadap-Nya sehingga diberi amaran dan peringatan sedemikian rupa.

Mungkin sahaja ada yang tidak kena dengan pergaulan sehingga diberi amaran dan peringatan sedemikian rupa.

Mungkin sahaja diri sudah mabuk dengan hiburan dunia.

Kecintaan kepada Tuhan itu sudah berkurangan.

Celakalah dunia yang menipu.

Tuesday, December 01, 2009

TERTIB AMAL IBADAH

Beramal dalam Islam ada tertibnya. Ada urutan dan susunannya. Ada "progression" nya dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi. Ia bermula dengan Syariat , kemudian dengan Tariqat , diikuti pula dengan hakikat dan diakhiri dengan Makrifat .

Syariat.
Ini adalah ilmu sama ada ilmu bagi amalan, lahir (feqah) atau ilmu bagi amalan hati (tasawuf). Ini adalah langkah pertama dalam tertib beramal. Ia melibatkan ilmu tentang peraturan, hukum-hakam, halal haram, sah batal dan sebagainya. Ilmu perlu dalam beramal. Tanpa ilmu, kita tidak tahu macam mana hendak beramal mengikut cara yang Tuhan mahu. Kalaupun kita sudah cinta dan takut dengan Tuhan dan kita terdorong untuk menyembah-Nya, kita tidak boleh berbuat demikian ikut sesuka hati kita atau ikut cara yang kita cipta sendiri. Tuhan tidak terima, kita mesti ikut cara yang ditetapkan oleh Islam, kita mesti belajar. Amalan tanpa ilmu itu tertolak. Ilmu atau syariat ini ibarat biji benih.

Tariqat .
Ini adalah peringkat menghidupkan ilmu menjadi amalan sama ada amalan lahir mahupun amalan hati secara istiqamah dan bersungguh-sungguh. Ilmu (syariat) yang ada perlu dilaksanakan. Ini dinamakan juga tariqat wajib dan ia tidak sama maksudnya dengan tariqat sunat yang mengandungi wirid-wirid dan zikir-zikir yang menjadi amalan sesetengah pengamal-pengamal sufi. Tariqat ini ibarat kita menanam biji benih tadi (syariat) hingga ia bercambah, tumbuh dan menjadi sebatang pokok yang bercabang dan berdaun.

Hakikat.
Hakikat adalah buah. Selepas kita ada syariat, kemudian kita amalkan syariat itu hingga ia naik ke peringkat tariqat, yakni ia menjadi sebatang pokok yang bercabang dan berdaun, maka kalau cukup syarat-syaratnya maka pokok itu akan menghasilkan buah. Buah tariqat adalah akhlak dan peningkatan peringkat nafsu atau pencapaian maqam-maqam mahmudah. Boleh jadi ia menghasilkan maqam sabar , maqam redha , maqam tawakkal , maqam tawadhuk , maqam syukur dan berbagai-bagai maqam lagi. Boleh jadi hanya terhasil satu maqam sahaja (sebiji buah sahaja) atau boleh jadi akan terhasil beberapa maqam yang berbeza dari satu pokok yang sama. Hakikat adalah perubahan jiwa atau perubahan peringkat nafsu hasil dari syariat dan tariqat yang dibuat dengan faham dan dihayati.

Makrifat .
Ini adalah hasil dari hakikat, iaitu hal-hal hakikat yang dapat dirasai secara istiqamah. Ia adalah satu tahap kemajuan rohaniah yang tertinggi hingga dapat benar-benar mengenal Allah dan rahsia-rahsia- Nya. Orang yang sudah sampai ke tahap ini digelar Al-Arifbillah .

Kalau kita lihat dengan teliti, tertib dalam amalan ini bermula dari yang lahir dan berakhir dengan yang batin. Syariat dan tariqat itu terletak dalam kawasan lahir. Hakikat dan makrifat pula menjangkau ke dalam hati dan rohani. Kita juga dapat lihat bahawa peringkat syariat dan tariqat adalah peringkat-peringkat yang agak mudah dicapai kerana ia hanya melibatkan usaha lahir.

Sumber : Halaqah.net