Nuffnang

Tuesday, December 22, 2009

AKU SUDAH BERTUNANG !!!


Ya...demikian ungkapan kegembiraan buat insan yang sudah 'dimiliki'. Kononnya.

Ramai juga nampaknya rakan-rakan saya ini yang sudah bertunang. Ada yang saya sangsikan kebenarannya, dan ada juga yang 'nampak macam betul'. Apa pun, kata orang, bertunang merupakan satu langkah ke arah jinjang pelamin yang indah, megah dan meriah.

kegembiraan bagi sepasang insan berkasih-kasihan adalah tali pertunangan. Jika bertunang saja sudah berair mata, apatah lagi bernikah. Boleh jadi berair hidung juga. Barangkali.

Perempuan mana yang tidak gembira melihat hantaran di hadapan mata dengan hiasan cantik dan menarik ? Perempuan mana yang tidak gembira melihat bakal tunang segak berpakaian Melayu tersenyum melihat kita yang juga berpakaian cantik dan menawan ? Perempuan manakah yang tidak gembira menadah tangan berdoa supaya pertunangan membawa kepada pernikahan ?

Semua perempuan gembira. Kecuali yang terpaksa bertunang sedang diri masih hendak berseorangan.

Namun, pengamatan saya terhadap pasangan muda belia bertunang ini, ramai melupakan proses mentarbiah diri dan nasihat menasihati. Itu pengamatan saya. tak tahu pula pengamatan orang lain.
Berapa ramaikah pasangan yang mentarbiah diri untuk memupuk sifat-sifat mahmudah dalam diri supaya kelak diri bersedia melayari bahtera rumahtangga yang penuh dengan gelora jika diri tiada ilmu dan amal. Ilmu sahaja tidak mencukup, perlu diamalkan.

Tarbiah mahupun muhasabah diri ini sebenarnya perlu sepanjang proses kehidupan ini. Berapa ramaikah pemuda dan pemudi (kita kecilkan skop kepada mereka yang baru sahaja bertunang dan sudah lama bertunang) ini beriktiar untuk mendalami ilmu agama sepanjang pertunangan mereka ? Tidak ramai, rasanya. Pergi kursus perkahwinan ? Itu sahaja tidak cukup. Baca buku motivasi ? Itu juga tidak cukup. Saya sering menemukan pasangan yang sudah lama berkahwin bercerai-berai dek kerana kurangnya amal dalam agama dan sikitnya ilmu rumahtangga dan persefahaman. ya, persefahaman juga memerlukan ilmu.

Oleh sebab itu, demi mendapatkan persefahaman, ramai pasangan muda kononnya mencari kekasih yang sama hobi, sama kegemaran, sama kesukaan makanan dan minuman demi mendapatkah persefahaman. Sebenarnya itu silap. Pertunangan, pernikahan dan perkahwinan adalah proses penerimaan ke atas segala kelemahan, kekurangan dan kelebihan. pemerhatian saya pusatkan kepada ibu dan ayah serta datuk dan nenek saya sendiri. Saya memerhatikan bagaimana 'pasangan lama' ini melalui proses penerimaan itu dengan baik sekali. Sehinggakan timbul ungkapan, "Mak faham sangat abah kau tu..."

Tetapi, pasangan muda masakini sering berungkapan, "Saya tak fahamlah dengan awak ni..."

Begitulah bagaimana terlalu seronok dengan perkataan 'tunang', kekasih, cinta hati dan kesukaan jiwa sehingga ramainya mengabaikan ini dalam diri mereka.

Ilmu penerimaan dan persefahaman.

Oleh itu, pusat rujukan saya tidak boleh pada buku dan seminar semata-mata. Maka, orang-orang tua kitalah yang menjadi 'bahan pemerhatian' saya yang masih mentah ini. Ya, amat molek sekali kita memerhatikan kehidupan orang tua demi kita juga akan melaluinya.
Kasihan sekali dengan pasangan muda yang terputus di tengah jalan. Mujur juga putus ketika tali pertunangan. Kalau sudah tali pernikahan ? Bukankah malu...?

Jadi, perkataan 'tunang' itu sebenarnya bukan main-main. Ianya melibatkan maruah dua manusia, dua keluarga dan satu agama.

Apabila saya menulis tentang pertunangan ini, ianya juga melibatkan penyatuan dua jiwa yang jauh berbeza kesukaan dan pemahaman diri tentang dunia. Itulah namanya proses penerimaan. Namun, ramai yang tidak mengetahui caranya. Bahkan silap pula.

Mencari persefahaman dengan menemukan hobi yang sama, kesukaan makan dan minum yang sama bukanlah 'persefahaman'. Kata orang-orang tua, ikatan suami isteri lebih kuat dan utuh serta bertahan lama apabila karakter dua pasangan berbeza sama sekali. Justeru, pasangan akan berusaha untuk saling memahami dan bekerjasama menguatkan rumahtangga mereka.

Nah, semuanya berakar umbi daripada pertunangan yang menjadi kesukaan dan 'huya-huye' anak muda kini.

Oh ya, ramai juga anak muda beranggapan pertunangan 'menghalalkan' segala yang diharamkan bagi lelaki dan perempuan. Makanya, ada yang berani berzina atas alasan 'sudah bertunang'. Ada juga yang keluar bersama, beramah mesra, berpeluk sakan dan sentuh-menyentuh atas alasan 'sudah bertunang.

Wallhua'lam...

No comments: