Nuffnang

Sunday, December 13, 2009

SEORANG DIRI DALAM DAKAPAN UJIAN TUHAN

Dalam menjalani kehidupan kita sebagai manusia, kita tidak dapat mengelak daripada diuji dengan ujian yang kadangkala ringan, kadangkala berat juga.

Begitulah manusia diciptakan sebagai hamba, akan diuji oleh Tuhan demi menyedarkan manusia bahawa mereka itu hanyalah hamba di sisi Tuhan, tidak kira berpangkat presiden sekalipun.

Namun, apa yang kita sedihkan ialah kita sering ditimpa ujian dalam keadaan kita keseorangan. Tiada seorang kawan pun yang sudi bersama-sama kita ketika itu.

Kalau yang perempuan, medium mereka 'membangsatkan' ujian itu banyaknya di laman-laman sosial seperti Facebook, Myspace dan Friendster dengan harapan akan adalah kawan-kawan yang tahu bahawa kita ini sedang dalam kesedihan. Namun, tidak kurang juga yang berahsia dengan ujian Tuhan. Makanya, bila ditanya orang, "Bermasalahkah ?" Segera dijawabnya 'tidak ada'.

Begitu juga halnya dengan lelaki, mereka ramainya itu sering 'menyumpah' ujian itu dengan 'mencarut' dan marah-marah.

Demikianlah namanya manusia.
Tidak boleh ditimpa ujian, cepat sekali hilang kewarasannya.

Keseorangan dalam menghadapi ujian memanglah menyedihkan. Sedang nabi dahulu amat sedih dalam menghadapi ujian Tuhan lantaran sudah kematian isteri dan bapa saudara tercinta yang amat rapat dengannya.

Rasanya, tidak keterlaluan sekiranya saya menyatakan manusia yang paling hebat diuji di atas dunia ini ialah para nabi dan rasul. Bayangkan sahaja, mereka membawa risalah Tuhan yang mesti disebarkan dalam kalangan umatnya yang degil, engkar dan tidak sudi menerimanya meskipun kebenaran memang nyata terzahir di situ.

Kadangkala menangislah kita di dalam bilik mengenangkan nasib diri yang keseorangan. Pun begitu, kita tidak boleh lupa kepada Tuhan, kerana Dia sentiasa memerhatikan kita. Makanya, dalam keadaan kita berseorangan di dunia ini, Tuhan ada memerhatikan kita.

Orang bijaksana berkata, ujian Tuhan adalah bukti kasih sayang Tuhan. Dengan ujian, banyak sekali dosa digugurkan. Benar begitu. Manusia itu diuji semata-mata hendak digugurkan dosa-dosa mereka yang lalu. Di samping itu, dengan ujian juga, manusia boleh mendekati Tuhan perlahan-lahan.

Nabi teramat rapat dengan Tuhan dek kerana ujian Tuhan terhadapnya.

Para ulama soleh teramat kasihkan Tuhan setelah ditimpa berbagai-bagai ujian di dunia ini.

Lihatlah, ada banyak kisah lampau yang membuktikan bahawa ujian Tuhan itu juga berupa rahmat.

Lalu, kenapa ramai sekali manusia zaman kini terlalu bersedih dengan ujian lantas menafikan Tuhan ?

Tuhan itu dikatanya kejam, zalim, tak guna, biadap dan sebagainya.

Sedang Tuhan itu Maha Pengasih dan Penyayang.

Maka, bertambah jauhlah kita daripada Tuhan, dan bertambah sunyi dan kosonglah hidup kita ini.
Ramai manusia tidak mengetahui, rupa-rupanya keseorangan itu juga dapat membersihkan hati. Ramai manusia dahulukala beruzlah mengasingkan diri daripada masyarakat demi menyucikan hati yang kotor. Makanya, kita sudah diberi peluang oleh Tuhan dengan berseorangan, mengapa tidak digunakan peluang itu dengan beribadah kepada-Nya ?

Kadangkala sendirian itu juga memberi ketenangan di jiwa.

Rupa-rupanya, keseorangan, bersendirian dan kesunyian itu juga adalah rahmat daripada Tuhan. Begitulah Tuhan. Ada sahaja rahsia dalam apa yang diberikan kepada kita yang tidak kita ketahui.

Jadi, buat saudaraku yang keseorangan, carilah cinta Tuhan.
Semoga saudaraku sekalian tidak lagi keseorangan, kerana cinta Tuhan adalah pelengkap hati yang kosong serta sunyi...

No comments: